Selasa, 16 Ogos 2011


Separuh Ramadan & Puasa Yang Tercabar
Oleh
Dr. Zaharuddin Abd Rahman

ramadhan1430h.jpg

"Tolong saya ustaz, apa formula dan caranya lagi untuk saya boleh berubah, tolong saya ustaz, saya benar-benar ingin berubah dan insaf, walau di bulan Ramadhan ini saya masih melakukan dosa itu"
Demikian luahan hati yang ikhlas beberapa orang pemuda dan pemudi kepada saya melalui medium internet. Pelbagai bentuk lafaznya, namun itulah juga inti maksudnya.
Kesnya apa? ada yang berzina, onani, tonton video lucah, bercerai suami isteri, bergaduh, mengumpat, menipu, mencuri, minum arak, tidak solat dan macam-macam lagi. Berlalu sudah 15 hari Ramadhan, ia masih berlaku dan terus berlaku di kalangan umat Islam kita.
Setelah hampir 15 hari kita berada di bulan mulia Ramadhan, kesan tarbiyahnya makin terasa bagi sesetengah pihak, manakala sebahagian yang lain semakin makin larut dan menjauh dari Allah swt. Sekumpulan lagi pula masih turun naik prestasinya, seperti nilai matawang yang kerapfluctuate.
Beribu-ribu ahli agama dan pendakwah mengingatkan diri dan orang ramai agar mempergandakan ibadah di bulan mulia ini. Di samping menjauhi diri dari perkara yang pasti akan merosakkannya.
SYAHWAT SEKSUAL DI BULAN RAMADHAN
Di samping senarai panjang itu, tidak dilupakan juga bulan ini seharusnya menjadi penguji dan pendidik kepada nafsu syahwat yang asyik ingin membara. Nafsu syahwat yang menjurus kepada syahwat seksual sentiasa cuba melepaskan diri dari kekangan Ramadhan.
Bagi yang sudah berumahtangga, apa yang Allah swt minta untuk diusahakan hanyalah jangan ‘bersama' di siang  hari Ramadhan. Ia kelihatan mudah, tapi jangan pelik dan hairan, amat ramai yang gagal. Web dan email saya juga dibanjiri dengan soalan berkaitan hal ini, masing-masing bertanya cara dan kaedah membayar kaffarah dan sebagainya. Memang benar, Allah swt maha mengetahui ramai manusia akan gagal dalam ujian tahan syahwat seks ini, justeru disediakan untuk manusia kaffarah bagi mereka menebus dosa, kesalahan dan kegagalan mereka.
Bagi yang belum berumahtangga, sepatutnya isu berpuasa syahwat seks di siang Ramadhan tidak menjadi hal, kerana mereka belum berumahtangga dan belum merasa nikmat ‘bersama'. Namun, amat ramai si bujang Muslim dan Muslimah yang jatuh tewas, seburuk-buruk ketewasan itu adalah apabila mereka berzina di siang hari Ramadhan. Innalillahi wa inna ilayhi raji'un. Amat buruklah apa yang mereka kerjakan.
Yang lain pula tewas dalam ‘ringan-ringan' syahwat bersama pasangan ‘kekasih', atau juga melalui medium komunikasi elektronik dan internet. Sekumpulan lagi tewas dengan penangan ‘tangan' sendiri. Semuanya buruk, namun menjadi lebih buruk apabila dilakukan di bulan Ramadhan, di siang harinya pula. Kes seperti ini juga tidak kering dari menjengah kotak email dan web saya, memberikan satu gambaran sebenar umat Islam di tanahair tercinta.
Pada bulan yang nafsu syahwat patut dididik dan dipukul kerana degil, malangnya ia berterusan menguasai sang diri. Amat dibimbangi, jika itu berlaku, itu adalah tanda diri akan terus menjadi hamba si nafsu syahwat di bulan-bulan lain yang mana nafsu akan diperkukuh kedudukannya oleh Syaitan yang berlegar.
Allah menyebut melalui hadis qudsi :
Ertinya : Dia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya kerana aku (ALLAH), maka puasa khas untukKU, dan aku akan memberikan ganjaran untuknya.. ( Riwayat Al-Bukhari, no 1795, 2/670 )
Bagaimana mengubati syahwat luar kawalan ini? Tiada jalan mudah wahai anak Adam! Nafsu ini perlu ditekan dan dipaksa untuk tidak dituruti. Siapa yang diharap dapat membantu?
Jawapannya adalah diri sendiri, utuhkan keazaman dalam diri, seperti ketika dirimu ingin sesuatu lalu akan kamu redah dan bijak mencari aqal demi mencapainya.
Namun pelik, mengapa ‘diri' masih ingin kepada yang ditegah dan diharamkan. Lalu timbullah rintihan ‘saya lemah', ‘saya tidak cukup kuat', mereka ingin beritahu saya, bahawa mereka insaf tapi mereka mengaku lemah untuk melawan kehendak nafsu.
Justeru JANGAN SESEKALI mengaku diri lemah terhadap godaan nafsu, sebaliknya nyatakan kepada diri, "Hanya kali ini sahaja aku tewas, tidak di waktu yang lain!."
Akhirnya bertubi-tubi ruangan komen web saya dan email dibanjiri puluhan soalan berkenaannya. :
"Bagaimana ingin jadi kuat dan kalahkan nafsu ini?"
Jawapannya boleh jadi berjela-jela panjangnya, atau pendek mewakili seribu ayat. Biar saya pilih yang pendek, sesudah puas menghuraikan dengan panjang berjela di dalam pelbagai artikel.
"Yakinilah Allah swt dan hari akhirat"
Itulah kunci yang boleh membuka pintu yang diingini.

