Jumaat, 20 Mei 2011

kasih saudara masa berada kasihnya ibu membawa ke syurga




ALLAHYARHAM Rafidah Ismail, 36, seorang ibu biasa yang terkorban ketika mengharungi dugaan luar biasa. Namun, apa yang berlaku kepadanya bagai manifestasi betapa agung dan agamnya kasih bonda yang bergadai nyawa demi anak-anak tercinta.
Sebagai ibu, dia bukan sahaja telah mengharungi sengsara sembilan bulan melahirkan zuriat, bahkan dia bergelut dengan api demi mendahulukan kasih sayangnya buat tiga cahaya matanya.
Pada pukul 1.30 petang, Jumaat dua minggu lalu, ketika khutbah berkumandang di mimbar-mimbar masjid, Rafidah dan tiga anaknya, Rashidah Illyana Zamri, 7, Zaim Shahrul Zamri, 6 dan Zaim Iqbal Zamri, 2 melalui detik cemas apabila rumah jenis teres yang didiami mereka di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, Kelantan terbakar. Punca api dilaporkan bermula dari arah dapur.
Menurut akhbar, Rafidah tidak dapat menemui kunci pintu jeriji besi depan rumahnya mungkin dek kerana panik. Ia menyebabkan empat beranak itu yang berada di ruang tamu terperangkap dalam api yang makin marak.
Api menyambar tubuh
Lantas, Rafidah yang merupakan jururawat di Hospital Kuala Krai kemudian nekad memecahkan cermin tingkap. Dia kemudian memerah sekuat kudrat dengan membengkokkan palang besi tingkap untuk menyelamatkan anak-anaknya terlebih dahulu dengan mengeluarkan mereka menerusi tingkap. Mungkin itu hasratnya kerana jika diukur daripada saiz tubuh Rafidah yang agak besar dengan berat 85 kilogram tidak memungkinkan dia keluar daripada ruang tingkap yang kecil itu.
Bunyi kaca yang pecah telah mengundang tanya di hati jiran sebelah rumahnya, Hasnah Mahmood, 34, seorang wanita yang sedang sarat mengandung lalu bergegas ke rumah Rafidah dan terkejut apabila Rafidah memberitahu rumahnya terbakar.
Hasnah membantu Rafidah menyambut keluar anak-anaknya dari tingkap bermula dengan yang bongsu, anak kedua dan anak sulungnya.
Kala Rafidah mengeluarkan anak sulungnya, Rashidah Illyana, Hasnah sudah pun menyaksikan api menyambar belakang dan kepala Rafidah. Kisah tragis itu berakhir dengan Rafidah membawa naluri kasihnya sehingga ke liang lahad apabila ditemui rentung berdekatan pintu rumahnya oleh bomba setelah kebakaran berjaya dipadamkan.
Suaminya, Zamri Hamat, 38, yang merupakan seorang anggota tentera tiada di rumah pada masa kejadian kerana bertugas dalam operasi hutan di Grik, Perak. Sebaik sahaja menerima berita itu pada kira-kira pukul 2 petang hari kejadian, dia bergegas pulang dan tiba di Kuala Krai pada pukul 6 petang.
Zamri ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini, nampak tenang namun apa yang tersimpan dalam gejolak rasa lelaki cekal itu tiada siapa yang tahu. Bayangkan, hati suami mana yang tidak luluh apabila kepulangannya ‘disambut’ dengan jasad isteri yang sudah rentung tidak bernyawa.
