Sabtu, 21 Januari 2017

mUhasabah diri 2..

MUHASABAH DIRI HARIAN


                Adakah anda solat setiap waktu ?

                Adakah anda solat di awal waktu ?
                Adakah anda melakukan solat Dhuha dan solat Witir?
                Adakah anda tertinggal takbiratul ihram pertama semasa berjemaah ?

                Adakah anda membaca ayat AL-QURAN hari ini ?

                Adakah anda membaca doa-doa ma'thurat ?

                Adakah anda berselawat ke atas Rasulullah pada hari ini?

                Adakah anda menjalankan dakwah kepada orang lain ?
                Adakah anda melakukan perkara sunat dan sunat rawatib?
                Adakah anda menziarahi saudara lain kerana ALLAH ?
                Adakah anda menyeru orang lain ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran ?
                Adakah anda membaca buku-buku islam ?
                Adakah anda merasakan kewajipan anda lebih banyak dari masa anda?
                Adakah anda mengambil iktibar dari pengalaman sepanjang hari ?
                Adakah anda bergaul dengan orang soleh di dalam mengingati ALLAH ?
                Sejauh manakah anda merasakan ketaqwaan anda kepada Allah ?
                Adakah anda menitiskan air mata di dalam mengingati ALLAH dikala sunyi ?
                Adakah anda bercita-cita untuk berjihad dan mati di jalan Allah?

                Adakah anda memikirkan tentang hari akhirat ? Dimanakah kedudukan anda?di

                 SYURGA atau di NERAKA?
                Adakah anda memikirkan tentang mati walau sesaat pun ?
                Adakah anda memberi kerana ALLAH?
                Adakah anda memungkiri janji ?
                Adakah anda berbohong ?
                Adakah anda mempersendakan ALLAH ?
                Adakah anda pernah terjerumus ke lembah maksiat?
                Adakah anda pernah terfikir untuk melakukan maksiat ?
                Adakah anda membantu orang lain kerana ALLAH ?
                Adakah anda memaafkan orang lain kerana ALLAH?
                Adakah anda dapat menahan perasaan marah?
                Adakah anda mampu bersabar dalam menghadapi tribulasi ( kesusahan )?
                Adakah anda berharap sepenuhnya kepada ALLAH ?
                Adakah anda beristighfar sekurang-kurangnya 70 kali sehari ?
                Adakah anda berasa riak dan takabbur dalam melakukan sesuatu ?
                Adakah anda telah menjaga telinga, mata , tangan, kaki, mulut, dan hati dan anggota lain
          dari melakukan maksiat ?
                Adakah anda berwuduk sebelum tidur?
                Adakah anda telah mengamalkan doa harian semasa berpakaian , makan, menaiki
          kenderaan dan lain-lain ?
                Adakah anda berniat untuk bertahajjud pada malam ini?
                Adakah anda ingin memperbaiki diri pada hari esok dengan lebih baik lagi?

          Sama-samalah kita menghisab diri kita sebelum ALLAH menghisab akan amalan kita .. dan semoga kita tergolong dalam orang yang benar-benar mendapat keredhaan ALLAH taala.. Dalam surah Al-Isra' ALLAH berfirman yang maksudnya ..
          " Sudah cukup di hari itu untuk anda menghitung diri .."







 RENUNGAN BERSAMA

         

              Malu itu adalah perhiasan diri. 
               Awasilah lidah ia boleh memuja dan ia boleh mengeji 
               Tidak ada kebaikaan selamanya bagi pendusta

                Manusia hasad tidak akan senang melihat kebaikan orang lain. 
                Rajin bekerja mudah berbelanja , rajin bermalam mudah pahala 
                Bagi orang yang arif sedetik sahaja lupa pada ALLAH adalah satu dosa yang besar .

                Hidup ini ibarat rumah sakit , di mana pesakitnya selalu ingin ganti tempat tidur.. 
                Waktu amat berharga tetapi kebenaran adalah amat berharga dari waktu. 
                Satu-satunya yang baik ialah pengetahuan dan satu-satunya yang jahat adalah
             kebodohan 
                Sabda Rasulullah saw " Mahkota termahal dunia ialah kesihatan .." 
                   Allah berfirman :   
                 Sesungguhnya orang yang berhati teguh ( sabar ) itu akan dibalas dengan pahala yang tiada batasnya
             .   
                    Az-Zumar:10  
               
                Seorang doktor arab, Haris bin Kaldah berkata " Perut itu pangkal segala penyakit .
             Menahan makan pokok segala ubat . 

                Kalau kita terpesona dengan dunia yang bersifat sementara , kita akan hilang nikmat
             akhirat yang kekal selama-lamanya.. 

               Jadilah harta kemudahan beragama, ilmu sebagai panduan beragama, pengalaman
             sebagai hikmah beragama , fikiran sebagai keindahan beragama.. 

               Sabda Rasulullah saw. '  
             Bukanlah orang yang gagah itu,orang yang (kuat)bergelut berlawan tetapi sesungguhnya
             kegagahan itu ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika dalam kemuncak
             kemarahannya". 
              
               Berkata Jaafar ra " Kemarahan itu adalah kunci kecelakaan". 

               Ingatkan kebaikan orang lain kepada kita . Lupakan keburukan mereka kepada kita
             Lupakan kebaikan kita kepada mereka. Ingatkan keburukan diri kita kepada mereka.  

               Orang yang tidak ingat mati sewaktu melihat orang mati itulah orang yang jiwa nya
             telah mati sebelum mati , yang berjalan itu laksana bangkai bernyawa. 

               Zuhud pada dunia itu merehatkan hati dan badan , ingat pada dunia itu
             memperbanyakkan sedih dan risau Kaya hati adalah kaya sejati , kaya harta adalah
             kemudahan hidup dalam menderita. 

               Seorang yang kenal ALLAH pasti tidak akan lepas hatinya daripada
             ALLAH,sebagaiamana seorang yang berdepan dengan singa tidak ingat dan tidak
             nampak apa-apa selain singa. 

                Pandangan mata selalu menimpa , pandangan akal selalu tersalah, pandangan nafsu
             selalu melulu dan pandangan hati itu yang hakiki kalau hati itu bersih. 

               Banyak orang kenal diri orang tetapi tidak kenal diri sendiri sebab itu sibuk
             memikirkan kecacatan orang lain daripada kecacatan diri sendiri. 

               Mengetahui itu dengan menggunakan akal ,mengenal itu dengan hati ,sebab itu orang
             yang mengenal Tuhan takut akan Tuhan . Orang yang tahu Tuhan tidak rasa takut
             dengan Tuhan.  

               Orang yang berakal , tanpa agama , sesat ; orang yang beragama tanpa akal , beku ;
             kahwinkan lah akal dan agama , akan lahirlah hikmah.  

