Selasa, 30 November 2010

Doa khusus untuk elak rogol @ cabul


Terdapat beberapa pertanyaan tentang doa yang khusus bagi kaum wanita samada dewasa dan kanak-kanak untuk mengelakkan mereka dari terperangkap dalam situasi yang boleh membawa kepada rogol, pencabulan dan lebih dahsyat lagi deraan seks yang diakhiri dengan pembunuhan.
Moga DiPelihara
Maka di sini, selain doa dari hadis sohih pelindung setiap kali keluar rumah yang telah saya paparkan di artikel berkenaan Al-Marhumah Nurin Jazlin sebelum ini.  Iaitu :-
رَسُولَ اللَّهِ  يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ
DALAM sebutan rumi : BISMILLAH ALLAZI LA YADURRU MA'ASMIHI SYAIUN FIL ARDI WA LA FIS SAMAIE , WAHUWAS SAMI'UL 'ALIM 
Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : "Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui" sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya" ( Riwayat Abu Daud, 4/323 ;   At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan - Teks doa berwarna Merah  Syeikh Syuaib ; Hasan)
Ingin saya utarakan satu lagi doa sohih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s (iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para lelaki zalim termasuk rajanya melarikan diri, saya sertakan sekali sumber rujukannya dari hadis Nabi s.a.w.
اللّهُمَّ اِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ اني آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فرجي إِلاَّ على زوجي فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَىَّ الْكَافِرَ
DALAM SEBUTAN RUMI : ALLAHUMMA IN KUNTA TA'LAMU INNI AAMANTU BIKA, WA BIRASULIKA WA AHSONTU FARJI ILLA 'ALA ZAWJI FALA TUSALLIT 'ALAYYA AL-KAFIR WA AZ-ZALIM
Ertinya : Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada Mu dan Rasul Mu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim" ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih )
Semoga ia dapat dihafaz dan di amalkan oleh semua wanita Muslimah, Cuma jangan lupa bahawa doa ini bersoifat tawassul dengan amal soleh anda, iaitu apabila diikat dengan imannya dengan Allah s.w.t dan RasulNya dan telah dijaga kehormatannya dan sudah tentu auratnya.
Justeru, seolah-olah kemaqbulan doa ini juga diikat tentang kewajiban untuk beriman dengan Allah dan rasulNya dan menutup aurat anda. Tanpanya, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatanya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal anda.
Justeru, jika berbaju kebaya terbelah, baju sendat menampakkan susuk tubuh, berpakaian nipis seolah telanjang, bersolek canggih seperti artis bukan Islam..sudah tentu doa ini sahaja belum cukup mampu menjaga anda. Bukan kerana Allah s.w.t tidak mampu, tetapi Allah s.w.t tidak anggap wanita itu layak dek kerana kedegilannya sendiri. 
Fikirkanlah.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
12 Ramadhan 1428 H
24 September 2008
P/S ; DIBENARKAN SEMUA PIHAK UNTUK MENGEDARKAN TULISAN INI. SAYA MEMBERIKAN KEIZINAN MALAH GALAKKAN.


  • 18 Mei 1999 - Mayat pelajar berusia 17 tahun, Audrey Melissa Bathinathan berhampiran Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur. Mayat mangsa ditemui berhampiran sekolahnya. Bedah siasat mendapati beliau dipukul di kepala, dirogol dan dijerut lehernya.

  • 7 Oktober 2000 - Mayat gadis berusia 24 tahun, Noor Suzaily Mukhtar ditemui di Taman Bukit Tinggi, Klang. Mangsa dirogol dan bunuh dalam sebuah bas ekspres dan mayatnya dicampak di sebuah jalan di kawasan pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang.

  • 23 Oktober 2000 - Nor Shuhada Borak, 6, ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman tiga tingkat jenis townhouse di Selayang dalam keadaan separuh bogel dan lebam pada muka dan tangan.

  • 14 Februari 2001 - Gadis berusia 17 tahun, Farrah Deeba Rustam dirogol dan di bunuh di bawah jambatan jalan masuk ke Kampung Tersusun Batu 2, Jalan Lama Bidor-Tapah. Mangsa mati akibat dicekik menggunakan tali lebar seperti tali pinggang keledar.

  • 13 Ogos 2001 - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dirogol sehingga terkeluar usus oleh dua remaja berusia 19 tahun tahun ketika merompak keluarga mangsa di rumahnya di Taman Bukit Maluri, Kepong.

  • 8 Oktober 2002 - Pelajar sekolah menengah ditolak dari atas jejantas, ditendang dan dicekik sebelum dirogol di bawah jejantas Jalan Reko, Kajang antara jam 2.35 petang dan 4 petang. Mangsa mengalami patah tulang belakang dan nyaris meninggal dunia. Kaki dan tangan mangsa juga diikat ke belakang dan badannya ditutup dengan plastik hitam, mulut disumbat dengan stokin dan diikat dengan sapu tangan sebelum ditinggalkan

  • 6 November 2002 - Kanak-kanak berusia dua tahun, Siti Nurliyana Shamimi Rosdi, diculik, dirogol dan dibunuh, dijumpai dalam keadaan bogel di tebing Sungai Kedah, kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus. Bedah siasat mendapati ada kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain

    lebih 40 kesan luka pada badan dan perdarahan dalam otak mangsa, dipercayai akibat dipukul dengan benda keras.

