Khamis, 23 Jun 2011

Kisah Isra' Mi'raj



























Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq tersebut mencecah bumi.

Baginda bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai ke Baitulmuqaddis. Baginda bersabda lagi: Aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi.

Baginda bersabda lagi: Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, secara tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan semangkuk susu oleh Jibril a.s. Aku memilih susu. Lalu Jibril a.s berkata: Engkau telah memilih fitrah.

Lalu Jibril a.s membawaku naik ke langit. Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Adam a.s, beliau menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan.

Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Isa bin Mariam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s ternyata dia telah dikurniakan sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah s.w.t Yang bermaksud: Dan kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi darjatnya.

Aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril a.s meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar mereka tidak kembali lagi kepadanya. Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Baginda bersabda: Ketika baginda merayau-rayau meninjau kejadian Allah s.w.t, baginda dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya.

Lalu Allah s.w.t memberikan wahyu kepada baginda dengan mewajibkan solat lima puluh waktu sehari semalam. Tatakala baginda turun dan bertemu Nabi Musa a.s, dia bertanya: Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu kepada umatmu? Baginda bersabda: Solat lima puluh waktu. Nabi Musa a.s berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Aku pernah mencuba Bani Israel dan memberitahu mereka. Baginda bersabda: Baginda kemudiannya kembali kepada Tuhan dan berkata: Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku. Lalu Allah s.w.t mengurangkan lima waktu solat dari baginda.

Baginda kembali kepada Nabi Musa a.s dan berkata: Allah telah mengurangkan lima waktu solat dariku. Nabi Musa a.s berkata: Umatmu masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi. Baginda bersabda: Baginda tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah s.w.t berfirman Yang bermaksud: Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap solat fardu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu solat fardu sama dengan lima puluh solat fardu.

Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya. Baginda turun hingga sampai kepada Nabi Musa a.s, lalu aku memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan. Baginda menyahut: Aku terlalu banyak berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu kepada-Nya. (HR Muslim)
*

Rabu, 22 Jun 2011

JanGan MenGadaP Komputer Lebih 5 Jam Sehari . Mengapa ? Bacalah




DCM pernah menyiarkan sebuah artikel berkaitan dengan hal ini beberapa bulan yang lalu. Saya olah lagi sebuah artikel untuk bacaan anda.

Kali ini sebuah portal menyiarkan dapatan kajian yang mendakwa seseorang yang menghabiskan waktu lebih daripada 5 jam sehari di depan komputer akan menhgadapi masalah jantung dan menyebabkan mereka mati lebih awal. Punca utamanyanya ialah posisi duduk, terutamanya duduk bersandar, yang merupakan posisi umum ketika seseorang sedang bekerja menghadap komputer, bermain permainan video/komputer, ataupun ketika menonton televisyen.

Kajian tersebut dijalankan oleh Emmanuel Stamatakis dari University College London, Britain. Beliau melakukan penelitian terhadap lebih daripada 4.500 orang respondan yang berusia 35 tahun ke atas dan hasilnya diterbitkankan diJournal of the American College of Cardiology. Kajian ini menambah bukti-bukti terkumpul berkaitan dengan risiko dan bahaya duduk dalam jangka masa yang lama.

“Orang yang menghabiskan waktu lebih daripada 4 jam berturut-turut sehari di depan komputer/televisyen memiliki peluang 125 peratus lebih tinggi mati akibat penyakit jantung berbanding dengan mereka yang hanya menghabiskan waktu kurang daripada 2 jam di depan komputer/televisyen,” kata Stamatakis, seperti yang disiarkan dalam Examiner, 20 April 2011.

Kajian juga mendapati posisi duduk menyebabkan penurunan 90 peratus lipoprotein lipase dan enzim jantung yang sihat. Pembengkakan dan masalah metabolisme yang disebabkan oleh ketidakatifan dalam waktu panjang juga menjadi sumber permasalahan.

Antara solusi yang dicadangkan bagi mereka yang terpaksa bekerja di depan komputer sepanjang hari, “Anda harus bangun setiap 20 minit dan berjalan kaki sejenak. Pergerakan itu akan mengurangkan masalah-masalah yang timbul daripada duduk yang lama dan mungkin akan meningkatkan peluang anda untuk hidup lebih lama” kata Stamatakis.

Selasa, 21 Jun 2011

BaGaimana Matahari Terbit Dari Barat ?


Oleh: Khalid Yong, khalidyong@gmail.com

Sehingga ke hari ini maseh belum ada manusia yang dapat menjelaskan teori atau fenomena “Bagaimana Matahari Terbit dari Barat”. Fenomena ini diterima oleh saintis Barat dan mereka telah mengeluarkan pelbagai teori. Malah tidak kurang juga dengan saintis-saintis, ilmuan dan pemikir Islam yang memberi pandangan dan komen. Tidak semua teori dari Barat adalah betul, maka marilah kita sama-sama kembali kepada Al-Quran dan mengkaji bagaimana agaknya penjelasan Al-Quran.

Untuk kebaikan bersama, baik kita “melihat” sepintas lalu akan teori-teori Barat ini sebelum kita mengkaji teori Al-Quran agar kita dapat membuat penelitian dan perbandingan.

Barat mengemukakan 3 teori iaitu:
1) Teori-1: “retrograde motion” iaitu relatif peredaran bumi dengan planet lain seperti planet Marikh.
2) Teori-2: perlanggaran bumi dengan komet atau planet lain yang amat dahsyat sehingga menyebabkan bumi bertukar pusingan, dan
3) Teori-3: sebab keadaan bumi yang semakin hampir dengan matahari!
Ke tiga-tiga teori ini boleh dimuat turun dari kebanyakkan sesawang Internet (seperti www.Islamhadhari.net “Saintis Barat akui matahari akan terbit dari barat” pada Ogos 18, 2008). Di bawah ini adalah sedikit ringkasan dari petikan artikel di atas.

Fenomena ini terdapat di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, katanya, Rasulullah s.a.w telah bersabda (yang bermaksud).
“Tiga perkara, apabila zahir kesemuanya, tidak akan memberi manfaat iman seseorang itu. Sama ada yang tidak pernah beriman sebelum itu atau imannya tidak memberi kebaikan terhadap dirinya. (Iaitu) ketika matahari terbit dari arah barat, Dajjal dan Daabatul Ardh (sejenis makhluk dari dalam bumi).” (Riwayat Muslim)

Teori Al-Quran
Sekarang mari kita mengkaji teori Al-Quran “bagaimana matahari terbit dari barat”. Saya memilih dan mengkaji 7 ayat (mungkin ada banyak lagi ayat-ayat lain) yang saya fikirkan bagaimana Al-Quran menjelaskan tentang fenomena ini iaitu satu ayat pada surah Al-Qamar (54:1) (bermaksud) “Saat (hari Kiamat) semakin dekat, bulan pun merekah/terbelah” dan 6 ayat pada surah Al-Hijr (15:72-77) (bermaksud) (15:72) “Demi umur engkau, sesungguhnya mereka dalam keadaan mabuk dan kebingungan. (73) Lalu mereka disambar bunyi teriakan yang keras ketika matahari terbit. (74) Lalu Kami jadikan (negeri) mereka yang diatas jadi ke bawah (tertonggeng), dan Kami turunkan ke atas mereka hujan batu dari tanah yang keras. (75) Sesungguhnya pada yang demikian itu menjadi tanda-tanda agi orang-orang yang memerhati (mengkaji). (76) Dan sesungguhnya (negeri) itu maseh benar-benar terletak pada jalan yang maseh tetap (tidak musnah dan maseh dilalui orang. (77) Sesungguhnya pada yang demikian itu menjadi tanda bagi orang-orang yang beriman )” .

