Sabtu, 6 Ogos 2011

Khutbah Rasululllah S.A.W sempena Ramadhan




Daripada Salman al-Farisi r.a. bahawa Rasulullah berkhutbah pada hari terakhir bulan Syaaban sempena ketibaan Ramadan maksudnya: Wahai manusia! Telah datang kepada kalian bulan yang agung, bulan yang penuh berkat, bulan yang di dalamnya ada malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah memfardukan kepada kamu ibadat puasa dan menghidupkan malam harinya sebagai amalan tambahan (sunat). Sesiapa yang di dalam bulan Ramadan mendekatkan diri dengan amalan sunat maka ganjarannya seperti orang yang melakukan amalan wajib di bulan lain. Dan sesiapa yang melakukan satu amalan wajib di bulan ini maka balasannya seperti orang yang melakukan 70 amalan wajib di bulan lain. 

Bulan Ramadan adalah bulan sabar dan pahala kesabarannya adalah syurga. Bulan di mana wujudnya semangat tolong menolong dan bulan bertambahnya rezeki orang yang beriman. Sesiapa yang memberi makan berbuka puasa maka diampuni dosanya, dibebaskan dari api neraka dan mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa tanpa dikurangkan sedikit pun.

Sahabat-sahabat baginda berkata: Ya Rasulullah, kami semua bukanlah orang-orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang-orang yang berpuasa. Lalu Rasulullah menerangkan: Allah taala akan memberikan pahala tersebut kepada sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa untuk berbuka puasa sama ada dengan sebiji kurma atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu yang bercampur air.

Bulan Ramadan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi dengan rahmah, pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus daripada api neraka. Sesiapa yang meringankan beban kerja orang gajinya dalam bulan Ramadan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan daripada neraka.

Hendaklah kamu memperbanyakkan mengerjakan 4 perkara dalam bulan Ramadan iaitu dua perkara dilakukan untuk mendapat keredaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu sangat-sangat perlukan. Dua perkara yang dilakukan untuk mendapat keredaan Tuhan kamu itu ialah; pertama, mengucapkan Lailahillallah; kedua, mengucapkan istighfar (memohon ampun) kepada Allah. Manakala dua perkara lagi yang sangat-sangat kamu perlukan itu ialah; pertama, perbanyakanlah memohon kepada Allah supaya dimasukkan kamu ke dalam syurga; dan kedua, kamu berlindung daripada-Nya azab api neraka.

Selain daripada itu, sesiapa yang memberi minum seseorang yang berpuasa (semasa berbuka puasa) Allah akan memberi minum kepadanya dari kolamku (Kolam al-Kauthar) dengan sekali minum sahaja yang menjadikan dia tidak akan merasa dahaga selama-lamanya sehingga dia masuk ke dalam syurga. (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi) 

Rabu, 3 Ogos 2011

dakwah ..bukan tugas ustaz sahaja...menarik ni..bclah..



Penulis terjumpa satu artikel khas untuk yang masih tak mahu berjuang dari blog RenCana Siswa. Bacalah semoga mendapat manfaat.

ZAMAN SEKOLAH


1. Saya kecil lagi, tak perlu dakwah pun tak apa. Dah besar nanti insyaallah.
2. Sibuklah dengan tuisyen, kerja rumah, nak ‘exam’, ko-kurikulum, sukan…
3. ‘Parents i’ tak bagi le…
4. Aku takut nanti ganggu akademik.
5. Dah masuk ‘u’ nanti ok le ‘join’ dakwah, fikiran pun dah matang sikit.

ZAMAN UNIVERSITI/ KOLEJ

1. ‘You’ faham-faham jelah, masuk ‘u’ ni bukan macam sekolah. ‘Study’ buku tebal-tebal, ‘assignment’ berlambak…nantilah lapang-lapang sikit.
2. Dah habis belajar nanti aku memang niat nak aktif dalam dakwah. Engkau jangan risaulah. Sekarang tumpu akademik dulu. Takut nanti dakwah entah ke mana, akademik entah ke mana.
3. Aku tengah ‘tension’ la… awek/ balak aku buat hal pulak…!

