Khamis, 15 September 2011

Detik Rasulullah S.A.W menerima wahyu Pertama..


Detik Baginda terima wahyu pertama


Al-HARIS bin Hisyam telah bertanya kepada Rasulullah: "Ya Rasulullah, bagaimana wahyu itu mendatangi kamu"? Maka berkata Rasulullah: "Kadangkala wahyu itu mendatangi saya seperti dengungan loceng, dan ia adalah yang paling berat ke atas saya, maka apabila wahyu itu putus daripada saya, dan saya telah ingat daripadanya apa yang dia katakan. Dan kadangkala malaikat hadir menyerupakan dirinya sebagai seorang lelaki, maka dia berkata-kata kepada saya, dan saya ingat apa yang dia katakan."
"Berkata Siti Aishah r.a: "Dan sesungguhnya saya telah melihat, turun ke atas Rasulullah akan wahyu, pada suatu hari yang sangat sejuk, maka ia pun putus daripadanya, dan sesungguhnya dahi baginda benar-benar mengalirkan peluh. (riwayat al-Bukhari)
Hadis-hadis di atas adalah sebagaimana yang disebutkan pada keluaran lalu bagaimana Rasulullah SAW menerima wahyu. Wahyu, perkataan bahasa Arab yang berasal daripada perkataan awha bermaksud inspirasi daripada orang lain atau arahan seseorang.
Sebagai umat Islam kita memahami dengan jelas bahawa wahyu itu merupakan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan (Nuzul al-Quran), iaitu kata-kata perintah Allah kepada Nabi Muhammad sebagai Rasul-Nya.
Terkeliru
Tetapi kita jangan sama sekali terkeliru apabila dalam ajaran Nasrani yang kononnya hendak mengangkat martabat wahyu itu dengan hujah bahawa tidak dinamakan wahyu itu dengan Allah hanya berkata-kata atau dengan lain perkataan; that God must speaks for Himself!
Seperti yang diambil dari Laman Web; answering.islam. org. Mereka berhujah; "Kita mesti sedar bahawa Allah tidak boleh mewahyukan Dirimya hanya dengan perkataan-perkataan sahaja. Di sini Dia mewahyukan keterangan berkenaan Dirinya maka Dia mestilah mempunyai keperibadian dan kehendak. Mewahyukan Dirinya secara "terbuka" dan "pendedahan" dan ini hanya akan berlaku apabila tubuh disediakan untuk Dia".
Lantaran itu Nabi Isa kononnya dikatakan berkata; "Barang siapa telah melihat Aku, telah melihat Bapa" (Johanes 14:9) Ini menjadikan wahyu itu dikatakan sempurna kerana ia tidak sekadar kata-kata kecuali wahyu itu adalah secara terus menerus langsung daripada Tuhan.
Tidak mustahil hujah seperti ini dikatakan logik dan akan 'termakan' oleh kalangan umat Islam itu sendiri, tetapi kita perlu menyedari al-Quran bukannya seperti kitab Injil yang boleh didapati dalam versi Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Namun, apa yang kita miliki hari ini merupakan al-Quran yang menempuh satu perjalanan yang sangat panjang dan ajaibnya, seluruh kandungan kitab itu tetap bersih daripada sebarang penyelewengan. Tidak ada tokok tambah, jauh sekali daripada kata-kata manusia di dalamnya!
Ini terjadi kerana Rasulullah sendiri tidak membenarkan hadis itu ditulis ketika baginda masih hidup kerana khuatir terkeliru atau bercampur gaul dengan ayat-ayat al-Quran yang masih diturunkan kepada baginda.
Wahyu merupakan satu sumber daripada pelbagai sumber bagi mendapatkan ilmu dan kedudukannya sebenarnya adalah paling teratas kerana ia sangat bersifat ketuhanan (divine). Lantas bagi seorang manusia biasa seperti Nabi Muhammad menerima wahyu itu, pada asalnya adalah tidak mudah.
Malah untuk berhadapan dengan malaikat Jibrail itu sendiri dan seluruh proses penurunan wahyu pertama ini telah menyebabkan baginda menganggap dirinya gila! Ini apabila kita tidak mempunyai jiwa yang besar dan kuat, tidak akan ada sanggup memikul beban kenabian itu dengan syarat pertamanya, diaturkan pertemuan dengan 'seorang' malaikat!