Mengikut kajian saya, Al-Quran menjelaskan matahari akan terbit dari barat apabila bumi sudah “tertonggeng” iaitu kutub utara menjadi kutub selatan dan kutub selatan menjadi kutub utara. “Proses tertonggeng” ini berlaku apabila bulan merekah dan memancarkan tenaga elektrik ke arah bumi, menyebabkan daya magnet bumi bertindakbalas dan berpusing secara perlahan-lahan. Tenaga elektro-magnet ini juga akan menyebabkan otak manusia menjadi bingung dan keliru. Selain dari tenaga elektro-magnet, rekahan bulan juga akan memuntahkan batu-batu keras serta mengeluarkan tenaga bunyi, yang kemudian sampai kebumi. Sebab itu manusia di bumi akan mendengar bunyi yang kuat, dan kemudian manusia akan dihujani oleh batu-batan.

Apabila bumi sudah tertonggeng, maka manusia dibumi akan dapat melihat matahari terbit dari barat.


Teori Quran Vs Teori Barat
Kalau di kaji dengan teliti, teori yang dijelaskan Al-Quran ini agak berbeza dari teori-teori barat. Yang pertama, Al-Quran menjelaskan bulan yang menyebabkan bumi bertukar arah. Al-Quran menunjukkan perkaitan yang erat dan rapat antara bumi dan bulan. Tetapi teori barat tidak ‘nampak’ pun peranan bulan dalam proses kejadian ini.
Yang ke-duanya, teori Al-Quran nampak lebih jelas dan mudah difahami, malah boleh dibuktikan melalui ujikaji makmal. Sedangkan teori barat tidak dapat diuji dalam makmal dan tidak menunjukkan keadaan matahari akan naik dari barat! Kalau berlaku perlanggaran yang teramat dahsyat (dengan komet yang besar), maka bumi akan hancur! Perlanggaran ‘kecil’ (seperti yang berlaku di Mexico) tidak akan dapat menukar putaran bumi. Lagi pun sekiranya komet melanggar bumi dari “arah yang salah” ianya mungkin akan menambah kelajuan pusingan yang ada sekarang misalkan dari 24 jam kepada 10 jam sahaja/hari. Sekiranya bumi berputar pada kelajuan ini, maka kelajuan objek yang berada pada permukaan equator (atau khatulistiwa) ialah kira-kira 4,000 km/sejam yang akan memusnahkan segala-galanya yang ada dipermukaan bumi seperti rumah, bangunan, tumbuhan, pohon kayu, dan manusia serta binatang-binatang akan berterbangan.

Lagi pun untuk membolehkan bumi perputar pada arah bertentangan, komet yang melanggar bumi mesti pergerak pada kelajuan lebih dari 2 kali kelajuan putaran bumi iaitu 3,300 km/jam (sekiranya saiz komet sama besar dengan saiz bumi), dan mesti melanggar bumi pada sudut dan lokasi yang tepat. Kalau ianya melanggar pada kutub utara, maka matahari tidak akan ‘terbit dari barat’.

Yang ke-tiga, teori Al-Quran adalah lebih tepat sebab tidak berlaku kerosakkan yang besar kepada makhluk di bumi. Sekiranya berlaku kemusnahan yang besar (misalnya bumi hancur), maka ini bermakna sudah “betul-betul kiamat” dan bukannya lagi “hampir kiamat”. Di dalam hadith di atas menjelaskan selepas matahari naik dari barat maka segala amalan dan taubat tidak diterima lagi, dan dajal akan turun ke bumi (ini menunjukkan manusia maseh lagi hidup di bumi, dan berjalan seperti biasa).

Tambahan pula Al-Quran menyatakan (15:76) manusia akan melihat jalan-jalan tetap tegak, nampak seperti biasa tanpa sebarang kerosakan, dan maseh boleh dilalui.

Ke-empat, penjelasan Al-Quran lebih menyeluruh dan dari teori barat. Ahli sains telah mendapati bahawa terdapat ‘2’ jenis permukaan bulan iaitu permukaan yang cerah (yang sentiasa mengadap bumi), dan permukaan gelap (yang sentiasa membelakangi bumi). Ke dua-dua permukaan ini mempunyai ciri-ciri yang berbeza yang amat ketara seperti warna, daya graviti, kandungan bahan-bahan, ketumpatan dan kemampatan, keradioaktifan, dan sebagainya. Oleh itu apabila bulan merekah ia akan merubah polar graviti, mengeluarkan tenaga elektromagnetik yang boleh menyebabkan daya graviti dan magnet bumi bertindak balas.

Kesimpulan
Al-Quran adalah kalam Tuhan dan kitab yang mengandungi pelbagai ilmu yang maha hebat dan menjelaskan segala-galanya. Fenomena matahari terbit dari barat dijelaskan Al-Quran dengan terperinci, jelas, dan saintifik. Penjelasan Al-Quran nampak lebih logik dan mudah difahami berbanding dengan teori-teori lain seperti dari Barat.

