Jumaat, 6 Mei 2011

Jeritan sayu ibu sebelum rentung



Oleh ADHAM SHADAN dan SAMSUL BAHARI MOHAMED
berita@kosmo.com.my

KUALA KRAI - Sambutan Hari Ibu pada Ahad ini tidak bermakna buat tiga beradik apabila ibu yang disayangi rentung selepas rumah teres yang didiami mereka di Taman Sri Guchil, Kuala Krai di sini terbakar semalam.
Kejadian menyayat hati pukul 1.30 petang itu menyebabkan seorang jururawat, Rafidah Ismail, 36, menemui ajal dalam keadaan tragis apabila ditemui rentung dekat pintu utama rumahnya selepas gagal menyelamatkan diri sebaik dapat mengeluarkan tiga anaknya melalui tingkap.
Tiga anaknya yang terselamat ialah Rashidah Illyana Zamri, 7; Zaim Shahrul Zamri, 6, dan Zaim Iqbal, 2. Mereka dapat dikeluarkan selepas Rafidah bertindak nekad memecahkan cermin sebelum membengkokkan besi tingkap lalu menyerahkan kanak-kanak itu kepada jiran yang datang membantu.
Difahamkan, ketika kejadian, empat beranak itu berada di ruang tamu. Mereka panik apabila api besar tiba-tiba menyambar dari arah dapur menyebabkan Rafidah gagal mencari kunci pintu jeriji.
Rafidah kemudian menjerit meminta tolong dalam keadaan api marak dan asap tebal sebelum jeritannya didengari oleh jiran. Suami Rafidah, Zamri Ahmad, 38, yang merupakan seorang anggota tentera tiada di rumah semasa kejadian kerana bertugas menghantar bekalan makanan di Perak. Rafidah pula bekerja di Hospital Kuala Krai di sini.
Bapa Rafidah, Ismail Hussin, 63, yang tinggal berdekatan dengan rumah mangsa memberitahu, dia terkilan kerana hanya sempat mendengar teriakan sayu anaknya meminta tolong tanpa dapat membantu. Katanya, dia cuba berjalan laju tetapi gagal ekoran masalah kesihatan yang dialaminya dan dalam keadaan termengah-mengah dan semput, dia gagahkan juga ke rumah anaknya.
"Ketika saya sampai, saya lihat api sudah marak dan jeritan anak saya sudah tiada lagi. Namun, tiga cucu saya dapat diselamatkan.
"Memang sedih apabila mengenangkan keadaan itu apatah lagi teriakan sayu Rafidah masih terngiang-ngiang di telinga saya," ceritanya sambil menangis semalam.
Bapa saudara mangsa, Abdullah Mohamed, 58, pula berkata, daripada cerita jiran yang didengarinya, ketika kejadian, empat beranak itu berada di ruang tamu manakala pintu jeriji berkenaan berkunci.
"Api itu datang dari arah dapur dan terus menyambar ruang tamu. Rafidah yang panik gagal mencari kunci menyebabkan dia memecahkan cermin dan membengkok besi tingkap untuk mengeluarkan anak-anaknya," ceritanya yang tidak mengetahui bagaimana mangsa membengkokkan besi tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Azhar Abdul Rahman memberitahu, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira 20 minit kemudian namun gagal menyelamatkan mangsa kerana api marak. Selepas memadamkan api dan memotong besi jeriji, pasukannya menemui mayat Rafidah dalam keadaan rentung lebih 50 peratus dekat pintu tersebut.
"Pada tingkap itu terdapat kesan dipecah manakala besinya pula telah dibengkokkan dipercayai dilakukan oleh mangsa untuk mengeluarkan anak-anaknya," katanya yang memberitahu pihaknya masih menyiasat jumlah kerugian dan punca kejadian.


seMOGA rohnya ditempatkan bersama para syuhada..Amin.
aku ambik daripada kosmo...


Khamis, 5 Mei 2011

BaGaimana meMbina nEgara iSLam ?