Terbangun dengan ketakutan
Penulis sejarah Islam terkenal, Hussein Haekal menulis selepas Jibrail menyampaikan surah pertama, al-Alaq itu baginda Nabi Muhammad terus terbangun dengan ketakutan dan kebingungan. Baginda dikatakan benar-benar tidak dapat menafsirkan apa yang telah berlaku kepada dirinya.
"Adakah ini semua khayalan sebagaimana kebanyakan penyair yang berkhayal dan bercakap seorang diri yang sering ku sifatkan sebagai orang gila?," ujar baginda.
Sebenarnya tidak wajar untuk baginda berasa takut kerana sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq bahawa wahyu pertama itu datangnya dalam keadaan baginda berjaga dan di waktu siang.
Walau dalam banyak kisah yang kita dengar sebelum ini Rasulullah dikatakan segera keluar dari Gua Hira' dan untuk terus pulang ke rumah.
Tetapi Haekal dan Al Mubarakfuri mencatatkan sebaik sahaja baginda keluar dari Gua Hira' itu, satu sinar terang menderang memancar di hadapan baginda. Ini diikuti satu suara memanggil baginda; "Hai Muhammad! hai Muhammad! Kamulah Rasulullah dan aku adalah Jibrail!," berulang kali.
Baginda yang mendongakkan kepala ke langit iaitu arah datangnya suara itu dan baginda dapat melihat dengan jelas malaikat Jibrail dalam rupa seorang lelaki dengan kedudukan kedua-dua kakinya berada di ufuk langit.
Jika pada gambaran pada mata kasarnya bagi menunjukkan betapa 'luar biasa' malaikat Jibrail yang merupakan hamba Allah yang paling setia pernah tercipta oleh-Nya.
Namun baginda yang masih ketakutan itu memalingkan mukanya ke arah lain bagi tidak mahu berhadapan dengan Jibrail namun demikianlah hebatnya ciptaan Allah ini, Jibrail tetap kelihatan di mana-mana arah yang cuba baginda berpaling darinya itu. Ke kiri atau ke kanan, Jibrail tetap dalam keadaan berdiri di hadapan baginda.
Haekal menyebut; "tetapi rupa malaikat yang sangat indah itu tidak juga lalu dari depannya".
Lalu baginda tidak dapat berundur atau maju ke hadapan kecuali terpaksa berhadapan dengan malaikat itu malah dikatakan baginda terdiam kaku dengan agak lama di luar Gua Hira' itu.
Sehinggalah malaikat Jibrail menghilang lalu Nabi Muhammad tersedar dan menyambung semula langkah untuk segera pulang ke rumah.
Jika kita berada dalam keadaan yang seperti dilalui oleh baginda, maka jawapannya tentu sama, jantung berdegup dengan kenyang dan seluruh badan menggeletar!
Sebaik sahaja tiba di rumah, baginda disambut oleh Siti Khadijah yang sebelum ini begitu bimbang dengan keselamatan suaminya itu sehingga menyebabkan beliau menghantar orang untuk mencari di Gua Hira'.
"Wahai Abu Qasim, ke mana engkau pergi? Demi Allah aku telah menghantar orang untuk mencari engkau sehinggalah mereka mencari mu ke Mekah dan pulang ke rumah dan memberitahu tidak menemui mu di mana-mana," kata Siti Khadijah.
Tetapi baginda terus mendakap paha isterinya dan meminta supaya dirinya diselimutkan. Siti Khadijah segera menyelimutkan baginda kerana mendapati tubuh suaminya itu menggigil seperti seseorang yang sedang demam kuat.
Setelah ketakutan baginda beransur reda lalu baginda menceritakan kepada Siti Khadijah apa yang telah dialami dan dilihatnya sebentar tadi. Namun baginda lebih menyatakan kebimbangannya, semua yang berlaku di Gua Hira' itu tidak lebih terpedaya oleh hatinya sendiri atau akan tidak lebih dianggap seperti ahli nujum pada pandangan orang lain.
Sebagai isteri, Siti Khadijah tidak sedikit pun curiga dengan kata-kata suaminya itu. Lalu beliau meminta supaya baginda berehat untuk melelapkan mata dan Siti Khadijah sendiri kemudiannya bangun meninggalkan Rasulullah menuju untuk menemui seseorang.
Ikuti kisah selanjutnya di keluaran akan datang.

