At-Tirmidzi meriwayatkan sebuah hadis daripada Ka’ab bin ‘Ujrah
katanya, pada suatu hari Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Wahai
Ka’ab, aku mohon perlindungan daripada Allah s.w.t supaya melindungimu daripada
pemerintah-pemerintah yang datang selepas aku. Barangsiapa yang mendatangi
pemerintah di tempat kediaman rasmi mereka, serta membenarkan pembohongan para
pemerintah dan menolong segala kezaliman mereka, sesungguhnya mereka bukan
daripada umatku, ia tidak dapat menemui aku dan menghampiri telagaku (Telaga
Kauthar) di akhirat kelak. Barangsiapa yang terpaksa pergi ke istana pemerintah
sedang dia tidak membenarkan pembohongan pemerintah dan tidak membantu di atas
kezaliman pemerintah, sesungguhnya aku adalah sebahagian daripadanya.”*1
Hadis riwayat at-Tirmidzi ini memperkatakan mengenai orang-orang
yang tidak dapat meminum air Telaga Kauthar di akhirat kelak, atas sebab-sebab
mereka telah mengingkari sunnah Rasulullah s.a.w. Di antara mereka ialah
golongan yang suka mendekati istana ataupun mengampu pemerintah bagi
mendapatkan habuan-habuan tertentu. Mereka mempunyai tujuan duniawi dalam
kegiatan mereka mendekati pemerintah, sedangkan mereka sedar bahawa pemerintah
tidak mengikut sunnah Rasulullah. Mereka mengampu dan sanggup membenarkan
segala pendustaan dari istana ataupun pemerintah zalim itu kerana mempunyai
tujuan tertentu.
Sikap buruk orang-orang yang suka mendampingi sehingga tidak
sanggup mempertahankan prinsip hidup bagi menyatakan kebenaran, tidak berani
menegur penyelewengan pemerintah yang telah menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w.
Bukan sahaja mereka membiarkan pembohongan yang dilakukan oleh pemerintah,
malah sebaliknya mereka sanggup mengiyakan atau membenarkan pembohongan pihak
pemerintah.
Bukanlah sikap orang mu’min yang suka mendampingi raja atau
pemerintah jika dengan maksud untuk mendapatkan habuan tertentu. Ini tidak
bererti Islam tidak membenarkan penganutnya mendekati pemerintah, ia suatu yang
diharuskan andainya pemerintah yang melaksanakan hukum syariat Allah s.w.t.
Namun bukan sikap orang mu’min yang gemar mendekati pemerintah sedangkan mereka
tidak sanggup menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan yang dilakukan oleh
pemerintah.
Apabila seseorang itu membenarkan pembohongan yang dilakukan
oleh pemerintah, maka ia bercanggah dengan prinsip Islam. Islam menghendaki
penganutnya supaya tidak meragui kebenaran, kerana kebenaran itu datang hanya
daripada Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya:
“Kebenaran (yang datangnya kepadamu
dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah
datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam
golongan orang-orang yang ragu-ragu.”
(Al-Baqarah : 147)
Orang yang mengetahui bahawa pemerintah itu berbohong sedangkan
dia membenarkan pembohongan itu, Rasulullah s.a.w menyifatkan orang itu bukan
dari kalangan umatnya. Sedangkan orang-orang yang dianggap dari kalangan umat
Nabi Muhammad s.a.w pun ada yang tidak dapat mendekati Telaga Kauthar, betapa
pula jika mereka yang sudah tidak diakui oleh Rasulullah s.a.w sebagai umatnya,
maka tepat sekali penjelasan baginda bahawa mereka tidak mempunyai sebarang
harapan untuk menghampiri dan minum air dari Telaga Kauthar.
Apakah yang dimaksudkan pembohongan oleh pemerintah? Pembohongan
itu misalnya ialah pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Allah dan
undang-undang yang termaktub dalam al-Quran tetapi mereka mendakwa sebagai
kerajaan Islam atau negara Islam. Para pemimpin mempromosikan negara yang
ditadbirnya sebagai sebuah negara Islam, sedangkan perlembagaan negara sekular.
Islam mengharamkan judi dan arak, tetapi negara yang didakwa sebagai sebuah
negara Islam menghalalkan judi dan arak dengan cara mengeluarkan lesen.
Pengeluaran lesen itu bererti membenarkan atau menghalalkan perkara yang diharamkan
Allah s.w.t. Pembohongan itu sepatutnya disanggah terutama oleh para ulama dan
juga umat Islam yang prihatin terhadap kemungkaran. Malangnya tidak kurang pula
orang-orang yang bertaraf ulama saling bergayutan di pintu-pintu istana para
pemerintah, memejamkan mata terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh
pemerintah. Apa yang mendukacitakan apabila ulama istana pun turut mengiyakan
dan membenarkan dakwaan para pemimpin yang terang-terang dusta itu. Yang pasti,
sehingga hari ini bilangan ulama-ulama yang telah dan sedang bergayutan di
pintu-pintu istana pemerintah melebihi 40 orang. Mereka hanya membiarkan
pemerintah menzalimi rakyat dengan menaikkan harga minyak dan barang dengan
sesuka hati yang jelas memberi kesan yang amat buruk ke atas kehidupan rakyat.