ZAMAN HABIS BELAJAR

1. Nantilah… dapat kerja dulu. Dah ada kerja nanti, dah stabil, ‘ok’ le ‘join’ dakwah. Ni diri sendiri pun tak lepas lagi.
2. Ada kenderaan baru senang nak bergerak, ye tak? Tunggu le aku ada motor nanti.
3. Mak bapak aku tengah bising tu. Diorang dah naik muak tengok aku asyik menganggur je. Kalau aku ‘join’ dakwah, lagi teruk le kena hentam.
4. Letih belajar pun tak habis lagi. Bagilah peluang aku rehat kejap. Dari kecil asyik ‘study study study’, dah ‘grad’ ni ‘relax’ le kejap. Dakwah tu tak lari ke mana. Sampai masa nanti, engkau tengok le.

ZAMAN KERJA

1. Sibuklah… tau aje la, keluar kerja pagi, balik dah nak malam. Letih giler. Dah balik tentu nak rehat. Aduhhh…
2. Aku tengah pening kepala nak kumpul duit, nak kahwin ni. Nantilah aku dah ‘settle’ problem–problem aku…
3. Dah kahwin mesti nak ada kereta. Aku tengah cari duit nak buat ‘down payment’ ni. Ada kereta esok senang nak bergerak. Hujan panas ‘no’ hal.
4. Bergerak sorang-sorang ni tak berapa ‘best’. Aku cadang nak kahwin dulu. Dah ada pasangan nanti baru laju sikit nak gerak. Betul tak?

ZAMAN KAHWIN

1. Engkau tahu aje la, dah masuk alam rumahtangga ni. Tanggungjawab bertambah, belanja bertambah. Nak sesuaikan diri dengan pasangan, dengan keluarga pasangan… kena ambil masa jugak. Hari cuti aje dah tentu kena balik rumah mak bapak aku ataupun rumah mak bapak dia. Adik-beradik dah bertambah. Kejap-kejap kenduri la, bertunang la, tahlil la, masuk rumah baru la. Semua nak kena pergi tu. ‘Sorry’ la kawan, aku betul-betul tengah ‘pack’ ni. Nantilah ye.
2. Orang rumah aku masalah sikitlah. Kalau aku ikut program dakwah aje, dia mula muncung. Rumahtangga mestilah diutamakan, ye tak?
3. Abang (suami) aku memang tak pernah terdedah dengan program-program dakwah ni. Jadi takkan aku nak keluar sedangkan dia asyik tarik muka aje.
4. Aku cadang nak tarbiah isteri aku dulu. Pelan-pelanlah aku buka minda dia. Nanti dia pun dah ada minat, kami boleh bergerak sama-sama.

ZAMAN ANAK-ANAK MASIH KECIL

1. Anak kecik, engkau faham-faham sajalah. Nak keluar rumah pun tak boleh. Sekarang kain baju, masak-memasak, kemas rumah, urus anak-anak semua aku buat. Memang aku tak boleh nak bagi masa untuk program agama la buat masa ni. Anak besar sikit nanti insyaallah la…
2. Aku nak sambung belajar lagi le, kasi naik pangkat, tambah ‘income’. Baru boleh betul-betul stabil. ‘Time’ tu nanti isyaallah le aku boleh aktif. Nanti le habis sambung belajar dulu. Habis ‘master’, dapat PHD, barulah ada nama sikit. Nak dakwah pun senang, cakap kita orang dengar.

ZAMAN ANAK-ANAK BERSEKOLAH

1. Nak dakwah macam mana, aku sembahyang pun tak ‘perfect’ lagi, tajwid pun berterabur. Aku ingat nak mengaji kat surau la bab-bab sembahyang, tajwid. Dah boleh baca Quran nanti baru le sedap nak ‘join’ program. Takkan terus-terus nak ikut program, nak dakwah, kalau yang ‘basic’ pun tak lepas lagi, kan?
2. Umur dah meningkat ni, macam-macam penyakit datang. Badan dah tak kuat macam dulu. Setakat manalah aku boleh ikut program, setakat manalah aku nak berdakwah. Kalau kuat macam muda-muda dulu lain le. Nantilah… pelan-pelannn…
3. Tak ada masa langsung. Hantar anak-anak ke ‘nursery’, ke sekolah, petang ke sekolah agama, malam tuisyen, hari cuti bawa diorang jalan-jalan, rehat-rehat…tentu nak rekreasi jugak kan?
4. Nak ‘online’ internet? Nak ‘update’ blog? Nak sertai forum? Dua minggu sekali ada le aku online. Blog? Forum? Hmmm…