 

Kisah Musa, Khaidhir

Bersama:MOHD. YUSOF ABAS
SOALAN: SAYA membaca cerita Nabi Musa berguru dengan seorang hamba Allah yang soleh. Adakah cerita itu benar-benar berlaku sedangkan Nabi Musa adalah Nabi besar dari kalangan ulul azmi, manakala Khaidhir pula seorang saleh biasa yang dikurniakan ilmu dari Allah. Apakah cerita sebenarnya dan apakah pengajaran daripada cerita ini?
– Mohd Rizal Mohd Said,
Kuala Langat, Selanggor.
JAWAPAN: Ya! Cerita tersebut memang tercatat dalam al-Quran pada akhir surah Al-Kahfi yang bermula dari ayat 65-82. Dikatakan (dikisahkan) Nabi Musa pada suatu hari ada berkata bahawa dialah manusia yang paling alim. Lalu Allah mahu mengingatkanya bahawa ada lagi orang lain yang lebih alim daripadanya selain Allah. Iaitu seorang hamba-Nya yang dikurniakan ilmu daripada-Nya. Orang ini dikatakan bernama Khaidhir. Lalu Nabi Musa ingin bertemu dan belajar dengan hamba itu. Dan bila Nabi Musa bertemu dengannya, baginda pun berkata bolehkah aku mengikutimu untuk belajar.
Jawab Khaidhir: Boleh, tetapi dengan syarat bila kamu ikut aku maka jangan bertanyaku sesuatu sehingga aku bagi tahu kamu jawapannya. Dan kamu tidak mampu bersabar denganku , bagaimana boleh kamu tahan sabar terhadap perkara yang kamu tidak dapat memahami rahsianya.
Ringkas ceritanya: Mereka pun berjalanlah sehingga sampai di satu pelabuhan dan terpaksa menaiki kapal. Apabila kapal itu tiba di destinasinya penumpang pun turun lalu Khaidhir tidak terus turun malah mengambil kapak dan melubangkan kapal tersebut. Nabi Musa pun hairan, kenapa kamu rosakkan kapal ini yang telah membawa kita semua dengan selamat. Sedangkan anak kapal tersebut sangat memuliakan mereka berdua. Sepatutnya kita semua terhutang budi dengan mereka, kamu telah lakukan kerja bodoh. Maka jawab Khaidhir bukankah aku kata, yang kamu tidak mampu bersabar denganku. Kemudian jawab Musa ia terlupa dan iapun memohon maaf. Lalu mereka meneruskan perjalanannya dan bertemu dengan anak-anak yang sedang bermain lalu Khadhir menangkap budak itu dan membunuhnya. Kata Nabi Musa: Kenapa kamu bunuh budak kecil yang tidak berdosa. Ini satu kesalahan yang amat besar.
Jawab Khaidhir: “Aku dah katakan kamu tidak mampu bersabar dengan-Ku”. Kata Nabi Musa, “Sekiranya aku bertanya lagi maka jangan berkawan lagi denganku cukuplah kesilapanku denganmu yang tidak tertahan.”
Lalu mereka berjalan lagi sehingga tiba di sebuah kampung dalam keadaan kelaparan dan ingin mendapatkan makanan dari penduduk kampung yang kedekut itu. Tetapi seluruh penduduk kampung enggan menjamu mereka, lalu bermalamlah mereka dalam kelaparan tetapi Khaidhir apabila bertemu dengan dinding yang hampir roboh lalu beliau bertungkus lumus menegakkanya kembali sekalipun dalam kelaparan.
Kata Nabi Musa, “Elok kalau kamu minta sedikit upah atas kerjamu itu untuk menghilang kelaparan kita ini.” Kata Khaidhir, “Inilah tiba masa perpisahan antara kita. Aku akan ceritakan rahsia perkara yang kamu tidak tahan sabar mengenainya.
“Adapun kapal yang aku rosakkan tempoh hari adalah milik orang miskin yang bekerja (mata pencarian hidup mereka) dalam laut. Aku rosakkannya untuk mengelak dari dirampas raja zalim yang akan merampas semua kapal yang baik-baik. Ini dilakukan supaya dia boleh bekerja membawa penumpang dengan selamat kelak. Dan ternyata selepas itu kapal itulah satu-satunya kapal yang tidak dirampas dan dapat bekerja belayar berulang alik membawa penumpang. Dan kehidupan pekerja kapal yang miskin tadi berubah menjadi senang dan kaya-raya.
“Adapun budak kecil yang dibunuh tadi kerana bila besar nanti dia akan menderhakai ibu bapanya, lalu kemudian Allah ingin menggantikannya dengan anaknya yang lain yang lebih baik dan menyayangi lagi menghormati mereka. Adapun dinding yang hampir roboh tadi, adalah milik dua anak yatim dalam bandar tersebut. Tetapi oleh kerana mereka masih kecil dan tidak mampu menjaga dinding tersebut dengan baik maka aku betulkan sehingga mereka besar nanti dapatlah mereka keluarkan gedung harta yang tersembunyi di bawahnya sebagai harta simpanan dari ibu bapa mereka yang soleh.
“Ini semua kerana rahmat dari Tuhanmu. Semuanya ada rahsia yang kamu tidak mampu bersabar atasnya. Antara pengajaran yang dapat difahami dari kisah tersebut ialah: Tidak ada mereka yang lebih alim melainkan ada di atasnya Yang Maha Mengetahui daripadanya. Kita disuruh belajar sekalipun dengan orang yang lebih rendah dari kita dan setiap perkara yang berlaku itu pasti ada hikmatnya dan sekalipun ianya berupa musibah tetapi pasti ada bersamanya rahmat dan nikmat.” Allah berfiman bermaksud: Sungguhnya berserta kesusahan itu kesenangan (surah al-Insyirah ayat 5-6) Wallahualam.