Mereka membiarkan pemerintah yang zalim terus merompak harta kekayaan negara
yang sepatutnya menjadi hak rakyat, salah guna kuasa dan urus tadbir awam yang
penuh dengan kepincangan.
Soalnya, mengapa ada ulama yang boleh berkompromi dengan
kemungkaran dan pembohongan yang dilakukan oleh pemerintah? Mengapa lidah
mereka menjadi kelu apabila berhadapan dengan pembohongan pemerintah itu,
sedangkan mereka tahu Rasulullah s.a.w telah mengingatkan umatnya, “Barangsiapa
yang melihat kemungkaran mestilah mencegah dengan tangannya (kuasa), jika tidak
terdaya dengan tangan maka hendaklah ditegah dengan lidahnya (lisan dan
tulisan) jika tidak berupaya hendaklah ditegah (membenci) dengan hatinya,
sesungguhnya yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”
Orang yang terpaksa pergi ke istana ataupun ke kediaman rasmi
para pemimpin atau pemerintah, mereka mesti sedar bahawa mereka mempunyai
tanggungjawab untuk menegakkan prinsip Islam iaitu ‘Katakanlah yang benar itu sekalipun pahit.”*2
Tidak wajar bagi orang yang mu’min bersikap mengambil hati
pemerintah, kerana sikap itu boleh menyebabkan seseorang itu jatuh ke dalam
jurang pengampu. Memang selamanya
para pengampu itu tidak akan berkata kecuali apa yag disukai oleh orang yang
diampunya. Andainya seorang mu’min terpaksa pergi ke istana atau ke kediaman
rasmi para pemerintah, dia mesti mempunyai tanggungjawab menegakkan kebenaran.
Berani menyanggah pembohongan pihak pemerintah dan menentang segala kezaliman
yang dilakukan.
Sekiranya inilah sikap umat Nabi Muhammad s.a.w terhadap
pemerintah yang zalim dan pembohong, maka Rasulullah s.a.w menyatakan dalam
hadis riwayat at-Tirmidzi; “Bahawa aku adalah sebahagian daripadanya
(sebahagian daripada orang yang tidak membenarkan pembohongan pemerintah dan
tidak membantu kezaliman pemerintah).”
Menjadi sebahagian daripada diri Rasulullah bererti bersama-sama
mendapat kurnia Allah di akhirat sebagaimana kurnia yang diterima oleh
Rasulullah s.a.w. Baginda dikurniakan Allah s.w.t dengan Telaga Kauthar, maka
orang yang menjadi sebahagian daripada diri Rasulullah itu pasti mendapat
sebahagian daripada air Telaga Kauthar itu.
Orang yang berani menyatakan kebenaran kepada pemerintah yang
zalim adalah orang yang telah melaksanakan tugas nabi-nabi. Pengertian bahawa
diri Nabi menjadi sebahagian daripada diri mereka bererti mereka telah
melaksanakan apa-apa yang telah dilaksanakan oleh para nabi.
Rasulullah s.a.w seperti yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi
daripada Ka’ab bin ‘Ujrah mengakui bahawa orang-orang mu’min yang tidak
membenarkan ataupun tidak menyokong kezaliman pemerintah, maka sesungguhnya
baginda menjadi sebahagian daripada diri orang mu’min itu (wa ana minhu).
Apakah yang dimaksudkan dengan ucapan Rasulullah s.a.w; “Bahawa
aku adalah sebahagian daripadanya iaitu sebahagian daripada diri orang mu’min
itu”? Apakah ia bermaksud bahawa di dalam jasad ataupun darah orang mu’min itu
terdapat sebahagian daripada jasad ataupun darah Rasulullah s.a.w?
Terdapat pelbagai tafsiran di kalangan ulama mengenai sabda
junjungan itu, ia membawa pengertian yang luas sebagaimana ulasan para ulama
terhadap ucapan selawat ke atas Rasulullah s.a.w yang berbunyi; “Allahumma solli ‘ala Muhammad wa-‘ala aali Muhammad.” Siapakah yang
dimaksudkan dengan ‘aali Muhammad’ (keluarga Nabi
Muhammad s.a.w), keluarga Nabi Muhammad secara khususnya ialah keluarga
terhormat daripada keturunan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib, dua keluarga
terbesar itulah yang menjadi susur-galur keluarga Rasulullah s.a.w.
Walau bagaimanapun terdapat di kalangan ulama yang mentafsirkan
maksud ‘aali Muhammad’ (keluarga
Muhammad) ialah ‘Kullu Mu’minin’ iaitu setiap
orang mu’min yang membenarkan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, yang menggemari
dan mengikuti sunnahnya. Sunnah Rasulullah s.a.w dalam ibadahnya, muamalah,
kekeluargaannya, pergaulan dan kemasyarakatannya, sunnah dalam siasah atau
urusan pentadbiran negara, sunnah dalam menghadapi musuh-musuh Islam, sunnah
dalam menghadapi kebatilan dan kemungkaran dan seterusnya sunnah dalam
menegakkan kebenaran.