  • 5 Disember 2003 - Pembunuhan wanita berusia 22 tahun,Noritta Samsudin di Kondominium Puncak PrimaGalleria, Sri Hartamas, Kuala Lumpur menimbulkan kontroversi kerana didakwa dirogol sebelum dibunuh.

  • 13 Jun 2003 - Canny Ong lay Kian dilarikan dari Bangsar Shopping Center. Mayat mangsa ditemui separuh rentung di dalam sebuah longkang tepi jalan, di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

  • 8 Januari 2004 - Kanak-kanak berusia 10 tahun, Hasirawati Saridi ditemui mati dipercayai dibunuh dan dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah, 8 Januari lalu.

  • 17 Januari 2004- Kanak-kanak berusia 10 tahun, Nurul Huda Abdul Ghani dirogol, diliwat sebelum dibunuh di stesen pencawang TNB Kampung Pekajang, Gelang Patah, Johor.

  • 23 November 2004 - Pembunuhan Mazny Abdullah di Junjung, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

  • 17 September 2007 - Mayat kanak-kanak ditemui dalam beg di Petaling Jaya sebelum disahkan Nurin Jazlin Jazimin yang dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 selepas keluar dari rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju untuk ke pasar malam. Bedah siasat menunjukkan kanak-kanak berusia lapan tahun itu mengalami penderaan seksual yang menjadi punca kematiannya.

  • dipetik drp www.zaharuddin.net

  • Ahad, 28 November 2010

    8 pembohongan ibuku

    8 Pembohongan Ibu Kepadaku!

    Memang sukar untuk org lain percaya, tapi itulah yang berlaku, ibu saya memang seorang pembohong!
    Sepanjang ingatan saya, sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya.Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk menjadi renungan dan panduan anda semua.
    Ambillah iktibar daripadanya dan hayatilah sebaiknya kerana itulah ibuku!
    01.PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA - Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga yang miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Ada kalanya selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan seekor ikan masin dikongsi 1 keluarga.
    Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi mak cepat memujuk. Ketika makan, mak sering memberikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, mak berkata: "Makanlah nak, mak tak lapar.".
    02.PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA - Ketika saya mulai besar, mak yang gigih sering meluangkan waktu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Mak berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk pembesaran kami adik-beradik. Pulang memancing, mak memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera.
    Sewaktu saya memakan gulai ikan itu, mak duduk di samping kami dan memakan sisa daging ikan yang menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi.
    Saya sedih melihat mak seperti itu.
    Hati saya tersentuh, lalu dengan menggunakan sudu, saya memberikan ikan itu kepada mak. Tetapi mak dengan cepat menolaknya. Mak berkata: "Makanlah nak, mak tak suka makan ikan."
    03.PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA - Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Mak pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya, abang dan kakak.
    Suatu dinihari, lebih kurang 1.30 pagi, saya terjaga dari tidur.
    Saya melihat mak sedang membuat kuih bertemankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya lihat kepala mak terhangguk kerana terlalu mengantuk.
    Saya berkata: "Mak, tidurlah, esok pagi mak kena pergi kebun pula." Mak tersenyum dan berkata: "Cepatlah tidur nak, mak belum mengantuk lagi."
    04.PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT - Di hujung musim persekolahan, mak meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting.
    Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, mak terus sabar menunggu saya di luar dewan.
    Mak sering kali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Ilahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.
    Ketika lonceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, mak dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya.
    Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang mak yang jauh lebih kental.
    Melihat tubuh mak yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu untuk mak dan menyuruhnya minum.
    Tapi mak cepat-cepat menolaknya dan berkata: "Minumlah nak, mak tak haus."
    05.PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA - Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas adik saya baru beberapa bulan dilahirkan, maklah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga.
    Mak bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan berjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.
    Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah.
    Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang membantu mak.
    Anehnya, mak menolak bantuan itu.
    Jiran-jiran sering menasihati mak supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga mak dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga.
    Tetapi mak yang memang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka.
    Mak berkata: "Saya tidak perlukan cinta, saya tidak perlukan lelaki."
    06.PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM - Setelah kakak dan abang habis belajar dan mulai bekerja, mak sudah pun tua.
    Kakak dan abang menyuruh mak supaya berehat saja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit, tetapi mak tidak mahu.
    Mak rela pergi pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi kekperluan hidupnya.
    Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan mak, pun begitu mak tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut.
    Malahan mak mengirim balik wang itu, dan mak berkata: "Jangan susah-susah, mak ada duit."
    07.PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH - Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di luar negara.
    Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar.
    Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang, kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya, juga di luar negara.
    Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa mak untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara.
    Pada pandangan saya, mak sudah puas bersusah payah untuk kami.
    Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini mak habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.
    Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya.
    Mak tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata: "Tak payahlah, mak tak biasa tinggal di negara orang."
    08.PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN - Beberapa tahun berlalu, mak semakin tua. Suatu malam saya menerima berita mak diserang penyakit kanser.
    Mak mesti dibedah secepat mungkin. Saya menjenguk ibunda tercinta.
    Saya melihat mak terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan.
    Mak yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan.
    Mak menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpakas menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.
    Saya dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga mak menjadi terlalu lemah dan kurus.
    Saya menatap wajah mak sambil berlinangan air mata.
    Saya cium tangan mak, kemudian saya kucup pula pipi dan dahinya.
    Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat mak dalam keadaan seperti ini.
    Tetapi mak tetap tersenyum dan berkata-kata: "Jangan menangis nak, mak tak sakit."
    Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.
    Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya.
    Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata: MAK, SAYA SAYANGKAN MAK!
    Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun mengasihi mak lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga mak, sampailah saat mak menghembuskan nafasnya yang terakhir.
    Mak, maafkan saya. SAYA SAYANGKAN MAK...!!!
    Aku ambil dpr www.rakanmasjid.com. Mulianya hati seorang ibu...


