Dari Al-Bara' bin Azib r.a. katanya: Kami
telah keluar bersama-samaNabi mengiringi jenazah seorang lelaki dari
kaum Ansar, lalu kami sampai ke kuburnya yang disediakan
Rasulullah s.a.w. pun duduk lalu kami duduk di sekelilingnya
dengan keadaan tidak bergerak dan membisu; manakala Baginda s.a.w. pula
mencucuk-cucuk tanah dengan seranting kayu yang ada di tangannya. Setelah
itu Baginda s.a.w. mengangkat kepalanya lalu bersabda: "Mintalah kamu
perlindungan kepada Allah dari azab kubur", (diulanginya
sabdanya itu) dua atau tiga kali; kemudian Baginda s.a.w. bersabda lagi:
"Sesungguhnya hamba Allah yang mukmin (ketika hendak mati)
apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang
menghadapi akhirat akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit,
putih bersih muka mereka, seolah-oleh matahari dengan membawa
kain kapan bersama mereka dari kain-kain kapan syurga dan
Hanut(1) dari yang ada di syurga, sehingga mereka duduk
jarak daripadanya sejauh mata memandang.
Kemudian datang Malakulmaut
a.s. lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata:
"Wahai jiwa yang baik keluarlah (dan pada satu riwayat ada
disebutkan: Orang yang hendak mati dihadiri - saat naza'nya - oleh
Malaikat, maka sekiranya orang itu seorang yang salih, berkatalah
Malaikat:"Keluarlah engkau ..) menuju ke tempat keampunan dan
keredhaan Allah. " Baginda s.a.w. bersabda lagi: "Kemudian
roh orang itu keluar - mengalir seperti mengalirnya setitik air dari mulut
bekas air (yang terbuat dari kulit kambing), lalu Malakulmaut
mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan
untuk itu) tidak membiarkannya di tangan Malakulmaut walau sekelip
mata sekalipun lalu mereka mengambilnya kemudian meletakkanya di dalam
kain kapan dan Hanut yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau
yang harumnya seperti seharum-harum kasturi yang terdapat di atas muka
bumi." Baginda s.a.w., bersabda lagi: "Kemudian mereka membawanya
naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya)
mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu
berkata: `Roh yang baik ini roh siapa?" Mereka
menjawab: "Roh Si anu anak si anu" (dengan
menyebutkan sebaik-baik namanya yang biasa mereka menamakannya dengan
nama-nama itu di dunia), (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan
mereka membawanya ke langit yang Pertama; setelah itu mereka
meminta dibukakan pintu langit untuknya, lalu dibukakan pintu untuk-
mereka; kemudian Malaikat-malaikat yang berkedudukan istimewa di
sisi Tuhan dari penduduk tiap-tiap langit menghantar roh itu ?
beramai-ramai hingga ke langit yang berikutnya, sehinggalah mereka
berhenti membawanya di langit yang ketujuh. Setelah itu Allah `Azza wa
Jalla berfirman kepada Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu)
"Simpanlah suratan amal hambaKu ini dalam `illiyyin (tempat
simpanan surat amal orang-orang yang berbakti) dan bawalah dia balik ke
bumi, kerana sesungguhnya Aku telah menciptakan manusia dari bumi, dan ke
bumi juga Aku kembalikan mereka serta dari bumi pula Aku keluarkan mereka sekali.
Baginda
s.a.w. bersabda "Dan sesungguhnya orang yang kafir (ketika hendak mati)
apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang
menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit,
hitam muka mereka dengan membawa kain-kain kasar seperti kain kadut; lalu
mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian
datang Malakulmaut lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan
berkata: "Hai jiwa yang jahat. Keluarlah (dan pada satu
riwayat disebutkan: Maka apa bila orang itu orang jahat, berkatalah
Malaikat: "Keluarlah engkau ...) menuju ke tempat kebencian dan
kemurkaan Allah." Baginda s.a.w., bersabda lagi: "Kemudian roh
orang itu berselerak di merata jasadnya (kerana takut hendak keluar), lalu
disentap rohnya itu oleh Malakulmaut sebagaimana sebatang besi pembakar
daging disentap dari segumpal bulu yang basah; Malakulmaut pun
mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan
untuk itu) tidak membiarkannya di tangan Malakulmaut walau sekelip mata
sekalipun sehingga mereka meletakkannya dalam kain kasar yang tersebut;
dan keluar pula dari roh itu bau yang busuknya seperti sebusuk-busuk bau
bangkai yang ada di atas muka bumi. Kemudian mereka membawanya naik ke
langit maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan
Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh
yang jahat ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh Si
anu anak si anu, " (dengan menyebutkan seburuk-buruk
namanya yang biasa dipanggil dengan nama-nama itu di dunia); (demikianlah
halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang
pertama, setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya,
tetapi tidak dibukakan baginya.
Kemudian
Rasulullah s.a.w., membaca (ayat 40 Surah al-A'raf,
ertinya):".. Tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu
langit dan mereka tidak akan masuk syurga hingga unta masuk di
lubang jarum...". (Kemudian Baginda s.a.w., bersabda): "Lalu
Allah `Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat: "Simpanlah
suratan amal jahatnya di dalam sijjin (tempat simpanan surat amal
jahat orang-orang yang berdosa), yang letaknya di bumi yang terkebawah
sekali. Lalu dicampakkan rohnya ke situ...."
(Imam
Ahmad, Abu Daud, Al-Nasa'i dan Ibn Majah)
______________________________
(1)
Hanut: Ialah "Pachai" iaitu serbuk campuran dari
benda-benda yang harum yang ditabur kepada mayat semasa dikapankan.