Selasa, 27 Disember 2011

Jangan tidur selepas subuh!


Kepada sahabat-sahabat yang disayangi mari kita muhasabah diri. Di sebalik diri kita ini, ada sifat pemalas yang perlu diubah. Jika kita tidak ubah tabiat pemalas kita ini, maka bermacam-macam impak negatif bakal menghanyutkan diri ke arah kemudharatan yang lebih besar.
Jika tidak sekarang, bila lagi bukan? Takkan mahu tunggu usia sudah senja baru kita terhegeh-hegeh mengubah diri. Ketika itu, tabiat pemalas kita sudah sebati dengan diri dan amat degil untuk disental segala kekotorannya yang sudah lama melekat dan merosakkan hati kita.

TABIAT PEMALAS YANG PERLU DIUBAHCuba cek diri kita, mana 1 menjadi amalan seharian :
1. Bangun subuh lewat
2. Tidur selepas subuh
3. Melewatkan waktu subuh
4. Ala kadar je bangun subuh
5. Tak bangun pun solat subuh
Sahabat-sahabat, masih ingat lagikah? Di waktu zaman berhingus dulu? Ustaz yang mengajar subjek Pendidikan Islam selalu bertanya di dalam kelas,
“Siapa yang tak cukup solat 5 waktu semalam, sila berdiri”
Tanpa segan silu, secara berjemaahnya kita pun bangun sahabat. Dan bila ditanya, rata-rata yang tak cukup solat 5 waktu, adalah kerana tidak bangun subuh. Kenapa ya sahabat?
Dan kenapa dari kecil lagi, kita dididik sebegini? Diberi penekanan betapa pentingnya bangun subuh dan meraikan ke”subuh”an dengan cara tidak tidur semula seperti bebelan mak kita.
“Jangan tidur lepas subuh. Rezeki tak masuk nanti”
“Anak dara tak manis tidur banyak. Matahari terpacak atas kepala baru nak bangun”
JIKA MAHU BERMUHASABAHRasulullah SAW tidak tidur selepas menunaikan solat subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, “Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi.” Untuk itu, para fuqaha’ memakruhkan tidur selepas solat subuh.
Walaupun hakikatnya tiada dalil dan hadis-hadis soheh mengenai larangan tidur selepas subuh, dan yang ada cuma pendapat daripada para ulama mengenai tidur selepas subuh adalah MAKRUH tetapi tiada larangan tidur selepas subuh.
Dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar : “Dimakruhkan tidurmu -wahai mukallaf- selepas solat Subuh, kerana waktu itu adalah WAKTU MENCARI REZEKI dan berusaha (syara’ dan ‘uruf) di sisi orang yang BERAQAL”.
Tetapi, kita sedar tak wahai sahabat?
Kenapa seharian hidup kita tidak bermaya dan tidak bersemangat? Kadangkala kita pernah menangis kerana tiada duit untuk bayar sesuatu yang penting, malah setiap hari kita pohon kepada Allah agar dimurahkan rezeki, tetapi seolah-olah tiada kesannya?
Kalau orang perempuan, bermacam-macam jenis pencuci muka dicubanya semata-mata nak “kulit bercahaya”. Kalau orang lelaki pula, kerisauan yang tak menentu, jadi bermacamlah “ubat kuat” yang dipakainya.
Kita nak ke isteri macam ini? Nak ke suami yang sebegini?Masing-masing menggeleng tersengih sendirian. Jika kita tak nak pasangan seperti sedemikan rupa, maka kitalah orang pertama dahulu yang kena berubah. Bukan nanti, tetapi sekarang.
MASA UNTUK BERUBAHMaka untuk itu tidak ada alasan lagi untuk menyeru kepada PERUBAHAN.
Buat diri, pastikan masa yang terluang selepas subuh diisi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Jangan tidur terlalu lewat jika sayangkan waktu keemasan di kala subuh.
Buat ahli jemaah, sudahlah diri sibuk, hanya masa ini sahajalah waktu untuk belajar. Gunakan masa sebaiknya.
Buat suami, carilah rezeki. Jangan tidur.
“Kemudian setelah selesai solat, maka betebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). – Surah Al-Jumuah (Ayat 10)
Buat isteri, masaklah, kemas rumah dan sebagainya. Takkan hilang seri rumahtangga kalau kehidupan bermula sebelum terbit fajar. Mak mertua pun tak bising lagi.
“Pesanan terpenting untuk para imam dan bakal imam terutamanya untuk diri sendiri, biasakan diri jangan tidur lepas subuh dan jangan tinggal solat jemaah di masjid, nanti selepas kahwin boleh didik isteri, kalau tak dua-dua hanyut.”
Buat pelajar, kalau nak tips study smart ingat hadith ini “kalau tidur selepas subuh papa dan tidur selepas asar boleh jadi ‘gila’.” Jangan salah pilih waktu untuk belajar atau menghafal.”
Ibnul Qayyim pernah berkata, “Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu muda dan akhir harinya seperti waktu tuanya.”
Amalan seseorang di waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua. Jadi jika seseorang di awal pagi sudah bermalas-malasan dengan sering tidur, maka di petang harinya dia juga akan bermalas-malasan pula.
Antara AKAL dan NAFSU. Pertarungan ini hanya dimenangi jika manusia bersandarkan IMAN. Jika tidak manusia sama sahaja seperti haiwan, tidak menggunakan akal dengan betul. Pembaziran masa adalah perkara yang sangat merugikan. Dan hanya syaitan yang suka pembaziran. Masa itu ibadah. Semoga Allah memberi kebijaksanaan dan kekuatan untuk kita sama-sama mengikut perintah-Nya.
Sedang Nabi melewati anaknya Fatimah RA yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka Baginda bersabda :
“Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.” (Diriwayatkan al-Baihaqi)