    Jumaat, 26 November 2010

    permainan nafsu & syaitan....

    Dipetik drp : cahayamukmin.blogspot

    "Dalam diri anak Adam ada seketul daging, jika ia baik, baiklah seluruhnya dan jika ia jahat , jahatlah seluruh anggotanya , ketahuilah ia adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Wahai Para Ikhwanku

    Hati ibarat sumber segala sesuatu, kebaikannya akan membawa kebaikan kepada segala yang dilakukannya, keburukannya memberi keburukan juga kepada apa yang dilakukan. Ia adalah tempat yang akan dinilai oleh Allah SWT disebalik amal-amal kebaikkan atau keburukan seseorang hamba. Allah mencintai hati yang bersih, hati yang sentiasa merendah diri, hati yang ikhlas, hati yang gementar, hati yang cinta, hati yang sentiasa mengharapkan keampunan dan pengharapan.

    Nilai manusia terletak pada apa yang dilakukannya tetapi nilai Allah apa yang tersembunyi dalam hatinya. Ada manusia yang melakukan amal begitu hebat di sisi manusia, kemana ia pergi, nama dan amalnya atau kejayaannya sentiasa menjadi sebutan tetapi disisi Allah SWT, ia tiada nilai malah lebih hina dari seekor anjing kerana tiada keikhlasan. Ada manusia yang amalnya sedikit atau kecil, tiada manusia yang memandangnya tetapi nilainya tinggi di sisi Allah SWT disebabkan keikhlasannya.

    Di akhirat nanti, seluruh manusia akan berhadapan dengan Allah SWT samaada ia ulama, para syahid, para hafiz, para ahli ibadah, para ahli dermawan dan sebagainya untuk diperiksa hati mereka. Demi Allah , amat jahil dan butalah seseorang itu jika ia menganggap persoalan hati adalah kecil sedangkan di akhirat nanti ia adalah perkara yang utama yang menjadi nilaian Allah SWT.

     Imam Nawawi dalam menyusun hadis 40 telah meletakkan hadis yang berkaitan dengan niat sebagai hadis yang utama. Syirik atau menduakan Allah SWT dalam amal adalah melambangkan tiada adab ia dengan Allah SWT, melambangkan tiada bersih hatinya. Mereka yang tiada ilmu dalam perjalanan nafsunya amat mudah tertipu. Ramai manusia yang beribadah menyebabkan ia jauh dari Tuhan apabila ibadahnya dimasuki penyakit 'ujub, takabbur atau riak.

    Ramai yang menasihati manusia kepada kebaikan tetapi malangnya ia menjadi manusia yang amat dimurkai Tuhan apabila ia sendiri tidak melakukan apa yang dia cakap. Ramai orang yang diberi kekayaan dan menyangka ia adalah nikmat padahal ia adalah istidraj untuk memusnahkan dirinya apabila harta tadi melalaikan ia dengan Allah SWT. Banyaknya ibadah dan amal bukannya menjadi nilai lagi di sisi Allah, keikhlasan adalah menjadi ukurannya.



    Awasilah syaitan dan nafsu

    Wahai ikhwanku

    Demi Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, kehidupan yang panjang ini, amat bahaya dalam mengabdikan diri pada Allah SWT. Syaitan sebagai musuh utama tidak akan membiarkan manusia dalam kebaikan, tidak akan membiarkan ibadah sampai ke langit. Syaitan tidak menyerang manusia pada mata, telinga, kaki atau tangan tetapi ia melakukan serangan di tempat yang utama iaitu hati. Serangan yang dilakukan amat halus dengan pelbagai tipu daya sehingga ramai yang tidak menyedarinya. Ia mempunyai penolong yang setia yang berada dalam diri anak adam iaitu nafsu ammarah.

    Perjalanan yang panjang inilah yang memberi peluang bagi syaitan utuk menghilangkan kebaikan yang kita lakukan. Ia mahu segala amal soleh menjadi hancur. Kalau kita perhatikan bagaimana bijak dan busuknya syaitan dalam membawa manusia bersamanya ke neraka. Ramai mereka yang dahulunya hebat dengan dakwah sama ada di Universiti atau ketika muda, apabila kahwin hilang entah ke mana. Ada yang kuat ibadahnya tetapi apabila kerja, menjadi manusia yang lalai, ramai yang ikhlas berniaga, diniatkan jika berjaya mahu membantu agama dan membantu orang-orang miskin, namun apabila berjaya mereka lupa malah menjadi orang yang sombong. Ramai yang begitu tingginya ukhuwwah, makan bersama, apabila bertemu berpelukan tetapi akhirnya menjadi musuh yang ketat.