Orang-orang mu’min yang mempunyai ciri-ciri sedemikian
disifatkan oleh ulama muhaddisin sebagai keluarga Rasulullah s.a.w. Ini kerana
mereka mendukung segala ciri-ciri kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Kepada mu’min yang sedemikian pendiriannya ditujukan ucapan baginda, ‘wa ana minhu’ itu, bahawa baginda menjadi
sebahagian daripada diri orang itu.
Ucapan dan pengakuan baginda itu tentulah lebih bermakna
daripada hanya sekadar kekeluargaan berdasarkan pertalian darah, kerana sejarah
sudah menunjukkan kepada kita bahawa ada juga orang yang mempunyai hubungan
darah dengan baginda tetapi mereka menentang ajaran yang dibawa dan tidak mahu
mengiktiraf kerasulan Nabi Muhammad s.a.w hingga ke akhir hayat mereka, seperti
Abu Jahal dan Abu Lahab yang akhirnya menjadi abu neraka.
Orang-orang yang mempunyai pertalian darah dengan Rasulullah
s.a.w tetapi menentang ajaran yang dibawanya, sudah tentu tidak termasuk dalam
ucapan selawat ke atas baginda sebagai ‘aali Muhammad’.
Oleh itu ulama telah mengkategorikan orang-orang mu’min yang
beriman dengan Allah dan kerasulan Muhammad yang percaya dengan hukum halal,
haram, sunat, makruh dan mubah yang menjadi landasan dalam kehidupan harian
baginda, adalah yang paling layak bergelar ‘keluarga Muhammad’. Justeru itu
ulama berpendapat apabila seseorang berselawat ke atas Rasulullah s.a.w dan ke
atas keluarganya, maka orang-orang mu’min yang mempunyai ciri-ciri seperti yang
disebutkan itu termasuklah dalam ucapan selawat itu. Wallahu a’lam.
Demikianlah orang-orang mu’min yang kamil itu digolongkan
sebagai keluarga Nabi Muhammad s.a.w berdasarkan kepada amalan dan perjuangan
mereka mempertahankan kebenaran daripada Allah yang dibawa oleh Rasul-Nya
Muhammad s.a.w. Suatu bukti bahawa pertalian kekeluargaan itu sangat rapuh dan
pernah dinafikan oleh Allah s.w.t melalui peristiwa yang berlaku kepada Nabi
Nuh a.s sebagaimana firman-Nya:
Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janji-Mu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim Yang menghukum dengan seadil-adilnya". Allah berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); Sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah Engkau memohon kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil".
(Surah Huud : 45-46)
Sebagai seorang ayah sudah tentu Nabi Nuh mengakui bahawa
anaknya walau dalam keadaan bagaimana sekalipun tetap darah keturunannya juga.
Ketika air bah sudah mulai melimpah ke daratan, Nabi Nuh mengajak anaknya
supaya menaiki bahtera yang dibuatnya sendiri. Tetapi anaknya enggan menaiki
bahtera itu, sebaliknya dia berenang menuju ke puncak bukit. Ketika itu Nabi
Nuh berdoa kepada Allah s.w.t supaya membuka pintu hati anaknya untuk menerima
kebenaran dan bersedia menaiki bahtera bersama orang-orang yang beriman. Tetapi
Allah s.w.t dalam ayat tersebut telah menafikannya, bahawa sesungguhnya dia
bukanlah keluarga Nuh. Kerana amalannya tidak soleh dan tidak berpegang kepada
akidah tauhid yang dibawa oleh bapanya. Dengan sebab itu Allah s.w.t menafikan
bahawa dia adalah daripada keluarga Nuh dalam erti kata keluarga seorang utusan
Allah yang membawa ajaran yang haq iaitu ajaran tauhid. Walaupun dia adalah
darah daging Nabi Nuh a.s, namun kekeluargaan di atas pertalian darah tidak
mempunyai kaitan langsung dengan kebenaran yang diperjuangkan oleh Nabi Nuh
a.s.
Demikianlah halnya dengan keluarga Nabi Muhammad s.a.w, atas
nama seorang Rasul yang membawa akidah tauhid, maka jelaslah bahawa keluarga
bagi seorang Rasul Allah itu hanyalah mereka yang beriman yang menerima
kebenaran dan mengamalkannya dengan ikhlas. Dialah yang selayaknya bergelar
‘Keluarga Muhammad’.
Justeru itu setiap mu’min wajib berusaha sepenuh tenaga untuk
menjadi sebahagian daripada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bersikap tegas
terhadap pemerintah yang zalim, tidak membenarkan sebarang pembohongan dan
penyelewengan yang dilakukan oleh pemerintah dan tidak berkompromi dengan
kezaliman yang dilakukannya.
*1 = Sunan at-Tirmidzi: hadis no. 558, al-Mukjam al-Kabir: hadis
no 15 561
*2 = Hadis ini sahih lighairih mengikut penilaian Albani. Rujuk
kitab Sahih At-Targhih wa At-Tarhib: 3/57: hadis no. 2868