Z
AMAN ANAK-ANAK LEPAS SEKOLAH/ ZAMAN PENCEN

1. Aku tengah sibuk belajar dan menghafal pasal haji ni. Cadang lagi tiga tahun nak pergi tapi nak kena belajar dari sekarang le. Engkau tahu aje la aku ni bab agama tau yang ‘basic-basic’ je. Rugi la kalau haji ni tak buat elok-elok. Nantilah.
2. 30 tahun kerja siang malam, sekarang baru dapat peluang nak rehat, nak tumpu pada ibadah, nak mengaji di masjid-masjid, nak ziarah anak cucu, nak lawat saudara-mara, nak jaga rumah… Bagilah aku rehat kejap setahun dua, nak ‘cover’ balik yang 30 tahun tu. Sementara hidup ni, nak juga merasa, ye tak?
3. Tak tahulah. Sekarang asyik bergantung dengan ubat je aku ni. Berjalan jauh sikit penat. Kerja lebih sikit darah naik.
4. Aku bukan tak mahu, dari zaman sekolah lagi aku memang minat, cuma belum ada rezeki aje nak teruskan kerja-kerja Rasulullah ni. Kerja Tuhan jugak yang tak tentukan jalan hidup aku macam ni, nak buat macam mana.
5. Anak-anak aku tu… diorang kalau boleh nak tengok aku berehat aje di rumah, tak payah fikir apa-apa, tenangkan fikiran, tumpu pada sembahyang, mengaji… Betul jugak, esok kalau aku sakit ke apa ke, diorang jugak yang susah. Aku malas le nak bertekak dengan diorang.

ZAMAN DALAM KUBUR


1. Aduh… hafazan aku sikit! ‘Waddhuha’ ke bawah pun tajwid berterabur. Dulu masa sekolah aku main bola dua jam sehari. Kalaulah aku ambil 10 minit sehari daripada masa main bola tu untuk hafazan, seminggu sudah 70 minit. Sebulan? Setahun? Aduh, menyesalnye!
2. Arg, kawan-kawan aku yang ‘beragama’ boleh dibilang dengan jari! Kalaulah masa di ‘u’ dulu aku aktif, tentu dapat banyak kenalan dan banyak ilmu dan banyak pewaris dakwah melalui tangan aku. Apa yang mereka buat semuanya saham pahala untuk aku tu. Ruginya aku….
3. Ya Allah, isteri, anak-anak dan cucu-cucu aku ditinggalkan tanpa sempat aku mentarbiah agama mereka. Sekarang mereka jauh dari agama sebab aku tak contohkan diri aku dulu. Semua salah-silap mereka aku nak kena jawab tu. Tapi aku nak buat majlis tarbiah di rumah macam mana sedangkan aku sendiri tak ada ilmu. Padan muka aku!
4. Kawan yang ajak aku ke program-program agama dulu, bertuahnya mereka. Keluarganya jadi orang-orang soleh. Anak buahnya dalam dakwah banyak. Saham pahala daripada usaha anak-anak buahnya berterusan mengalir. Ilmu dan amalnya banyak. Iman dan pemahamannya tinggi. Ilmunya dimanfaatkan banyak orang. Aku?
5. Kalau Tuhan tanya nama artis, nama bintang sukan, nama pimpinan dunia… ratusan orang aku ingat. Tapi kalau Tuhan tanya nama ulama, nama kitab… habis aku!
6. Bahasa Inggeris aku macam air. Bahasa syurga?
7. Teman-teman aku sudah kenal Tuhan, mereka menyembah Tuhan yang Esa. Aku? Rasa-rasanya masih sembah Tuhan yang bercampur dengan makhluk. Af’alnya aku tak pandai nak Esakan, Asma’nya aku tak tahu nak Esakan,Sifat dan Zatnya pun sama. Oh Tuhan, syirikkah aku? Apakah aku menyekutukan Engkau selama hari ini?
Aku menyesallllll………!!!