“Arwah rentung sepenuhnya sehingga identitinya sukar dikenali. Saya tidak sangka ini terjadi kerana ketika saya menghubunginya malam sebelum itu tidak ada apa-apa yang membimbangkan melainkan arwah memberitahu anak yang bongsu demam. Tapi, ini semua ketentuan Ilahi yang tidak mampu dilawan. Sudah ditakdirkan Tuhan arwah dijemput ajal apabila tiba masanya, tidak lebih atau kurang sesaat pun. Saya reda,” ujarnya yang berkahwin dengan Rafidah pada tahun 2004.
Zamri berkata, Rafidah seorang ibu yang tegas, namun amat penyayang. Dia juga seorang yang amat mementingkan keselamatan anak-anak dan suka membantu orang lain.
Baru tiga minggu lalu, Rafidah membelikan banyak kain ela untuk dihadiahkan kepada ibu dan pengasuh anaknya selain untuk mereka sekeluarga bagi dibuat baju raya sempena Aidilfitri Ogos nanti.
“Anak-anak saya pun tidak banyak bercakap tentang hal itu mungkin mereka masih terkejut. Apabila saya tanya anak sulung, Rashidah cuma kata nampak api,” katanya.
Jeritan sayu Rafidah
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dalam pertemuan itu, anak bongsu, Zaim Iqbal banyak menangis dan cuba ditenangkan Zamri. Anak kecil itu seolah-olah dapat merasakan ibu yang selalu didampinginya tiada lagi di sisi. Rashidah dan Zaim Shahrul seperti kanak-kanak biasa yang mungkin masih mentah yang adakalanya berlari ke sana sini. Namun, bila disua untuk bercerita tentang tragedi yang membuatkan mereka kehilangan ibu sekelip mata itu, mereka enggan bersuara.
Bapa Rafidah, Ismail Hussin, 63, yang uzur dan adik Rafidah, Roziah Ismail yang berusia 20-an juga menerima trauma yang tidak kurang hebatnya. Mereka yang tinggal di taman perumahan yang sama sempat tiba di depan pintu rumah Rafidah, namun tidak berjaya menyelamatkannya.
Jeritan sayu Rafidah yang merupakan anak sulung: “Abah tolong Along!” dan “Ji, tolong Along Ji!” sehingga teriakan itu lenyap mungkin suatu yang sukar diasing daripada ingatan.
Ismail yang menghidap lelah hanya mampu termengah di depan pintu rumah dan terduduk selepas berlari ke situ, manakala Roziah mencuba pelbagai perkara untuk menyelamatkan kakaknya seperti mengetuk pintu jeriji besi dengan batu dan menghubungi pihak bomba.
Jika Ismail dan Roziah sempat tiba ke rumah Rafidah, ibunya, Romlah Mamat, 56, pula jatuh terguling di tengah jalan ketika berlari untuk ke rumah Rafidah sebaik sahaja dimaklumkan jiran berlaku kebakaran itu.
Bergelar jururawat, sifat membantu sebati dalam diri anak sulung enam beradik itu. Menurut Romlah, Rafidah seorang yang gemar menghulurkan bantuan kepada orang lain dan sebagai kakak dan anak yang sulung, dia sanggup berkorban.