Ahad, 19 Jun 2011

kisah Wali Wanita AgunG- Rabia'ah Al-Adawiyah



“Orang yang cinta Allah itu hilang, dalam melihat Allah hingga lenyap dirinya, dan dia tidak boleh membezakan yang mana penderitaan dan yang mana kesenangan.”
Diambil dari buku yang ditulis oleh Farid Al-Din Attar
Rabi’ah Al-Adawiyah
Rabi’ah binti Ismail a-Adawiyah, berasal dari keluarga miskin. Dari kecil ia tinggal di Basrah. Di kota ini namanya sangat terkenal  sebagai seorang wanita solehah dan sebagai penceramah. Dia sangat dihormati oleh orang-orang soleh semasanya. Tarikh kematiannya terdapat berbagai pendapat: tahun 135H/752M atau tahun 185H/801M.
Rabi’ah al-Adawiyah yang seumur hidupnya tidak pernah berkahwin dianggap mendapat pahala yang besar dalam memperkenalkan cinta Allah ke dalam mistisme Islam. Orang-orang mengatakan bahawa ia dikuburkan berhampiran kota Jerussalem.
Rabi’ah lahir dan masa kanak-kanaknya
Jika engkau bertanya: “Mengapa engkau menyamakan Rabi’ah dengan kaum lelaki?” Maka jawabku adalah bahawa Nabi sendiri pernah berkata: “Sesungguhnya Allah tidak memandang rupa kamu: dan yang menjadi masalah bukanlah bentuk, tetapi niat seperti yang dikatakan Nabi, “Manusia-manusia akan dimuliakan sesuai dengan niat di dalam hati mereka.” Selanjutnya, apabila kita boleh menerima dua pertiga ajaran agama dari Aisyah, maka sudah tentu kita boleh pula menerima petunjuk-petunjuk agama dari pelayan peribadinya itu. Apabila seorang perempuan berubah menjadi “seorang lelaki” pada jalan Allah, maka ia adalah sama dengan kaum lelaki dan kita tidak dapat menyebutnya sebagai seorang perempuan lagi.
Pada malam Rabi’ah dilahirkan ke dunia, tidak ada sesuatu barang berharga yang berada di dalam rumah orang tuanya, kerana ayahnya adalah seorang yang sangat miskin. Ayahnya tidak mempunyai minyak barang setitis pun untuk membersihkan pusat puterinya itu. Mereka tidak mempunyai lampu dan tidak mempunyai kain untuk menyelimuti Rabi’ah. Ayahnya telah memperoleh tiga orang puteri dan Rabi’ah adalah puterinya yang keempat. Itulah sebabnya mengapa ia dinamakan Rabi’ah.
“Pergilah kepada jiran kita dan mintalah sedikit minyak untuk menyalakan lampu,” isterinya berkata.
Tetapi si suami telah bersumpah bahawa ia tidak akan meminta sesuatu jua pun dari manusia lain. Maka ia berpura-pura menyentuhkan tangannya ke pintu rumah tetangga tersebut lalu kembali ke rumahnya.
“Mereka tidak mahu membukakan pintu,” ia memberitahu kepada isterinya apabila sesampainya di rumah.
Isterinya yang malang menangis sedih. Dlam keadaan yang serba menyedihkan itu si suami hanya dapat menundukkan kepala ke atas lutut dan terlena. Di dalam tidurnya ia bermimpi melihat Nabi.
Nabi memujuknya: “Jangan engkau bersedih, kerana bayi perempuan yang baru dilahirkan itu adalah ratu wanita dan akan menjadi penengah bagi 70 ribu orang di antara kaumku.” Kemudian Nabi meneruskan: “Esok, pergilah engkau menemui ‘Isa az-Zadan, Gabenor Basrah. Di atas sehelai kertas, tuliskan kata-kata seperti ini: “Setiap malam engkau mengirimkan selawat seratus kali kepadaku, dan setiap malam Jumaat empat ratus kali. Semalam adalah malam Jumaat tetapi engkau lupa melakukannya. Sebagai penebus kelalaianmu itu berikanlah kepada orang ini empat ratus dinar yang telah engkau dapati secara halal.”
Ketika terjaga dari tidurnya, ayah Rabi’ah menangis. Ia pun bangun dan menulis seperti yang telah dipesankan oleh Nabi kepadanya dan mengirimkannya kepada gabenor melalui pengurus rumahtangga di istana.
“Berikanlah dua ribu dinar kepada orang miskin,” gabenor memberikan perintah setelah membaca surat tersebut. “Sebagai tanda syukur kerana Nabi masih ingat kepadaku. Kemudian berikan  empat ratus dinar kepada syeikh itu dan katakan padanya: “Aku harap engkau datang kepadaku sehingga aku dapat melihat wajahmu. Namun tidaklah elok bagi seorang seperti kamu untuk datang menghadapku. Lebih baik seandainya akulah yang datang kepadamu. Walaupun demikian, demi Allah, aku bermohon kepadamu, apapun yang engkau perlukan katakanlah kepadaku.”
Ayah Rabi’ah menerima wang emas tersebut dan membeli keperluannya.
Ketika Rabi’ah semakin membesar, sedang ayah bondanya telah meninggal dunia, bencana kelaparan melanda kota Basrah, dan ia terpisah dari kakak-kakak perempuannya. Suatu hari ketika Rabi’ah keluar rumah, seorang penjahat menangkapnya kemudian menjualnya dengan harga enam dirham. Orang yang membeli dirinya menyuruh Rabi’ah mengerjakan pekerjaan-pekerjaan yang berat.
Pada suatu hari ketika berjalan-jalan, seorang yang tidak dikenali datang menghampirinya. Rabi’ah melarikan diri, tiba-tiba ia terjatuh tergelincir sehingga tangannya terkehel.
Rabi’ah menangis sambil menghantuk-hantukkan kepalanya ke tanah: “Ya Allah, aku adalah seorang asing di negeri ini, tidak mempunyai ayah bonda, seorang tawanan yang tidak berdaya, sedang tanganku cedera. Namun semua itu tidak membuatku bersedih hati. Satu-satunya yang kuharapkan adalah dapat memenuhi kehendak-Mu dan mengetahui apakah Engkau berkenan atau tidak.”
“Rabi’ah, janganlah engkau berduka,” sebuah suara berkata kepadanya. “Di kemudian hari nanti engkau akan dimuliakan sehingga malaikat-malaikat iri kepadamu.”
Rabi’ah kembali ke rumah tuannya. Di siang hari ia terus berpuasa dan mengabdikan diri kepada Allah, sedang di malam hari ia berdoa kepada Allah sambil terus berdiri sepanjang malam.
Pada suatu malam tuannya terjaga dari tidur, apabila dia lalu di tepi tingkap dan terlihat olehnya Rabi’ah sedang bersujud dan berdoa kepada Allah.
“Ya Allah, Engkau tahu bahawa hasrat hatiku adalah untuk dapat memenuhi perintah-Mu dan mengabdikan diri kepada-Mu. Jika aku tidah mengubah nasib diriku ini, nescaya aku tidak akan beristirehat barang sebentar pun dari mengabdikan diri kepada-Mu. Tetapi Engkau telah menyerahkan diriku ke bawah kekuasaan seorang hamba-Mu.” Demikianlah kata-kata yang diucapkan Rabi’ah di dalam doanya itu.