               Punca penderitaan jiwa adalah kerana cinta dunia, sebabnya sewaktu berusaha
             mendapatkannya hati berasa bimbang , Apabila nyata tidak dapat hati berasa
             kecewa.Apabila dapat , takut luput pula Apabila difikirkan manusia rosak,  

               Manusia tidak pandai lagi berterima kasih kepada orang yang berjasa kepadanya ,
             tetapi apabila hati rosak ,manusia tidak tahu lagi bersyukur kepada ALLAH yang maha
             berjasa  

               Mata kalau tidak dikawal akan melemahkan hati iman seperti lampu kereta ,kalau
             selalu dihidupkan akan melemahkan bateri..  

               Diantara perkara yang pelik ialah si bakhil selalu resah sekalipun kaya ..manakala si
             pemurah berlapang dada dan tidak pernah papa  

               Orang yang paling berjasa kepada kita ialah orang yang menunjukkan jalan ke
             akhirat 


  

Bab Beriman kpd adanya malaikat : selawat ke atas Nabi s.a.w

BERIMAN KEPADA ADANYA MALAIKAT

Makna Berselawat:
Makna berselawat atas Nabi Muhammad s.a.w.  ialah berdoa memohon supaya Allah Taala melimpahkan rahmat menambahkan kemuliaan,  kehormatan dan kepujian kepadapenghulu kita Nabi Muhammad s.a.w
Maksud dan tujuan berselawat:
Maksud dan tujuan berselawat atas Nabi Muhammad ialah
(1) Mematuhi perintah Allah s.w.t yang tersebut dengan jelas iaitu di dalam ayat 56 Surah  Al-Ahzab yang menyuruh orang-orang yang beriman berselawat dan bertaslim kepada Nabinya, Muhammad s.a.w. 
(2) Menunaikan maksud yang terkandung pada sepotong dari ayat 77 Surah al-Qasas yang memerintahkan kita melakukan kebaikan dan kemurahan sebagai menghargai dan mensyukuri nikmat-nikmat ihsan pengurniaan-Nya kepada kita dan sememang maklum bahawa sebahagian yang terbesar daripada-nya ialah nikmat ihsan-Nya mengurniakan kita seorang Rasul yang teragung, Nabi Muhammad s.a.w.
(3) Mengenang budi dan jasa baik Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak putus-putus sekalipun Baginda s.a.w. telah meninggal dunia dan berada di alam barzakh sebagaimana sabdanya s.a.w., pada hadis lbn Mas'ud yang diriwayatkan oleh al-Bazzaar yang bererti: "Hidupku adalah kebaikan kepada kamu dan wafatku adalah kebaikan juga kepada kamu, kerana segala amal kamu sentiasa dibentangkan kepadaku, maka apa sahaja amal yang aku dapati baik,  aku ucapkan: Alhamdulillah,  dan apa sahaja amal kamu yang aku dapatijahat,  aku :! memohon keampunan Allah untuk kamu."
(4) Mengamalkan kehendak hadis-hadis, yang maksudnya seperti berikut:
(a) Dan (b) hadis lbn Umar, r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud juga Nasa'i dan hadis Jabir r.a. yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan Abu Daud yang menyatakan bahawa. Sesiapa yang menerima budi orang, sama ada yang berupa harta benda, ilmu pengetahuan atau perkara lain maka orang yang menerima budi itu disuruh membalasnya dengan sebarang yang ada padanya, setidak-tidaknya dengan berdoa untuk orang yang berbuat budi itu seberapa banyak yang ia fikir berpadanan dengan budi yang Ia terima;  orang yang tidak berbuat demikian adalah orang yang kufurkan nikmat,  orang yang tidak mengenang budi
(c) Hadis Usamah bin Zaid, r.a. yang diriwayatkan oleh Tirmizi yang menyatakan bahawa: Sesiapa yang menerima budi orang lalu ia setelah tidak berdaya hendak membalasnya -berkata kepada yang berbuat budi itu: `Tuhan jualah yang membalasmu dengan kebaikan di dunia dan akhirat', maka bererti ia telah membalas budi itu dengan sepenuhnya.
(d)Hadis Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan Abu Daud yang menyatakan bahawa: Sesiapa yang tidak syukurkan dan tidak mengenangkan budi yang dibuat orang kepadanya adalah orang yang tidak menghargai dan tidak mensyukuri nikmat Allah s.w.t.
Hukum Berselawat:
Berdasarkan ayat-ayat dan hadis yang tersebut maka aIim ulama telah sekata menetapkan bahawa hukum berselawat kepada Nabi s.a.w. adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sekata tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangan kalinya, bahkan mereka berselisih kepada beberapa pendapat,  di antaranya:
(1) Wajib berselawat dalam masa mengerjakan tiap-tiap sembahyang.
(2) Wajib berselawat dalam masa membaca Tasyahud (Tahyat).
(3) Wajib berselawat dalam masa membaca Tasyahud selepas membaca dua: Kalimah Syahadah. (Tahyat) akhir
(4) Dalam seumur hidup cukuplah satu kali berselawat untuk menunaikan hukum wajibnya dan yang lebih dari itu adalah satu sunat yang digalakkan oleh Islam dan yang menjadi syiar ahli Islam.
(5) Wajib berselawat pada tiap-tiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi Muhammad s.a.w., atau ganti namanya atau pun pangkat kenabiannya jugapangkat kerasulannya s.a.w.. Pendapat ini ialah pendapat sebahagian besar daripada penyokong-penyokong Mazhab Maliki,  Mazhab Hanafi,  Mazhab Syafie danMazhab Hambali,  mereka berpendapat bahawa sesiapa yang tidak berselawat pada masa-masa yang tersebut maka ia telah melakukan dosa besar kerana banyak hadis yang menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w., telah memberi amaran menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berselawat kepada Baginda s.a.w., pada masa disebutkan nama atauganti nama Baginda s.a.w. maka dialah orang yang sebakhil-bakhil manusia,  dialah yang mendapat kehinaan yang memalukan dan memuramkan mukanya, dialah yang beroleh kepayahan dan kesusahan,  dialah yang jauh dari rahmat Allah dan dialah yang akan masuk ke dalam neraka sekiranya tidak diampunkan dosanya meninggalkan berselawat itu, (sebagaimana yang tersebut dalam hadis Abu Zar al-Ghifari, yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Asim; Hadis Abu Hurairah riwayat Tirmizi dan al-Hakim; riwayat at-Tabari dan Bukhari pada al-Adab al-Mufrad; Hadis Abu Hurairah riwayat Ibn Hibban dan al-Bukhari pada al-Adab al-Mufrad dan hadis Abdullah bin Jarad riwayat ad-Dailami).
Peringatan: Hendaklah diketahui dan diingat bahawa meringkaskan susun kata صلى الله عليه وسلمdengan "صatau pun dengan "صلعمadalahcara perbuatan orang bakhil. 
Faedah berselawat:
Banyak hadis-hadis yang menyatakan faedah-faedah berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan ramai pula ulama yang telah menyusun kitab-kitab dan risalah-risalah khas untuk menerangkan faedah-faedah yang ternyata daripada hadis-hadis yang tersebut.
Jelasnya sesiapa yang berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan maksud dan tujuan yang telah dinyatakan dahulu dapatlah Ia menerima:
(1) Berganda-ganda rahmat yang dilimpahkan Allah kepadanya; dan sememang maklum bahawa rahmat Allah adalah satu perkara yang sangat-sangat dikehendaki dan yang sungguh-sungguh dipohon oleh tiap-tiap orang mukmin,  kerana sebarang nikmat - ilmu pengetahuan,  anak pinak, harta benda,  pengaruh dan kebesaran - kalau tidak disertai olehrahmat Allah,  akan menjadi "Niqmat" dan bala' bencana,  oleh sebab itu Tuhan menyuruh kita bergembira dengan rahmat kasih sayangNya sahaja (58 Surah Yunus).
(2) Tempat-tempat yang berdekatan dengan Nabi Muhammad s.a.w. pada hari qiamat kelak di mana sahaja Baginda s.a.w., berada.
(3) Keutamaan beroleh syafaat yang khas dari Nabi Muhammad s.a.w. pada hari qiamat.
(4) Doa selawat Malaikat yang sentiasa berselawat kepadanya selama Ia berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.
(5) Jaminan terpeliharanya dan terselamatnya daripada segala apa yang mendukacitakannya dan yang membimbangkannya dari perkara-perkara dunia dan akhirat.
(6) Habuan yang menyelamatkan dia daripada ditimpa keburukan yang menimpa orang yang tidak berselawat kepada Nabi Muhammad yang telah disebutkan dahulu.
Semuanya ini, kecuali yang tersebut pada nombor 6 ditegaskan oleh hadis-hadis yang berikut:
33عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بها عَشْرًا ". (مسلم والترمذي وأبو داود والنسائي والإمام أحمد وابن حبان)
33- Dari Abu Hurairah, r.a. bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepada-ku sekali selawat nescaya Allah limpahkan sepuluh rahmat kepadanya dengan sebab sekali selawat itu."