“Sebelum ini dia berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu namun, meminta untuk berpindah ke Hospital Kuala Krai kerana mahu menjaga saya dan suami memandangkan rata-rata adiknya terpaksa tinggal di luar negeri ini atas tuntutan kerjaya dan keluarga.
“Ramai rakannya datang ziarah tadi dan ada yang memberitahu mak cik, Rafidah orang yang paling ceria di hospital. Lepas ini pasti mereka sunyi,” katanya.
Romlah juga tidak dapat membendung tangis, tatkala mengenangkan keanehan apabila anaknya itu menghadiahkannya kain ela untuk dibuat baju raya lebih awal daripada biasa pada tahun ini.
“Selalunya dalam dua bulan nak raya, tapi kali ini lebih awal. Dia sudahpun beri kain ela itu pada mak cik. Dia juga belikan kain ela untuk pengasuh anaknya yang juga adik mak cik,” katanya.
Seorang ibu saudara Rafidah, Raihaniah Yaakob, 62, menyifatkan ketiadaan Rafidah sebagai kehilangan yang besar bagi dirinya.
“Dialah yang banyak membantu apabila mak cik ke hospital dan menghubungi mak cik bertanya khabar kesihatan. Mak cik ni ada macam-macam penyakit, darah tinggi, kencing manis. Dia memang suka menolong siapa-siapa pun terutamanya orang tua. Dia juga merancang untuk membantu ayah mak cik yang sakit tua menjalani proses pembedahan di bahagian perut Julai ini,” katanya sebak.
Jirannya, Hasnah berkata, menyaksikan api yang sudah menyambar di kepala dan belakang Rafidah merupakan visual yang menerbitkan perasaan yang sukar diungkap dengan kata-kata.
“Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya kala melihatnya dan melalui detik genting itu. Saya cuba menenangkan Rafidah untuk mencari kunci dan minta dia bertakbir. Namun, saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimanakah kalau perkara sebegitu berlaku kepada saya,” katanya yang menyifatkan Rafidah seorang jiran yang peramah.
Hasnah bagaimanapun tidak tahu bagaimana Rafidah membengkokkan palang besi tingkap itu. Menurut keluarga, ia dipercayai dilakukan dengan tangan Rafidah sendiri. Barangkali ada kekuatan yang diberikan Tuhan saat itu seiring kekuatan nalurinya untuk menyelamatkan anak-anaknya.
Takdir Tuhan juga, di saat semua barangan dalam rumah binasa, dua naskhah al-Quran dan lima helai kain ela yang diletak bersebelahan dengan kitab-kitab suci itu tidak dijilat api seperti yang dilaporkan Kosmo! baru-baru ini.
Walau apapun hikmahnya yang hanya diketahui Tuhan, namun, sekurang-kurangnya kain ela itulah kenangan dan penyambung kasih sayang Rafidah buat anak-anaknya walaupun dia sudah bersemadi di pusara.
aku ambil drp kosmo on9- takziah kpd keluarga arwah...moga tabah. Amin. berkali-kali ku membaca artikel ini, berkali-kali itulah juga air mataku menitis, mulianya hati seorang ibu yang bernama Rafidah ini..wahai anak-anak yang masih mempunyai ibu, hargailah ibu bapamu sementara mereka masih hidup..ibu, ayah..ampunkan aku, andainya ada tingkah laku dan percakapanku mengguris atau melukakan hatimu...