Dengan mata kepalanya sendiri majikannya menyaksikan betapa sebuah lampu tergantung tanpa tali di atas kepala Rabi’ah sedang cahayanya menerangi seluruh rumah. Menyaksikan peritiwa ini, ia merasa takut. Ia lalu pergi ke bilik tidurnya dan duduk termenung sehingga subuh. Ketika hari telah terang ia memanggil Rabi’ah, bersikap lembut kepadanya kemudian membebaskannya.
“Izinkanlah aku pergi,” Rabi’ah berkata.
Tuannya membebaskannya. Rabi’ah lalu meninggalkan rumah tuannya menuju ke padang pasir untuk mengadakan perjalanan menuju ke sebuah pertapaan untuknya mengabdikan diri kepada Allah.
Kemudian ia berniat untuk menunaikan ibadah haji. Maka ia pun berangkat menempuh padang pasir kembali. Barang-barang miliknya diletak di atas punggung keldai. Tetapi apabila sampai di tengah-tengah padang pasir, keldai itu mati.
“Biarlah kami yang membawa barang-barangmu.” Lelaki-lelaki di dalam rombongan itu menawarkan jasa mereka.
“Tidak! Teruskanlah perjalanan kalian,” jawab Rabi’ah. “Bukan tujuanku untuk menjadi beban kalian.”
Rombongan itu meneruskan perjalanan dan meninggalkan Rabi’ah seorang diri.
“Ya Allah,” Rabi’ah berseru sambil menengadahkan kepala. “Demikiankah caranya raja-raja memperlakukan seorang wanita yang tidak berdaya di tempat yang masih asing baginya? Engkau telah memanggilku ke rumah-Mu, tetapi di tengah perjalanan engkau membunuh keldaiku dan meninggalkanku sebatang kara di tengah padang pasir ini.”
Belum lagi Rabi’ah selesai dengan kata-katanya ini, tanpa diduga-duga keldai itu terus berdiri. Rabi’ah meletakkan barang-barangnya ke atas punggung binatang itu dan meneruskan perjalanannya. (Tokoh yang meriwayatkan kisah ini mengatakan bahawa tidak berapa lama setelah peristiwa itu, ia melihat keldai kecil tersebut sedang dijual di pasar.)
Beberapa hari lamanya Rabi’ah meneruskan  perjalanannya menempuh padang pasir, sebelum ia berhenti, ia berseru kepada Allah: “Ya Allah, aku sudah letih. Ke arah manakah yang harus kutuju? Aku ini hanyalah segumpal tanah sedangkan rumah-mu dibuat dari batu. Ya Allah, aku bermohon kepada-Mu, tunjukkanlah diri-Mu.”
Allah berkata ke dalam sanubari Rabi’ah: “Rabi’ah, engkau sedang berada di atas sumber kehidupan lapan belas ribu dunia. Tidakkah engkau ingat betapa Musa telah bermohon untuk melihat wajah-Ku dan gunung-gunung terpecah-pecah menjadi empat puluh keping. Kerana itu merasa cukuplah engkau dengan nama-Ku sahaja!”
Rabi’ah dengan pencuri
Pada suatu malam ketika Rabi’ah sedang solat di sebuah pertapaan, ia merasa sangat letih sehingga ia jatuh tertidur. Sedemikian nyenyak tidurnya sehingga ketika matanya berdarah tertusuk alang-alang dari tikar yang ditidurnya, ia sama sekali tidak menyedarinya.
Seorang pencuri masuk menyelinap ke dalam pertapaan itu dan mengambil cadar Rabi’ah. Ketika hendak keluar dari tempat itu didapatinya bahawa jalan keluar telah tertutup. Dilepaskannya cadar itu dan ditinggalkannya tempat itu dan ternyata jalan keluar telah terbuka kembali. Cadar Rabi’ah diambilnya lagi, tetapi jalan jalan keluar tertutup kembali. Sekali lagi dilepaskannya cadar itu. Tujuh kali perbuatan seperti itu diulanginya. Kemudian terdengarlah oleh sebuah suara dari sudut pertapaan itu.
“Hai manusia, tiada gunanya engkau mencuba-cuba. Sudah bertahun-tahun Rabi’ah mengabdikan kepada Kami. Syaitan sendiri tidak berani datang menghampirinya. Jadi betapakah seorang pencuri memiliki keberanian hendak mencuri cadarnya? Pergilah dari sini hai manusia jahanam! Tiada gunanya engkau mencuba-cuba lagi. Jika seorang sahabat sedang tertidur maka Sang Sahabat bangun dan menjaganya.”
Rabi’ah dengan roti untuk tetamu
Dua orang pemuka agama datang mengunjungi Rabi’ah dan keduanya merasa lapar. “Mudah-mudahan Rabi’ah akan memberikan makanan kepada kita,” mereka berkata. “Makanan yang diberikan oleh Rabi’ah pasti diperolehi secara halal.”
Ketika mereka duduk, di depan mereka telah terhampar safrah dan di atasnya ada dua potong roti. Melihat hal itu mereka sangat gembira. Tetapi di saat itu pula seorang pengemis datang dan Rabi’ah memberikan kedua potong roti itu kepadanya. Kedua pemuka agama itu sangat kecewa, namun mereka tidak berkata apa-apa. Tidak berapa lama kemudian masuklah seorang pelayan wanita membawakan beberapa buah roti yang masih panas.
“Majikanku telah menyuruhku menghantarkan roti-roti ini kepadamu,” pelayan itu menjelaskan.
Rabi’ah mengira-ngira roti tersebut. Semua berjumlah lapan belas potong.
“Mungkin roti-roti ini bukan untukku,” Rabi’ah berkata.
Pelayan itu berusaha meyakinkan Rabi’ah namun sia-sia saja. Akhirnya roti-roti itu dibawanya kembali. Sebenarnya apa yang telah terjadi adalah bahawa pelayan itu telah mengambil dua potong untuk dirinya sendiri. Ia meminta dua potong lagi kepada majikannya kemudian ia kembali ke tempat Rabi’ah. Roti-roti itu dikira oleh Rabi’ah, ternyata semuanya ada dua puluh potong dan setelah itu barulah ia mahu menerimanya.
“Roti-roti ini memang telah dikirim oleh majikanmu untukku,” kata Rabi’ah.
Kemudian Rabi’ah memberikan roti-roti tersebut kepada kedua tetamunya tadi. Keduanya makan namun masih dalam keadaan hairan.
“Apakah rahsia di sebalik semua ini?” Mereka bertanya kepada Rabi’ah. “Kami ingin memakan rotimu sendiri tetapi engkau memberikannya kepada seorang pengemis. Kemudian engkau mengatakan kepada pelayan tadi bahawa kelapan belas roti itu bukan dimaksudkan untukmu. Tetapi kemudian ketika semuanya berjumlah dua puluh potong barulah engkau mahu menerimanya.”
Rabi’ah menjawab: “Sewaktu kamu datang, aku tahu bahawa kamu sedang lapar. Aku berkata kepada diriku sendiri, betapa aku menawarkan untuk memberikan dua potong roti kepada dua orang pemuka yang terhormat? Itulah sebabnya mengapa ketika pengemis tadi datang, aku segera memberikan dua potong roti itu kepadanya dan berkata kepada Allah Yang Maha Besar, “Ya Allah, Engkau telah berjanji bahawa Engkau akan memberikan ganjaran sepuluh kali dan janji-Mu itu kupegang teguh. Kini telah kusedekahkan dua potong roti untuk menyenangkan-Mu, semoga Engkau berkenan untuk memberikan dua puluh potong sebagai imbalannya. Ketika kelapan belas potong roti itu dihantarkan kepadaku, tahulah aku bahawa sebahagian darinya telah dicuri atau roti-roti itu bukan untuk disampaikan kepadaku.”