(Muslim, Tirmizi, Abu Daud,  Nasa'i, Imam Ahmad dan Ibn Hibban)
34عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ "إِنَّ أَقْرَبَكُمْ مِنِّي يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِي كُلِّ مَوْطِنٍ أَكْثَرُكُمْ عَلَيَّ صَلَاةً فِي الدُّنْيَا …." (البيهقي)
34- Dari Anas, r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Sesungguhnya orang yang lebih hampir kepadaku dari kalangan kamu pada ban qiamat pada setiap tempat yang aku berada padanya ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku di dunia
(al-Baihaqi)
35عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً ". (الترمذي)
35- Dari Ibn Mas'ud, r.a. bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari qiamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku."
(Tirmizi)
36عَنْ عَامِرِ بْنِ رَبِيعَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً لَمْ تَزَلْ الْمَلَائِكَةُ تُصَلِّي عَلَيْهِ مَا صَلَّى عَلَيَّ فَلْيُقِلَّ عَبْدٌ مِنْ ذَلِكَ أَوْ لِيُكْثِرْ ". (الإمام أحمد وابن ماجه)
36- Dari Amir bin Rabi'ah, r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepadaku dengan sesuatu selawat, sentiasalah Malaikat berdoa untuknya selama ia. berselawat kepadaku oleh itu terpulanglah kepada seseorang sama ada ia hendak berselawat sedikit atau banyak. "
(Imam Ahmad dan Ibn Majah)
37عَنْ أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلَاةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلَاتِي قَالَ مَا شِئْتَ قُلْتُ الرُّبُعَ قَالَ مَا شِئْتَ وإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ فالنِّصْفَ قَالَ مَا شِئْتَ وَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قَالَ قُلْتُ فَالثُّلُثَيْنِ قَالَ مَا شِئْتَ وَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ أَجْعَلُ لَكَ صَلَاتِي كُلَّهَا قَالَ إِذن تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ …". (الترمذي وأحمد والحاكم)
37- Dari Ubai bin Ka'ab, r.a. katanya: "Ya Rasulullah!  Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak untukkan masa berselawat bagi tuan maka sebanyak mana yang elok aku untukkan?" Baginda s.a.w., menjawab:  "Sekadar mana yang engkau suka"; Aku berkata:  "Aku hendak untukkan sesuku dari masaku"; Baginda s.a.w., bersabda: "Sekadar mana yang engkau suka,  dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu"; Aku berkata:  "Kalau begitu aku untukkan setengah dari masaku" Baginda s.a.w bersabda: "Suka hatimulah dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu"; Aku berkata: "Kalau demikian, aku untukkan dua pertiga dari masa Baginda s.a.w., bersabda: "Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik - untukmu"; Aku berkata: "(Kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk berselawat kepada tuan"; Baginda s.a.w., bersabda: "Jika demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa yang mendukacitakan dan membimbangkanmu, sama ada perkara dunia mahu pun perkara akhirat dan diampunkan dosamu ..."
(Tirmizi, Imam Ahmad dan al-Hakim)
Masa yang dituntut berselawat padanya:
Penghulu kita Nabi Muhammad, sangat inginkan kita beroleh faedah-faedah kebaikan yang di antaranya faedah berselawat kepadanya s.a.w., oleh sebab itu maka banyak hadis-hadis yang menggalakkan kita memberi seberapa banyak masa untuk berselawat kepadanya s.a.w khasnya pada tiap-tiap malam Jumaat dan harinya, kerana hari Jumaat adalah hari raya mingguan kepada tiap-tiap orang yang mempercayakan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. , hari yang padanya tiap-tiap orang mukmin dituntut membanyakkan ibadat lebih daripada hari-hari yang lain maka kepada orang mukmin hari itu bukanlah hari permainan atau hiburan
Di antara masa-masa dituntut lagi berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.  ialah:
(1) Setelah selesai habis menjawab azan (bang) dan sebelum membaca doa azan. 
(2) Pada masa berada di mana-mana tempat perhimpunan yang baik dan pada masa meninggalkan tempat itu.
(3) Pada masa berdoa iaitu pada permulaannya, pertengahannya dan pada penghabisannya, bahkan ada hadis yang menyatakan bahawa doa tidak diangkat ke langit selagi yang berdoa itu tidak berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.
(4) Setelah selesai mengambil wuduk iaitu di antara tasyahudnya dan doanya yang termaklum.
(5) Pada masa masuk ke masjid dan pada masa keluar daripadanya.
Selepas berselawat elok ditambah dengan berdoaاللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذُنُوبِي وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ pada masa masuk dan dengan: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذُنُوبِي وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ فَضْلِكَ apabila keluar.
(6) Pada masa telinga berdesing iaitu dengan berkata:
محمدا رسول الله صلى الله عليه وسلم ذكر الله من ذكرنى بخير"
(7) Pada masa seseorang lupakan satu-satu perkara. Tentang ini Rasulullah s.a.w., menyatakan, maksudnya: "Sesiapa yang berbuat demikian diberikannyakemudahan mengingati perkara itu Insya Allah. "
Cara Berselawat:
Selain daripada berselawat di dalam tahiyat sembahyang maka tidak dimestikan berselawat dengan satu-satu cara yang tertentu bahkan boleh berselawat dengan mana-mana "Susun kata" yang halus manis dan beradab sopan,  yang bererti menzahirkan kesempurnaan sifat kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w., dan keagungan darjat kehormatannya s.a.w., serta kebaikan jasa dan budinya s.a.w., yang berkekalan hingga ke akhirat, tetapi seelok-eloknya berselawat dengan mana-mana satu cara yang diriwayatkan daripada Nabi Muhammad s.a.w., yang telah pun dihimpunkan oleh alim ulama; dan yang seafdal-afdalnya ialah selawat yang biasa dibaca selepas tahiyat akhir tiap-tiap sembahyang kerana ulama telah menetapkan bahawa sesiapa yang bersumpah atau bernazar hendak berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w., dengan seafdal-afdal selawat maka tidak dihukum terlepasnya daripada wajib menepati sumpah atau nazarnya itu melainkan dengan membaca selawat:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Di antara Malaikat juga, ada yang ditugaskan menulis segala amal manusia: 
38عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ "إِنَّ اللَّهَ وَكَّلَ بِعَبْدِهِ مَلَكَيْنِ يَكْتُبَانِ عَمَلَهُ، وَإِذَا مَاتَ … فَيَقُولُ:قُومَا عَلَى قَبْرِ عَبْدِي فَسَبِّحَانِي وَاحْمَدَانِي وَكَبِّرَانِي وَاكْتُبَا ذَلِكَ لِعَبْدِي إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ ". (أبو الشيخ والطبراني)
38- Dari Anas r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesungguhnya Allah telah menugaskan dua Malaikat untuk menulis segala apa yang dilakukan atau dituturkan oleh seseorang hamba-Nya (satu di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya); kemudian apabila orang itu mati - maka Tuhan perintahkan kedua Malaikat itu dengan firman-Nya: "Hendaklah kamu berdua tinggal tetap di kubur hamba-Ku itu serta hendaklah kamu mengucap tasbih, tahmid dan takbir hingga ke hari qiamat dan hendaklah kamu menulis pahalanya untuk hamba-Ku itu."
(Abu al-Syeikh dan Tabarani)
وَجَاءَ أَنَّهُمَا يَلْعَنَانِهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِنْ كَانَ كَافِرًا.
Dan pada satu Athar,  ada disebutkan bahawa kedua Malaikat itu melaknat Si mati hingga ke hari qiamat - jika ia seorang kafir.
Allah s.w.t Maha Mengetahui akan segala yang lahir dan yang tersembunyi,  tetapi bagi melahirkan kebesaran kerajaan-Nya dan keadilan pemerintahan-Nya maka segala apa jua yang dilakukan oleh setiap manusia - sama ada yang baik atau yang buruk - diperintahkan menulisnya dalam surat amalnya oleh dua Malaikat yang ditugaskan khas mengenainya supaya dapat dilihat dan dibaca oleh orang itu sendiri pada hari akhirat kelak.
Kedua-dua Malaikat yang tersebut - sebagaimana yang diterangkan dalam hadis ini - tidak bercerai daripada orang itu walau sesudah ia meninggal dunia.  Mereka diperintahkan tinggal tetap di kuburnya bertasbih,  bertahmid dan bertakbir hingga ke hari qiamat dan pahala zikir mereka yang tersebut ditulis oleh mereka dalam surat amal orang itu.
Sebaliknya jika ia kafir, maka mereka melaknatnya hingga ke hari qiamat.



Perihal Malaikat penulis amal manusia: 
39عَنْ أَبِي أُمَامَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: " صَاحِبُ الْيَمِينِ أَمِيرٌ عَلَى صَاحِبِ الشِّمَالِ ، فَإِذَا عَمِلَ الْعَبْدُ حَسَنَةً كُتِبَتْ لَهُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا وَإِذَا عَمِلَ سَيِّئَةً فَأَرَادَ صَاحِبُ الشِّمَالِ أَنْ يَكْتُبَهَا قَالَ صَاحِبُ الْيَمِينِ أَمْسِكْ فَيُمْسِكُ سِتَّ سَاعَاتٍ أَوْ سَبْعَ سَاعَاتٍ فَإِنْ اسْتَغْفَرَ مِنْهَا لَمْ يَكْتُبْ عَلَيْهِ شَيْئًا وَإِنْ لَمْ يَسْتَغْفِرْ اللَّهَ كَتَبَ عَلَيْهِ سَيِّئَةً وَاحِدَةً ". (الطبراني وابن مردويه)
39- Dari Abu Umamah r.a., dari Nabi s.a.w. sabdanya: Malaikat yang di sebelah kanan (yang menjadi penulis kebaikan) ialah ketua kepada yang di sebelah kiri; maka apabila seseorang melakukan sesuatu kebaikan,  dituliskan baginya kebaikan itu menjadi sama dengan sepuluh kebaikan yang tersebut dan apabila ia melakukan sesuatu kejahatan,  lalu Malaikat yang di sebelah kiri hendak menulisnya, berkatalah Malaikat yang di sebelah kanan tunggu dahulu; lalu ia menunggu selama enam atau tujuh jam;  kemudian jika orang itu beristighfar dari perbuatan jahat itu, tidaklah dituliskan sesuatu pun; dan jika ia tidak meminta ampun kepada Allah Taala, dituliskan baginya satu kejahatan sahaja."
(Tabarani dan Ibn Marduwiah)
Dalam Hadis yang telah lalu, Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa tiap-tiap seorang manusia ada dua Malaikat yang menulis amal-amalnya. Dalam Hadis ini pula diterangkan beberapa perkara lagi mengenai kedua Malaikat itu:
(1) Satu berada di sebelah kanan dan yang satu lagi di sebelah kiri setiap orang manusia. 
(2) Yang di sebelah kanan ialah yang menulis amal kebaikan dan menjadi ketua kepada yang di sebelah kiri, yang menulis amal jahat. 
(3) Tiap-tiap satu kebajikan ditulis dengan sepuluh kebajikan, dan tiap-tiap satu kejahatan ditulis satu kejahatan sahaja.
(4) Amal jahat tidak ditulis melainkan setelah diberi tempoh enam atau tujuh jam - dengan arahan dari Malaikat sebelah kanan. 
(5) Sekiranya orang yang melakukan kejahatan itu beristighfar memohon ampun dari Allah Taala dalam tempoh yang tersebut, maka kejahatan itu tidak ditulis.

Di antara Malaikat-malaikat juga, ada yang ditugaskan mencatit susunan kedatangan ahli-ahli Jumaat:
40عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: "إِذَا كَانَ يَوْمُ الْجُمُعَةِ كَانَ عَلَى كُلِّ بَابٍ مِنْ أَبْوَابِ الْمَسْجِدِ مَلَائِكَة يَكْتُبُونَ الْأَوَّلَ فَالْأَوَّلَ فَإِذَا جَلَسَ الْإِمَامُ طَوَوْا الصُّحُفَ وَجَاءُوا يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ " (البخاري والنسائي وابن ماجه)
40- Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Apabila tiba hari Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid - Malaikat yang ditugaskan menulis orang yangdatang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar,  Malaikat-malaikat itu melipat lembaran-lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah."
(Bukhari, Nasa'i dan Ibn Majah)
Kehadiran lebih awal untuk mengerjakan sembahyang Jumaat sangat-sangat diutamakan dalam Islam.
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa kedatangan sidang jemaah ke tempat sembahyang Jumaat juga ada penulis-penulisnya dari Malaikat. Merekamenulis tentang kedatangan tiap-tiap seorang menurut tertib atau susunannya, mulai dari masa adanya orang yang mula-mula tiba hingga ke masa imam naik mimbar untukmembaca khutbah. Pada ketika itu Malaikat berhenti menulis lalu melipat surat catatan mereka dan datang mendengar khatib membaca khutbah. 
Dengan itu dapat difahami bahawa orang yang datang setelah imam naik mimbar tidak tercatat di antara orang-orang yang mendapat fadilat susunan kehadiran walaupun iamendapat fadilat sembahyang Jumaat. 
Maka amatlah baiknya bagi tiap-tiap seorang, datang lebih awal ke tempat sembahyang Jumaat sebelum imam naik mimbar. 
Di antara Malaikat juga, ada yang ditugaskan menulis amal-amal salih yang biasa dikerjakan oleh seseorang yang kemudian ia terhenti melakukannya disebabkanbencana yang menimpanya:
41عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا ابْتَلَى اللَّهُ الْمُؤْمِنَ بِبَلَاءٍ فِي جَسَدِهِ قَالَ لِلْمَلَكِ اكْتُبْ لَهُ صَالِحَ عَمَلِهِ الَّذِي كَانَ يَعْمَلُهُ فَإِنْ شَفَاهُ غَسَلَهُ وَطَهَّرَهُ وَإِنْ قَبَضَهُ غَفَرَ لَهُ وَرَحِمَهُ ". (ابن أبي شيبة والإمام أحمد والبيهقي)
41- Dari Anas r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah Taala berfirman kepada Malaikatpenulis amalnya: "Tulislah juga untuknya amal-amal salih yang biasa ia lakukan; kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberinya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya."
(Ibn Abi Syaibah, Imam Ahmad dan Baihaqi)
Sekiranya seseorang itu ditimpa kemalangan maka hendaklah ia menerima kejadian itu dengan tabah hati dan bersabar,  kerana sikap yang demikian akan membawakebaikan kepadanya.
Di antara kebaikan-kebaikan itu ialah:
(1) Jika ia biasa mengerjakan sesuatu amal yang baik semasa ia berkeadaan sihat, kemudian ia tidak dapat mengerjakannya disebabkan bencana yang menimpanya, maka Tuhan perintahkan Malaikat penulis amalnya supaya menuliskan untuknya amalnya yang baik yang tak dapat dikerjakan itu.
(2) Jika Tuhan hapuskan kesan-kesan bencana yang menimpanya itu, maka Tuhan jadikan bencana itu sebagai "Kaffarah" yang menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu serta dijadikan hidup berkeadaan baharu - suci bersih dari dosa. 
(3) Jika Tuhan sempurnakan ajalnya dengan kemalangan itu, maka ia diberi ampun dan dilimpahkan rahmat kepadanya.
Hakikat ini ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam satu hadisnya yang lain, maksudnya:
"Tiap-tiap seorang hendaklah menggunakan masa sihatnya untuk mengerjakan amal-amal salih, dan sekiranya ia ditimpa bencana maka hendaklah ia menerimanya denganbersabar. "
Di antara Malaikat juga, ada yang ditugaskan berdoa untuk kebaikan orang yang mengajar perkara-perkara yang baik: 
42عَنْ أَبِي أُمَامَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرَضِينَ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ. (الترمذي)
42- Dari Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda: "Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi - sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut - sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai. 
(Tirmizi)
Usaha mengajar dan menyebarkan kepada orang ramai sesuatu pelajaran yang berkebajikan pada pandangan agama, amatlah tinggi nilainya.
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w., menerangkan:  Bahawa Allah s.w.t sendiri menghargai usaha itu dengan melimpahkan rahmat kepada orang yang menjalankannya.
Demikian juga Malaikat dan segala isi langit dan bumi, sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut berdoa semoga orang itu diberi balasan yang sebaik-baiknya.
Dengan itu sungguh beruntung sesiapa yang berusaha memberi tunjuk ajar dengan perkara-perkara yang baik. 
Di antara Malaikat juga ada yang ditugaskan memberi penghormatan kepada penuntut ilmu agama: 
43عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَإنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ الْعِلْمِ رِضًا بِمَا يصنع ". (الترمذي وأبو دواد)
43- Dari Abu ad-Darda' r.a., bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda: "Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati)penuntut ilmu agama,  kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan."
(Tirmizi dan Abu Daud)
Penuntut ilmu agama adalah bakal mubaligh-mubaligh Islam yang akan menjalankan tugas tabligh untuk menyebarkan agama Allah sebagaimana yang diperintahkan olehAllah Taala dan Rasul-Nya s.a.w.
Dalam hadis ini, Baginda s.a.w., menyatakan: Bahawa Malaikat amatlah menghormati penuntut-penuntut ilmu agama kerana menghargai tugas mereka yang mulia itu.
Di antara Malaikat juga ada yang ditugaskan mengucapkan Aamin bagi doa orang yang memohon kebaikan untuk saudaranya; dengan tidak setahunya:
44عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ " . (مسلم وأبو داود)
44- Dari Abu ad-Darda' r.a., bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda: "Sesiapa yang berdoa bagi saudara Islamnya dengan tidak setahu saudaranya yang tersebut, berkatalah Malaikat yang ditugaskan untuk itu: "Aamin, dan engkau pula akan beroleh seperti itu juga."
(Muslim dan Abu Daud)
Doa dari seseorang Islam kepada saudara Islamnya yang lain dengan harapan semoga ia beroleh kebaikan atau terselamat dari bala' bencana adalah dituntut oleh syarak,  sama ada dengan setahu orang yang didoakan itu atau tidak.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., menerangkan.  Bahawa doa yang dilakukan oleh seseorang untuk saudara Islamnya dengan tidak setahu saudaranya itu Malaikat juga turut mengaminkan semoga doanya dikabulkan Tuhan serta menggembirakannya: Bahawa ia juga akan beroleh kebaikan yang sama kerana menghargai keikhlasan hatinya mendoakan saudaranya.
Di antara Malaikat juga, ada yang ditugaskan memberi ilham kepada manusia: 
45عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ وَتَكْذِيبٌ بِالْحَقِّ وَأَمَّا لَمَّةُ الْمَلَكِ فَإِيعَادٌ بِالْخَيْرِ وَتَصْدِيقٌ بِالْحَقِّ فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنْ اللَّهِ فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ الْأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ. (الترمذي والنسائي)
45- Dari Ibn Mas'ud r.a., bahawa Rasu1lah s.a.w., bersabda: "Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam dan Malaikat juga ada bisikannya; ada pun bisikan syaitan itu ialah galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran dan bisikan Malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkankebaikan dan meyakini kebenaran;  oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik,  maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah,  serta hendaklah iabersyukur kepada Allah,  dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan. "
(Tirmizi dan Nasa'i)
Setiap manusia ada mempunyai lintasan hati yang berlainan kerana berlainan sebabnya
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menyatakan: Bahawa ada Malaikat yang bertugas memancarkan ke dalam hati manusia perasaan suka berbuat kebajikan dan menerimakebenaran,  sebagaimana syaitan membisik-bisikkan lintasan jahat ke dalam hati manusia untuk melakukan kejahatan dan menolak kebenaran.
Lintasan perasaan yang dipancarkan oleh Malaikat ke dalam hati manusia untuk melakukan perkara-perkara yang baik itulah yang dinamakan "Ilham"; adapun bisikan-bisikan yang mendorong manusia melakukan perkara-perkara yang jahat:  Tidak sekali-kali dinamakan ilham bahkan dinamakan "Waswas dari jin syaitan" yang diperintahkan kitamemohon perlindungan daripadanya seperti yang tersebut dalam Surah an-Nas.
Oleh itu, tiap-tiap seorang bila terasa sesuatu lintasan hati hendaklah lebih dahulu dipertimbangkan dengan neraca syarak;  jika bersesuaian, hendaklah dikerjakan; dan jika tidak, hendaklah berhenti daripada meneruskannya.
Di antara Malaikat juga, ada yang ditugaskan melaknat orang yang mengacukan senjata kepada yang bukan musuhnya pada syarak: 
46عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَشَارَ إِلَى أَخِيهِ بِحَدِيدَةٍ فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ تَلْعَنُهُ حَتَّى يَدَعَهُ وَإِنْ كَانَ أَخَاهُ لِأَبِيهِ وَأُمِّهِ. (مسلم والترمذي)
46- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang mengacukan kepada saudara Islamnya dengan sebarang senjata yang membahayakan maka sesungguhnya Malaikat akan melaknatnya, sekalipun yang diacukan kepadanya itu saudaranya yang seibu sebapa.
(Muslim dan Tirmizi)
Kegunaan senjata hanya untuk menghadapi musuh pada syarak,  bukan untuk ditujukan kepada orang yang diwajibkan kita bersikap aman damai terhadapnya.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., menyatakan: Bahawa perbuatan mengacukan senjata kepada orang yang bukan musuh,  walaupun orang itu saudara kandung atau hanya dengan tujuan olok-olok dan bergurau sahaja maka hukumnya bukan sahaja dilarang keras dalam Islam bahkan dilaknat oleh Malaikat, kerana perbuatan yang berbahaya itubertentangan dengan tujuan penggunaan senjata. 

