Ahad, 21 Oktober 2012

JANGAN BANGGA DAN SOMBONG, MERASA DIRI HEBAT!



Di akhir zaman ini ramai dari kalangan ahli abid (mereka yang banyak amal ibadahnya) tertipu dengan banyaknya ibadah yang telah mereka lakukan. Perkara ini terjadi apabila si ahli abid melakukan setiap ibadah yang dikerjakannya tanpa merasakan perbuatan dan amalannya itu adalah dengan izin dan rahmat Allah jua. Tanpa keizinan Allah, tanpa rahmat dan kasih sayang Allah serta tanpa kudrat dan Iradah dari Allah SWT, kita semua lemah tidak mampu berbuat apa-apa. Kalau tidak kerana Allah SWT yang telah mengizinkan, jangan kata hendak menggerakkan lidah, malah duduk, bangun, rukuí, dan sujud menyembah Allah SWT pun kita tidak akan mampu lakukan.

Maka patutkah kita merasa bangga dan sombong serta merasa hebat sekiranya kita berjaya dan berkebolehan dalam melaksanakan sesuatu amalan? Kalau kita mampu untuk bangun malam beribadah dan banyak melakukan solat sunat hingga kita menjadi abid, siapakah yang hebat? Kita hebatkah atau Allah yang hebat? Tentulah Allah yang hebat kerana Allah telah memberikan kita kemampuan untuk beribadah, kalau kita bersolat, berpuasa, menutup aurat, mampu menulis artikel, punya pangkat dan darjat, memandu dan menunggang kereta atau motosikal atau sebagainya, apakah itu semua keupayaan kita? Tidak sama sekali! Semua itu adalah dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Subhanallah! Tanpa sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah tentu kita akan ingkar dan sesat sepertimana orang kafir tanpa kita sedari. Maka sentiasalah kita melahirkan rasa syukur kepadaNya.

WANG YANG SAMA : NILAI BERTUKAR MENGIKUT TEMPAT

Ingatlah, wahai pembaca yang budiman, sekiranya kita angkuh, riak (menunjuk-nunjuk), ujub (merasa bangga diri) dan takabur (sombong dengan nikmatNya) dengan apa yang ada pada kita, tidak mustahil suatu hari nanti Allah SWT akan menarik semula nikmat-nikmatNya yang telah dikurniakan kepada kita. Katalah ketika ini kita tergolong di dalam golongan orang yang berharta, kaya raya, harta melimpah ruah lalu kita tidak sedar diri (takabur). Kononnya kitalah manusia yang paling mewah dan kaya raya di dunia ini. Hasil dari sifat takabur dan angkuh itu sudah tentu kita menjadi seorang yang kedekut, bakhil, tamak dengan harta.

Sepuluh sen untuk membantu anak-anak yatim dan fakir miskin pun difikir seribu kali. Di kedai atau supermarket, lima puluh ringgit itu terlalu kecil nilainya, kenalah bawa sekurang-kurangnya dua ratus ringgit, itu pun baru syarat minima. Berbeza pula dengan situasi apabila diusung kotak tertera DERMA AMAL PALESTIN atau DERMA UNTUK ANAK YATIM lantas nilai lima puluh ringgit itu berubah menjadi nilai yang terlalu besar, seperti satu ribu ringgit. Jika di tangan hanya terdapat wang kertas bernilai lima puluh ringgit, mulalah hati berbisik: Tak ada duitlah nak derma, atau lalu mulut berkata: Ala! Tak bawa duitlah syeikh! Lain kalilah!.

ILMU : MENINGGIKAN DARJAT, JUGA BOLEH MENURUNKAN MARTABAT

Harta itu hanya pinjaman Allah, sekelip mata sahaja Allah boleh papa kedanakan si kaya yang sombong. Andai kata seseorang itu dikurniakan ilmu kepadanya sehingga dengan ilmunya itu jadilah dia seorang yang terkenal atau dikenali ramai, disanjung, dan dipuja maka mulalah penyakit hati menyerang jantung kalbunya. Jadilah dia seorang ahli ilmu yang bongkak, rasa diri lebih; lebih bijak dari orang lain, pandangan dan pendapat orang lain semuanya salah, pandangannya sajalah yang tepat dan betul!