Sumber: http://www.iluvislam.com/

Rabu, 14 Disember 2011

Berhati2 memilih Premimpin


Dalam surah al-Hajj ayat 40-41, Allah berfirman:
“Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan”.


Dalam ayat ini Allah menceritakan tentang golongan yang mendapat pertolongan daripada Allah. Mereka ialah golongan yang ‘diteguhkan kedudukan mereka di muka bumi’ berdasarkan kalimat ‘makkannaahum fil ardh’ dalam surah al-Hajj ayat 41. Imam al-Hasan dan Abu al-‘Aliyah mentafsirkan golongan ini sebagai ‘golongan daripada umat ini yang diberikan kemenangan oleh Allah’. Imam Ibn Abu Najih mentafsirkannya sebagai ‘pemimpin-pemimpin’. Imam ad-Dahhak mentafsirkannya sebagai ‘mereka yang kurniakan kerajaan dan kekuasaan oleh Allah’. Kesemua pendapat ini dilaporkan dalam al-Jamik li Ahkamil Quran oleh Imam Qartubi.
Pemimpin yang bagaimanakah yang mendapat pertolongan dan diredai Allah? Secara dasarnya Allah tidak memberi cek kosong kepada para pemimpin, sebaliknya yang diberikan kepada mereka adalah amanah dan tanggungjawab. Antara tanggungjawab itu ialah “mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar”.
Pemimpin Dan Solat
Seseorang pemimpin Muslim memerlukan bantuan dan pertolongan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik, dan penolong yang terbaik baginya ialah Allah. Justeru pemimpin Muslim perlu sentiasa mendekati Allah dengan beribadah kepadanya, dan ibadah yang paling penting ialah solat.
Seorang Muslim yang tidak melaksanakan solat tidak layak menjadi pemimpin. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim nabi bersabda, “Sebaik-baik pemimpinmu ialah mereka yang kamu kasihi dan mereka mengasihimu dan kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat pemimpinmu ialah mereka yang kamu benci dan mereka membencimu dan kamu mengutuk mereka dan mereka mengutukmu.’ Sahabat-sahabat pun berkata, ‘Bolehkah kami menentang mereka?’ Jawab Nabi, ‘Tidak, selama mana mereka tetap menegakkan solat’.”
Hadis ini menunjukkan apabila seseorang pemimpin Muslim memperkecilkan solat, dia perlu turun dari jawatan kepimpinannya.
Pemimpin Dan Zakat
Hubungan yang baik dengan Allah perlu disusuli dengan hubungan yang baik sesama manusia. Dalam erti kata yang lain, seseorang pemimpin Muslim perlu berada di masjid untuk beribadah dan perlu juga berada di rumah rakyat untuk membantu mereka. Kebajikan rakyat tidak boleh diabaikan termasuk dalam aspek material dan kesenangan duniawi. Jika boleh kemiskinan dibasmi sepenuhnya dan semua rakyat hidup dalam keadaan senang lenang.
Antara contoh yang terbaik ialah pemerintahan khalifah Omar bin Abdul Aziz. Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin yang bertakwa lagi adil. Pemerintahannya memakan masa 30 bulan. Dalam masa itu kemiskinan berjaya dibanteras dan rakyat ketika itu hidup dalam kemewahan. Berhubung dengan ini Yahya bin Said meriwayatkan, “Khalifah Omar Abdul Aziz mengutus aku untuk mengutip zakat di Afrika. Aku pun melaksanakan tugas ini dan kemudiannya aku pun mencari golongan fakir miskin untuk di berikan zakat namun golongan ini tidak aku temui. Sesungguhnya khalifah Omar Abdul Aziz telah menjadikan kami manusia yang kaya raya”.
Ibadah zakat yang disebutkan dalam surah al-Hajj ayat 41 menekankan tentang aspek ini. Kebajikan rakyat dalam aspek duniawi tidak boleh dipandang ringan.
Pemimpin Dan Amar Makruf Nahi Mungkar
Terdapat sebahagian pemimpin Muslim yang tidak melupakan solat dan zakat, tetapi mereka melupakan tanggungjawab untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkiran. Mereka juga tidak layak memimpin masyarakat. Berhubung dengan ini Imam Qartubi, dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, melaporkan perkataan Imam Sahl bin Abdullah yang bermaksud, “Mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran adalah wajib ke atas mereka yang berkuasa serta ulama”.
Tidak ada kemuliaan bagi mereka yang mengabaikan amar makruf dan nahi mungkar. “Makruf” bermaksud “sesuatu yang baik mengikut pandangan syarak dan akal,” dan “mungkar” pula bermaksud “sesuatu yang berlawanan dengan makruf sebagai contoh, meninggalkan perkara yang difardukan serta kewajipan, ataupun melakukan perbuatan yang haram sama ada berbentuk dosa kecil ataupun besar”. Tafsiran ini disebutkan oleh Muhammad ibn Illan Al-Makki dalam Dalilul Falihin (Maktabah Al-Halabi, Mesir; jilid 2)
Aspek ini amat dipentingkan oleh Islam sehinggakan, mengikut riwayat Muslim, Nabi mengizinkan penentangan dilakukan jika pemimpin melakukan ‘kufran bawaahan.’ Sahabat Abdullah bin Samit meriwayatkan, “Kami berbaiah (iaitu membuat perjanjian taat setia) agar tidak menentang kepimpinan melainkan jika berlaku ‘kufran bawaahan’ di mana di sisi Allah bukti-buktinya adalah amat jelas.” Imam Nawawi mentafsirkan ‘kufran bawaahan’ sebagai ‘maksiat yang dilakukan oleh seseorang pemimpin yang jelas bercanggah dengan kehendak agama Allah dan kaedah-kaedah Islam’. Hal ini dilaporkan dalam kitab Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).
Justeru seseorang yang tidak menyeru kepada makruf dan pada ketika yang sama membiarkan serta menggalakkan perbuatan mungkar (dan yang lebih teruk lagi ialah dia sendiri terlibat melakukan kemungkaran itu), maka dia tidak layak menjadi pemimpin umat. Qadhi Iyad memfatwakan, “Apabila berlaku ke atas seseorang pemimpin tanda-tanda kekufuran, perbuatan mengubah syariat ataupun amalan bidaah, wajiblah dilucutkan kepimpinannya dan gugurlah ketaatan rakyat kepadanya. Ketika itu beliau hendaklah digantikan dengan seorang yang adil”. Fatwa ini dilaporkan dalam Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).
Usaha untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa ilmu. Justeru seseorang pemimpin Muslim wajib menguasai ilmu apatah lagi ilmu agama. Rata-ratanya kita sudah mengetahui bahawa ilmu yang diperlukan bukanlah semata-mata ilmu tentang tajwid, rukun solat, mandi wajib, wuduk, tayamum dan yang seumpamanya. Ia lebih dari itu.
Di samping itu beliau juga merupakan peribadi yang bersedia untuk terus belajar dan mendengar serta menghormati pandangan golongan ilmuwan terutamanya dalam bidang agama.
Berhati-hati Memilih Pemimpin
Ketika dalam perjalanan kita disuruh berhati-hati di jalan raya. Hadis-hadis pula menyuruh umatnya berhati-hati ketika memilih pasangan hidup serta kawan. Maka dalam konteks memilih pemimpin ia sudah pasti lebih dituntut lagi kerana isunya adalah lebih besar dan kesannya lebih meluas.
Dalam surah Al-Baqarah ayat 124, Allah berfirman:
“Berkata Allah (kepada Ibrahim), ‘Sesungguhnya Allah akan menjadikan kamu Imam (pemimpin) untuk manusia’. Berkata Ibrahim, ‘Dan juga dari keturunanku.’ (Berfirman Allah), ‘Janji-Ku tidak akan diberikan kepada mereka yang zalim’.”
Ayat ini menunjukkan pemimpin tidak boleh dilantik secara sembarangan. Sehubungan dengan ini Imam Qartubi dalam Al-Jamik li Ahkamil Quran berkata, “Ayat ini (iaitu al-Baqarah ayat 124) merupakan dalil bagi satu jemaah ulama Islam bahawa pemimpin-pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia…..Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin”.

Sumber: http://www.danialzainalabidin.com

Khamis, 8 Disember 2011

BANGUNAN YANG TIDAK ROSAK




                     Diriwayatkan seorang raja berhasil membangunkan kota dengan segala keperluannya yang cukup megah. Kemudian raja itu mengundang rakyatnya untuk berpesta ria menyaksikan kota itu. Pada setiap pintu, penjaga diperintahkan untuk menanyai setiap pengunjung adakah cela dan kekurangan kota yang dibangunnya itu. Hampir seluruh orang yang ditanyai tidak ada cacat dan celanya. Tetapi ada sebahagian pengunjung yang menjawabnya bahawa kota itu mengandungi dua cacat celanya. Sesuai dengan perintah raja, mereka ditahan untuk dihadapkan kepada raja.

"Apa lagi cacat dan cela kota ini?" tanya raja. "Kota itu akan rosak dan pemiliknya akan mati." Jawab orang itu. Tanya raja, "Apakah ada kota yang tidak akan rosak dan pemiliknya tidak akan mati?" "Ada. Bangunan yang tidak boleh rosak selamanya dan pemiliknya tidak akan mati." Jawab mereka. "Segera katakan apakah itu." Desak raja. "Syurga dan
 Allah s.w.t. pemiliknya," jawabnya tegas. Mendengar cerita tentang syurga dan segala keindahannya itu, sang raja menjadi tertarik dan merinduinya. Apa lagi ketika mereka menceritakan tentang keadaan neraka dan azabnya bagi manusia yang sombong dan ingin menandingi Tuhan. Ketika mereka mengajak raja kembali ke jalan Allah s.w.t., raja itu pun ikhlas mengikutinya. Ditinggalkan segala kemegahan kerajaannya dan jadilah ia hamba yang taat dan beribadah kepada Allah s.w.t.

Jumaat, 25 November 2011

Doa akhir tahun dan awal tahun hijrah


DOA AKHIR TAHUN

Doa akhir tahun dibaca pada akhir waktu asar tanggal 29 atau 30 Zulhijjah sebanyak 3 kali. Dengan izin Allah, sesiapa yang memabaca doa ini akan mendapat Perlindungan Allah SWT dari fitnah dan tipu daya syaitan serta mendapat setahun keampunan dosa selama setahun kebelakang. Doanya adalah:
Maksud Doa:
Segala pujian bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam  kepada junjungan Rasul dan kepada keluarganya dan para sahabat sekalian. Ya Allah, apa yang telah kami lakukan sepanjang tahun ini dari apa yang Engkau larang kami daripadanya, maka tidak sempat kami bertaubat darinya dan Engkau tidak meredhainya dan tidak Engkau melupainya dan Engkau berlemah lembut kepada kami walaupun Engkau memberi peluang supaya kami bertaubat setelah kami melakukan maksiat kepada Engkau, maka sesungguhnya kami memohon keampunan Engkau, maka ampunilah kami. Apa yang kami lakukan padanya dari apa yang Engkau redhainya dan Engkau telah menjanjikan kami ganjaran pahala keatasnya, maka kami memohon akan Dikau wahai Tuhan Yang Maha Mulia yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan semoga Engkau menerima kami dan janganlah Engkau memutuskan harapan kami dari kurnia Engkau wahai Tuhan Yang Mulia. Moga-moga Allah S.W.T mencucuri rahmat dan sejahtera kepada junjungan kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan sahabat-sahabat sekalian. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

DOA AWAL TAHUN

Fadilat doa Awal Tahun adalah membenteng diri dari gangguan syaitan. Barang siapa membaca doa ini sebanyak 3 kali selepas solat rowatib ba’diyyah Maghrib pada malam tanggal 1 Muharram, Allah akan memerintahkan 2 malaikat untuk melindunginya daripada fitnah dan tipu daya syaitan selama setahun. Berikut adalah doa awal tahun:
Maksud Doa:
Segala pujian bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam kepada junjungan Rasul dan kepada keluarganya dan para sahabat sekalian. Ya Allah, Engkaulah Yang Kekal, Qadim lagi azali dan di atas kelebihan Engkau Yang Besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang sesungguhnya telah mendatangi kami, kami memohon kepada Engkau pemeliharaan padanya daripada syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan kami memohon pertolongan dari nafsu yang banyak mendorong kepada kejahatan dan kami memohon kepada-Mu untuk melakukan sebarang pekerjaan yang boleh mendekatkan diri kami kepada-Mu. Ya Allah, Tuhan yang merubah segala keadaan, ubahlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dengan kekuasaan dan kurnian-Mu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Moga-moga Allah S.W.T mencucuri rahmat dan sejahtera kepada junjungan kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan sahabat-sahabat sekalian. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Semoga Allah menerima doa kita semua.
Nota:
* Doa dipetik dari: Surah Yasin, Tahlil dan Doa, Terbitan Abad Sinergi Sdn Bhd, Cetakkan Kedua Disember 2009

Jumaat, 11 November 2011

Allah Maha Pengampun - kisah teladan




Di zaman Nabi Musa ada seorang fasik yang suka melakukan kejahatan. Penduduk negeri tersebut tidak mampu lagi mencegah perbuatannya, lalu mereka berdoa kepada Allah. Maka Allah telah mewahyukan kepada Nabi Musa supaya mengusir pemuda itu dari negerinya agar penduduknya tidak ditimpa bencana. Lalu keluarlah pemuda tersebut dari kampunganya dan sampai disuatu kawasan yang luas, dimana tidak seekor burung atau manusia pun di situ.

Selang beberapa hari pemuda itu jatuh sakit. Merintihlah ia keseorangan, lalu berkata: "Wahai Tuhanku, kalaulah ibuku, ayahku dan isteriku berada di sisiku sudah tentu mereka akan menangis melihat waktu akan memisahkan aku dengan mereka (mati). Andaikata anak-anakku ada di sisi pasti mereka berkata: "Ya Allah, ampunilah ayah kami yang telah banyak melakukan kejahatan sehingga ia diusir dari kampungnya ke tanah lapang yang tidak berpenghuni dan keluar dari dunia menuju akhirat dalam keadaan putus asa  dari segala sesuatu kecuali rahmat-Mu ya Allah."

Akhir sekali pemuda itu berkata: Ya Allah, janganlah Kau putuskan aku dari rahmat-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa terhadap sesuatu." Seterlah berkata maka matilah pemuda itu.

Kemudian Allah mewahyukan kepada Nabi Musa, firmannya: "Pergilah kamu ke tanah lapang di sana ada seorang wali-Ku telah meninggal. Mandikan, kapankan dan sembahyangkanlah dia." Setiba di sana Nabi Musa mendapati yang mati itu adalah pemuda yang diusirnya dahulu. Lalu Nabi Musa berkata: "Ya Allah, bukankah dia ini pemuda fasik yang Engkau suruh aku usir dahulu." Allah berfirman: "Benar. Aku kasihan kepadanya disebabkan rintihan sakitnya dan berjauhan dari kaum keluarganya. Apabila seseorang yang tidak mempunyai saudara mati, maka semua penghuni langit dan bumi akan sama menangis kerana kasihan kepadanya. Oleh kerana itu bagaimana Aku tidak mengasihaninya sedangkan Aku adalah zat Yang Maha Penyayang di antara penyayang."

Rabu, 9 November 2011

seharum kasturi kerana takutkan Allah s.w.t




ketika ramai orang bertanya kepada Saidina Abu Bakar: " Kami selalu mencium bau harum kasturi dari tubuhmu sedangkan kamu tidak memakai kasturi. Apakah yang menyebabkan dirimu menjadi seharum kasturi?" Saidina Abu Bakar menjawab," Demi Allah, sudah bertahun aku tidak memakai kasturi tetapi bau harumnya bagaikan sebati dalam diriku. Mereka bertanya bagaimana boleh terjadi hal sedemikian.
Lalu Abu Bakar Al-Miski pun menceritakan peristiwa di sebalik keharuman kasturi itu. Pada suatu hari, ada seorang wanita yang melakukan tipu daya terhadapku sehingga aku masuk ke dalam rumahnya.
Ketika aku berada di dalam rumahnya, dia menutup semua pintu dan jendela rumahnya seraya menggodaku untuk melakukan maksiat. Aku kebingungan dan tidak tahu bagaimana harus melarikan diri. Lantas aku bertanya  wanita itu, " Aku ingin ke tandas untuk berhadas".
Lalu wanita tersebut memerintahkan pembantunya untuk menghantarku ke tandas. Sesudah berhadas, aku pun melumuri seluruh badanku dengan kotoran najisku. Kemudian aku kembali kepada wanita tersebut. Wanita tersebut sungguh terkejut dan marah dengan tindakanku dan menyuruh pembantunya mengusirku. Setelah itu, aku pulang ke rumahku dan mandi.
Pada malam harinya, aku bermimpi ada suara berkata kepadaku, "Kamu telah melakukan suatu amalan yang belum pernah dilakukan oleh siapa pun. Sungguh Kami akan mewangikan tubuhmu di dunia dan akhirat". Ketika aku bangun pagi keesokan harinya, aku merasakan tubuhku menyebarkan bau kasturi sehingga ke saat ini ia masih kekal.
Begitulah kisah para sahabat yang takutkan azab Allah s.w.t. Betapa perlunya perasaan takutkan Allah ini terselit dihati umat Islam yang inginkan kebahagiaan ukhrawi.
"Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar"- Al-Mulk:12.