Isnin, 16 Mei 2011

10 amalan popular tetapi Songsang




Pernahkan anda bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan seharian. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain.
Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.

Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?


Jangan lupa derma ketika ziarah mayat
2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan diberi jamuan, kita rasa segan nak makan, malu-malu kucing kononnya malu dan beradab, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir. Perangai tinggal makanan tak habis dah jadi budaya orang kita.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? (Ini mesti ada tujuan lain!!!).

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak memperhambakan diri padaNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah, kain hamis berbau. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita.

Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." (Riwayat Bukhari)

Ahad, 15 Mei 2011

siaPa LeLaki Dayus Menurut IsLaM ?



Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Jika sebelum ini saya menulis dua artikel berkenaan aurat dan wanita. Saya juga telah mendedahkan satu email yang mengandungi artikel berkenaan bahaya nafsu lelaki dan sebagai pengetahuan am buat para wanita. Walaubagaimanapun, tidak memadai info-info tersebut tanpa menyentuh satu lagi bab yang amat berkaitan dengannya.
Bab berkenaan suami dan tanggungjawab mereka terhadap isteri mereka dan anak-anak perempuan mereka.
Sebenarnya, bab ini agak panjang kerana terlalu banyak tanggung jawab suami dan ayah terhadap ahli keluarganya. Cuma bagi memudahkan kefahaman, tulisan ringkas ini akan fokus kepada satu isu terlebih dahulu. Iaitu siapa itu lelaki dayus yang dimaksudkan oleh Nabi SAW tidak akan masuk syurga.
Nabi SAW bersabda :-
ثلاثة لا ينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة: العاق لوالديه، والمترجلة، والديوث. رواه أحمد والنسائي
Ertinya : Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS" ( Riwayat Ahmad & An-Nasaie: Albani mengesahkannya Sohih : Ghayatul Maram, no 278 )
Dalam sebuah hadith lain pula :
ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ - تَبَارَكَ وَتَعَالَى - عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي .
Ertinya : Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya" ( Riwayat Ahmad )
Malah banyak lagi hadith-hadith yang membawa makna yang hampir dengan dua hadith ini. Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus?
ERTI DAYUS
Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadith yang lain iaitu :-
1) Sabda Nabi : -
وعن عمار بن ياسر عن رسول الله قال ثلاثة لا يدخلون الجنة أبدا الديوث والرجلة من النساء والمدمن الخمر قالوا يا رسول الله أما المدمن الخمر فقد عرفناه فما الديوث قال الذي لا يبالي من دخل على أهله
Ertinya : Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : " Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaiatu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak" lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS? , berkata nabi : "IAITU ORANG YANG TIDAK MEMPERDULIKAN SIAPA YANG MASUK BERTEMU DENGAN AHLINYA (ISTERI DAN ANAK-ANAKNYA) - ( Riwayat At-Tabrani ; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)
Dari hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.
2) Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama dari sahabat tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi:-
قالوا يا رسول الله وما الديوث قال من يقر السوء في أهله
Ertinya : Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?. Jawab Nabi : Iaitu seseorang ( lelaki) yang membiarkan kejahatan ( zina, buka aurat, bergaul bebas ) dilakukan oleh ahlinya ( isteri dan keluarganya)
Penerangan Ulama Tentang Lelaki Dayus
Jika kita melihat tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah Dayus, ia adalah seperti berikut :-
هو الذي لا يغار على أهله
Ertinya : "seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya) (An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150)
Imam Al-‘Aini pula berkata : "Cemburu lawannya dayus" ( Umdatul Qari, 18/228 )
Berkata pula An-Nuhas :
قال النحاس هو أن يحمي الرجل زوجته وغيرها من قرابته ويمنع أن يدخل عليهن أو يراهن غير ذي محرم
Ertinya : cemburu ( iaitu lawan kepada dayus ) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram " (Tuhfatul Ahwazi, 9/357)
Disebut dalam kitab Faidhul Qadir :
فكأن الديوث ذلل حتى رأى المنكر بأهله فلا يغيره
Ertinya : Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) sehingga apabila ia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya ia tidak mengubahnya" ( Faidhul Qadir, 3/327 )
Imam Az-Zahabi pula berkata :-
فمن كان يظن بأهله الفاحشة ويتغافل لمحبته فيها فهو دون من يعرس عليها ولا خير فيمن لا غيرة فيه
Ertinya : Dayus adalah sesiapa yang menyangka ( atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji ( seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana CINTAnya kepada isterinya , maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan ( yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya" ( Al-Kabair, 1/62 )
Imam Ibn Qayyim pula berkata :-
قال ابن القيم وذكر الديوث في هذا وما قبله يدل على أن أصل الدين الغيرة من لا غيرة له لا دين له فالغيرة تحمي القلب فتحمى له الجوارح فترفع السوء والفواحش وعدمها يميت القلب فتموت الجوارح فلا يبقى عندها دفع البتة
Ertinya : Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective) atau kecemburuan ( terhadap ahli keluarga) , dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota ( terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.
Dayus adalah dosa besar
Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar :
لَعَنَ اللَّهُ الدَّيُّوثَ ( وَاللَّعْنُ مِنْ عَلَامَاتِ الْكَبِيرَةِ فَلِهَذَا وَجَبَ الْفِرَاقُ وَحَرُمَتْ الْعِشْرَةُ)