Wassalam




mOGa mnjd Pengajaran : aku ambil drp Layarminda
.

Adab Berbuka Puasa


‎1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

2. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadis daripada Anas katanya:
“Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.”
(Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan)

3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat.

4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:
Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.
(Surah al-`Araf:31).

5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”
(Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

6. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.:
“Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.”

Darjat orang berpuasa- dipetik drp al-fanshuri


Ketahui olehmu, hai orang yang menjalani jalan akhirat dan jalan kepada Allah Ta’ala, bahwa adalah bagi puasa itu 3 darjat:

Darjat Pertama - Puasa orang yang awwam yakni puasa kebanyakkan manusia yaitu menegahkan ia daripada makan dan minum dan jima’ [bersetubuh] dan menahan daripada segala yang membatalkan puasanya seperti yang tersebut pada fashal yang lalu

Darjat Kedua - Puasa orang yang khawwas iaitu puasa orang yang sholihin dan orang yang muttaqin iaitu menegahkan segala yang tersebut daripada yang pertama itu [seperti diatas] dan menegahkan pula akan segala anggotanya daripada berbuat ma’siat dan daripada berbuat yang sia-sia yang tiada memberi manfaat kepada akhirat dan hasil kesempunaan puasa mereka itu dengan 7 perkara:

(Pertama) memejamkan kedua matanya dan menegahkan keduanya itu daripada melihat kepada suatu yang mubah yang membimbangkan hatinya dari dhikruLlah Ta’ala dan daripada ingat kepada Allah. Sabda [Nabi] صلى الله عليه وآله وسلم:

النظر سهم مسموم من سهام إبليس لعنه الله، فمن تركه خوفا من الله آتاه الله إيمانا يجد حلاوته في قلبه – رواه الحاكم، صحيح (العراقي)

Ertinya: Melihat dengan syahwat itu iaitu satu panah yang dibubuh racun daripada beberapa panah iblis, maka barangsiapa meninggalkan melihat itu kerana takut akan Allah Ta’ala, nescaya memberi akan dia oleh Allah Ta’ala akan iman yang mendapat akan manis iman itu di dalam hatinya.
Dan lagi sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:

خمس يفطرن الصائم، الكذب، والغيبة، والنميمة واليمين الكاذبة والنظر بشهوة – رواه الأزدي، ضعيف (العراقي)

Ertinya: 5 perkara yang membatalkan (pahala) puasa: (pertama) berdusta; (kedua) mengumpat; (ketiga) mengadu-ngadu akan orang; (keempat) bersumpah dengan dusta; (kelima) melihat akan sesuatu dengan syahwatnya, yakni dengan ingin.

(Kedua) memelihara lidah:
  • daripada perkataan yang haram dan
  • daripada perkataan yang sia-sia yang tiada memberi manfaat di dalam akhirat dan
  • memeliharakan pula akan lidah daripada berdusta dan
  • daripada mengumpat akan orang dan
  • daripada mengadu-ngadu akan orang dan
  • memelihara pula akan dia daripada segala perkataan yang keji-keji dan
  • memelihara pula akan dia daripada  berbantah-bantah dan berkelahi dengan orang dan
  • memelihara daripada memaki orang.

Dan sayogianya hendaklah orang yang puasa itu
  • melazimkan diam dan
  • masyghul [sibuk] ia dengan membanyakkan dhikrullah Ta’ala dan
  • membanyakkan membaca al-Quran.

Dan kata Mujahid رحمه الله تعالى

خصلتان يفسدان الصيام الغيبة والكذب
Ertinya: 2 perkara membinasakan ia akan puasa: (pertama) mengumpat-umpat akan orang dan(dua) berdusta.