Di antara Malaikat juga ada yang ditugaskan melaknat sesiapa yang menyeksa haiwan:
47عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ مَثَّلَ بِحَيَوَانٍ فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ. (الطبراني)
47- Dari Ibn Umar r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang menyeksa haiwan dengan mengerat, mengoyak, mencabut atau mengelar mana-mana anggotanya, maka ditimpakan atasnya laknat Allah dan Malaikat serta manusia semuanya."
(Tabarani)
Haiwan juga merasa sakit seperti manusia apabila mana-mana anggota badannya dipukul atau ditikam dan sebagainya. Oleh itu maka setiap manusia hendaklah menaruh perasaanbelas kasihan juga kepada haiwan dan jangan sekali-kali melakukan perbuatan yang menyakitkan badannya atau anggotanya dengan apa cara pun jika tidak ada sesuatu sebab yang memerlukan. 
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. menyatakan: Bahawa orang yang melakukan perbuatan kejam dan ganas itu dilaknat oleh Allah dan MalaikatNya serta seluruh umat manusia yang berperikemanusiaan.
Oleh kerana perbuatan yang ganas itu bertentangan dengan perikemanusiaan maka di sana sini terdiri Jam'iyah-jam'iyah atau pertubuhan-pertubuhan yang bertujuanmelindungi dan menjaga keselamatan haiwan-haiwan yang tidak berdosa itu.