Ertinya : Allah telah melaknat lelaki dayus ( laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul dengannya) (Matalib uli nuha, 5/320 )
Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini.
Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrifan para ulama tentang erti dayus dan istilah yang hampir dengannya :
والقواد عند العامة السمسار في الزنى
Ertinya : Al-Qawwad ( salah satu istilah yang disama ertikan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah broker kepada zina" (Manar as-sabil, 2/340 , rawdhatul tolibin, 8/186 )
Imam Az-Zahabi menerangkan lagi berkenaan perihal dayus dengan katanya :-
الديوث وهو الذي يعلم بالفاحشة في أهله ويسكت ولا يغار وورد أيضا أن من وضع يده على امرأة لا تحل له بشهوة
Ertinya : Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu ( atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat" (Al-kabair, 1/45 )
Cemburu Dituntut Islam & Jangan Marah
Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu, benar cemburu buta memang menyusahkan, memang dalam hal suami yang bertanya isteri itu dan ini menyiasat, saya nasihatkan agar isteri janganlah memarahi suami anda yang melakukan tindakan demikian dan jangan juga merasakan kecil hati sambil membuat kesimpulan bahawa suami tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan' kepada isteri.
Sebenarnya, kita perlu memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.
Selain itu, bergembiralah sang suami yang memperolehi isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.
Nabi SAW bersabda :
من سعادة ابن آدم المرأة الصالحة
Ertinya : "Dari tanda kebahagian anak Adam adalah memperolehi wanita solehah ( isteri dan anak)" ( Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168 )
Memang amat beruntung, malangnya tidak mudah memperolehi isteri solehah di zaman kehancuran ini, sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus. Sejak dulu, agak banyak juga email dari pelbagai golongan muda kepada saya menyebut tentang keterlanjuran mereka secara 'ringan' dan 'berat', mereka ingin mengetahui cara bertawbat.
'Ringan-ringan' Sebelum Kahwin
Jika seorang bapa mengetahui 'ringan-ringan' anak dan membiarkannya, ia dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah 'ringan-ringan' atau 'terlanjur' sebelum kahwin di ketika bercinta, tanpa tawbat yang sangat serius, rumah tangga mereka pasti goyah. Kemungkinan besar apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan 'ringan-ringan' dengan orang lain pula.
Hanya dengan tawbat nasuha dapat menghalangkan aktiviti mungkar itu dari melepasi alam rumah tangga mereka. Seterusnya, ia akan merebak pula kepada anak-anak mereka, ini kerana benih 'ringan-ringan' dan 'terlanjur' ini akan terus merebak kepada zuriat mereka. Awas..!!
Dalam hal ini, semua suami dan ayah perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda.
Suami juga patut sekali sekala menyemak hand phone isteri, beg isteri dan lain-lain untuk memastikan tiada yang diragui. Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Saya tahu, pasti akan ada wanita yang kata.
"habis, kami ini tak yah check suami kami ke ustaz?"
Jawabnya, perlu juga, cuma topic saya sekarang ni sedang mencerita tanggung jawab suami. Maka perlulah saya fokus kepada tugas suami dulu ye.
Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya.
Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi
قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن.


Ertinya : Berkata Ubadah bin Somit r.a : "Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku", maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi memberi respond : "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa'ad ? , Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi.. " ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )
Lihat betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat protective kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang perkara keji dan mungkar, khasnya zina.
BILA LELAKI MENJADI DAYUS?
Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-
1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.
2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.
3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.
4) Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.
5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.
6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.
7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.
8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.
9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.
10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktoraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.
11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.
12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelakisedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.
13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.
14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelakitanpa sebarang pemerhatian.
Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'dayus' kepad dirinya.
Mungkin kita akan berkata dalam hati :-
" Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku"
Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.
Awas wahai lelaki beriman..jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini.
Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT.
Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.
Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya. Nabi SAW bersabda :
من قتل دون أهله فهو شهيد
Ertinya : "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid" ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
17 Julai 2007
p/s : Diizinkan pembaca menyebarkan tulisan ini sejauh mana yang mungkin demi manfaat para lelaki yang berhasrat menjadi penghuni Syurga.