    Syaitan menggunakan senjata yang paling ampuh iaitu elemen keluarga, harta, pangkat, wanita dan senjata dalam diri manusia seperti sifat ego, dengki, cinta dunia, marah, dendam, taksub, suka berdebat, suka berehat, jemu dan sebagainya untuk melalaikan manusia dari Allah SWT. Apa yang malangnya banyak amal yang dilakukan menjadi hancur apabila syaitan berjaya memasukkan jarum ujub, riak dan sombong.

    Begitu juga mereka yang separuh abad usianya mengabdikan diri pada dakwah, namun apabila usia dihujung senja, ia menjadi manusia biasa, ruhnya menghadap Tuhan bukan sebagai seorang 
    Begitu juga mereka yang separuh abad usianya mengabdikan diri pada dakwah, namun apabila usia dihujung senja, ia menjadi manusia biasa, ruhnya menghadap Tuhan bukan sebagai seorang fisabilillah tetapi sebagai seorang doktor atau usahawan atau guru atau pegawai kerajaan.

    Alangkah ruginya kehidupan, alangkah rugi nya usia dan masa. Ada mereka yang bila perniagaannya menghadapi masalah, dia mengundurkan diri lupakan Tuhan, meninggalkan amal dan dakwah. Kalau kita bertanya Kenapa ianya berlaku, tidakkah mereka merasa rugi sedangkan ganjaran dan kemuliaan mereka yang berada di medan dakwah adalah tinggi di sisi Allah SWT. Mereka juga mempunyai ilmu, Ayat Al Quran dan Hadis yang menerangkan kelebihan dakwah, mereka hafal dan begitu fasih dilisan mereka, mereka juga sentiasa memperingatkan diri mereka dengan tipu daya syaitan dan nafsu tetapi persoalannya apa lagi yang tiada pada mereka sehingga mereka hanyut, syaitan yang mereka musuhi menjadi teman sejati, budaya hidup yang lalai menjadi keseronokan, dakwah yang menjadi agenda utama menjadi perkara yang membosankan, sahabat yang dicintai kerana Allah menjadi sahabat yang ingin dijauhinya.

    Jangan lalai dari Syaitan dan Nafsu

    Wahai ikhwan yang dikasihi

    Kalau kita mengadakan diagnosis perkara ini, ia memberi beberapa jawapan dan jawapan yang utama adalah Syaitan serta nafsu. Ramai terkena serangan syaitan dan mereka tidak sedar dan tidak mampu menahannya. Demi Allah, syaitan tidak pernah berputus asa dan ia tidak pernah tidur atau berehat untuk merosakkan anak adam. Dengan penuh kesabaran ia sentiasa menunggu peluang untuk ia bertindak di mana ketika itu kita lupa dan lalai. Orang yang tenang adalah musuh syaitan, ketenangan menyebabkan seseorang itu dapat berfikiran waras dalam setiap tindakan.

    Justeru itu syaitan akan mengugat ketenangan diri manusia itu dahulu. Ia menggunakan isteri atau anak-anak atau ibubapa atau saudara mara atau perniagaan atau harta atau jawatan atau musibah atau penyakit. Ia akan menggunakan semaksima segala apa yang ada di sekeliling atau sifat dalam diri untuk mengoncangkan ketenangan Mereka boleh menjadi sahabat yang baik sebagai musuh, anak buah sebagai penderhaka, orang yang dibantu menfitnah dan pelbagai lagi. Ia juga mendatangkan perasaan ketakutan terhadap masa depannya dengan pelbagai ancaman seperti dibuang kerja, penjara atau pelbagai tekanan yang akan dihadapi.

    Hari ini syaitan bertepuk tangan, mereka telah berjaya menyelinap dalam hati umat Islam sehingga berjaya mengugat dan memecahkan keharmonian kasih sayang. Mereka yang dahulu kelihatan kuat, hebat apabila berpidato, kasihsayang yang erat, tapi hanya masalah khilafiah ,ada yang berpecah belah sehingga bermusuhan bagaikan orang jahil, caci mencaci, fitnah menfitnah, pulau memulau mula berlaku, segala permusuhan mereka adalah atas jalan yang syaitan, ia langsung tidak dibenarkan oleh syara', dan yang paling sedih segala bangunan kebaikan yang mereka dirikan bersama hancur begitu sahaja.

    Ramai yang gugur tetapi bukannya gugur dimedan jihad tetapi gugur dilembah nafsu. Mereka semua terkena bom yang dilontarkan oleh syaitan, keilmuan, keimanan dan kasihsayang mereka tidak begitu kebal untuk menjadi benteng mempertahankan diri. Mengutuk dan memarahi syaitan sebagai penyebab adalah menutup kelemahan diri, sebagai musuh ia sudah menyatakan bahawa ia melakukan serangan kepada kita, ia akan bersabar sehingga ke tika menghadapi sakaratulmaut pun ia akan terus mengumpul bala tenteranya untuk merosakkan kita. Yang penting bagi kita ialah menyiapkan pertahanan agar serangan yang dilemparkan tidak memberi kesan. Memandang rendah pada keupayaan musuh biasanya membawa akibat yang buruk.