Kisah sembahyang dan Nabi

SUBUH:

Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Subuh ialah Nabi Adam a.s., iaitu tatkala baginda keluar dari syurga lalu dihantar ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar Subuh telah keluar Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

# Rakaat pertama:- Bersyukur baginda kerana terlepas dari kegelapan malam.
# Rakaat kedua:- Bersyukur baginda kerana siang telah menjelma.

ZOHOR:

Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s., iaitu tatkala Allah s.w.t. telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Sedang seruan itu datangnya pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim empat rakaat.

# Rakaat pertama:- Bersyukur bagi penebusan.
# Rakaat kedua:- Bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
# Rakaat ketiga:- Bersyukur dan bermohon akan keredhaan Allah.
# Rakaat keempat:- Bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

ASAR:

Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Asar ialah Nabi Yunus a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan nun. Ikan nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:

# Rakaat pertama:- Kelam dengan kesalahan.
# Rakaat kedua:- Kelam dengan air laut.
# Rakaat ketiga:- Kelam dengan malam.
# Rakaat keempat:- Kelam dengan perut ikan Nun.


MAGHRIB:

Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Maghrib ialah Nabi Isa a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukurlah Nabi Isa lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut, iaitu:

# Rakaat pertama:- Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
# Rakaat kedua:- Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
# Rakaat ketiga:- Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua, tiada dua atau tiga.

ISYAK:

Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah lalu menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

# Rakaat pertama:- Dukacita terhadap isterinya.
# Rakaat kedua:- Dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
# Rakaat ketiga:- Dukacita terhadap Firaun.
# Rakaat keempat:- Dukacita terhadap anak Firaun.