Dan sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:

إنما الصوم جنة، فإذا كان أحدكم صائما فلايرفث ولايجهل، وإن امرؤقاتله أو شاتمه فليقل إني صائم، إني صائم

Ertinya: Hanyasanya puasa itu perisai. Maka apabila ada seorang kamu puasa, maka jangan mengerjakan suatu yang sia-sia dan jangan berbuat akan perbuatan orang yang jahil. Dan jika ada seorang hendak membunuh akan dia atau memaki akan dia maka hendaklah ia berkata bahwasanya aku puasa, bahwasanya aku puasa.  (Hadits Muttafaqun ‘alaih). Maka jangan dilawan akan orang itu.

(Ketiga) sayogia bagi orang yang puasa itu memeliharakan telinganya daripada mendengar perkataan yang haram dan perkataan yang makruh dan memeliharakan telinganya daripada mendengar perkataan yang sia-sia yang tiada memberi manfaat di dalam akhirat.

Dan sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:

المغتاب والمستمع شريكان في الإثم

Ertinya: Orang yang mengumpat akan orang dan orang yang mendengar akan dia itu bersekutu keduanya itu pada berdosa (Hadits riwayat ath-Thabrani, dhaif - al-‘Iraqi)

(Keempat) seyogianya bagi orang yang puasa itu memeliharakan tangannya dan kakinya daripada segala yang diharamkan dan segala makruh dan segala yang sia-sia, tiada memberi manfaat di dalam akhirat.

(Kelima) memeliharakan perut pada ketika waktu berbuka itu daripada memakan makanan yang haram atau memakan yang syubhat. Maka tiada faedah bagi puasa, iaitu meninggalkan daripada makan yang halal kemudian maka berbuka dengan makanan yang haram. Maka adalah misal orang yang puasa itu seperti misal orang yang berbuat mahligai pada hal ia merobohkan negeri kerana makanan yang halal itu memberi mudharat ia dengan memakan banyak akan dia dan tiada memberi mudharat ia dengan makan sedikitnya. Dan puasa itu mensedikitkan makan yang halal, iaitu ubat yang memberi manfaat bagi hati dan membanyakkan akan dia itu membinasakan akan hati dan memakan yang haram itu membinasakan agama. Sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:

كم صائم ليس له من صومه إلا الجوع والعطش

Ertinya: Beberapa daripada orang yang puasa padah al tiada baginya daripada puasanya itu melainkan lapar dan dahaga jua.

Maka kata ulama [dalam menjelaskan maksud hadits diatas] orang itu ialah orang yang berbuka dengan memakan yang haram. Dan kata setengah ulama, iaitu menahan daripada memakan yang halal dan berbuka dengan daging manusia dengan mengumpat-umpat akan orang dan mengumpat itu haram. Dan kata setengah ulama iaitu orang yang tiada memelihara akan segala anggota daripada yang haram yang membawa kepada dosa.

(Keenam) seyogianya bahwa jangan membanyakkan pada ketika berbuka itu dengan memakan yang halal sekira-kira memenuh perutnya, kerana sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:

ماملأابن آدم وعاء شرا من بطنه

Ertinya: Tiada memenuh oleh anak Adam akan suatu tempat yang terlebih jahat daripada memenuh perutnya dengan memakan yang halal.

Ini kerana maksud dengan puasa itu iaitu hendak mengurangkan makan supaya dhoif syahwat nafsunya dan syahwat syaitannya, maka jika dihimpunkan makanan yang pagi-pagi dan makanan yang petang-petang itu dengan sekali maka pada ketika berbuka puasa itu, maka tiada faedah puasanya itu. Jadi tiada manfaat puasanya itu melainkan dengan sedikit daripada memakan yang halal kerana mengurangkan makan itu meringankan tubuh pada berbuat ‘ibadat dan berbuat sembahyang tahajjud pada malam hari dan merajinkan mengerjakan wiridnya dan dhikirnya hingga terang hatinya.