    Persoalannya bagaimanakah kita mudah terkena permainan syaitan?
    Kita perlu memberi jawapan yang jujur, demi Allah sesungguhnya tipudaya syaitan amat hebat, hanya mereka yang diselamatkan oleh Allah SWT yang akan selamat. Persoalannya Kenapa ramai diantara mereka tidak diselamatkan oleh Allah SWT? Kalau kita melihat secara mendalam sebab-sebab iblis tidak selamat dari kekufuran walau banyak ibadahnya ialah penyakit merasa sempurna diri atau ego. Ia merasakan dirinya tak mungkin akan derhaka pada Allah SWT.

    Penyakit ini menyebabkan ia kurang bergantung hati pada Allah, merasa aman dari murka Allah. Apabila datangnya ujian supaya sujud pada adam, ia tersungkur tewas dalam lembah ketakburan. Ia mengatakan ia lebih baik dari adam, Kenapa ia mahu sujud? Inilah perasaan yang bahaya yang ersembunyi dalam jiwa. Penyakit ini akan keluar apabila datangnya ujian. Ibadah yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai ubat, tidak berjaya menghapuskan kesombongan dalam hati.

    Awasilah nafsu yang tersembunyi dalam hatimu, ia adalah musuh yang tersembunyi dalam dirimu sendiri. Perasaan ke sombongan inilah yang boleh menyebabkan kita juga akan dimurkai Tuhan, perasaan ini jugalah yang menjauhkan kita dari mendapat pertolongan Allah SWT. Bahayanya jika kita tidak mempunyai hubungan yang rapat dan mesra dengan Allah SWT. Inilah penyakit kebanyakkan yang perlu diubati. Kita lemah dan lalai dalam ibadah, dalam tawakkal, rasa hebat dengan ilmu, dengan perancangan, dengan idealisma. Demi Allah , inilah dilema yang sebenarnya kita hadapi.

    Umat Islam hari ini tidak mempunyai kekuatan akidah, pendidikan yang kita lalui hari ini hanya memberi tumpuan kepada kekuatan akal, kekuatan kerohanian menjadi sampingan. Kekuatan akal hanyalah sebagai bergerak atas landasan logik sedangkan kekuatan kerohanian adalah penghubung ia dengan Tuhan. Kerohanian adalah sumber kekuatan kerana ia melihat, mendengar dan merasai dilautan kerohanian yang dalam. "Tidak sama orang jahil dengan orang yang berilmu" berilmu disini ialah makrifatullah. Inilah ilmu yang paling utama dan penyelamat manusia. Mengenal Allah secara ilmu dzahiri adalah sebagai pengenalan awal kepada diriNya sedangkan pengenalan melalui cahaya hati adalah pengenalan yang hakiki.

    Hati yang bersih , tersingkap baginya rahsia ketuhanan, semakin ia bersih semakin memancarlah makrifat pada hatinya. Hati yang memancar ini adalah hati yang melalui proses ilmu, ibadah dan mujahadah yang istiqomah. Mereka yang tersingkap kepadanya rahsia ihsan (sentiasa melihat Allah atau Allah melihatnya) imannya tidak perlu kepada dalil atau bukti untuk membuktikan wujud Tuhan, ini kerana hatinya sentiasa melihat Allah di dalam pandangan dan pendengarannya dimana ia berada. " Dimana kamu hadap disitulah wajah Allah SWT".

    Hati yang bersih dari segala hijab keduniaan dan nafsu akan melihat dan merasai ayat-ayat Allah dengan pandangan hakikat. Inilah kasyaf yang hakiki di mana hatinya dapat menangkap rahsia 


    ayat-ayat Allah dengan penglihatan yang haq. "Sesungguhnya tidaklah menyentuh Al Quran itu melainkan mereka yang suci," ditafsir oleh ulama tasauf bahawa ayat-ayat Allah tidak akan berada dalam jiwa yang kotor, bacaan mereka hanyalah dilidah bukannya di hati. Ilmu mereka hanyalah di akal tidak di hati. Tanyalah diri sendiri, bagaimanakah perasaan kamu apabila membaca ayat " Sesungguhnya Ia berada dimana kamu berada." Kalau hati kamu keras, ayat ini sekadar maklumat pada akal sedangkan apabila hal keTuhanan berada pada akal, ia akan hilang apabila kamu berfikir yang lain.

    Tetapi apabila hati kamu bersih, ayat ini dapat dirasai dan dan dilihat dengan pandangan cahaya hati sehingga ia merasai kebersamaan dengan Allah dimana ia berada. Mereka yang mengingati Allah dalam penghayatan dan penglihatan akan merasai kelazatan iman dan makrifat yang tidak terhingga. Allah adalah kekasihnya dan ia meninggalkan apa jua yang boleh melalaikan ia dengan Allah, Allah adalah yang dirindui dan ia menjadi perindu, Allah menjadi pujaan dan ia sebagai pemuja. Sesiapa yang mengenal Tuhan , ia akan mencintai Tuhan dan fanalah segala keindahan yang lain. Sesiapa yang mengenal Tuhan, tiadalah ia resah geli sah dengan apa jua yang menimpanya.