Walaupun kita menjadi seorang alim ulama' atau penulis artikel mahupun sesiapa sahaja semuanya tidak membuktikan kehebatan kita, bukan juga kepandaian dan kepintaran kita, tetapi semuanya adalah pinjaman daripada Allah SWT semata-mata. Malah ilmu itu satu amanah daripada Allah SWT, di akhirat kelak Allah akan persoalkan kepada kita:

Ilmu yang penuh di dalam dadamu wahai hambaku, ke manakah kamu salurkan? Adakah untuk mengajak manusia menyembah Aku atau dengan ilmu itu engkau menyesatkan dirimu juga orang lain?.
ATAU...
Alangkah malangnya ketika itu sekiranya jawapan yang kita persembahkan kepada Allah SWT (kerana di akhirat nanti tidak boleh lagi untuk kita berbohong dan berselindung apa-apa pun daripada Allah SWT):

Tuhanku, aku gunakan ilmu yang Engkau kurniakan untukku dahulu ke jalan kemurkaanMu, dengan ilmu itu aku ambil peluang kemewahan, memandang rendah dan hina pada si jahil yang sepatutnya aku yang bertanggungjawab membasmi kejahilan di dada hamba-hambaMu, semakin aku lupa padaMu, semakin aku ego, sombong dan rasa diriku tuan, malah bila orang lain sesekali buat kesalahan, aku hukum mereka, seolah-olah aku Tuhan.

MERASAKAN DIRI LEBIH BANYAK DOSA DARI AMALAN

Maka menangislah golongan ahli ilmu yang tertipu dengan ilmunya itu. Menurut Matan Zubat: Ahli ilmu yang fasik akan dibenci oleh Allah dan akan dihumbankan ke dalam lubuk neraka lebih dahulu daripada orang kafir penyembah berhala. Wal 'iyazubillah.

Alangkah beruntungnya ketika Allah SWT minta pengakuan dari hambanya di padang Mahsyar kelak kita dapat menjawab sekurang-kurangnya begini:

Wahai Tuhanku, sesungguhnya dengan ilmu yang Engkau kurniakan padaku, kugunakan sebaik-baik penggunaan. Aku mengajak manusia yang jahil ke arah kebenaran, aku menyeru umat manusia agar menyembahMu, sujud syukur pada-Mu, aku mengajak manusia beriman padaMu, pada Rasul-Mu dan pada hari kemudian, pada syurga dan nerakaMu, ku ajak lagi manusia agar berfikir tentang keagungan dan kehebatanMu menjadikan alam yang luas terbentang itu......

Begitulah jawapan orang yang alim yang terpimpin lagi dikasihi oleh Allah SWT. Semakin berilmu semakin dia merendah diri, semakin ia merasakan dirinya lebih banyak dosa kalau hendak dibandingkan dengan orang lain, seringkali juga merasakan dirinya tiada apa-apa nilainya, yang ada hanya seribu kelemahan dan kekurangan. Inilah resam padi, makin berisi, semakin tunduk ke bawah. Selamatlah golongan ini. Ilmu yang beginilah yang dikatakan membawa cahaya kepada mereka yang berilmu. Ilmu merupakan cahaya yang menerangi hidup seseorang insan yang sedang teraba-raba dalam kegelapan.

Seperti kata Imam As-Syafie: "Semakin banyak ilmuku, semakinku insafi diri, bahawa terlalu banyak yang aku tidak ketahui..."

LUBUK NERAKA YANG TERBAWAH SEKALI

Ilmu sepatutnya mengajak manusia untuk mengenal dan mentauhidkan Allah. Semakin dalam ilmu yang dipelajari semakin ëdalamí pula lupanya kepada Allah, semakin tinggi ilmunya semakin ia kufur dengan Allah. Tanda ilmu itu tidak berkat, semakin kita menuntut ilmu, semakin angkuh dan sombong pula empunya diri, sama ada dengan Allah mahupun sesama manusia. Semakin berilmu semakin rasa diri hebat, tidak langsung merasa hebatnya Allah SWT. Semakin menuntut ilmu, penyakit hati semakin tebal bersarang dalam dada seperti sombong, ego, riak, ujub, takabur, merasa diri mulia, memandang rendah pada orang lain dan sebagainya.

Andai kata kita tidak sempat bertaubat sedangkan dalam diri kita penuh dengan penyakit-penyakit hati itu, ingatlah tempat yang selayaknya adalah lubuk neraka yang terbawah sekali. Lebih berat lagi para alim ulama' yang tidak beramal dengan ilmunya dan tidak menyampaikan ilmu yang ada di dalam dadanya; pasti akan mendapat laknat Allah. Mereka masuk neraka lebih dahulu dari penyembah berhala. Marilah bersama-sama kita berdoa agar kita semua menjadi ahli ilmu yang bakal menerangi alam fana ini dengan cahaya ilmu yang kita pelajari. Jauh sekali untuk merasa bangga dengan ilmu yang ada, malah sedar jika kita merasa diri hebat, pasti ada yang lebih hebat.

Sematkan dalam dada dan hati: "Aku akan membasmi kejahilan kerana kejahilan itu bahaya dan mampu menjerumuskan diriku ke dalam neraka dan mampu juga menghancurkan perpaduan umat Islam di dunia ini."

KESIMPULAN

Perlu kita beringat bahawa ilmu dunia sahaja tidak mampu untuk kita memiliki tempat di syurga Allah SWT, seandainya tidak ditunjangi dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Perlu juga kita dalami risalah yang Allah SWT sampaikan kepada Nabi Muhammad SAW iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah sekalian, ilmu itu adalah nur (cahaya), yang menyinari hati yang putih bersih dan bukannya hati yang hitam tebal dengan maksiat. Hati yang bersih pula tidak kita perolehi dengan begitu mudah. Untuk memilikinya perlu ada usaha yang berterusan yakni istiqamah dengan amal kebaikan dan menjauhi kemungkaran yang dihujani dengan kesabaran serta digauli dengan keikhlasan.

Memang mudah untuk penulis nukilkan untuk jadi bahan bacaan buat sahabat-sahabat sekalian. Peringatan buat diri sebagai penulis dan buat pembaca kesemuanya. Hidayah datangnya daripada Allah, kita memohon daripadaNya. Selain berdoa, dengan berfikir (dan beringat) maka InsyaAllah hidayahNya akan kunjung tiba yakni sebagai usaha sebagai seorang hamba.

Ilmu itu kalam ilahi, membawa jalan menuju syurgawi, andai terbuka jalan yang hitam, cepat-cepatlah insafi diri.

Wallahuíalam.

Read more: http://cahayamukmin.blogspot.com/2012/03/ilmu-itu-cahaya-jahil-itu-bahaya.html#ixzz2A0FAp1Jv

Anak Perisai Api Neraka


Anak Perisai Api Neraka

Riwayat: 
 Bukhari dan Muslim
Hadith: 
Daripada Aisyah R.ha katanya, “Datang kerumahku seorang perempuan meminta (makanan), tidak ada sesuatu disisiku melainkan sebiji kurma lalu aku beri kepadanya”. Maka dia pun membahagi sebiji kurma tadi kepada dua orang anaknya dan dia sendiri tidak memakannya. Kemudian dia pun keluar (daripada rumah Aisyah). Setelah Nabi SAW datang kepada kami lalu aku pun memberitahunya (peristiwa tersebut), maka baginda bersabda, “Sesiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan ini dengan sesuatu lalu dia melayan (memelihara) mereka dengan baik adalah mereka menjadi penghalang daripada api neraka”.
Huraian Hadith: 
  1. Orang Islam disuruh memenuhi hajat orang yang meminta sekali pun dengan pertolongan yang sedikit.
  2. Ibu bapa mestilah mengutamakan keperluan anak-anaknya seperti makan, minum, pakaian dan sebagainya.
  3. Ibu bapa yang mendidik dan mengasuh anaknya dengan sempurna dijamin bebas daripada api neraka.
  4. Hadis ini menunjukkan kelebihan menjaga dan mendidik anak-anak perempuan. Ia akan menjadi perisai daripada api neraka jika dilakukan seperti yang diperintah Allah dan rasulnya.