SYAHWAT LISAN
Berbekalkan hadis qudsi dan sebuah lagi hadis yang cukup popular di bulan ini, dapat kita ketahui syahwat yang mesti dikekang juga adalah syahwat lidah atau lisan.
Nabi bersabda :
Ertinya : Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata buruk, dan perbuatan buruk, maka tiadalah bagi Allah hajat kepada penahanan makanan dan minuman (seseorang yang berpuasa itu)" ( Riwayat Al-Bukhari)
Ibn Al-`Arabi dan al-Qaradawi masing-masing mengulas bahawa pahala puasa akan hancur dengar kesalahan-kesahalahan ini, puasa tidak batal tapi pahalanya batal, hingga jadilah puasanya kosong, lagi gagal menghasilkan taqwa yang menjadi sasaran.
Umar ibn Al-Khattab berkata :
"Puasa bukan hanya menahan diri dari makan dan minum, tetapi juga dari bercakap bohong, tipu dan cakap kosong"
MARAH DAN KEMARAHAN
Lisan yang suka memaki hamun apabila marah, mengeji apabila benci, mengumpat apabila dengki, mengadu domba apabila busuk hati, berbohong untuk menyelamat diri dan mendapati yang dihajati.
Bercerita tentang keaiban orang dan keburukannya mungkin ada suatu kesedapan dan kelazatannya yang tersendiri. Ya, lazat yang diulami oleh nafsu ke dalam diri. Agar manusia tunduk menjadi hamba kepadanya.
Lalu di bulan ini, Nabi mendesak kita untuk mengawalnya, mengekangnya dari terus bermaharajalela dalam diri.
Nabi mengingatkan :-
الصيام جنة فلا يرفث ولا يجهل وإن امرؤ قاتله أو شاتمه فليقل إني صائم مرتين 
Ertinya : Puasa itu benteng, justeru jangan seseorang berkata buruk dan melakukan perbuatan orang jahil lagi bodoh, dan sekiranya ada yang mencari gaduh, mencercanya, lalu jawablah : Aku berpuasa, sebanyak dua kali. ( Riwayat Al-Bukhari)
Tahanlah marahmu..
Manusia bila dikuasai marah, kerap berkata keras, memaki lagi menghina.  Maka kawal ia sehabis mungkin. Elakkan dari berkata-kata buruk kerananya, ambillah wudhu dan bergeraklah dari tempat kemarahan ke tempat atau perbuatlah urusan lain. Jika kamu sedang berdiri, duduklah, dan seterusnya. Dari Abu Hurayrah r.a:-
Ertinya : Sekiranya ada seorang mencercamu, maka katakanlah : Aku berpuasa, dan jika kamu sedang berdiri, duduklah. ( Riwayat Ibn Khuzaymah, Fath Al-Bari, hlm 126)
Ya, ubah posisimu, agar aqal yang tidak waras kerana marah dapat dibendung dari memudaratkan diri dan orang lain yang berdekatan.
Ada yang marah sehingga membunuh, kemudian menyesal dan tidak menyangka itu perbuatannya. Ya ia seperti arak yang memabukkan, menghilangkan pertimbangan waras aqal dan iman.
Ada yang marah lalu tercerai isterinya, tercedera anaknya, dihina suaminya, tuntutan cerai kedengaran setiap minggu, mendera jiwa suami yang cuba bersabar.  Semua itu diinginikah ?
Semua itu mencederakan, bukan hanya di fizikal tetapi lebih jauh dan sakitnya di hati dan minda. Yang marah dan berkata keras itu pula dapat apa?.
Hanya dapat melepaskan marah dan memberitahu diri sedang marah.  Itu saja, tapi kesannya amat dalam dan jauh lebih buruk, sukar ditaksirkan. Kesannya buruk bagi yang marah dan yang dimarahi.
Justeru Allah mengarahkan kita menjadi kuat dan mampu mengawal marah, sesuai dengan sabda baginda Nabi s.a.w.  Namun ada kemarahan yang dituntut, iaitu dalam menyelamat maruah Islam yang dicabar, maruah diri dan keluarga yang cuba dicarik. Namun itu tidak boleh dilaksana secara semberono. Ia punyai kaedah dan peraturan.
Lihat bagaimana Nabi melarang seorang hakim memutuskan keputusan dalam keadaan marah, kerana marah menghilangkan kewarasan pertimbangan aqal. Ia cenderung mendorong ke arah melakukan kezaliman. Justeru Ramadhan bulan untuk mengikat dan mengawal kemarahan.
Malang pula, kelihatan di bulan berpuasa ini, jumlah yang marah semakin ramai berbanding di bulan lain, alasannya kerana perut kosong, emosi jadi lebih nipis.
Justeru adakah di bulan lain, emosi kita dikawal oleh perut yang kenyang? Janganlah percaya dengan alasan itu.  Ia hanya mainan Syaitan. Perut kenyang sama sekali bukan merupakan sumber ‘kawalan diri' yang akan berkekalan, yang patut menjadi sumber kawalan marah adalah iman dan taqwa, yang ditawarkan secara habis-habisan di bulan Ramadhan ini. Bertindak cepatlah mengambilnya dan jangan lagi perut dijadikan alasan.
DOSA DALAM DIRI
Namun walau dicuba sedaya upaya untuk tidak terjebak dengan dosa, sebagai manusia kita akan gagal juga. Ada dosa yang berpunca dari kita sendiri, ada juga yang didorong oleh faktor luaran. 'Zero dosa ' bukanlah target kita, ia di luar kemampuan. Target kita adalah ‘minima dosa kecil, zero dosa besar'. Kerana kita manusia dan bukan Malaikat.
Akan tetapi jangan jadikan sifat ‘kemanusiaan' kita sebagai excuse untuk berterusan melakukan dosa, atau selesa dalam dosa. Kelak nanti kita akan hilang kemanusiaan kerana dosa itu, hingga bertukar kepada ‘sifat kebinatangan' atau lebih teruk dari binatang lagi.
Nabi menyebut :
Ertinya : Demi nyawaku di tanganNya, sekiranya kamu tiada dosa, maka Allah akan hapuskan kamu dan didatangkan satu kaum yang berdosa, lalu mereka meminta keampunan Allah, dan mereka diampun oleh Allah ( Riwayat Muslim)
Hadis di atas memberi maklum, kita tidak akan mampu mencapai ‘zero dosa', dan yang diinginkan oleh Allah bagi merkea yang berdosa, sama ada kecil atau besar,  adalah taubat.Sama ada dosanya dari syahwat seksual dan lisan yang tidak terkawal atau lainnya. Pintu peluang untuk bertaubat masih terbuka, pintalah keampunan Allah, gandakan amal soleh agar ia dapat memadam kekotoran yang ditinggalkan oleh dosa.
Saya teringat kes pendakwah dan artis nasyid terkenal, Sdr Ust Akhil Hayy. Kita bersimpati dengan apa yang menimpa rumah tangga lamanya namun kekeruhan dari isu tersebut menjadikan dirinya dicaci dan dihina sebegitu teruk. Lihat saja koleksi ceramah dan nasyidnya di youtube, hampir tidak lekang dari kutukan dan cercaan.Demikian juga cercaan di pelbagai forum-forum di internet.
Semua cercaan ini adalah salah sama sekali, tanpa mengira siapa yang menjadi penyebab awal kepada penceraian itu, menjaja isu ini serta menafikan keseluruhan usaha baik yang telah, pernah dan masih disumbangkan untuk kebaikan Islam, adalah tidak wajar sama sekali.
Dengan terbinanya rumah tangga beliau yang baru, secara peribadi berdoa dan berharap agar tiada lagi aksi kurang sihat dan kurang wajar dilakonkan oleh seorang muslimah bertudung yang berimej Islam , dipertontonkan kepada umum, aksi yang kerap dilihat wujud di dalam filem-filem lucu dan lawak beberapa tahun lalu.  Saya doakan beliau mampu mengubahnya dan perolehi keluarga dan rumahtangga yang diberkati Allah.
Bagi pihak yang terselamat dari ujian sedemikian rupa atau dari sebarang dosa besar khususnya, janganlah meremehkan sesiapa yang pernah jatuh ke dalamnya.  Hulurkanlah bantuan, bukan cercaan. Galakkan mereka terus mempergandakan amalan soleh, bukan membantutkan mereka dari menyakini rahmat Allah.
"orang macam kamu ini memang hina dan tak layak dimaaf oleh Allah lagi"
"tak payahlah lagi kamu ajar orang lain buat baik, kamu tu sendiri pun teruk"
Janganlah sesekali dilontarkan kata sedemikian, ia hanya menjauhkan dia dari keinginan bertaubat dan penyesalan. Kelak nanti yang mengeji mendapat saham dosa juga kerana menghina