Rabi’ah dengan sup bawang
Pada suatu hari pelayan wanita Rabi’ah hendak memasak sup bawang kerana telah beberapa lamanya mereka tidak memasak makanan. Ternyata mereka tidak mempunyai bawang. Pelayannya berkata kepada Rabi’ah: “Aku hendak meminta bawang kepada tetangga sebelah.”
Tetapi Rabi’ah melarang: “Telah empat puluh tahun aku berjanji kepada Allah tidak akan meminta sesuatu pun kecuali kepada-Nya. Lupakanlah bawang itu.”
Setelah Rabi’ah berkata demikian, seekor burung meluncur dari angkasa, membawa bawang yang telah terkupas di paruhnya, lalu menjatuhkan ke dalam belanga.
Menyaksikan peristiwa itu Rabi’ah berkata: “Aku takut jika semua ini adalah seperti tipu muslihat.”
Rabi’ah tidak mahu menyentuh sup bawang tersebut. Hanya roti sajalah yang dimakannya.
Rabi’ah dengan binatang liar yang jinak
Pada suatu hari Rabi’ah pergi ke gunung. Ia segera dikerumuni oleh sekawan rusa, kambing hutan, ibeks (sebangsa kambing hutan yang bertanduk panjang) dan keldai-keldai liar. Binatang-binatang ini menatap Rabi’ah dan hendak menghampirinya. Tanpa disangka-sangka Hasan al-Basri datang pula ke tempat itu. Ketika melihat Rabi’ah, ia segera datang menghampirinya. Tetapi setelah melihat kedatangan Hasan, binatang-binatang tadi lari ketakutan dan meninggalkan Rabi’ah. Hal ini membuat Hasan kecewa.
“Mengapakah binatang-binatang itu menghindari dari diriku sedang mereka begitu jinak terhadapmu?” Hasan bertanya kepada Rabi’ah.
“Apakah yang telah engkau makan pada hari ini?” Rabi’ah balik bertanya.
“Sup bawang.”
“Engkau telah memakan lemak binatang-binatang itu. Tidak menghairankan jika mereka lari ketakutan melihatmu.”
Rabi’ah menegur Hasan
Di hari lain, Rabi’ah melalui hadapan rumah Hasan. Ketika itu Hasan termenung di jendela. Ia sedang menangis dan air matanya menitis jatuh mengenai pakaian Rabi’ah. Mula-mula Rabi’ah mengira hujan turun, tetapi setelah ia melihat ke atas dan terlihat olehnya Hasan, sedarlah ia bahawa yang jatuh menitis itu adalah air mata Hasan.
“Guru, menangis adalah petanda dari kelesuan rohani.” Ia berkata kepada Hasan. “Tahanlah air matamu. Jika tidak, di dalam dirimu akan menggelora samudera sehingga engkau tidak dapat mencari dirimu sendiri kecuali pada seorang  Raja Yang Maha Perkasa.”
Teguran itu tidak sedap didengar oleh Hasan, namun ia tetap menahan diri. Di belakang hari ia bertemu degan Rabi’ah di tepi sebuah danau. Hasan menghamparkan sejadahnya di atas air dan berkata kepada Rabi’ah, “Rabi’ah, marilah kita melakukan solat dua rakaat di atas air!”
Rabi’ah menjawab: “Hasan, jika engkau memperlihatkan karamah-karamahmu di tempat ramai ini, maka karamahmu itu haruslah yang tidak dimiliki oleh orang-orang lain.”
Sesudah berkata begitu Rabi’ah melemparkan sejadahnya ke udara, kemudian ia melompat ke atasnya dan berseru kepada Hasan: “Naiklah ke mari Hasan agar orang-orang dapat menyaksikan kita.”
Hasan yang belum mencapai kepandaian seperti itu tidak dapat berkata apa-apa. Kemudian Rabi’ah cuba menghiburkannya dan berkata: “Hasan, yang engkau lakukan tadi dapat pula dilakukan oleh seekor ikan dan yang kulakukan tadi dapat pula dilakukan oleh seekor lalat. Yang Terpenting bukanlah kemahiran-kemahiran seperti itu. Kita harus  mengabdikan diri kepada Hal-hal Yang Terpenting itu.”
Rabi’ah dengan lampu
Pada suatu malam Hasan beserta dua tiga orang sahabatnya berkunjung ke rumah Rabi’ah. Tetapi rumah itu gelap, tiada berlampu. Mereka merasa senang seandainya pada ketika itu ada lampu. Maka Rabi’ah meniup jari tangannya. Sepanjang malam itu hingga fajar, jari Rabi’ah memancarkan cahaya terang benderang bagaikan lampu dan mereka duduk di dalam cahaya.
Jika ada seseorang yang bertanya: “Bagaimanakah hal seperti itu boleh terjadi?” Maka jawapanku adalah: “Persoalannya adalah sama dengan tangan Musa.” Jika ia kemudian menyangkal: “Tetapi Musa adalah seorang Nabi!” Maka jawapanku: “Barangsiapa yang mengikuti jejak Nabi akan mendapatkan sedikit kenabian, seperti yang pernah disabdakan oleh Nabi Muhammad sendiri.”
“Barangsiapa menolak harta benda yang tidak diperolehi secara halal, walaupun harganya satu sen, sesungguhnya ia telah mencapai suatu tingkai kenabian.” Nabi Muhammad juga pernah berkata: “Sebuah mimpi yang benar adalah satu perempat puluh dari kenabian.”
Nasihat Rabi’ah
Pada suatu ketika Rabi’ah mengirimkan sepotong lilin, sebuah jarum dan sehelai rambut kepada Hasan, dengan pesanan, “Hendaklah engkau seperti sepotong lilin, sentiasa menerangi dunia walaupun diri sendiri terbakar, Hendaklah engkau menjadi sebuah jarum, sentiasa berbakti walaupun tidak memiliki apa-apa. Apabila kedua hal  itu telah engkau lakukan maka bagimu seribu tahun hanyalah seperti rambut ini.”
“Apakah engkau mengkehendaki agar kita berkahwin?” tanya Hasan kepada Rabi’ah.
“Tali perkahwinan hanyalah untuk orang-orang yang memiliki keakuan. Di sini keakuan telah hilang, telah menjadi tiada dan hanyalah ada melalui Dia. Aku adalah milik-Nya. Aku hidup di bawah naungan-Nya. Engkau harus melamar diriku daripada-Nya, buka secara langsung kepada diriku sendiri.”
“Bagaimanakah engkau telah bertemu dengan rahsia ini, Rabi’ah?” tanya Hasan.
“Aku lepaslah segala yang telah kuperolehi kepada-Nya,” jawab Rabi’ah.
“Bagaimana engkau telah dapat mengenal-Nya?”
“Hasan, engkau lebih suka bertanya, tetapi aku lebih suka menghayati,” jawab Rabi’ah.
Rabi’ah menasihati orang sakit
Suatu hari Rabi’ah bertemu dengan seseorang yang kepalanya dibalut.
“Mengapa engkau membalut kepalamu?” tanya Rabi’ah.
“Kerana aku merasa pening,” jawab lelaki itu.
“Berapa umurmu?” Rabi’ah bertanya lagi.
“Tiga puluh tahun,” jawabnya.
“Apakah engkau banyak menderita sakit dan merasa susah di dalam hidupmu?”
“Tidak,” jawabnya lagi.
“Selama tiga puluh tahun engkau menikmati hidup yang sihat, engkau tidak pernah mengenakan selubung kesyukuran, tetapi baru malam ini saja kepalamu terasa sakit engkau telah mengenakan selubung keluh kesah,” kata Rabi’ah.
Rabi’ah mengirim selimut
Suatu hari Rabi’ah menyerahkan wang empat dirham kepada seorang lelaki.
“Belikanku sehelai selimut kerana aku tidak mempunyai pakaian lagi,” kata Rabi’ah.
Lelaki itu pun pergi, tetapi tidak lama kemudian ia kembali dan bertanya kepada Rabi’ah: “Selimut berwarna apakah yang harus kubeli?”
“Apa peduliku dengan warna? Pulangkan wang itu kepadaku kembali,” Rabi’ah berkata.
Rabi’ah dengan keasyikannya
Suatu hari di musim bunga, Rabi’ah memasuki tempat tinggalnya, kemudian menjenguk keluar kerana pelayannya berseru: “Ibu, keluarlah dan saksikanlah apa yang telah dilakukan oleh Allah Maha Pencipta.”
“Lebih baik engkaulah yang masuk ke mari,” Rabi’ah menjawab, “Dan saksikanlah Allah Pencipta itu sendiri. Aku sedemikian asyik menatap Allah Yang Maha Pencipta sehingga aku tidak menghiraukan lagi terhadap ciptaan-ciptaan-Nya.”
Rabi’ah memotong daging
Beberapa orang datang mengunjungi Rabi’ah dan menyaksikan ia sedang memotong seketul daging dengan giginya.
“Apakah engkau tidak mempunyai pisau untuk memotong daging itu? Mereka bertanya.
“Aku tidak pernah menyimpan pisau di dalam rumah ini kerana takut terluka,” jawab Rabi’ah.
Rabi’ah berpuasa
Rabi’ah berpuasa selama seminggu. Sepanjang berpuasa itu ia tidak makan dan tidak tidur. Setiap malam ia asyik mengerjakan solat dan berdoa. Lapar yang dirasakannya sudah tidak tertahan lagi. Seorang tetamu masuk ke rumah Rabi’ah membawa semangkuk makanan. Rabi’ah menerima makanan itu. Kemudian ia pergi mengambil lampu. Ketika itu ternyata seekor kucing telah melanggar mangkuk itu.
“Akan kuambil sekendi air dan aku akan berbuka puasa,” Rabi’ah berkata.
“Ketika ia kembali dengan sekendi air ternyata lampu telah padam. Ia hendak meminum air itu dalam kegelapan tetapi kendi itu terlepas dari tangannya dan jatuh, pecah bertaburan. Rabi’ah meratap dan mengeluh sedemikian menyayat hati seolah-olah sebahagian rumahnya telah dimakan api.
Rabi’ah menangis: “Ya Allah, apakah yang telah Engkau perbuat terhadap hamba-Mu yang tidak berdaya ini?”
“Berhati-hatilah Rabi’ah,” sebuah seruan terdengar di telinganya. “Janganlah engkau sampai mengharapkan bahawa Aku akan memberikan semua kenikmatan dunia kepadamu sehingga pengabdianmu kepada-Ku lenyap dalam hatimu. Pengabdian kepada-Ku dan kenikmatan-kenikmatan dunia tidak dapat dipadukan di dalam satu hati. Rabi’ah, engkau menginginkan suatu hal sedang Aku menginginkan hal yang lain. Hasrat-Ku dan hasratmu tidak dapat dipadukan di dalam satu hati.”
Setelah mendengar celaan ini, Rabi’ah berkata: “Kulepaskan hatiku dari dunia dan kubuang segala keinginan dalam hatiku sehingga selama tiga puluh tahun yang terakhir ini, apabila melakukan solat, maka aku menganggapnya sebagai solatku yang terakhir.”
Rabi’ah diuji lelaki
Beberapa orang mengunjungi Rabi’ah untuk mengujinya. Mereka ingin memerangkap Rabi’ah dengan mengucapkan kata-kata yang tidak difikirkannya terlebih dahulu.
“Segala macam kebajikan telah dibahagikan kepada setiap kaum lelaki. Mahkota kenabian telah diletakkan di kepala kaum lelaki. Tali kebangsawanan telah diikatkan di pinggang kaum lelaki. Tidak ada seorang perempuan pun yang telah diangkat oleh Allah menjadi Nabi,” mereka berkata.
“Semua ini memang benar. Tetapi kesombongan, memuja diri sendiri dan ucapan: “Bukankah aku Tuhanmu Yang Maha Tinggi” tidak pernah bertapak di dalam dada perempuan. Dan tidak ada seorang perempuan pun yang menghitung. Semua ini adalah bahagian kaum lelaki.”
Rabi’ah sakit tenat
Ketika Rabi’ah menderita sakit yang tenat, ditanya kepadanya apakah penyebab penyakitnya itu.
“Aku telah melihat syurga dan Allah telah menghukum diriku,” jawab Rabi’ah.
Kemudian Hasan al-Basri datang untuk mengunjungi Rabi’ah.
“Aku mendapati salah seorang pemuka kota Basrah berdiri menunggu di pintu pertapaan Rabi’ah. Ia hendak memberikan sebekas emas kepada Rabi’ah dan ia menangis. Aku bertanya kepadanya: “Mengapakah engkau menangis?” Jawabnya: “Aku menangis kerana wanita solehah zaman ini. Kerana jika berkah hidupnya tidak ada lagi, celakalah umat manusia. Aku telah membawakan wang sekadar untuk membiayai perawatannya tetapi aku khuatir kalau-kalau Rabi’ah tidak mahu menerimanya. Pujuklah Rabi’ah agar ia mahu menerima wang ini.”
Maka masuklah Hasan ke dalam pertapaan Rabi’ah dan memujuknya untuk menerima wang itu. Rabi’ah memandang Hasan dan berkata, “Dia telah menafkahi orang-orang yang menghujah-Nya. Apakah Dia tidak akan menafkahi orang-orang yang mencintai-Nya?” Sejak aku mengenal-Nya, aku telah berpaling dari manusia ciptaan-Nya. Aku tidak tahu apakah kekayaan seseorang itu halal atau tidak, maka betapakah aku dapat menerima pemberiannya? Pernah aku menjahit pakaian yang koyak dengan diterangi lampu dunia. Beberapa saat hatiku lalai tetapi akhirnya akupun sedar. Pakaian itu kukoyak semula kepada bahagian-bahagian yang telah kujahit itu dan hatiku menjadi lega. Mintalah kepadanya agar ia tidak membuat hatiku lalai lagi.”
Rabi’ah yang sakit menerima kunjungan sahabat
Abdul Wahid Amir mengisahkan bahawa ia bersama Sufyan ats-Tsauri menziarahi Rabi’ah ketika sakit tetapi kerana segan mereka tidak berani menegurnya.
“Engkaulah yang berkata,” kataku kepada Sufyan.
“Jika engkau berdoa nescaya penderitaanmu ini akan hilang.”
Rabi’ah menjawab: “Tidakkah engkau tahu siapa yang menhendaki aku menderita seperti ini? Bukankah Allah?”
“Ya,” Sufyan membenarkan.
“Betapa mungkin, engkau menyuruhku untuk memohon hal yang bertentangan dengan kehendak-Nya? Bukankah tidak baik apabila kita menentang Sahabat kita sendiri?”
“Apakah yang engkau inginkan, Rabi’ah?” Sufyan bertanya pula.