    Memancar pada hatinya sifat kecintaan, keyakinan, ketakwaan, kerinduan dan ia mendapat perlindungan dari Allah SWT. Ini disebabkan hatinya sentiasa bercahaya dengan zikirullah dan Allah memberi pengakuan dengan firmanNya " Sesiapa yang mengingati Allah, Allah akan mengingatinya". Apabila Allah mengingatinya, nescaya hatinya dipenuhi dengan cahaya kebenaran dan terhapuslah cahaya kebatilan yang datang dari syaitan. Firmannya "Apabila datangnya kebenaran akan terhapuslah kebatilan". Ada juga yang mentafsirkan mengingati Allah dengan melakukan kebaikan sedangkan pentafsiran seperti ini adalah berbentuk umum dan tidak muafakat dikalangan oleh tafsir yang muktabar apalagi pentafsiran yang dihurai oleh ulama- ulama tasauf yang pakar dalam bidang kejiwaan manusia.

    Kesan dari hati yang lemah

    Apabila hati lemah hubungan dengan Allah SWT, ia amatlah mudah dihinggapi penyakit apalagi 
    Tidak berhajat dengan Allah untuk keselamatan dirinya dalam menghadapi tipudaya syaitan, merasa diri selamat, inilah jua penyakit iblis yang ia merasa tak mungkin akan derhaka pada Allah lantaran banyaknya ibadah dan pangkatnya sebagai ketua malaikat. Tertipu dengan amal, pangkat, keturunan, keilmuan, kekayaan dan kesibukan dakwah sehingga timbulnya takabbur, merasa diri aman dari murka Allah SWT. Inilah hijab atau penyakit yang menyebabkan mereka tidak akan ditolong oleh Allah SWT apabila diserang syaitan. Sejarah takbur ada dalam dada diharamkan syurga dan takbur juga menyebabkan seseorang diharamkan mendapat kasihsayang Allah SWT dan perlindunganNya..

    Hati yang baik ialah hati yang sentiasa bimbang dengan Allah dan mengharapkan keampunan Allah, hati sentiasa merintih pada Allah agar menerima amal, mengharap Allah menyelamatkan mereka dari gangguan syaitan dan nafsu. Mereka tidak pernah menghitung amal mereka melainkan sentiasa melihat keaiban mereka. Inilah rintihan Aisyah r.a. " Alangkah baiknya jika saya menjadi pohon kayu" Alangkah baiknya jika saya dijadikan seekor biri-biri yang dilampah kulitnya tanpa dipertanggungjawab diakhirat nanti."

    Berkata Abu Darda " Sesiapa yang tidak pernah bimbang ia mati kafir atau beriman, ia akan mati dalam kekafiran". Hati yang baik adalah hati yang sentiasa ada takut dan harap kepada Allah SWT. Justeru perhatikan diri kita, adakah ibadah kita selama ini telah meleburkan keegoan kita. Jika tidak, berhati-hatilah dengan fitnah keegoan kerana ia senjata syaitan yang ampuh untuk merosakkan kita. Hati yang takabur tidak akan sepenuhnya bergantung pada Allah, ia sentiasa melihat kekuatan dirinya, ilmunya, amalnya, kekayaannya, pangkatnya, manusia sekelilingnya sebagai penolongnya.

    Sikap yang tidak bulat penyerahan diri pada Allah dan merasa fakir dan berhajat padaNya pada setiap saat menyebabkan ia tiada perlindungan apabila datangnya hembusan syaitan dan akhirnya tersungkur pada tipudayanya.


    "Sesungguhnya syaitan tidak berkuasa terhadap orang-orang yang beriman dan orang-orang yang bertawakal kepada Tuhan. Tetapi syaitan hanya berkuasa terhadap orang yang mengambilnya sebagai pemimpin dan orang yang menyekutukan Tuhan."

    Wallahu'alam

    sejarah kalendar Hijrah

    Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saiyidina Umar Al-Khattab radhiyallahu `anhu. Ini adalah turutan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.
    Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.
    Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam.
    Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.
    Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitul Muqaddis dibebaskan dari Rom dan Masjidil Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.
    Sumber : Mohd Fauzi Ismail, Unit Sumber Maklumat JMM

    Khamis, 25 November 2010

    cara menuntut ilmu..


    Ikramah, hamba kepada Abdullah bin Abbas radhiAllahu `anhu merupakan salah seorang dari ulama` yang unggul. Dia berkata:

    "Semasa saya mempelajari al-Qur`an dan Hadith, saya diikat dengan rantai oleh tuan saya, dengan itu saya tidak dapat pergi ke mana-manapun dan terpaksa menumpukan sepenuh masa kepada pelajaran-pelajaran saya."

    Sebenarnya ilmu pengetahuan itu hanya boleh diperolehi apabila seseorang itu menumpukan sepenuh perhatian terhadapnya. Para pelajar yang suka menghabiskan masa mereka dengan sia-sia, merayau-rayau kesana-kemari dan hanya bersuka-suka, mereka ini tipis sekali peluang-peluangnya untuk memperolehi pengetahuan yang mendalam. Sebagai hasal dari usaha ini Ikramah digelar sebagai "lautan pengetahuan" dan "umat yang paling terpelajar".