Video : Rakaman kuliah ringkas Ramadhan saya di Leicester, UK pada 30 Ogos 09 yang lalu


Semoga diri ini sentiasa ingat..Yakini Allah dan hari Akhirat, ayat yang sentiasa diulang kerap di dalam kitab Al-Quran.
Moga-moga kita semua beroleh taqwa sempena Ramadhan ini yang mampu membantu kita untuk meraih redha Allah swt, diganjari SyurgaNya dan segala nikmatnya.
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

Ahad, 14 Ogos 2011

Kisah 3 lelaki di majlis ilmu



Oleh Amran Zakaria

2011/08/15

Tiada batas usia untuk perbaiki kelemahan diri

ADA kala berlabuh juga perasaan malu di hati kerana memaksa diri untuk mendalami ilmu agama pada usia senja. Sebenarnya dalam agama tidak ada istilah malu atau seumpamanya jika kita bertekad untuk mempelajarinya.
Sikap yakin mesti ditanam sepenuhnya dalam diri bahawa inilah masa terbaik untuk melaksanakan niat setelah sekian lama tertangguh. Faktor umur usah dijadikan alasan untuk mengelak diri daripada mempelajari ilmu agama.
Bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya. - Surah An-Nahl, Ayat 43
Ingatlah bahawa tempoh untuk kita tidak terhad dan terbatas. Islam menetapkan untuk kita bertanyakan sesuatu yang kita tidak tahu dalam hal agama kepada mereka yang lebih tahu. 

Firman Allah yang bermaksud: “Bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya.” (Surah An-Nahl, ayat 43).

Apa yang lebih utama ialah perbetulkan niat untuk mempelajari ilmu agama seikhlasnya demi kerana Allah dan Rasul-Nya. Ingat tujuan sebenar kita menuntut ilmu untuk keluar daripada kejahilan demi mencari kebenaran dan berpegang kepadanya.

Kisah tiga lelaki dalam majlis ilmu yang dikendalikan Rasulullah SAW boleh dijadikan pengajaran kepada sesiapa yang berminat mendalami ilmu agama dan khabar dibawa Rasulullah SAW boleh dijadikan panduan dalam proses pencarian ilmu keagamaan. 
Daripada Abi Waaqid Allaithy menceritakan, sewaktu Rasulullah SAW berada dalam majlis ilmu di masjid bersama sahabatnya, datang tiga lelaki, lalu dua orang terus menyertai majlis ilmu itu manakala seorang lagi berlalu begitu saja (tanpa menyertainya).

Sewaktu kedua-dua orang itu berada dekat halaqah, salah seorang daripada mereka terlihat ruang kosong lalu dia duduk di situ, manakala seorang lagi duduk jauh di belakang. Lelaki yang ketiga beredar.

Apabila Rasulullah SAW selesai mengendalikan pengajian lalu Baginda bersabda: “Mahukah kalian aku khabarkan mengenai hal orang bertiga itu? Yang pertama itu dia bersungguh-sungguh untuk mencari ilmu, maka Allah melapangkan tempat untuknya, manakala yang kedua itu dia berasa malu (tidak bersungguh-sungguh) maka Allah juga malu daripadanya (yakni tidak memberinya ilmu yang banyak) dan yang ketiga itu dia berpaling dari Allah, maka Allah juga berpaling daripadanya (tidak mengendahkannya).”

Daripada Abi Musa, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan hidayah dan ilmu yang aku bawa daripada Allah adalah bagaikan hujan yang lebat menimpa bumi; maka ada bahagiannya yang subur dan mudah menyerap air, lalu tumbuhlah pokok dan rumput yang banyak, dan ada pula bahagiannya yang keras hanya menakung air tetapi tidak menyerap, lalu manusia dapat mengambil manfaat daripadanya seperti minum, menyirami dan mengairi tanaman, dan ada pula bahagian yang lain iaitu bahagian tanah yang sama sekali tidak menerima air dan tidak pula tumbuh tanaman (diatasnya).”

Itu adalah perumpamaan (untuk) orang yang memahami agama Allah, dia dapat mengambil manfaat daripada apa yang diberikan Allah kepadaku, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya (kepada orang lain); dan perumpamaan (untuk) orang yang tidak mengangkat kepala dengan itu; dan (perumpamaan untuk orang) yang tidak menerima hidayah yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepadaku.” (Hadis sahih, Muttafaq ‘Alaihi).

Antara ilmu yang utama ialah ilmu yang diwahyukan kepada Rasul-Nya. Ilmu agama ini diturunkan Allah Taala dengan dua tujuan iaitu mengaturkan hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan Allah Taala. 

Keduanya, dengan ilmu agama ini diajarkan adab dan peraturan yang mesti diamalkan seseorang dalam hubungannya dengan Allah demi mencapai keredaan-Nya. Matlamatnya jelas untuk kebahagiaan di dunia dan mendapat balasan sebaik-baiknya di akhirat kelak.

Letakkan niat yang baik supaya dapat memperbaiki diri dengan menambah pengetahuan dalam ilmu agama bagi memudahkan urusan amal ibadah. 
Daripada Ka’ab bin Malik, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) bertujuan untuk menyaingi ulama atau berbahas dengan orang jahil atau supaya dengan ilmu itu wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah).

catatan : aku ambil daripada bharian.com.my untuk kegunaanku sendiri dan kalian semua, MoGa bermanfaat! Amin.

Khamis, 11 Ogos 2011

BULan Ramadhan - Muhasabah Diri



 
Pada dasarnya manusia dijadikan Allah dalam keadaan fitrah yang baik. Semasa membesar pendidikan yang diterima berbeza-beza mengikut faktor pendidikan yang diterima daripada ibu bapa dan keadaan persekitaran. Faktor-faktor ini mengubah dan menjejaskan fitrah kemanusiaan. Amat beruntunglah seseorang jika pendidikan dan tarbiyah yang diterima berpaksikan Al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Sebaliknya amat rugilah jika amalan hidup bercanggah dengan kedua-dua peninggalan Nabi (Quran & Sunnah).
Allah amat mengetahui keadaan ini. Justeru, diwajibkan berpuasa setiap tahun bagi setiap individu sebagai satu cara untuk muhasabah, mengukur dan memeriksa diri sejauh mana ketaatan telah dilakukan dan sejauh mana kemaksiatan telah ditinggalkan. Introspeksi begini jarang dapat dilakukan di luar bulan puasa. Sebagaimana kenderaan perlu di'overhaul' setelah lama digunakan, begitulah manusia perlu di'overhaul' jasmani dan rohaninya melalui amalan berpuasa. Bulan puasa dalam aspek ini merupakan masa bagi umat Islam menjalani tarbiyah dan kursus pembinaan jasmani dan rohani berlandaskan syariat Islamiah supaya dapat menjalani hidup yang lebih sempurna pada masa hadapan.
Gangguan atau rintangan yang amat mencabar bagi setiap insan ialah syaitan. Syaitan ialah musuh manusia yang utama. Tugas utama dan 'core business' syaitan tidak lain tidak bukan hanya untuk menyesatkan manusia. Setiap detik kerjanya menjahanamkan manusia supaya akan terjun ke neraka seperti mana dirinya yang tiada harapan langsung masuk syurga. Dalam otaknya sudah disetkan begitu. Kita tidak perasan musuh kita yang halus lagi ghaib ini memasang pelbagai strategi untuk memukul kita, manakala kita pula asyik dilalaikan dengan pelbagai tugas, kerja dan amalan harian lain hingga terlupa makhluk syaitan ini hendak memerangkap kita. Nasib baiklah kita ada Allah yang boleh kita minta pertolongan.
Amalan puasa diwajibkan di antara lain ialah untuk memerangi syaitan. Selain berlapar atau menahan diri dari makan dan minum, kita juga dikehendaki puasakan pendengaran, penglihatan dan perkataan. Berlapar dengan tujuan menyempitkan perjalanan syaitan. Syaitan berjalan dalam diri kita melalui saluran darah. Dengan berpuasa syaitan tidak berpeluang menjadikan pembuluhan darah kita sebagai lebuhrayanya. Telinga dihentikan daripada mendengar yang haram, mulut diberhentikan daripada mengeluarkan kata-kata yang jahat seperti mengumpat dan berbohong manakala mata pula dihentikan daripada melihat perkara yang dilarang atau diharamkan. Jika dilakukan dengan penuh ketaatan syaitan tidak langsung dapat peluang memeragkap kita di bulan ini. Tambahan pula dalam bulan ini dinukilkan bulan terbukanya pintu syurga dan ditutupkan pintu neraka.
Pendek kata dalam bulan ini, kita mesti menghisab diri dan mengawasi segala tindak laku kita supaya tidak mencemari amalan puasa. Nabi sentiasa mengingatkan kita supaya jangan menyamakan bulan ini dengan bulan-bulan lain. Mesti ada kelainannya kerana inilah keistimewaannya. Jika anggapan kita Ramadan sama dengan bulan-bulan lain, maka peruntukan pahala dan rahsia Ramadhan tidak akan kita perolehi dan kecapi kelazatannya sama sekali. 
Setelah mempuasakan segala indera kita dari apa yang dilarang oleh Allah, kita digalakkan mengisi sepanjang Ramadhan dengan amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, bersedekah, mengaji ilmu agama, sembahyang terawih dan sebagainya. Amalan di bulan puasa dibalas dengan gandaan pahala yang banyak. 
Walaupun tidur orang puasa diberikan pahala, namun memperbanyakkan tidur di waktu siang tidaklah digalakkkan sebagaimana tidak digalakkan makan banyak pada waktu malamnya. Semasa berbuka memadalah dengan makanan yang sederhana. Janganlah melampaui batas dalam menyediakan makanan berbuka. Kita perlu mengingatkan diri kita tujuan puasa ialah untuk melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika semasa berbuka kita penuhkan dengan pelbagai juadah, maka seolah-olah kita melayan semula kehendak syaitan dan nafsu. Bermakna tujuan puasa pada hari itu masih samar-samar dan tidak memberi kesan positif. Oleh sebab itu, Nabi saw pernah bersabda ramai orang berpuasa tidak dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.
Syaitan sangat suka sifat membazir malahan mereka yang membazir dikatakan kawan syaitan. Tradisi kebanyakan kita membeli juadah dan kuih-muih yang banyak untuk berbuka adalah membazir kerana semasa berbuka hanya sebahagian yang kita makan; selebihnya dibuang saja.
Akhirnya dapat dibuat kesimpulan bulan puasa adalah bulan bagi umat Islam membuat persiapan diri memperkuatkan benteng jasmani dan rohani melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika kita dikalahkan oleh syaitan dalam bulan-bulan lain, dengan bantuan Allah insyallah kita akan menang kerana dapat mengalahkan syaitan pada bulan Ramadhan yang mubarak ini. Kemenangan ini seharusnya tidak dihadkan dalam bulan ini saja; ia perlu dihayati seterusnya pada bulan-bulan berikutnya. Ingatlah kita sedang menjalani kursus dan bengkel mujahadah sepanjang Ramadhan. Budaya sepanjang kursus/bengkel mestilah diteruskan pada bulan-bulan lain. Jika ini berjaya dilakukan barulah dikatakan objektif puasa ini mencapai matlamatnya. Sama-samalah kita lakukan semoga amalan kita diterima oleh Allah Azza Wa Jalla. Amin.


Isnin, 8 Ogos 2011

Bukan 1 tapi 5 Bonus Khas Ramadan


Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh, bersyukur kita ke hadrat Allah subhanahuwataala kerana dengan izinnya dapat lagi kita menemui bulan rahmah, bulan terawih, bulan al-quran, bulan zikir, bulan sedekah dan pelbagai nama lain lagi yang menunjukkan kemuliaan dan kebolehan bulan yang ke-9 dalam kalendar hijrah ini. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W  para sahabat dan kaum keluarga baginda, Hari ini kerajaan mengumumkan bonus setengah bulan gaji kepada kakitangan awam manakala yang telah pencen pula diberkan RM 500. Syukran PM. Pesanan untuk aku dan kakitangan awam lain ialah agar kami semua pandai-pandailah berjimat cermat, jgn pula membazir atau berlebih-lebihan kerana sepanjang bulan ramadan kita telah bermujahadah melawan nafsu dan kita hampir-hampir berjaya hinggalah hari ke-9 itu, sebaik sahaja mendengar berita itu kita menjadi tidak bersyukur ataupun membazir..celotehku kali ini berkaitan dengan 5 bonus yang diberikan oleh Allah Taala kepada orang-orang yang beriman yang berpuasa kerana-Nya.
            Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : Umatku diberikan 5 perkara yang belum pernah diberikan kepada umat-umat terdahulu ketika Ramadan iaitu :
1.      1.  Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi daripada kasturi
2.      2. Para malaikat beristighfar untuk mereka sehingga mereka berbuka
3.     3.    Allah memperindahkan syurga-Nya setiap hari dan berfirman : ‘ Hampir-hampir hamba-Ku yang soleh akan dicampakkan pelbagai kesukaran dan penderitaan lalu kembali kepadamu . ‘ ( Mereka sanggup bersusah payah di dunia demi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat )
4.     4.  Syaitan-syaitan akan dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti pada bulan-bulan selain ramadan.
5.      5. Mereka akan mendapat keampunan pada akhir malam ( orang yang beramal akan disempurnakan pahala amalan mereka setelah selesai mengerjakannya )
Mengenai bonus kelima ini, ada sahabat yang bertanya kepada Baginda S.A.W :
“ Ya ( Wahai ) Rasulullah, apakah itu berlaku pada malam lailatulqadar ? “  Baginda menjawab : “ Bukan, tetapi pelaku kebaikan akan disempurnakan pahalanya setelah menyelesaikan amalnya, “ ( Riwayat Ahmad )

Lihatlah saudara-saudaraku, betapa jika mendapat bonus daripada kerajaan di dunia ini kita rasa seronok atau lain-lain, Adakah kita tidak berasa seronok dengan bonus daripada Allah Taala ini ? Ayuhlah kita tingkatkan amalan wajib dan sunat serta tinggalkan maksiat dan yang haram atau makruh. Terawih dan taddaruus al-quran kita tingkatkan, sedekah jariah kita perbanyakkan. Berbuatlah apa-apa sahaja kebaikan pada bulan rahmat ini. Berbuat baiklah kepada ibu bapa, keluarga dan jiran.Janganlah kerana mendapat bonus hari ini, kita lupakan bonus kita di akhirat. Aku berdoa ke hadrat Illahi semoga malam ini bukannya pusat membeli- belah yang penuh tetapi masjid, surau atau madrasah yang penuh. Amin.

Bekas tunang saman RM1.1 juta



oleh ADHAM SHADAN

PEGUAM Murtadzar (kiri) dan Latifah menunjukkan kad jemputan perkahwinan anak guam mereka di Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Seorang penjawat awam memfailkan saman sebanyak RM1.1 juta ke atas bekas tunangnya di Mahkamah Tinggi di sini semalam kerana membatalkan perkahwinan kira-kira enam jam sebelum mereka sepatutnya diijabkabulkan pada 3 Jun lalu.
Plaintif, Mohd. Masran Ab. Rahman, 32, dari Kampung Banggol Kemunting, Tanah Merah memfailkan writ saman tersebut menerusi dua peguam, Latifah Ariffin dan Mohd. Murtadza Mohd. Mokhtar, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Plaintif tidak hadir di mahkamah kerana bekerja di Kuala Lumpur.
Selain bekas tunangnya, Norzulyana Mat Hasan @ Mat Hussin, 28, yang dinamakan sebagai defendan pertama, Mohd. Masran turut menamakan bapa wanita itu, Mat Hasan @ Mat Hussin Ibrahim, 60, dari Taman Maka, Tanah Merah di sini sebagai defendan kedua.
Lelaki itu menuntut daripada defendan-defendan ganti rugi am sebanyak RM100,000, ganti rugi teruk sebanyak RM500,000, ganti rugi malu sebanyak RM500,000 dan ganti rugi khas yang akan ditentukan kemudian.
Mohd. Masran yang bekerja di Kuala Lumpur kecewa dengan tindakan bekas tunangnya yang membatalkan perkahwinan pada hari mereka sepatutnya bernikah iaitu pada 3 Jun lalu setelah mengikat tali pertunangan sejak tahun lalu.
Norzulyana yang merupakan seorang juruteknik makmal di sebuah hospital di Kuala Lumpur didakwa membatalkan perkahwinan mereka pada pukul 11 pagi, kira-kira enam jam sebelum majlis akad nikah yang dijadualkan selepas Asar tanpa memberitahu apa puncanya.
p/s aku ambil daripada Kosmo online, kalu nk berita penuh kalian dapatkanlah di kedai2 yang berhampiran..Pada pendapat aku, memangla kejadian ini memalukan mangsa tetapi memaafkan orang lain itu lebih baik. Tok Guruku berpesan, buat baik kepada orang yang buat baik adalah biasa yang paling baik bagi kami ( orang Islam ) ialah membuat baik kepada orang yang membuat keburukan kita ataupun jika tidak mampu maafkanlah sahaja dia, InsyaAllah akan mendapat keampuanan pada hari akhirat...Amin.

Hilang 3 ahli keluarga serentak drp Berita Harian Online



Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Shamsul Kamal Amarudin dan Nurhayati Abllah


Saudara baru sedih tak sempat berbuka puasa bersama, sambut Aidilfitri

CAMERON HIGHLANDS: Ramadan dan Aidilfitri tahun ini tidak lagi bermakna bagi saudara baru, Sukainai Jaafar, yang memeluk Islam tiga tahun lalu selepas kehilangan tiga anggota keluarga serentak dalam kejadian tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata di sini petang kelmarin.

Kemeriahan Aidilfitri yang bakal diraikan buat kali ketiga tahun ini pasti tidak lagi meriah tanpa bapanya, Jaafar Balad, 49; ibu, Norma Gunung, 51, dan adik, Mohd Iqbal, 15, yang meninggal dunia akibat tertimbus dalam tragedi itu.
Beliau juga terkilan kerana tidak sempat berbuka puasa bersama keluarganya pada Ramadan kali ini selepas menikmati nikmat dan manfaat berpuasa serta berbuka bersama keluarga dua tahun lalu.
Ini kerana Sukainai hanya sempat bersahur bersama keluarga pada hari pertama Ramadan dan pulang ke Institut As Shifa di Taiping untuk mengikuti kursus Sains Persekitaran.

“Kini saya terpaksa tabahkan hati menerima kehilangan ayah, ibu dan adik bongsu,” katanya dalam linangan air mata ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, di sini semalam.

Kejadian itu bukan saja mengorbankan bapa ibu dan adiknya, malah iparnya, Yusnizan Yusof, 22 dan ketika ditanya perancangannya selepas ini, Sukainai berkata, beliau akan membawa kakaknya, Norfifa, 20, tinggal bersama ibu saudara mereka di Ipoh.

"Dua abang saya, Mohd Riduan, 30, dan Azhar, 26, mungkin akan menetap di kampung ini," katanya.
Jenazah keluarga Jaafar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sedia, di sini, sebaik urusan menuntut jenazah selesai.

Sementara itu, Sendiwara Mohd Ali, 27, iaitu anak kepada seorang lagi terbunuh, Ali Hassan, 50, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian jam 10 pagi semalam dan ketika kejadian berlaku bapanya sedang tidur dalam rumah.

"Saya dimaklumkan, ayah baru pulang dari kerja dan akibat kepenatan dia tertidur. Jadi, dia tidak sempat melarikan diri sebaik rumah kami tertimbus. Kali terakhir saya bertemu ayah pada Oktober lalu,” katanya.

Aku petik daripada Berita Harian On9. Harapanku agar mangsa teguh dan sabar menghadapi ujian yang berat ini..Semoga Allah Taala memberkati dan memberi rahmah kepadamu saudaraku. Amin.







Ahad, 7 Ogos 2011

teka.. apa yg paling singkat ? apa yg menipu ? apa yg dekat ?

‎~** yang singkat itu "WAKTU"

~**yang menipu itu "DUNIA"

~**yang Dekat itu "KEMATIAN"

~**yang besar itu "HAWA NAFSU"

~**yang berat itu "AMANAH"

~**yang sulit itu "IKHLAS"

~**yang mudah itu "BUAT DOSA"

~**yang susah itu "SABAR"

~**yang berharga itu "IMAN"

~**yang ditunggu ALLAH, adalah "TAUBAT"

~~insya ALLAH...kita sama2 mencari keredhaanNYA~~ (D.N)

‘SERANGAN JAIS’ KE ATAS GEREJA: TANYA DIRI KITA DULU! Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Saya belum ingin mengulas tentang ‘serangan’ atau serbuan JAIS ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya seperti yang disiarkan oleh berita beberapa hari ini di sudut tindakan ‘serangan’ itu. Cumanya, seperti mana yang kita ketahui bahawa tiada manusia yang bertamadun yang boleh menerima tindakan provokasi yang boleh mencetuskan permusuhan antara penganut agama tanpa alasan yang sah. Saya ingin menyentuh tentang orang-orang Islam yang hadir ke majlis tersebut yang dikatakan oleh pihak media hadir mereka terpengaruh dengan agama Kristian disebabkan sikap baik penganut agama berkenaan membantu mereka. Difahamkan bahawa orang-orang Islam yang hadir, terutama ibu-ibu tunggal terdiri dari kalangan mereka yang amat daif dan miskin. Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal. Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa ‘jatuh hati’ dan‘terhutang budi’. Di sini beberapa persoalan patut ditimbulkan;


1. Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka sehingga tidak perlu meminta‘sedekah’ kepada orang lain?
2. Mengapa kerenah birokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri. Untuk mendapatkan RM 100-200 pun, begitu banyak kerenahnya. Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih. Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak?
3. Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak untuk golongan muallaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini, sehingga yang sudah muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan dari umat Islam khususnya zakat?!
4. Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang muslim menerima bantuan daripada bukan muslim. Apatahlagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat. Tindakan mereka menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak muslim yang sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut disalahkan.
5. Jika dibincangkan disudut bantuan, pada asasnya, kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap orang untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu. Selagi mengikut peraturan dan undang-undang, seseorang boleh memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa terbatas dengan agama atau bangsa. Janganlah jika kita gagal membantu –sedangkan kita mampu- kita menyalahkan orang lain yang membantu.
6. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan. Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik. Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat muslim? Sebaliknya mereka terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?
Maka, banyak persoalan perlu masyarakat muslim tanya diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain. Tabiat menuding jari kepada orang lain untuk menutup kelemahan sendiri tidak akan dapat menyelesaikan masalah kita!