“Sufyan, engkau adalah seorang yang terpelajar! Tetapi engkau bertanya demikian? Demi kebesaran Allah telah dua belas tahun lamanya aku menginginkan buah kurma segar. Engkau tentu tahu bahawa di kota Basrah buah kurma sangat murah harganya, tetapi hingga saat ini aku tidak pernah memakannya. Aku ini hanyalah hamba-Nya dan apakah hak seorang hamba untuk menginginkan sesuatu? Jika aku menginginkan sesuatu sedang Allah tidak menginginkannya, maka kafirlah aku. Engkau harus menginginkan segala sesuatu yang diinginkan-Nya semata-mata agar engkau dapat menjadi hamba-Nya yang sejati. Tetapi lainlah persoalannya jika Tuhan sendiri memberikannya.”
Sufyan terdiam. Kemudian ia berkata kepada Rabi’ah: “Kerana aku tidak dapat berbicara tentang dirimu, maka engkaulah yang berbicara tentang diriku.”
“Engkau adalah manusia yang baik kecuali dalam satu hal: Engkau mencintai dunia. Engkau pun suka membacakan hadis-hadis.” Yang terakhir ini dikatakan Rabi’ah dengan maksud bahawa membacakan hadis-hadis tersebut adalah suatu perbuatan yang mulia.
Sufyan merasa sangat susah hati dan memohon: “Ya Allah, kasihilah aku!”
Tetapi Rabi’ah mencelanya dengan berkata: “Tidak malukah engkau mengharapkan kasih Allah sedangkan engkau sendiri tidak mengasihi-Nya?”
Rabi’ah menasihati Malik bin Dinar
Malik bin Dinar mengisahkan sebagai berikut: Ketika mengunjungi Rabi’ah, kulihat dia menggunakan gayung pecah untuk minum dan bersuci, sehelai tikar dan sebiji batu-bata yang kadang-kadang digunakannya sebagai bantal. Menyaksikan semua itu hatiku menjadi sedih.
“Aku mempunyai ramai kawan yang kaya, jika engkau menghendaki sesuatu akan kumintakan kepada mereka,” aku berkata kepada Rabi’ah.
“Malik, engkau telah melakukan kesalahan yang besar. Bukankah yang menafkahi aku dan yang menafkahi mereka adalah satu?’ soal Rabi’ah.
“Ya,” jawabku.
“Apakah yang memberi kepada orang-orang miskin itu lupa kepada orang-orang miskin kerana kemiskinan mereka? Dan apakah Dia ingat kepda orang-orang yang kaya kerana kekayaan mereka?” tanya Rabi’ah.
“Tidak,” jawabku.
“Jadi, kerana Dia mengetahui keadaanku, bagaimanakah aku harus mengingatkan-Nya? Beginilah yang dikehendaki-Nya, dan aku menghendaki seperti yang dikehendaki-Nya,” Rabi’ah menerangkan lagi.
Rabi’ah dengan ucapan-ucapan sahabatnya
Pada suatu hari, Hasan al-Basri, Malik bin Dinar dan Syaqiq al-Balkhi mengunjungi Rabi’ah yang sedang terbaring dalam keadaan sakit.
“Seorang manusia tidak dapat dipercayai kata-katanya jika ia tidak tabah menanggung ujian dari Allah,” kata Hasan memulai percakapannya.
“Kata-katamu itu menunjukkan engkau seorang yang ego,” Rabi’ah membalas.
Kemudian giliran Syaqiq pula berkata: “Seorang manusia itu tidak dapat dipercayai kata-katanya jika ia tidak bersyukur atas pemberian Allah.”
“Ada perkara yang lebih baik daripada itu,” jawab Rabi’ah.
Malik bin Dinar pula berkata: “Seorang manusia tidak dapat dipercayai kata-katanya jika ia tidak merasa bahagia ketika menerima ujian Allah.”
“Masih ada yang lebih baik daripada itu,” Rabi’ah mengulangi jawapannya.
“Jika demikian, katakanlah kepada kami,” mereka mendesak Rabi’ah.
Maka Rabi’ah berkata: “Seorang manusia tidak dapat dipercayai kata-katanya jika ia tidak lupa kepada ujian dari Allah, ketika ia merenungkan-Nya.”
Rabi’ah dengan seorang cendikiawan
Seorang cerdik pandai yang  terkemuka di kota Basrah mengunjungi Rabi’ah yang sedang terbaring sakit. Sambil duduk di sisi Rabi’ah ia mencaci maki dunia.
Rabi’ah berkata kepadanya: “Sesungguhnya engkau sangat mencintai dunia ini, Jika engkau tidak mencintai dunia tentu engkau tidak akan menyebut-nyebutnya berulangkali seperti ini. Seorang pembelilah yang sentiasa mencela barang-barang yang hendak dibelinya. Jika engkau tidak merasa berkepentingan dengan dunia ini tentulah engkau tidak akan memuji-muji atau memburuk-burukkannya. Engkau menyebut-nyebut dunia ini seperti kata peribahasa, barangsiapa mencintai sesuatu hal maka ia sering menyebut-nyebutnya.”
Saat Rabi’ah meninggal dunia
Ketika tiba saatnya Rabi’ah harus meninggalkan dunia fana’ ini, orang-orang yang menziarahinya meninggalkan kamarnya dan menutup pintu kamar itu dari luar. Setelah itu mereka mendengar suara yang berkata: “Wahai jiwa yang damai, kembalilah kepada Tuhanmu dengan berbahagia.”
Beberapa saat kemudian tidak ada lagi suara yang terdengar dari kamar Rabi’ah. Mereka lalu membuka pintu kamar itu dan mendapatkan Rabi’ah telah meninggal dunia.
Setelah Rabi’ah meninggal dunia, ada yang bertemu dengannya dalam sebuah mimpi. Kepadanya ditanyakan.
“Bagaimanakah engkau menghadapi Munkar dan Nakir?”
Rabi’ah menjawab: “Kedua malaikat itu datang kepadaku dan bertanya: “Siapakah Tuhanmu?” Aku menjawab: “Pergilah kepada Tuhanmu dan katakan kepada-Nya: “Di antara beribu-ribu makhluk yang ada, janganlah Engkau melupakan seorang wanita tua yang lemah. Aku hanya memiliki Engkau di dunia yang luas, tidak pernah lupa kepada-Mu, tetapi mengapakah Engkau mengirimkan utusan sekadar menanyakan “Siapakah Tuhanmu” kepadaku?”
Doa-doa Rabi’ah
“Ya Allah, apa pun yang akan Engkau kurniakan kepadaku di dunia ini, berikanlah kepada musuh-musuh-mu, dan apa pun yang akan Engkau kurniakan kepadaku di akhirat nanti, berikanlah kepada sahabat-sahabat-Mu, kerana Engkau sendiri cukuplah bagiku.”
“Ya Allah, jika aku menyembah-Mu kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalam neraka; dan jika aku menyembah-Mu kerana mengharapkan syurga, campakkanlah aku dari dalam syurga; tetapi jika aku menyembah-Mu demi Engkau semata, jangan Engkau enggan memperlihatkan keindahan wajah-Mu yang abadi kepadaku.”
“Ya Allah, segala jerih payahku dan semua hasratku di antara segala kesenangan dunia ini adalah untuk mengingati Engkau. Dan di akhirat nanti, di antara segala kesenangan akhirat, adalah untuk berjumpa dengan-Mu. Begitulah halnya diriku, seperti yang telah kukatakan. Kini, perbuatlah seperti yang Engkau kehendaki.”

Amalan dalam Bulan Rejab - aku petik drp baitulummah


Sabda Nabi saw “Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Sya’aban bulanku & bulan Ramadhan bulan umatku“. Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya, Sya’aban dengan malam NISFUnya Ramadhan dengan LAILATUL-QADARnya. REJAB bulan menabur benih. SYA’ABAN bulan menyiram tanaman. RAMADHAN bulan menuai. REJAB menyucikan badannya. SYA’ABAN menyucikan hatinya. RAMADHAN menyucikan rohnya. REJAB bulan taubat. SYA’ABAN bulan muhibbah. RAMADHAN dilimpahi pahala amalan.
Dari segi bahasa : Rejab makna menghormati dan memuliakan.
Dinamakan bulan Rejab kerana orang-orang jahiliyah dahulu menghormati dan memuliakan bulan ini dengan mengharamkan peperangan dalam bulan ini.
Bulan Rejab merupakan salah satu bulan dari 12 bulan-bulan Islam dan ia merupakan salah satu dari 4 bulan ‘Haram’ didalam Islam. Dalilnya terdapat di dalam Firmah Allah swt di dalam Surah Al-Taubah ayat 9 maksudnya : “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati” . Allah swt telah mengurniakan kepada manusia 4 bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yg disepakati oleh semua ulama’ ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang didalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diugut.
Bulan Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib dan juga ada orang Islam yang berpendapat bahawa bulan inilah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad saw.
Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj adalah sebuah peristiwa di mana Nabi Muhammad S.A.W telah di”israk”kan (dibawa berjalan) dari Kota Mekah ke Baitul Muqaddis serta di”mikraj”kan (dibawa naik ke atas) ke Sidratul Muntaha untuk mengadap Allah S.W.T di mana Solat 5 waktu telah difardukan ke atas umat Islam melalui Rasulullah S.A.W. Semuanya berlaku di dalam satu malam sahaja. Firman Allah SWT:
“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada satu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” - Petikan dari Surah Al Israa ayat 1.
Kami di Baitulummah ingin mengajak pembaca dan umat Islam seluruhnya menyambut bulan ini dengan memperbaharui tekad dan ikrar. Jika sebelum ini kita mengucap Dua Kalimah Syahadah tapi hidup dengan penuh hasad, kemarahan, dendam, benci dan sebagainya, tahun ini kita mengucap Dua Kalimah Syahadah dengan penuh kecintaan kepada Allah. Sebagai hambaNya, yang benar-benar cintakanNya, marilah sama-sama kita memperbanyakkan memuji-muji Allah, amalan dan ibadah.
Perjalanan Majlis sambutan awal Bulan Rejab berikut adalah sebagai panduan majlis yang dibuat bersama keluarga di rumah dan boleh ditokok tambah mengikut kesesuaian (contohnya jumlah zikir boleh ditambah atau dikurangkan ataupun memasukkan zikir lain yang ingin dibawa sekali):
  • Solat Maghrib berjemaah bersama keluarga (sebaik-baiknya, dilakukan apabila telah masuk waktu maghrib 1 Rejab)
  • Membaca Fatihah 7X
  • Membaca Salawat 7X
  • Membaca Al-Kafirun 1X
  • Membaca Al-Falaq 1X
  • Membaca An-Nas 1X
  • Membaca Al-Ikhlas 1X
  • Membaca Ayat Qursi 1X
  • Zikir istighfar 7X – ASTAGHFIRULLAH AL-AZEEM ALLAZI LAILAHAILLA HUALHAYYUL QAYYUM WA ATUBUILAIH
  • Zikir - Allah Allah 7X
  • Zikir - Allahu Allah 7X
  • Zikir - Ya Allah Ya Rahman Ya Rahiim 7X
  • Zikir - Allahu Allahu 7X
  • Zikir Salawat 7X – SALLALLAH ALA MUHAMMAD, SALLALLAH ALAI WASALLAM
  • Zikir LAILAHAILLALLAH 101X
  • Doa “Ya Allah Ya Tuhan kami, izinkanlah kami menyambut Bulan Rejab ini sebagai bulan yang Engkau muliakan, sebagaimana Rasulullah SAW menyambutnya. Berkatilah dan rahmatilah kami supaya kami menjadi hambaMu yang menghamba-abdikan diri kami kepadaMu, tunduk dan sujud kepadaMu, sebagaimana yang engkau kehendaki” – Seterusnya sambung dengan doa masing-masing
  • Majlis makan malam bersama keluarga.
Jikalau berkemampuan, buatlah amalan di atas setiap hari. Jika tiada kemampuan, buatlah seminggu sekali atau dua kali. Paling tidak pun sekali. Insyaallah, moga-moga kita tergolong dikalangan orang-orang yang mencintai Allah.