(Ketujuh) sayogia bahwa adalah hatinya kemudian daripada berbuka itu berulang-ulang antara khauf dan raja’ yankni berulang-ulang antara takut akan Allah Ta’ala dan antara harap akan Allah Ta’ala kerana tiada diketahui adakah diterima akan puasanya itu, maka iaitu daripada orang yang muqarrabin atau ditolongkan akan puasa itu atasnya, maka iaitu daripada orang yang dimurkai Allah Ta’ala. Dan seyogianya ia menghadirkan yang demikian itu pada ketika kemudian daripada tiap-tiap ‘ibadat yang lain daripada puasa itu. والله أعلم

Darjah ketiga - Puasa orang khawwasul khawwas iaitu puasa orang yang muqarrabin yang ‘arifin iaitu menahan hati daripada mencita-citakan dunia dan memikirkan akan dia dan mengosongkan rahsia yang di dalam hati [sirr] daripada barang yang lain daripada Allah Ta’ala. Dan sentiasa hatinya itu syuhud kepada Allah Ta’ala dan batal puasanya itu dengan memikirkan barang yang lain daripada Allah Ta’ala dan yang lain lain daripada negeri akhirat. Demikian lagi batal puasa itu dengan memikir akan pekerjaan dunia, melainkan jika ada dunia itu membawa kepada manfaat akhiratdan jadi bekal baginya di dalam akhirat, maka iaitu tiada dinamakan dunia. Kerana inilah kata ulama ahlul bathin:

من تحركت همته بالتصرف في نهاره لتدبر ما يفطر عليه كتبت عليه خطيئة

Ertinya: Barangsiapa bergerak cita-citanya dengan berbuat di dalam harinya itu kerana membicarakan sesuatu yang akan dimakannya pada ketika berbukanya itu, nescaya disurat atasnya akan dosa.

Dan yang demikian itu kerana kurang percaya dengan anugerah Allah Ta’ala dan kemurahanNya pada memberi rezqi akan dia dan kurang yaqin ia dengan rezqinya yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala.

Dan darjat puasa yang ketiga iaitu martabat anbiya’ dan orang-orang siddiqin dan orang-orang muqarrabin yang ‘arifin, kerana cita-cita hati mereka itu semata-mata berhadap kepada Allah Ta’ala dan berpaling hati mereka itu daripada segala yang lain daripada Allah Ta’ala dan telah masuk mereka itu di dalam makna firman Allah:


Ertinya: Ucap olehmu akan Allah Ta’ala kemudian maka tinggalkan olehmu akan manusia di dalam pekerjaan mereka itu pada hal bermain-main mereka itu. (Surah al-An’am: 91)

[Petikan dari kitab Sair as-Salikin ila ‘Ibaadati Rabbil ‘Alamin, tahqiq al-Fadhil Ustaz Abu ‘Ali Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki, edisi jawi, halaman 414 – 419]

Usahakanlah paling kurang puasa peringkat kedua. Semoga kita memperolehinya dengan rahmat dariNYA.

Ahad, 31 Julai 2011

Bersahur Cara Rasulullah S.A.W


BERSAHUR CARA RASULULLAH
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Rasulullah s.a.w amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w:

"Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1923.

Maksud kerberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h: "Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur." – Rujuk Fathul Baari, Jil. 11, ms. 120.

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab). Sabda Rasulullah s.a.w:

"Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasaahli kitab ialah makan sahur." - Hadis riwayat al-Tirmizi. no: 643

Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur.Oleh itu, Nabi s.a.w amat menitik beratkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda baginda s.a.w :

"Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur." - Hadis riwayat Ahmad. no: 10664.

Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1919.

Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah sendiri telah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu apabila azan Subuh dilaungkan. Firman Allah S.W.T:

"Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)." - Surah al-Baqarah: 187

Adalah disunnahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a berkata:

"Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian akupun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w ." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1920.

Qadi Iyadh r.h berkata: "Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar." - Dinukil dari Fathul Baari, jil. 11, ms. 114.

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan. Menurut Anas r.a, Zaid bin Thabit r.a berkata:

"Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w , kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) lima puluh ayat." - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1921.

Hadis ini telah digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah sepuluh minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak lagi diperbolehkan makan dan minum. Namun tafsiran yang benar terhadap hadis tersebut adalah Rasulullah s.a.w langsung mendirikan solat subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi s.a.w memulakan dan mengakhirkan sahur baginda.

Antara hikmah mengakhirkan sahur adalah:

1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.

2. Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.