Diseksa angkara dosa sendiri

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
AL-MARAGHI berkata: Pembicaraan sebelumnya berkisar mengenai galakan agar berjihad dengan cara mengorbankan jiwa pada jalan Allah SWT serta menerangkan keistimewaan yang akan diterima oleh para mujahid, iaitu kedudukan yang mulia di sisi Tuhan mereka di dalam syurga yang penuh kenikmatan.
Iktibar dan fiqh ayat ke-180:
l Mujahid berkata: Maksud ayat ini ialah, orang-orang yang bakhil itu akan dipaksa memikul jenis harta yang dibakhilkannya pada hari kiamat sebagai balasan mereka sehingga tidak berdaya memikulnya.
* Al-Maraghi berkata: Ayat ini bersifat umum kerana ia mengandungi dorongan supaya melakukan pengorbanan harta tanpa batasan jumlah dan waktu yang tertentu.
* Hamka berkata: Ayat ini peringatan keras kepada si bakhil, supaya mengubah cara mereka berfikir.
Allah telah memberinya kurnia, tetapi setelah kurnia itu diterimanya dibolotnya untuk diri sendiri. Dia enggan memberikan sekadarnya untuk orang lain.
* Al-Sonhaji berkata: Allah menurunkan ayat ini supaya seseorang itu suka berjihad dengan mengorbankan hartanya, yang mana rasa sayang terhadap harta itu hampir sama dengan rasa sayang kepada nyawa mereka sendiri.
Lalu diterangkan di sini ancaman-ancaman Allah kepada orang yang lokek atau bakhil terhadap hartanya.
Iktibar dan fiqh ayat ke-181:
l Al-Qurtubi berkata: Allah menyebut kehinaan dan kehodohan ucapan kufur lebih-lebih lagi golongan Yahudi.
* Al-Maraghi berkata: Allah SWT akan menyeksa mereka dengan seksaan yang tidak dapat diragukan lagi sebagai balasan di atas perbuatan tersebut.
Ini kerana dalam proses mencatat dosa dan memelihara catatannya bererti memberikan hukuman (seksa) kepadanya. Pengertian seperti ini berlaku secara umum dari aspek penggunaan bahasa.
* Hamka berkata: kalau misalnya ditanyakan orang kepada mereka: Apa alasanmu berkata demikian? Tentu mereka menjawab: al-Quran sendiri mengatakan! Maka mengancamlah Allah: akan kami tuliskan yang mereka katakan itu. Sebab kata yang demikian adalah sangat jahat kerana menyalah ertikan maksud Allah.
* Al-Sonhaji berkata: Allah telah mengancam iaitu akan menuliskan kata-kata mereka sebagai pendusta dalam 'buku amalan' mereka yang bakal mereka pertanggungjawab di akhirat kelak.
Dan pembunuhan mereka yang tidak berhak terhadap para Nabi yakni peristiwa kekejaman yang dilakukan oleh mereka pada zaman dahulu akan dicatat di dalam buku amalan mereka dan disebabkan mereka reda dan bersetuju dengan kekejaman yang mereka lakukan tersebut.
Iktibar dan fiqh ayat ke-182:
l Ibn Kathir berkata: Apa yang dikatakan kepada mereka itu merupakan teguran, celaan, penghinaan dan ejekan.
* Al-Maraghi berkata: Seksaan yang diberikan kepada mereka kerana perbuatannya sendiri. Allah SWT itu bersifat adil dalam menjatuhkan hukuman dan dalam tindakan-Nya, tidak bersifat derhaka dan tidak pernah berlaku zalim.
Oleh yang demikian, orang yang tidak berhak dihukum, tidak dikenakan hukuman. Orang yang berdosa pula akan dipisahkan dengan orang yang bertakwa.
* Hamka berkata: Jika kamu disuruh merasakan betapa pedihnya seksa pembakaran, terbakar semangat kamu ketika hidup, terbakar di akhirat sesudah mati, janganlah itu kamu sesalkan kepada Allah.