Bersabda Rasulallah s.a.w :
"Akan terbukalah Konstantinople, Dan yang menjadi pemimpinnya sebaik-baik pemimpin tenteranya sebaik-baik tentera."
Bermula dari hadith yang mulia itulah, dari zaman berzaman para-para sahabat dan tabiin telah cuba menawan kota Konstantinople tetapi tidak berjaya sehinggalah 700 tahun selepas itu, Sultan Muhammad Al Fateh berketurunan raja Osmaniah telah berjaya menawan Kota Konstaninople ketika berumur 19 tahun. Keperibadiannya telah terbukti apabila sembahyang Jumaat yang pertama hendak diadakan di tanah Konstantinople. Aya Sophia telah dipilih untuk diadakan sembahyang Jumaat. Cuma sewaktu hendak dilantik siapa yang layak menjadi imam, seluruh tentera Sultan diminta untuk berdiri dan ditanyai siapakah yang tidak pernah qada' sembahyang yang fardhu. Jikalau ada diminta duduk. Semua tentera berdiri. Ini bermakna tidak ada seorang pun yang pernah meninggalkan sembahyang fardhu. Sultan Muhammad Al Fateh bertanya lagi, siapa dikalangan mereka yang tidak pernah meninggalkan sembahyang sunat qabliah dan ba'diah. Separuh tenteranya duduk. Ditanya lagi siapakah diantara mereka yangtidak pernah meninggalkan sembahyang dhuha dan solat tahajjud. Semua tentera duduk kecuali Sultan Muhammad Al Fateh. Akhirnya beliau sendiri yang menjadi imam.
Dan apabila hendak didirikan solat Jumaat, timbul masalah qiblat. Maka Sultan Muhammad Al Fateh bertakbir dan beliau nampak akan Ka'abah ( secara kasyaf ) tetapi tidak jelas. Diulangi sebanyak tiga kali dan akhirnya beliau nampak dengan jelas dan berpusing ke kanan dan terus mengimamkan jemaah. Hal ini , jikalau kita pergi ke Aya Sophia, kita akan lihat arah kiblat yang mengarah ke kanan sedikit daripada menghala ke bucu mihrab bangunan. Beliaulah sebaik-baik pemimpin yang mempunyai sebaik-baik tentera sebagaimana yang tersebut di dalam hadith Nabi s.a.w.
Oleh kerana itu di dalam membina sebuah negara Islam, pemimpinnya mestilah seorang yang layak dan bertaqwa. Di dalam Al Quran istilah pemimpin ini diertikan sebagai :
a) Ulama
b) Orang yang berkuasa (pemerintah)
c) Ahlul Halli wal Aqdi
d) Pemimpin-pemimpin jemaah Islam.
Pemerintah adalah wakil Allah dan wajib melaksanakan hukum-hakam Allah.
Syarat-syarat menjadi pemimpin :
a) Islam
b) Lelaki
c) Baligh
d) Berakal
e) Merdeka
f) Sempurna aggota
Sifat-sifat yang wajib bagi pemimpin :
a) Ada ilmu Islam. Faham Al Quran dan sunnah segala menguruskan segala hal iaitu pentadbiran.
perindustrian, pendidikan, pertanian, kesihatan, kehakiman dan ketenteraan menurut Islam.
b) Tahu memimpin rakyat. Mesti faham kaedah memimpin. Meletakkan rakyat kedudukan dan peranan yang tepat. Segalanya hendaklah dikawal dan digerakkan menurut syariat iaitu fizikal, mental dan spiritual agar berguna untuk diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama. Ilmu seorang pemimpin itu mestilah di dasarkan :
  • Al Quran dan Sunnah
  • Watak dan jiwa kepimpinan yang terasuh
  • Latar belakang hidup ditengah-tengah masyarakat
  • Pengalaman memimpin dan cita-cita perjuangan
  • Bantuan Allah samada ilham atau barakah
c) Mendidik. Selain daripada tahu memimpin dan mempunyai ilmu, mesti juga pandai mendidik masyarakat. Mendidik lahir dan batin. Mendidik aqidah dengan roh tauhid. Mendidik fizikal dengan syariat yang jelas. Mendidik rohani dengan musyahadah dan riadhah (tasawwuf dan kesufian). Kuncinya ialah dengan mendidik diri sendiri.
d) Taqwa. Agar mendapat bantuan Allah di dalam memimpin.
Kategori pemimpin di dalam Islam
a) Pemimpin yang baik
  • Pemimpin yang kuat jiwa. Optimis, berani, tahan uji.
  • Pemimpin yang kuat mental. Strategist, punyai minda, kreatif.
  • Pemimpin yang kuat perasaan. Kasih sayang, lemah lembut.
  • Pemimpin yang kuat fizikal. Aktif, cergas, hikmah.
b) Pemimpin yang lemah. Tidak mempunyai ciri-ciri di atas. Masih boleh diperbaiki asalkan mahukan perubahan.
c) Pemimpin yang cacat. Mereka yang cacat peribadinya. Lemah iman dan taqwa. Pandangan mereka tidak nampak akhirat.
Pemerintah Yang Adil
Pengertian adil menurut syariat di dalam konteks pemerintahan ialah menjalankan hukum-hakam Allah pada sebarang tindak-tanduk, pembangunan, percakapan dan hukuman (yang hendak dijalankan kepada pesalah ).
Keadilan boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian :
a) Menjalankan semua sistem hidup seperti pendidikan, ekonomi, kehakiman dan sebagainya menurut Islam.
b) Membentuk dan mendidik masyarakat supaya menjadi hamba dan khalifah Allah serta meletakkan mereka sesuai dengan kebolehan, kemampuan dan peranan masing-masing.
c) Menjalankan hukum-hakam Allah.
d) Menjalankan hukuman kepada semua golongan.
e) Membahagikan harta benda dan kemudahan kepada rakyat dengan tepat mengikut keperluan dan tanggungjawab, tanpa pembaziran dan sia-sia.
f) Diri peribadi pemerintah juga tidak terlepas daripada hukum-hukum keadilan yang telah digariskan oleh negara.
Cara Islam Melantik Pemimpin
Cara Islam melantik pemimpin adalah melalui syura atau Ahlul Halli wal Aqdi. Pemimpin memimpin bukan untuk buat jasa tetapi amanah dari Allah.
Regu di dalam kepimpinan
Regu di dalam kepimpinan ialah semua menteri dan mereka yang pakar di dalam setiap kementerian serta ahli majlis Ahlul Halli wal Aqdi ( Majlis Tamfiz - Majlis kelulusan ).
Perkara yang perlu dilakukan oleh regu atau " Team Pemerintahan" ini ialah :
a) Menjadikan dasar perjuangan pemimpinnya itu sebagai dasar perjuangan mereka.
b) Menjadikan matlamat perjuangan pemimpin itu sebagai matlamat mereka
c) Menjadikan cara berfikir pemimpin dan mindanya itu sebagai cara mereka berfikir.
d) Mengusahakan sifat taqwa.
e) Menjadikan sikap, tindakan, akhlak dan cara hidup pemimpin sebagai cara hidup mereka.
f) Menjadikan ukhwah dan kasih sayang sebagai teras di dalam kepimpinan.
Syura Di Dalam Islam
Allah memerintahkan agar hambanya selalu bermusyawarah jika menghadapi sesuatu perkara. Selalunya manusia berdepan dengan :
a) Masalah hidup samada di peringkat rumah, masyarakat dan negara.
b) Keperluan ekonomi, pendidikan.pembangunan dan lain-lain.
c) Gangguan musuh.
d) Kebuntuan fikiran.
Di dalam Islam majlis syura mestilah ada syarat dan adab-adabnya :
a) Tujuan syura ialah untuk mencari kebenaran dan menyelesaikan masalah, bukan tujuan yang selain daripada itu.
b) Bila seorang ahli bercakap, yang lain harus menghormati.
c) Jangan sesekali mengutuk dan menghina.
d) Jikalau tetdapat perbezaan pandangan yang serius, maka ketua syura yang harus membuat keputusan.
e) Tidak ada perdebatan, bersangka buruk dan maki hamun.
Ahli-ahli syura mestilah memenuhi syarat berikut :
a) Islam
b) Bertaqwa
c) Cerdik
d) Ahli di dalam sesuatu bidang
Majlis Tamfiz
Di dalam Islam, dasar pemerintahan ditentukan oleh Majlis Tamfiz atau Ahlul Halli Wal Aqdi. Majlis Tamfiz adalah majlis tertinggi yang menasihati Khalifah mengenai sesuatu perkara yang telah disyurakan oleh Majlis Syura. Ciri-ciri mereka yang dipilih didalam Majlis Tamfiz ini ialah :
a) Ulama yang bertaqwa
b) Luas ilmunya
c) Dihormati umum
d) Berpengalaman
e) Pengetahuan amnya luas
Parlimen di dalam Islam mesti bersifat seperti sebuah keluarga.
Majlis Kehakiman
Perlaksanaan hukum Allah dibuat di Mahkamah Islam oleh Majlis Keadilan atau Kehakiman Islam di dalam negara Islam. Di dalam negara Islam tidak ada mahkamah sivil. Semua kesalahan akan dihukum menurut hukum Islam. Tetapi mengketogorikan mahkamah kepada mahkamah majistret, mahkamah tengah dan mahkamah tinggi tidak salah dan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Badan Kehakiman adalah badan bebas yang dilantik oleh khalifah ( pemerintah )
Ahli Majlis Kehakiman
Khalifah boleh melantik dirinya sendiri untuk menjadi anggota majlis. Anggota majlis ialah hakim-hakim Islam. Anggota yang dilantik hendaklah tidak terikat dan tidak dipengaruhi oleh khalifah. Ketua Majlis Keadilan mestilah :
a) Lelaki
b) Islam
c) Baligh
d) Akil
e) Merdeka dan tidak terikat oleh sesiapa
Kemudian syarat untuk ahli Majlis Keadilan ini :
a) Taqwanya tinggi. Wara' dan adil
b) Luas ilmunya di dalam hukum Islam dan ilmu perundangan.
c) Mempunyai ilmu pengetahuan umum seperti psaikologi manusia, situasi masyarakat dan isu semasa.
d) Cerdik dan peka.
e) Berpengalaman.
Kaedah Melaksanakan Hukum Hudud
Sebelum melaksanakan hukum hudud, pemerintah perlu melaksanakan langkah-langkah berikut :
a) Berdakwah secara menyeluruh. Serius dan istiqamah.
b) Tarbiyah dan pimpinan yang berterusan.
c) Menyediakan keperluan hidup yang asasi.
d) Menutup segala pintu dan peluang-peluang maksiat.
e) Pihak pemerintah mesti berwibawa.

