Khamis, 28 Julai 2011

Empat termasuk dua beranak maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan



BAGAN SERAI - Empat termasuk dua beranak terbunuh manakala dua cedera parah dalam kemalangan membabitkan bas ekspress dan treler di Km 201.5 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kamunting, tengah malam tadi.

Mereka yang terbunuh ialah anggota Pasukan Gerakan Am Abdul Shahreer Abu Hassan, 23, anak lelakinya Mohd Fariz Daniel, setahun, yang merupakan penumpang bas, pemandu treler K. Supramaniam, 30, dan kelindannya A. Yugeswara Rao, 25.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mat Fauzi Nayan berkata mereka yang parah dikenal pasti sebagai pemandu bas ekspress Azizi Abdul Rahman dan penumpang bas Foziah Mokhtar yang juga isteri Abdul Shahreer.

Tiga terbunuh di tempat kejadian, manakala Mohd Fariz Daniel disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Taiping, sementara yang parah pula kini dirawat di hospital yang sama, katanya pada sidang media, di sini.

Pasangan suami isteri dan anak mereka itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke Simpang Renggam, Johor tempat Abdul Shareer bertugas, katanya.

Mengulas kejadian itu, Mat Fauzi berkata kemalangan berlaku kira-kira 12.35 tengah malam apabila treler yang dalam perjalanan ke utara dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Treler itu kemudian bertembung dengan bas ekspress yang dalam perjalanan dari Perlis ke Johor dengan 30 penumpang.

Akibat rempuhan kuat treler tersebut, tiga penumpang tercampak keluar, katanya. Beliau berkata pihak berkuasa terpaksa menghubungi pasukan bomba dan penyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan terperangkap dalam bas berkenaan.

Mat Fauzi berkata penumpang bas yang tidak mengalami kecederaan kemudian dibenar meneruskan perjalanan dengan bas gantian. - Bernama

Tiada ulasan: