Ahad, 31 Julai 2011

Adab berpuasa dan Terawih


Adab berpuasa dan solat terawih
Oleh NAZMI AIDARUS
Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;
3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;
4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)
Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);
5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;
6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.
Kenyang
Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..
Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)
Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”
As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;
7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;
8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);
9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)
10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.
Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.
Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.
Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.
Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)
- NAZMI AIDARUS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

kelebihan Ramadhan


Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-
PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.
Biografi
1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

Sabtu, 30 Julai 2011

Nasihat Imam al-Ghazali

Nasihat Imam Ghazali.Pintu-pintu syaitan masuk ke dlm hati:1. Pintu marah & syahwat.
2. Hasad dengki & tamakkan keduniaan.
3. Kekenyangan.
4. Kegemaran menghias diri & r.tangga.
5. suka mengampu & diampu.
6. Gopoh.
7. Harta.
8. Lokek & takutkan kemiskinan.
9. Keterlaluan fanatik, taksub,pendendam & suka menghina.
10. Perbuatan memikir tentang zat & sifat2 Allah secara melampau.
11. suka prasangka


Jumaat, 29 Julai 2011

Pintu Hati yg MUdah Dimasuki Iblis dan Kuncu-kuncunya



Seorang Hakiem berkata; Ketika diperhatikan dari manakah syaitan dapat menembus pada anak Adam, mendadak terdapat sepuluh jalan.

1. Dari sifat rakus dan Su'udhdhan [jahat sangka],

*Maka ana lawan dengan kepercayaan pada janji Allah dan Qanaah, dan untuk memperkuatkan perlawanan itu ana berpedoman pada kitab Allah dalam ayat yang bermaksud; "Tiada suatu pun melata di bumi ini melainkan dijamin oleh Allah rezekinya". Maka dengan itu ana patahkan ia.

2.  Dari panjang angan-angan, lamunan,

*Maka ana hadapi dengan ingat pada datangnya maut dengan tiba-tiba bersendikan ayat Allah yang bermaksud; " Tiada satu jiwa pun yang mengetahui dimana ia akan mati". Maka dengan itu ana dapat mematahkan tipuannya.

3.  Dari keinginan istirahat dan nikmat,

*Maka ana hadapi dengan mengingati hilangnya nikmat dan beratnya hisab, bersandarkan ayat Allah yang bermaksud; "Biarkan mereka makan dan bersuka-suka dan dilalaikan oleh angan-angan". dan ayat yang bermaksud; "Tidakkah kamu lihat jika kami senangkan mereka beberapa tahun, kemudian tiba apa yang telah dijanjikan pada mereka, maka tidak berguna kemewahan dan kesenangan mereka". Maka dengan itu ana tewaskan ia.

4.  Dari Ujub bangga diri.

*Maka ana hadapi dengan mengingati kurnia dan takut pada akibat berdasarkan ayat yang bermaksud; "Maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang untung"., sedangkan ana tidak mengetahui yang ana termasuk ke dalam golongan yang mana. Maka dengan itu ana patahkan tipuan syaitan itu.

5.  Dari meremehkan kawan dan tidak menghargai mereka.

Maka ana lawan dengan dengan menghormati mereka bersendikan firman Allah yang bermaksud; "Kemulian itu Haq Allah dan Rasulullah dan orang-orang mukmin". Maka ana patahkan dengan itu.

6.  Dari sifat hasud {dengki dan iri hati).

*Maka ana hadapi dengan keadilan Allah dalam membahagi nikmat buat makhlukNya berpandukan firman Allah yang bermaksud; "Kami yang membahagikan penghidupan mereka di dunia". Maka dengan itu ana dapat mematahkannya.

7. Dari sifat Riya dan ingin pujian orang.

*Maka ana patahkan dengan dengan ikhlas berdasarkan firman Allah yang bermaksud; "Maka siapa yang berharap akan bertemu pada Tuhan hendaklah beramal dengan amal yang sholeh dan tidak menyekutukan Tuhan dengan sesuatu apapun". Maka dengan itu ana patahkan tipuan syaitan itu.

8. Dari sifat kikir (bakhil).

*Maka ana hadapi dengan dengan mengingat rosaknya apa yang ada di tangan orang-orang berdasarkan ayat Allah yang bermaksud; "Apa yang ada padamu akan rosak binasa dan yang di sisi Allah tetap kekal". Maka dengan itu ana mengalahkannya.

9. Dari sifat sombong.

*Maka ana hadapi dengan sifat Tawadhu' berdasarkan ayat yang bermaksud; "Sungguh kami jadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami jadikan kau bersuku-suku dan berbangsa-bangsa supaya mudah kenal-mengenal, bahawa orang yang termulia di antara kamu ialah orang-orang yang bertaqwa". Maka dengan itu ana dapat kalahkannya.

10. Dari sifat Tamak.

*Maka ana hadapinya dengan putus harapan dari apa yang ada di tangan manusia, dan hanya berharap kepada Allah bersendikan ayat yang bermaksud; "Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah memberinya jalan keluar dari segala kesempitan dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka".

Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu menjadi Pelindung. (Al-Isra' : 65) 

Dan sememangnya tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawas tiap-tiap sesuatu.[Saba: 21]  

Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, "Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik" (Al-Hijr: 39-40)



Sedikit panduan untuk mengatasi rayuan dan godaan iblis, jin dan syaitan ialah seperti berikut :-
1.      Bacalah “ Robbi a uuzubika min hamazatis sayaatin wa a uzubika robbi an yah dhuruun “  maknanya “Ya Allah ya Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari godaan syaitan dan aku berlindung kepadaMu wahai Tuhanku dari kedatangan mereka(syaitan).”

2.      Rumah yang tidak dimasuki iblis ialah rumah yang penghuninya saling bermaafan, dalam keadaan berzikir, selalu menjauhi dosa, merendah diri kepada Allah, soleh dan solehah, berbakti kepada ibu bapa, berwuduk dan bersolat serta sentiasa membaca al-Quran.

3.      Ada beberapa jenis senjata untuk melawan syaitan, iaitu membaca Bismillah, banyak berzikir, beristighfar, membaca "la ila ha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin", membaca doa pagi dan petang, bersugi dan gosok gigi, solat berjemaah, berwuduk sebelum tidur, menutup aurat, membaca doa masuk tandas, banyak berselawat kepada nabi, bertaubat banyak-banyak dan banyak membaca al-Quran.

Sekadar perkongsian yang ku petik drp cahayamukmin dan lain-lain serta amalanku sendiri. Semoga kami semua dijauhkan daripada iblis, syaitan dan jin. Amin.

Khamis, 28 Julai 2011

Empat termasuk dua beranak maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan



BAGAN SERAI - Empat termasuk dua beranak terbunuh manakala dua cedera parah dalam kemalangan membabitkan bas ekspress dan treler di Km 201.5 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kamunting, tengah malam tadi.

Mereka yang terbunuh ialah anggota Pasukan Gerakan Am Abdul Shahreer Abu Hassan, 23, anak lelakinya Mohd Fariz Daniel, setahun, yang merupakan penumpang bas, pemandu treler K. Supramaniam, 30, dan kelindannya A. Yugeswara Rao, 25.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mat Fauzi Nayan berkata mereka yang parah dikenal pasti sebagai pemandu bas ekspress Azizi Abdul Rahman dan penumpang bas Foziah Mokhtar yang juga isteri Abdul Shahreer.

Tiga terbunuh di tempat kejadian, manakala Mohd Fariz Daniel disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Taiping, sementara yang parah pula kini dirawat di hospital yang sama, katanya pada sidang media, di sini.

Pasangan suami isteri dan anak mereka itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke Simpang Renggam, Johor tempat Abdul Shareer bertugas, katanya.

Mengulas kejadian itu, Mat Fauzi berkata kemalangan berlaku kira-kira 12.35 tengah malam apabila treler yang dalam perjalanan ke utara dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Treler itu kemudian bertembung dengan bas ekspress yang dalam perjalanan dari Perlis ke Johor dengan 30 penumpang.

Akibat rempuhan kuat treler tersebut, tiga penumpang tercampak keluar, katanya. Beliau berkata pihak berkuasa terpaksa menghubungi pasukan bomba dan penyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan terperangkap dalam bas berkenaan.

Mat Fauzi berkata penumpang bas yang tidak mengalami kecederaan kemudian dibenar meneruskan perjalanan dengan bas gantian. - Bernama

Jumaat, 22 Julai 2011

LafaZ niat daN kELEbihaN BuLan RaMadhaN


Bulan Sya’ban dah hampir tiba ke penghujungnya dan tak lama lagi umat islam bakal menyambut kehadiran Ramadhan Al – Mubarak. Tinggal berapa hari lagi ni? Kurang 2 minggu untuk ketibaan ramadhan. Jadi sama-sama ingat kembali lafaz niat puasa ramadhan jika terlupa dan kelebihan-kelebihan yang bakal diperolehi oleh kita umat Islam di bulan Ramadhan nanti.
Lafaz niat untuk sebulan :
niat puasa sebulan
Ertinya : Sahaja aku berpuasa keseluruhan bulan Ramadhan kerana Allah Ta’ala
Lafaz niat untuk harian :
niat harian puasa ramadhan
Ertinya : Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala
Lafaz doa ketika hendak berbuka :
lafaz doa berbuka di bulan ramadhan
Ertinya : Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau beriman aku dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang.
Lafaz doa selepas berbuka puasa :
doa selepas berbuka puasa
Ertinya : Ya Allah! Kerana Engkau aku berbuka puasa dan kepada Engkau aku beriman dan atas rezeki dari Engkau aku berbuka puasa telah hilang dahaga sudah menjadi basah segala urat. Ya Allah! Aku minta diampuni dosaku dengan rahmat Engkau yang meliputi segala sesuatu.

Ramadhan merupakan bulan yang diberikan begitu banyak ganjaran dan nikmat oleh Allah S.W.T kepada hamba-hambanya.Waktu hampir ketibaan bulan Ramadhan di UIAM memang aku perhatikan suasananya berlainan dan disambut meriah,serupa macam nak hari raya Aidilfitri. Tahun ni sedikit berbeza sebab sebulan Ramadhan ni aku akan berada di rumah.
Antara kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan yang umumnya diketahui :
  • Bulan keampunan yang penuh berkat untuk hamba-hambaNya yang tidak pernah lari dari kesilapan dan dosa.
  • Diturunkan satu malam yang istimewa iaitu Lailatul Qadar dimana malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Digandakan pahala amalam pada malam tersebut.
  • Diturunkan petunjuk bagi manusia iaitu Al-Quran pada bulan Ramadhan.Oleh itu kita digalakkan untuk memperbanyakkan serta menggandakan bacaan Al-Quran beserta maksudnya di bulan Ramadhan nanti.
  • Ditutup pintu neraka dan dibukakan seluasnya pintu syurga.
  • Syaitan tidak dapat menghasut manusia pada bulan Ramadhan.Namun jika masih ada kejahatan yang dilakukan ia berpunca dari nafsu diri sendiri.Mohonlah keampunan Ilahi di bulan Ramadhan yang mulia itu.
  • Kegembiraaan orang yang berpuasa dengan ikhlas ketika Ramadhan ialah bila tiba waktu berbuka puasa kerana dia dapat menghalang dirinya daripada melakukan kejahatan.
Terdapat banyak lagi kelebihan di bulan Ramadhan nanti. Jika kita lihat maksud puasa di bulan Ramadhan itu sendiri ialah menahan diri daripada makan dan minum dari terbit fajar sehingga terbenam matahari serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Dianjurkan oleh umat Islam untuk tidak melakukan maksiat,tidak mengumpat serta lain-lain perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa itu sendiri walaupun kita tidak makan dan minum di siang hari.
Jadi sama-sama kita saling ingat-mengingati,memohon keampunan Ilahi atas dosa-dosa yang dilakukan sebelum ini. Jangan leka sangat dengan persiapan hari raya, raikan juga ramadhan ini sebaiknya. Disini ada satu facebook page bernama Warna Ramadhan yang boleh korang lawati. Selamat menyambut ketibaan Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam. 

Khamis, 21 Julai 2011

istiqamah


Sebuah hadis Rasulullah ada menyebut bahawa amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah yang kekal walaupun sedikit. Para ulamak juga sentiasa mengingatkan kita peri pentingnya istiqamah dalam setiap amal perbuatan kita. Istiqamah juga terbukti merupakan kunci kepada kejayaan sesorang di dalam amalannya dan peningkatannya dari satu darjat ke satu darjat di sisi Allah. Seorang yang ibadahnya sekejap berkurang sekejap bertambah mana mungkin sama dengan seseorang yang ibadahnya kekal berterusan. Malahan seorang yang istiqamah pasti diberikan kelazatan amalan tersebut oleh Allah Taala, maka akan berusaha menambahkannya lagi.

Seorang khatib di sini, baru-baru ini menceritakan beliau didatangi oleh seorang lelaki yang ingin menghafal Al-Quran secara laju dan sehingga 10 helaian dalam satu hari. Khatib tersebut melarangnya dan menyuruhnya menghafal 5 ayat sahaja dalam sehari. Dia enggan lalu pergi dari khatib tersebut dan ingin menghafal sendirian. Seorang lagi pemuda menghafal lima ayat sehari dan seorang lagi menghafal seayat sehari, tetapi dengan cara istiqamah. Hasilnya, pemuda yang mampu menghafal banyak ayat sehari sehingga hari ini belum mampu menghafal keseluruhan Al-Quran kerana tidak istiqamah dan terpaksa mengulangnya semula setelah terhenti beberapa hari atau minggu. Sedangkan pemuda kedua yang menghafal 5 ayat sehari telah pun menghafal keseluruhan Al-Quran. Inilah perbezaan nyata antara istiqamah dengan tidak.

Guru ana, Al-Habib Omar bin Abdullah As-Syatri selalu mengingatkan kami para pelajarnya supaya istiqamah. Walau apa jua yang terjadi tidak boleh dijadikan alasan untuk meninggalkan majlis ilmu. Beliau sendiri menunjukkan contoh teladan yang baik dengan istiqamah apabila walaupun sakit pun akan tetap meneruskan pengajian kerana istiqamah. Malahan jika ada saudara mara yang meninggal dunia pada malam pengajian, beliau tidak akan meninggalkan pengajian dan hanya akan berziarah selepas tamat pengajian. Begitulah yang dididik dan ditekankan sentiasa kepada kami. Ana sendiri ketika mengajar sesetengah pelajaran seperti faraidh akan menekankan perkara ini, dan akan tidak senang jika ada pelajar yang ponteng kelas, walau dengan apa jua alasan.

Namun begitu, syaitan tentu sekali akan berusaha keras untuk menghalang kita dari istiqamah. Begitu jua tuntutan nafsu yang ammarah bissu' akan melemahkan kita dari terus kekal berbuat kebajikan. Oleh itu kita dituntut supaya sentiasa memohon kepada Allah agar dikurniakan istiqamah dan dibantu dalam berbuatan amalan kebajikan. Kesabaran juga amat diperlukan dalam memastikan diri terus kekal melakukannya. Inilah yang kita namakan sabar dalam melakukan ketaatan.

Antara tips atau nasihat para ulamak dalam mendidik diri untuk istiqamah adalah tidak memberatkan diri dengan apa yang tidak termampu. Selain itu mulakan amalan kita dengan berbuat perkara yang mudah dahulu, dan setelah pasti akan istiqamah dan mendapat kelazatannya, barulah ditambah sedikit demi sedikit. InsyaAllah kita diberi oleh Allah kemudahahan dalam melaksanakannya. Kita juga boleh membuat jadual dalam masa tersebut, ibadat yang kita ingin istiqamah dan ibadat yang bergantung kepada situasi dengan syarat berniat untuk terus istiqamah. Jadual ibadat yang kekal istiqamah tersebut perlu diwajibkan atau ditekankan ke atas diri seberapa boleh sehingga ia menjadi satu kelazatan pula.

Seorang penuntut ilmu misalnya takkan dapat mencapai kelazatan menuntut ilmu dan rahsia serta hikmah ilmu tersebut tanpa istiqamah. Maka itu dia perlu kekal dalam kelas-kelas pengajian dan mengulangkaji pelajarannya. Jangan dijadikan apa jua alasan untuk kita jauh dari majlis-majlis ilmu yang banyak di tempat kita berada. Selain itu boleh juga dijadikan segala perbuatan kita sebagai satu cara menuntut ilmu dengan malazimi dan mendampingi para ulamak. Segala perbualan kita nescaya dikira sebagai satu bentuk menuntut ilmu. Maka mudahlah kita untuk terus istiqmah dengannya. Azam yang kuat dan cekal amat perlu dalam menuntut ilmu kerana dugaannya amat banyak sesuai dengan ganjarannya yang begitu besar.

Antara tanggungjawab seorang yang berilmu pula adalah menyampaikan ilmunya juga dengan istiqamah, tak kira di mana berada dan dengan apa jua cara. Seseorang yang boleh berdakwah dengan berkata-kata, maka perlulah selalu kekal dalam berdakwah dengan kata-katanya yang berhikmah dan mengajak kepada kebaikan. Sesorang yang boleh menulis, maka jadikanlah mata penanya (atau keyboardnya) sebagai wasilah dakwahnya. Begitu jua berdakwah dengan akhlak yang semestinya kekal sentiasa dilakukan tak kira apa situasi kita.

Penulisan blog juga adalah satu medium dakwah yang sepatutnya dijadikan satu senjata oleh para daie. Terdapat banyak blog hari ini yang digunakan untuk menyampaikan dakwah (walaupun ada yang menyampaikan dakwah yang tidak betul atau tidak tepat). Maka itu penulis blog dakwah juga perlu sentiasa kekal istiqamah dalam menyampaikan dakwahnya. Apapun tidak boleh dijadikan alasan untuk kita lalai dari tanggungjawab ini.

Seorang sahabat bertanya kepada ana baru-baru ini apakah rahsia hits yang banyak dalam sebuah blog. Jawapannya mudah bagi ana, istiqamah. Tanpa istiqamah pengunjung juga takkan berkunjung lagi dan tidak lagi menantikan dakwah kita yang seterusnya. Tetapi dengan istiqamah pengunjung akan sentiasa menantikan bilakah update seterusnya. Maka dakwah kita juga akan mendapat tempat di hati mad'u serta diterima baik. Tentu sekali syarat-syarat asas dalam penulisan kita juga ada iaitu penulisan yang berkualiti (dari segi bahasa dan isinya), dakwah yang betul dan tepat (isi, metodologi, keutamaan, manhaj) dan yang terutama ikhlas kerana Allah.

Semoga Allah memudahkan kita untuk terus istiqamah dalam apa jua amalan baik kita.

Selasa, 19 Julai 2011

air mataku tertumpah tatkala baca ini..Dr Lo'lo yang saya kenali- MAZA


Dr Lo'lo' yang saya kenali
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Jul 19, 11
8:46am
Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebahagian bilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini. 

NONEHidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang.

Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya.

Apabila saya menerima berita kematian YB Dr Lo'lo' Mohd Ghazali, perasaan saya menjadi sugul. Saya teringatkan sikap prihatin beliau kepada saya sepanjang saya mengenalinya. 

Paling sayu, saya teringat permintaan beliau beberapa minggu lepas ketika saya menziarahi beliau dalam keadaan yang amat uzur. Beliau meminta saya menulis sebuah puisi untuknya. Ternyata saya tidak menunaikan harapan itu sehingga beliau meninggal. Padahal, saya telah sebut 'insyaAllah'. 

Hari ini jenazah beliau dikebumikan, malang sekali lagi saya tidak dapat hadir kerana ada viva student di USM. 

Namun doa saya untuknya sejak saya mendengar kematiannya. Saya juga harap tulisan ini dapat memberikan manfaat yang lebih dengan saya merayu kepada pembacanya agar berdoa kepada Allah untuk diberikan rahmat dalam keampunan kepada Lo'lo Ghazali, hamba Allah yang telah pulang ke kehidupan yang hakiki.

NONESaya ingin mencoret sedikit mengenai beliau dengan kadar sedikit yang saya kenal. Saya mulakan dengan apa yang Nabi SAW nasihati kita: “Sesiapa dalam kalangan kamu yang terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah dia berkata: 'aku menilainya demikian, Allah jua yang menjadi penilainya yang sebenar, aku tidak akan memuji sesiapa atas nama Allah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, hanya Allah yang mengetahui hakikat kita. Kita menilai apa yang zahir, Allah jua mengetahui apa yang batin. Mungkin apa yang ada di sisi Allah lebih baik dari apa yang kita sangka dan tahu. Demikian juga sebaliknya.

Peringatan jawatan mufti


Saya bukan terlalu mengenali Dr Lo'lo'. Cuma ada beberapa coretan sekadar yang saya kenal beliau. Saya mula mengenali Dr Lo'lo' sejak sebelum saya menjadi mufti Perlis lagi. Beliau menghadiri beberapa majlis ucapan saya. 

NONEKali terakhir seingat saya di UIA, semasa saya berforum. Apabila saya ditawarkan menjadi mufti pada tahun 2006, Dr Lo'lo' menghantar email mengingatkan saya tentang bahaya jawatan tersebut. 

Sebagai anak bekas Mufti Perak, beliau menceritakan pengalamannya. Saya masih simpan peringatan itu. Antara yang beliau sebut “Saya juga seorang manusia yang daif tetapi saya ingin berkongsi pengalaman kerana pernah hidup sebagai anak mufti dan berkongsi pahit maungnya serta cabaran seorang mufti bagi kerajaan yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya. 

“Banyak kali arwah bapa saya bersungut dan menyatakan kesal kerana nasihat dan pandangannya tidak dipedulikan, keputusanmajlis fatwa yang dianggotainya dibuang dalam tong sampah, bagaimana payahnya berhadapan dengan sultan-sultan yang kehidupan mereka dikelilingi dengan pelbagai adat dan kebiasaan yang tidak selaras dengan Islam. 

“Itu belum kira kerenah MB, exco-exco dan YB-YB lagi…itu cerita 30 tahun lalu, saya percaya kini cabaran untuk seorang mufti kerajaan adalah lebih hebat lagi. Saya berdoa agar Dr Asri dipandu untuk memilih keputusan yang terbaik dunia dan akhirat”.

Itulah antara kandungan email beliau.

NONELahir dari jiwa yang ikhlas terhadap saya dan naluri yang prihatin terhadap agama. Saya merenung kata-katanya ketika itu. Kali ini apabila saya membaca sekali lagi, saya dapat rasakan indahnya kejujuran yang terkandung dalam nasihat itu.

Ya, sering kali sesuatu lebih bernilai kita rasakan, apabila empunya telah pergi. Semoga menimbang kata-kata nasihatnya itu sebagai himpunan amalan soleh beliau.
Masuk Umno

Apabila saya menjadi mufti Perlis, saya agak terputus dengan beliau. Hanya sekali-sekala beliau bertanya beberapa perkara. Mungkin beliau rasa ketika itu saya rapat dengan pemimpin Umno.

Apabila berhenti dari jawatan mufti, pada hari yang berikutnya saya terus ke United Kongdom. Di UK, saya sempat bertemu dan berhubung baik dengan anak beliau Saudara Fawwaz yang ketika itu tinggal Manchester. 

Layanan baik Fawwaz kepada saya dan keluarga ketika melawat dan berceramah di Manchester tidak dapat saya lupakan. Ini menjadikan kembali saya mengingat sikap baik ibunya kepada saya.

NONEApabila pulang ke Malaysia, kemudian berlaku peristiwa saya ditahan JAIS dan ke mahkamah, ramai pemimpin politik dan NGOs yang hadir. Dr Lo'Lo' yang ketika itu uzur juga turut hadir ke mahkamah di Gombak. 

Sempat saya bercakap dengan beliau. Saya ingat lagi, beliau kata kepada saya: “Ini ada hikmahnya, ujian dan cabaran, Allah mahu ustaz memimpin rakyat, turut ke medan, bersama-sama mengubah keadaan yang ada”. 

Saya diam. Saya akur. Saya tahu beliau jujur. Hati nuraninya yang sayangkan kebaikan dan bencikan kezaliman itu tidak dapat disembunyikan sekalipun di sebalik tubuh yang uzur. Selepas hari itu, agak kerap juga kami bertanya khabar.

Kadang-kala beliau bertanya saya pandangan dalam pelbagai isu agama. Beliau fahami pendirian saya. Beliau saya rasa suka dengan cara apa yang saya faham mengenai beberapa perkara dalam Islam ini. 

anwar ibrahim and umnoApabila timbul berita saya akan masuk Umno, Dr Lo'lo' menghubungi saya dengan tegas. Kata beliau:“Janganlah ustaz tambahkan sakit saya dengan berita-berita yang macam ini. Saya pernah teramat kecewa apabila Anwar Ibrahim masuk Umno. Saya harap ustaz tidak mengulangi kesilapan itu. Saya akan amat kecewa jika ustaz membuat tindakan yang sama”.
Cabaran dunia

Saya meminta beliau memberikan masa agar spekulasi itu berakhir lagi dua tiga hari. Beliau terus mengingatkan saya agar jangan tersilap langkah. Keesokannya, barangkali beliau mendengar desus-desas itu makin kuat, maka beliau sms kepada saya dengan tegas, katanya: “mati hidup semula saya tidak akan mempercayai ustaz lagi jika ustaz masuk Umno.

“Apakah ustaz takut kepada cabaran di dunia ini? Atau mengharapkan kedudukan di dunia sehingga sanggup hendak masuk Umno? Jika ustaz tidak mahu masuk PAS pun, janganlah masuk Umno”. 

Saya simpati dan rasa bersalah memandang beliau uzur. Saya terus bercakap dengannya dengan memberikan jaminan bahawa apa yang beliau khuatiri itu insyaAllah tidak berlaku. Saya beritahu bahawa pimpinan PAS lain, khusus Ketua Dewan Ulama PAS juga telah bercakap dengan saya dan memberikan nasihat. 

young ulama join umno 250610 02Namun, apabila 40 orang ulama muda masuk Umno, Dr Lo'lo sekali lagi berhubung dengan saya dan berkata: “Tergamak ustaz membiarkan sahabat-sahabat ustaz masuk Umno, sedangkan saya ini bersusah payah hendak memastikan mereka yang berpegang dengan manhaj al-Quran dan as-Sunnah masuk ke dalam PAS. 

“Jika Tuan Guru Nik Aziz tidak ada nanti, macam manalah perjalanan PAS ini. Ini, ustaz pula biarkan kawan-kawan masuk Umno”.

Saya diam. Ada perkara yang saya tahu yang mungkin beliau tidak tahu. Begitulah sebaliknya. Apa pun, saya amat berterima kasih, sikap beliau yang sentiasa prihatin kepada perkembangan Islam dan masa depan dakwah. Beliau seorang serikandi, seorang mujahidah, seorang yang jujur dengan keyakinannya.

NONESaya tahu, ya kadang-kala apabila saya mengkritik tokoh utama Pakatan Rakyat Dr Lo'lo' kurang selesa. Dia akan sms melahirkan ketidakpuasan hatinya. Kadang-kala bahasanya 'tegas'.

Saya sering tersenyum apabila membaca smsnya. Ya, bukan semua perkara kita dapat sama dan seiya sekata. Namun, yang pasti ia adalah kata-kata yang datang dari seorang yang prihatin.

Namun, beliau lama-lama biasa dengan sikap saya yang memberikan pandangan kepada kedua belah pihak. Sebelum muktamar PAS beliau memohon agar saya mewar-warkan semula artikel lama saya 'Ulama atau professional jadi pemimpin'.
Hamba Allah yang baik

Beliau kata, beliau ingin meminta supaya Harakah menyiarkannya semula. Saya tahu aliran pemikiran yang ingin ramaikan professional dalam kepimpinan PAS.

Apabila saya mendapat berita beliau amat uzur dan berada dalam keadaan kritikal di hospital, saya hubungi Fawwaz. Saya pohon untuk menziarahinya. Saya pergi dengan beberapa orang sahabat, sebahagian mereka ustaz-ustaz.

NONEDr Lo'lo' meminta untuk hanya saya sahaja yang masuk dahulu. MasyaAllah, saya melihat seorang serikandi mujahidah dalam kedaan yang uzur terbaring di katil. 

Wajahnya sudah kelihatan bengkak. Pun, begitu masih lagi dengan pakaian muslimahnya. Beliau menangis ketika itu. Dalam celahan itu saya mendengar indahnya kata-kata beliau: “ustaz, saya bimbang saya tidak dapat menjadi hamba Allah yang baik”. 

Kata-kata itu menusuk ke dalam jantung saya bagaikan cahaya ruhi yang menyelinap masuk ke dalam urat nadi. Ia adalah kata-kata yang lebih murni dari segala lafaz seni, kata-kata yang lahir dari nurani insani yang mendambakan kasih-sayang Allah. 

Kata-kata yang tidak lahir di saat-demikian melainkan dari jiwa yang sentiasa berhubungan cinta dengan Allah. Demikian penilaian saya. Hakikat yang sebenar kembali kepada Allah.

NONEKemudian, sempat beliau berpesan kepada saya untuk terus memberikan pandangan kepada PAS dan beliau bersyukur segala usaha beliau dan sahabat-sahabatnya mula melihatkan hasil dalam PAS. 

Beliau meminta saya tuliskan sebuah puisi untuk beliau. Saya berjanji insyaAllah. Nampaknya, puisi itu akan lahir selepas pemergian beliau.

Ustaz sampul

Selepas habis berbicara dengan saya, beliau mengizinkan sahabat-sahabat yang bersama saya masuk. Dalam keuzuran yang amat sangat itu, beliau masih sempat memberikan nasihat. 

sitting in a mosqueAntara yang beliau kata; “Maaflah saya ingin sebut, ustaz-ustaz ini jangan asyik fikirkan sampul sahaja. Ramai yang rasa selesa, hanya dok berkuliah dalam masjid, selepas itu seronok dapat sampul duit tapi tidak mengambil tahu apa yang berlaku kepada umat; khususnya anak-anak muda kita kat luar sana”.

Ya, itulah kata-kata beliau. Ia amat benar. Itu penyakit yang menimpa ramai yang memakai gelaran ustaz atau 'pendakwah'. 

Pahit yang terpaksa diakui, bukan sedikit yang fikirannya berlegar kepada wang dalam sampul yang akan menjadi habuan selepas kuliah atau ceramah. Bukan salah. Namun, apabila itu dijadikan buruan, maka ramai yang mengelak diri dari arus dan tribulasi perjuangan.

NONEKata-kata Dr Lo'lo' itu terbit dari hati nurani seorang daiyah (pendakwah). Bukan singkat masa beliau menelusuri pengalaman dan perjuangan.

Ya, beliau banyak di medan politik. Sebahagian ijtihad siyasi dan pandangan politiknya mungkin berbeza dengan saya. Namun, saya tetap hormati jasa dan sumbangannya. Zahir pada kehidupan sebagai seorang muslimah dan mujahidah. Berjuang membela keyakinannya mengenai Islam dan keadilan. 

Sebagai seorang sahabat dan insan yang masih hidup atas bumi ini, saya hanya mampu berdoa untuknya agar dilimpahi rahmat dan keampunan, kemudian meneruskan perjalanan hidup ini sehingga sampai ke destinasi seperti mana beliau pun telah menamatkannya.
Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah bekas mufti Perlis dan surat ini dikirimkannya kepada Malaysiakini, lewat petang semalam