Ahad, 1 Mei 2011

8 panduan untuk dapatkan anak yg menyenangkan hati ibu bapa


Anak adalah rezeki daripada Allah yang sudah selayaknya pasangan suami isteri bersyukur atas rezeki berkenaan. Dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia menciptakan apa yang Ia kehendaki. Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Ia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang Ia kehendaki). Dan Dia menjadikan mandul kepada siapa yang Ia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

Antara bentuk rasa syukur adalah mengambil berat persoalan anak. Dengan demikian, terjalin hubungan harmoni dalam keluarga, lahirlah anak yang taat kepada dua ibu bapanya serta terbentuklah watak anak salih yang dapat membangunkan agama, bangsa dan negara.

Islam adalah agama yang sempurna. Islam sudah mengajar seluruh aspek kehidupan, termasuk hak anak yang perlu dipenuhi oleh kedua ibu bapa. Antara hak anak dalam Islam iaitu hendaklah mencari pasangan yang baik buat anak yang bakal dilahirkan hasil daripada perkahwinan. Rasulullah SAW sudah mengajar pemuda yang ingin berkahwin agar memilih wanita yang salihah.
  
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, maka engkau akan beruntung – Hadis riwayat al-Bukhari.

Kedua, hendaklah membaca doa sebelum melakukan hubungan badan agar terhindar daripada gangguan syaitan. Rasulullah SAW telah mengajar kepada kita seperti dalam satu hadis Baginda bersabda: “Sekiranya seseorang di antara kamu ketika hendak mendatangi isterinya, maka hendaklah ia membaca: “Bismillah, Allahumma jannibnas Syaitana wajannibis syaitana ma razaktana. Maksudnya: Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami.

Jika Allah takdirkan (dengan hubungan tersebut lahir) seorang anak, maka syaitan tidak boleh memudaratkannya.” – Riwayat al-Bukhari.

Ketiga, hendaklah mengambil berat bayi yang berada dalam kandungan ibunya. Perhatian itu sama ada kesihatan bayi yang dikandungnya, mahupun sifat-sifat yang akan diturunkan daripada ibu kepada anaknya.

Keempat, seorang ibu hendaklah sedar terhadap apa yang dikerjakan sehariannya agar tidak melakukan perkara buruk yang akan berpengaruh kepada bayinya nanti.

Kelima, hendaklah menerima dengan senang hati bayi yang dilahirkannya sama ada perempuan atau lelaki. Kerana ada di kalangan pasangan yang tidak suka jika lahir anak perempuan. Sikap ini adalah sifat jahiliah yang perlu dijauhi. Orang Quraisy pada zaman jahiliah apabila lahirnya anak perempuan, maka mereka membunuhnya. Begitu juga kadang-kadang Allah SWT menguji ibu dan ayah dengan anak yang kurang sempurna seperti buta, bisu, pekak. Sekiranya ibu bapa itu menerima dengan berlapang dada, maka ia tetap berasa senang. Namun, sekiranya ibu bapa tidak senang menerimanya, ia boleh membawa kepada penceraian atau pembunuhan pada anak tersebut.

Keenam, memberi nama anak yang baik. Sesungguhnya anak berhak untuk diberi nama yang baik dan bagus didengar. Nama itulah yang akan mewakili dirinya untuk kehidupannya kelak. Oleh itu, janganlah tersalah memberi nama. Janganlah diberi nama yang ada unsur menyamai dengan agama lain atau ahli maksiat dan orang yang terkenal kejahatannya. Berilah nama yang dianjurkan seperti nama yang menunjukkan perhambaan kepada Allah, nama Nabi dan orang yang salih.

Ketujuh, memberikan anak itu rasa aman dan tenteram daripada hal yang menakutkan dan perkara yang boleh merosakkan akidahnya. Jangan suka menakutkan dengan mengatakan kepadanya ada hantu kerana ia boleh merosakkan mental dan agamanya.

Kelapan, memberi pendidikan agama yang cukup. Kesembilan, menjaga kesucian anak itu dengan menikahkannya sekiranya rasa perlu dan mampu untuknya.

Demikianlah antara hak-hak anak. Wallahua’lam

aku ambil drp facebook layarminda...