Di antara Malaikat juga ada yang ditugaskan melaknat orang yang menjual sesuatu barang yang cacat dengan tidak menerangkan cacatnya:
48عَنْ وَاثِلَةَ بْنِ الْأَسْقَعِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ بَاعَ عَيْبًا لَمْ يُبَيِّنْهُ لَمْ يَزَلْ فِي مَقْتِ اللَّهِ وَلَمْ تَزَلْ الْمَلَائِكَةُ تَلْعَنُهُ. (ابن ماجه)
48- Dari Wa'ilah bin al-Asqa' r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang menjual sesuatu barang yang cacat dengan tidak menerangkan kecacatan itu kepada pembelinya iasentiasa dalam kemurkaan Allah dan Malaikat pula sentiasa melaknatnya."
(Ibn Majah)
Berniaga atau berjual beli amatlah penting untuk keperluan hidup manusia dalam mencapai kemakmuran, maka dalam hal pertukaran harga dengan barang hendaklah dilakukan dengan jujur dari kedua belah pihak.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menyatakan: Bahawa orang yang menjual sesuatu barang yang cacat,  yang sengaja tidak dilahirkan atau diterangkan kepada pembeli, maka Ia sepanjang-panjang masa berada dalam kemurkaan Allah dan selain itu Malaikat pula melaknatnya.
Balasan yang demikian adalah wajar dengan keadilan kerana yang melakukan perbuatan itu telah merosakkan peraturan hidup yang wajib dipatuhi untuk mencapai faedah bersama.
Di antara Malaikat juga ada yang ditugaskan melaknat orang yang memberi fatwa dengan tidak berdasarkan ilmu:
49عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَفْتَى بِغَيْرِ عِلْمٍ لَعَنَتْهُ مَلَائِكَةُ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ. (الديلمي وابن عساكر)
49- Dari Ali r.a. bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Sesiapa yang memberi fatwa dengan tidak berdasarkan ilmu akan dilaknat oleh Malaikat langit dan bumi."
(Ad-Dailami dan Ibn `Asakir)
Memberi fatwa mengenai sesuatu masalah agama hendaklah berdasarkan ilmu pengetahuan yang berkenaan, jika tidak maka sudah tentu fatwa itu akan membawa kepada penyelewengan dalam hukum-hukum agama. 
Dengan sebab itu, maka orang yang memberi fatwa dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan syarak,  dimurkai Allah dan dilaknat oleh Malaikat sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini.
Di antara Malaikat juga ada yang ditugaskan melaknat sesiapa yang mencaci sahabat Rasulullah.
50عَنْ عُوَيْمِ بْنِ سَاعِدَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اخْتَارَنِي وَاخْتَارَ لِي أَصْحَابِي فَجَعَلَ لِي مِنْهُمْ وُزَرَاءَ وَأَصْهَارًا وَأَنْصَارًا، فَمَنْ سَبَّهُمْ فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ، لَا يَقْبَلُ اللَّهُ مِنْهُ صَرْفًا وَلَا عَدْلًا‏.‏ (الطبراني)
50- Dari `Uwaimi bin Sa'idah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah telah memilihku dan memilih untukku beberapa sahabat serta Ia jadikan di antara mereka menteri-menteriku, mertua-mertua dan menantu-menantuku, juga penolong-penolongku; oleh sebab itu sesiapa yang memburuk-buruk dan mencaci mereka, maka tertimpalah di atasnya laknat Allah dan Malaikat serta manusia seluruhnya; Allah tidak akan menerima daripadanya sebarang ibadat dan juga sebarang tebusan."
(Tabarani)
51عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اخْتَارَنِي وَاخْتَارَ لِي أَصْحَابِي وَأَصْهَارِي وَسَيَأْتِي قَوْمٌ يَسُبُّونَهُمْ وَيُبْغِضُونَهُمْ فَلَا تُجَالِسُوهُمْ وَلَا تُشَارِبُوهُمْ وَلَا تُؤَاكِلُوهُمْ وَلَا تُنَاكِحُوهُمْ‏.‏ (البيهقي)
51- Dari Anas r.a., dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Sesungguhnya Allah telah memilihku dan memilih untukku beberapa sahabat dan mertua serta menantu-menantu; dan (ingatlah) akan datang suatu puak yang mencaci dan membenci mereka, maka janganlah kamu bersekedudukan dengan mereka, dan janganlah kamu se makan seminum dengan mereka dan jangan juga kamu bersemenda dengan mereka."
(al-Baihaqi)
Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w., telah beroleh kelebihan yang tidak mungkin diperolehi orang-orang lain. Mereka hidup sezaman dengan Rasulullah s.a.w. dan berhimpun dalam berbagai-bagai majlis dengan Baginda s.a.w.
Mereka menerima ajaran dan pembentukan rohani dari Baginda sendiri s.a.w. dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa turunnya wahyu kepada Baginda s.a.w., bahkan ada di antaranya yang bertugas menulis wahyu
Merekalah juga yang mula-mula mengambil bahagian menjalankan tabligh - dakwah Islam - sebagaimana yang diperintahkan oleh Baginda s.a.w.
Berkenaan dengan kelebihan sahabat-sahabat yang demikian mulianya Baginda s.a.w., bersabda, maksudnya:
"Sekiranya kamu belanjakan (pada jalan Allah) emas sebesar bukit Uhud sekalipun, kamu tidak dapat mencapai nilaian secupak atau setengah cupak yang dibelanjakan olehsahabat sahabatku!"
Allah s.w.t. memilih Nabi Muhammad untuk membawa dan menyampaikan agama Islam kepada umat manusia seluruhnya.
Dalam hadis ini, Baginda s.a.w. menyatakan bahawa pemilihan yang tersebut tidak terhad kepada Baginda s.a.w. sahaja bahkan meliputi sahabat-sahabatnya sebagai pembantu-pembantu yang bekerjasama dengan sepenuhnya untuk melaksanakan tujuan yang mulia itu.
Dengan itu nyatalah bahawa sesiapa yang mencaci salah seorang di antara sahabat-sahabat bermakna ia mengingkari kelebihan sahabat sahabat yang mulia itu yang telah diakui oleh Baginda sendiri s.a.w., juga bermakna ia mendustakan apa yang disampaikannya dari Baginda s.a.w., dan ia dengan itu memutuskan hubungannya dengan Baginda s.a.w. Maka perbuatannya mencaci sahabat-sahabat Nabi s.a.w. yang sewajibnya dihormati- nyatalah di dorong oleh fikirannya yang tidak siuman. 
Oleh itu orang yang tersebut sangatlah wajar ditimpa laknat dari Allah dan Malaikat-Nya serta seluruh umat manusia yang menghargai kebenaran dan keadilan. 
Cacian terhadap mana-mana sahabat Rasulullah s.a.w., adalah meliputi apa juga perkataan yang menyentuh sifat peribadi, aliran faham mazhabnya dan fahaman siasahnya, kerana segala perkara yang tersebut dilakukan oleh sahabat Nabi s.a.w., yang mulia itu dengan penuh tanggungjawab dan dengan pertimbangan akal yang sihat serta iman yangkuat meskipun berlainan antara seorang sahabat dengan yang lain, atau di antara satu pihak dengan yang lain.
Dengan ini nyatalah bahawa besar padahnya bagi sesiapa yang memihak kepada salah satu dari dua pihak sahabat Nabi s.a.w. yang berselisihan, seperti pihak Ali dengan pihak Muawiyyah, serta ia mengeluarkan kata-kata yang tidak sihat terhadap pihak yang satu lagi. Orang yang demikian sudah tentu akan menerima balasan buruk seperti yang dijanjikan dalam hadis ini.
Di antara Malaikat juga ada yang ditugaskan mengambil nyawa manusia dengan cara-cara yang tertentu.
Cara Malaikat mengambil nyawa orang mukmin: 
Allah Taala berfirman dalam Surah al-Nahi, ayat 32 yang di antara maksud-maksudnya:
Orang-orang yang bertaqwa diambil nyawa mereka oleh Malaikat dengan keadaan serba baik mereka diberikan oleh Malaikat yang tersebut berita gembira dengan katanya: "Selamat sejahteralah engkau dari segala yang mendukacitakanmu, masuklah ke dalam Syurga yang Allah janjikan engkau mendapatnya dengan amal-amal baik yang engkau telah lakukan."
Allah Taala juga berfirman dalam Surah Fussilat, ayat 30, yang di antara maksud-maksudnya:
Orang yang mengaku keEsaan Allah dan "Rububiyyah"-Nya serta terus melakukan apa yang dikehendaki dan dituntut oleh akuannya itu, sentiasalah Malaikat turun membantu mereka dengan memberi ilham,  membuka jalan-jalan kebajikan sehingga bila sampai ajalnya, datanglah Malaikat yang hendak mengambil nyawanya, memberi perangsang kepadanya supaya jangan takut menghadapi segala peringkat keadaan hari akhirat dan jangan pula berdukacita meninggalkan segala apa juga yang disukai di dunia ini,  serta menyuruh mereka bergembira dengan mendapat Syurga yang dijanjikan Allah sebagai penghargaan kepada kebaikan yang mereka telah amalkan.
Cara Malaikat mengambil nyawa orang kafir dan orang zalim: 
Allah Taala berfirman dalam Surah al-An'am, ayat 93 dan dalam Surah al-Anfal, ayat 50 dan juga dalam Surah Muhammad s.a.w.  ayat 27 yang di antara maksud-maksudnya:
Orang-orang yang berlaku zalim menganiaya dirinya sendiri atau makhluk-makhluk yang lain, amatlah dahsyat keadaanya pada ketika masing-masing menderita "Sakratul maut" sekiranya masing-masing tidak bertaubat sebelum itu - tiap-tiap seorang diseksa oleh Malaikat yang datang hendak mengambil nyawanya dengan memukul muka dan seluruh badannya sambil Malaikat itu berkata kepadanya: "Keluarkanlah dan lepaskanlah dirimu dari penderitaan ini kalau engkau dapat berbuat demikian; pada saat ini bermulalahmasa engkau menerima balasan azab seksa yang menghinakanmu kerana engkau telah mengatakan yang bukan-bukan terhadap Allah serta pula engkau telah berlakusombong takbur - tidak mahu menerima dan tidak mematuhi ayat-ayat perintah Allah:" Apabila masing-masing diambil nyawanya oleh Malaikat sambil memukul muka dan seluruh badannya, tidaklah ada sebarang cara yang boleh mereka lakukan untuk melepaskan diri dari azab yang dijanjikan Allah baginya.
Mengenal keadaan seseorang pada ketika di datangi oleh Malaikat yang hendak mengambil nyawanya, ada diterangkan dalam hadis yang berikut:
52عَنْ جَمَاعَةٍ مِنَ الصَّحَابَةِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ … وَإِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا حَضَرَهُ الْمَوْتُ بُشِّرَ بِرِضْوَانِ اللَّهِ وَكَرَامَتِهِ فَلَيْسَ شَيْءٌ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا أَمَامَهُ فَأَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ وَأَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ وَإِنَّ الْكَافِرَ إِذَا حُضِرَ بُشِّرَ بِعَذَابِ اللَّهِ وَعُقُوبَتِهِ فَلَيْسَ شَيْءٌ أَكْرَهَ إِلَيْهِ مِمَّا أَمَامَهُ كَرِهَ لِقَاءَ اللَّهِ وَكَرِهَ اللَّهُ لِقَاءَهُ. (البخاري ومسلم والترمذي والنسائي)
52- Dari sebilangan sahabat r.a., dari Rasulullah s.a.w sabdanya yang bermaksud:  ".. Dan apabila seseorang mukmin sampai masa matinya ia digembirakan oleh Malaikat yang hendak mengambil nyawanya: Bahawa ia akan beroleh rahmat Allah dan keredhaanNya serta SyurgaNya, maka pada ketika itu tidaklah ada sesuatu yang dicintai oleh orang itulebih daripada menerima apa yang dihadapinya, lalu ia suka dan ingin mengadap Allah dan Allah juga redha menerimanya dengan sebaik-baik sambutan; dan apabila seseorang yang kafir atau yang berdosa didatangi oleh Malaikat yang hendak mengambil nyawanya, ia diberitahu bahawa ia akan beroleh azab seksa Allah dan kemurkaan-Nya, maka pada ketika itu tidaklah ada sesuatu yang dibencinya lebih daripada yang dihadapinya; dengan sebab itu maka ia merasa gerun dan tidak suka mengadap Allah,  dan Allah juga tidak redha ia mendekati rahmat-Nya apalagi mengadapNya
(Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasa'i)
Ayat-ayat dan hadis-hadis yang tersebut mengingatkan kita supaya segera bertaubat dan kembali ke jalan yang diredhai Allah,  bersiap sedia dengan bekalan akhirat sebelumsampai ajal yang tidak seorang pun mengetahui bilakah masa datangnya. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian dapatlah kita mengadap Allah s.w.t., dengan sepenuh perasaan gembira dan tenang tenteram. 
Di antara Malaikat juga, ada yang ditugaskan menyoal orang mati di mana sahaja ia dikuburkan.
(Berkenaan Malaikat yang bertugas demikian akan diterangkan - Insya Allah - dalam bab yang kelima).
Sekadar yang diterangkan mengenai tugas-tugas Malaikat berhubung dengan hal keadaan manusia,  dapatlah kita mengambil kesimpulan:  Bahawa di antara Malaikat ada yang mendoakan bagi manusia dan ada yang melaknatinya. Hakikat ini diterangkan di dalam al-Qur'an al-Karim.
Tentang Malaikat melaknat orang-orang yang berhak menerima laknat itu, ada disebutkan - di antaranya dalam Surah al-Baqarah, ayat-ayat 159 dan 161.
Dan tentang Malaikat mendoakan orang-orang yang patut didoakan ada disebutkan - di antaranya - dalam Surah Ghafir, ayat-ayat 7 dan 8.
Sekadar ayat-ayat al-Qur'an dan hadis-hadis yang tersebut dapatlah difaham bahawa tujuannya ialah supaya:
Manusia beriman kepada Malaikat dan kepada tugas-tugas mereka yang mempunyai hubungan yang teguh dengan pendidikan jiwa dan juga dengan perkara-perkara yangmenguatkan runtunan kebaikan pada diri manusia.  Di antaranya:
Pertama - Seseorang yang berakal,  apabila ia menyedari bahawa ia dalam segala keadaannya berada dalam jagaan dan pengawasan Malaikat-malaikat yang mulia, ia akanmenjaga sopan santunnya serta ia malu daripada melakukan atau menuturkan sesuatu yang buruk dan tidak patut.
Kedua - Apabila ia menyedari bahawa di sebelah kanan dan kirinya ada Malaikat (Raqib `Atid) menulis tiap-tiap perkataan dan perbuatannya, ia sentiasa akan berjaga-jaga danwaspada daripada bertindak dan berusaha melainkan pada segala perkara yang baik sehingga kalau ia terlanjur melakukan sesuatu yang buruk,  ia akan segera melakukansesuatu yang baik untuk menghapuskan perkara yang buruk dari surat amalnya.
Ketiga-Apabila ia mengetahui bahawa sesiapa yang telah habis ajalnya dalam keadaan derhaka dan tidak menunaikan kewajipannya: Akan dimurkai, ditempelak, dipukul dan diseksa, (maka dengan pengetahuan yang demikian) Ia akan berusaha membersihkan dirinya dari segala perkara yang dimurkai Allah serta menyempurnakan apayang diwajibkan atasnya supaya Malaikat menyambutnya dengan cara yang sebaik-baiknya ketika ia mati dan menyampaikan kepadanya berita gembira dengan balasan yangbaik dan kesudahan yang membawa kebahagiaan.
Keempat- Apabila ia mengetahui,  bahawa ia akan disoal sesudah ia mati akan timbullah keinsafannya betapa beratnya soal-soal hidup yang ditanggungnya lalu ia berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menghitung dan mengawasi dirinya daripada melakukan sesuatu yang tidak patut, walau yang sekecil kecilnya; dan ia pula tidak akan cuba melakukan sesuatu melainkan setelah ia menyediakan jawapan yang menjadi alasan yang membenarkannya.
Jelasnya beriman kepada Malaikat adalah dituntut oleh al-Qur'an kerana iman yang demikian, sebagaimana ia meluaskan alam kesedaran manusia tentang kebenaran,  ia juga akan melipur dan mententeramkan hati orang yang mempercayai adanya makhluk (Malaikat) dari alam rohani yang suci dan mulia, yang memohon ampun dan mendoakan baginya, serta yang menjadi pembantunya dalam mengerjakan kebaikan dan mencapai kebahagiaan.