    Qatadah berkata: "Ada empat orang yang paling terpelajar sekali di kalangan para Tabiin dan Ikramah merupakan salah seorang dari mereka itu."

    Ahad, 21 November 2010

    30 perkara melembutkan hati




    30 Perkara yang Dapat Melembutkan Hati

    1) Takut akan datangnya maut secara tiba-tiba sebelum kita sempat bertaubat.

    2) Takut tidak menunaikan hak-hak Allah secara sempurna. Sesungguhnya hak-hak Allah itu pasti diminta pertanggungjawabannya.

    3) Takut tergelincir dari jalan yang lurus, dan berjalan di atas jalan kemaksiatan dan jalan syaitan.

    4) Takut memandang remeh atas banyaknya nikmat Allah pada diri kita.

    5) Takut akan balasan siksa yang segera di dunia, karena maksiat yang kita lakukan.

    6) Takut mengakhiri hidup dengan su’ul khatimah.

    7) Takut menghadapi sakaratul maut dan sakitnya sakaratul maut.

    8) Takut menghadapi pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur.

    9) Takut akan adzab dan prahara di alam kubur.

    10) Takut menghadapi pertanyaan hari kiamat atas dosa besar dan dosa kecil yang kita lakukan.

    11) Takut melalui titian yang tajam. Sesungguhnya titian itu lebih halus daripada rambut dan lebih tajam dari pedang.

    12) Takut dijauhkan dari memandang wajah Allah.

    13) Perlu mengetahui tentang dosa dan aib kita.

    14) Ma’rifah kita terhadap nikmat Allah yang kita rasakan siang dan malam sedang kita tidak bersyukur.

    15) Takut tidak diterima amalan-amalan dan ucapan-ucapan kita.

    16) Takut bahwa Allah tidak akan menolong dan membiarkan kita sendiri.

    17) Kekhawatiran kita menjadi orang yang tersingkap aibnya pada hari kematian dan pada hari timbangan ditegakkan.

    18) Hendaknya kita mengembalikan urusan diri kita, anak-anak, keluarga, suami dan harta kepada Allah SWT. Dan jangan kita bersandar dalam memperbaiki urusan ini kecuali pada Allah.

    19) Sembunyikanlah amal-amal kita dari riya’ ke dalam hati, karena terkadang riya’ itu memasuki hati kita, sedang kita tidak merasakannya. Hasan Al Basri rahimahullah pernah berkata kepada dirinya sendiri. “Berbicaralah engkau wahai diri. Dengan ucapan orang sholeh, yang qanaah lagi ahli ibadah. Dan engkau melaksanakan amal orang fasik dan riya’. Demi Allah, ini bukan sifat orang mukhlis”.

    20) Jika kita ingin sampai pada derajat ikhlas maka hendaknya akhlak kita seperti akhlak seorang bayi yang tidak peduli orang yang memujinya atau membencinya.

    21) Hendaknya kita memiliki sifat cemburu ketika larangan-larangan Allah diremehkan.

    22) Ketahuilah bahwa amal sholeh dengan sedikit dosa jauh lebih disukai Allah daripada amal sholeh yang banyak tetapi dengan dosa yang banyak pula.

    23) Ingatlah setiap kita sakit bahwa kita telah istirahat dari dunia dan akan menuju akhirat dan akan menemui Allah dengan amalan yang buruk.

    24) Hendaknya ketakutan pada Allah menjadi jalan kita menuju Allah selama kita sehat.

    25) Setiap kita mendengar kematian seseorang maka perbanyaklah mengambil pelajaran dan nasihat. Dan jika kita menyaksikan jenazah maka khayalkanlah bahwa kita yang sedang diusung.

    26) Hati-hatilah menjadi orang yang mengatakan bahwa Allah menjamin rezeki kita sedang hatinya tidak tenteram kecuali sesuatu yang ia kumpul-kumpulkan. Dan menyatakan sesungguhnya akhirat itu lebih baik dari dunia, sedang kita tetap mengumpul-ngumpulkan harta dan tidak menginfakkannya sedikit pun, dan mengatakan bahwa kita pasti mati padahal dia tidak pernah ingat mati.

    27) Lihatlah dunia dengan pandangan I’tibar (pelajaran) bukan dengan pandangan mahabbah (kecintaan) kepadanya dan sibuk dengan perhiasannya.

    28) Ingatlah bahwa kita sangat tidak kuat menghadapi cobaan dunia. Lantas apakah kita sanggup menghadapi panasnya jahannam?

    29) Di antara akhlak wanita mu’minah adalah menasihati sesama mu’minah.

    30) Jika kita melihat orang yang lebih besar dari kita, maka muliakanlah dia dan katakana kepadanya, “Anda telah mendahului saya di dalam Islam dan amal sholeh maka dia jauh lebih baik di sisi Allah. Anda keluar ke dunia setelah saya, maka dia lebih baik sedikit dosanya dari saya dan dia lebih baik dari saya di sisi Allah.”

    Jumaat, 19 November 2010

    keLebihan Yg diseGerakan

    Berkata Iman Ghazali (ra) dalam kitabnya, Minhajul A’bidin,

    ”Kelebihan yang disegerakan Allah Taala terhadap hambaNya apabila melakukan ketaatan kepada-Nya, yang sentiasa berkhidmat kepadaNya, dan menghabiskan usia hidupnya pada jalan ini”

    1.Allah Taala sentiasa menyebut dan memuji namanya, dan semulia-mulia hamba itu apabila Tuhan sekalian alam sentiasa menyebut dan memujinya.

    2. Tuhan sendiri mengucapkan terimakasih dan meninggikan kedudukannya. Kalau diri diucapkan terima kasih oleh makhluk yang dhaif dan membesar-besarkan dirinya, nescaya diri menjadi mulia kerananya, apalagi Tuhan Yang Awal dan Akhir.

    3. Allah Taala sangat mengasihinya dan kiranya manusia dicintai, oleh seorang Penghulu Kampung atau seorang raja dalam sesebuah negeri, sudah tentu dirinya berasa megah dan mendapat manfaat daripadanya. Betapa pula kasih yang diberi oleh Tuhan sekalian alam.

    4. Allah Taala sendiri menjadi wakil kepadanya untuk mentadbirkan segala urusannya.

    5. Allah Taala memeliharakan rezekinya dan ke mana saja ia pergi, maka di situ terdapat rezeki yang tidak perlu berasa susah payah pun.

    6. Allah Taala sendiri menolong dan mengawal dirinya daripada musuh seteru dan menolak apa saja orang yang berniat untuk menyakiti hatinya dan melakukan kejahatan.

    7. Allah Taala sendiri yang menjinakkan hatinya hingga tidak berasa keliaran hati terhadap sesuatu perkara yang baru datang, malah ia tidak berasa takut jika berlaku perubahan dan penggantian.

    8. Dirinya sentiasa dipermuliakan dan tidak mendapat kehinaan sekalipun membuat kerja-kerja yang hina pada pandangan mata orang ramai. Tetapi ia tidak rela berkhidmat kepada raja-raja di dunia ini dan pembesar-pembesar negeri.

    9. Tinggi hemah sekira-kira tidak ingin melumurkan diri dengan kecemaran dunia atau menjadi ahli dunia dan tidak pula ingin berpaling kepada perhiasan dan permainannya seperti permainan budak-budak yang olok-olok belaka.

    10. Kaya hati, dan dirasa dirinya sekaya-kaya manusia dalam dunia. Nafsunya sentiasa tenang lega dan riang hati, malah tidak kisahkan kelaparan dan menyusahkan hatinya kalau ketiadaannya

    11.Bersinar-sinar cahaya nur hati sehingga dapat memberi petunjuk dengan sinaran itu kepada orang ramai mengenai hal-hal ilmu pengetahuan, rahsia-rahsia, dan hikmah-hikmah yang tidak dapat diberi oleh manusia biasa, kecuali dengan ijtihad yang bersungguh-sungguh dan usia yang berpanjangan.

    12. Lapang dada dan tidak berasa susah hati terhadap sesuatu bala yang menimpanya di dunia dan tidak berasa sakit hati dan susah hati atas apa yang diumpat dan diperkatakan oleh manusia.

    13. Kelihatan hebat dan menakutkan nafsu dan hati orang ramai hingga terpaksa dihormati oleh kawan dan lawan dan amat ditakuti oleh orang yang sombong dan takbur juga orang yang berkepala batu, sekalipun ia seorang penguasa yang zalim.

    14. Dicintai oleh hati manusia, sepertimana firman Allah Taala:
    Ertinya, “Tuhan Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih sayang.” (Surah Maryam: 96). Oleh itu, anda lihatlah segala hati bersikap sayang kepadanya, dan semua nafsu bertabiat suka membesar-besarkan dan mempermuliakan dirinya.

    15. Allah Taala menganugerahkannya keberkatan yang am, samada pada percakapan, perbuatan, pakaian, tubuh badan, dan sebagainya.

    Selasa, 16 November 2010

    salam aiDil adha

    Assalamualaikum.
    aKu ingin mengucapkan selamat hari raya aidil -adha kepada semua pengunjung blogku yang beragama islam.semoGa amalan kita dan pengorbanan kita di terima Allah Taala.Amin. 

    Ahad, 14 November 2010

    kelebihan bulan zulhijjah


    KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH SEPULUH HARI PERTAMA. 
    Dipetik drp portal JAKIM: Mufti negeri Terengganu


    Segala kepujian dan kesyukuran ditujukan kepada Allah Ta’ala, Salawat dan Salam buat Junjungan Nabi Muhammad ‘Alaihis Solatu was Salam dan buat keluarga dan Sahabat Baginda. 
    Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : 
    “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu sepuluh hari Zulhijjah-”. Para Sahabat Baginda bertanya : “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah ?” . Ujar Baginda : “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. 
    Imam Ahmad Rahimahullah meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. 
    Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir Radhia Allah ‘anhu bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah”. 


    JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA. 


    Pertama : Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”. 

    Kedua : Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi : “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”. Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih). Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”. 

    Ketiga : Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”, hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya : “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]”. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “( Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”. Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik. 


    Keempat : Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi). 

    Kelima : Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid). 

    Keenam : Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah. 

    Ketujuh : Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih. 

    Kelapan : Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”. Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya : “(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”. Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya. 

    Kesembilan : Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini ; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu. 


    Kesepuluh : Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya. 
    Dipetik drp portal JAKIM: Mufti negeri Terengganu