Sebab hukum Allah adalah hukuman yang adil, orang yang tidak bersalah tidaklah akan dianiaya.
* Al-Sonhaji berkata: Adanya seksa kerana adanya amal yang jahat. Ini semata-mata menunjukkan keadilan Allah SWT jua.
Bukanlah bermakna Allah itu zalim, dan menganiaya. Orang yang tidak bersalah tidak boleh dihukum, yang durjana tidak akan diperlakukan seperti orang yang bertakwa dan yang kufur tidak akan dilayan seperti orang yang beriman.
Iktibar dan fiqh ayat ke-183:
l Ibn Kathir berkata: Allah SWT berfirman dalam mendustakan mereka yang menganggap bahawa Allah SWT telah mengambil janji dari mereka dalam kitab-kitab mereka, untuk tidak beriman kepada seorang Rasul pun. Sehingga terjadi mukjizat iaitu jika ada orang dari umatnya yang bersedekah, lalu sedekahnya itu diterima, maka akan turun api dari langit yang menghanguskan sedekah tersebut.
* Ibn Jarir al-Tabari berkata: Apabila salah seorang di antara mereka mengeluarkan sesuatu sedekah, sekiranya sedekah itu diterima Tuhan, nescaya turunlah api dari langit memakan apa yang telah disedekahkannya.
* Ibn Jarir meriwayatkan salah seorang daripada kalangan mereka yang dahulunya sering bersedekah, tetapi apabila sedekah itu diterima, maka turunlah api dari langit kepadanya, kemudian memakan barang yang disedekahkan itu.
* Mufassir al-Kalby berkata: Beberapa yahudi datang menemui Rasulullah SAW. Mereka itu ialah Ka'ab bin al-Asyaraf dan yang lainnya mereka berkata kepada Nabi Muhammad SAW: Engkau mengakui dirimu menjadi rasul dan membawa kitab. Sedangkan di dalam kitab Taurat ada menyebut, bahawa kami tidak boleh terus beriman kepada seseorang yang mengakui sebagai nabi, sebelum dia datang kepada kami dengan suatu korban yang kemudiannya dimakan api.
Iktibar dan fiqh ayat ke-184:
l Al-Qurtubi berkata: Kitab-kitab yang dipanggil sebagai Zubur atau Zabur sebenarnya bermaksud dengan kitab. Antara maksudnya juga satu tegahan dan ancaman.
* Al-Maraghi berkata: Ayat ini memberi hiburan kepada Rasulullah SAW dan menerangkan bahawa pada setiap zaman, tabiat manusia adalah sama sahaja.
Ada yang mahu menerima kebenaran dan mahu menyambutnya dengan dada yang lapang, hati yang tenang dan ada pula yang menunjukkan sikap melawan kebenaran, memusuhi pembawanya dan menganggap bodoh orang yang mahu menerima kebenaran.
* Hamka berkata: ini adalah kata tasliyah, pujuk penawar hati Nabi SAW daripada Allah.
Segala tentangan, sanggahan atau meminta mukjizat api putih menelan korban, atau meminta dihidupkan kembali korban bakaran Bani Israel iaitu korban dibakar bukan dibahagi dagingnya, atau hal-hal yang mereka kemukakan, sudah terang kerana kufur saja.
* Al-Sonhaji berkata: Ayat ini adalah hiburan dari Allah kepada nabi-Nya kerana di dalamnya diterangkan tabiat dan pekerti manusia sepanjang zaman.
Di antara mereka itu ada yang mahu menerima perkara yang hak dan benar seperti yang dibawakan oleh para rasul tersebut. Diterima dengan dada terbuka dan berlapang dada. Dan ada pula di antara mereka yang membangkang dan menentang kebenaran itu serta menghalang orang yang memperjuangkannya.
Ayat-ayat dibincangkan di atas jelas menunjukkan perlunya kita menjadi hamba Allah dan tidak terpesong sebagaimana golongan Yahudi yang sanggup membunuh para nabi mereka di samping mendustakan rasul dan nabi.

Tiada ulasan: