Sabtu, 11 Jun 2011

Islam Liberal - Kenali ajaran baru akhir zaman


Kenali ajaran baru akhir zaman (Islam Liberal)

Dewasa ini isu mengenai Islam Liberal menjadi topik utama perbahasan dalam masyarakat oleh ahli akademik, para pemikir bebas, dan ahli agama. Ramai yang memberi hujah yang sangat bernas dan mempengaruhi masyarakat umum terutama kepada mereka yang langsung tidak mempunyai pengetahuan yang sebenar tentang Islam Liberal. Perkara ini sedikit sebanyak menjadi faktor penerimaan unsur-unsur Islam Liberal dalam masyarakat tanpa disedari.

Malah kehidupan kita hari ini dikelilingi oleh produk-produk Islam Liberal bermula dari cara berpakaian, cara bersosial sesama masyarakat hinggalah kepada cara beribadat. Lebih sukar lagi apabila masyarakat umum sudah menerima semua unsur Islam Liberal ini sebagai tatacara hidup ‘Islam’ tetapi hanya berdasarkan kefahaman akal mereka sahaja tanpa merujuk dua sumber pegangan Islam yang asas; al-Quran dan al-Sunnah.


Siapa Islam Liberal?

Rata-rata kita keliru dengan istilah Islam Liberal yang sebenarnya. ‘Liberal’ membawa maksud ‘pembebasan’ atau ‘pelonggaran’. Golongan Islam Liberal juga selalu mentafsir istilah ‘liberal’ sebagai ‘pencerahan’.

Pendukung Islam Liberal menganggap diri mereka sebagai penyelamat umat Islam susulan Islam itu sendiri membawa masalah kepada umatnya seperti undang-undang syari’ah yang kononnya menindas masyarakat menurut dakwaan mereka. Golongan ini juga sering menyalahkan sebahagian besar ulama’ kerana terlalu berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Maka pembebasan atau pelonggaran yang ingin mereka lakukan adalah untuk jauh dari kefahaman Islam yang sebenar iaitu Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w sejak 1400 tahun dahulu. Pendukung Islam Liberal mendakwa perlunya reformasi dalam Islam supaya bersesuaian dengan keadaan semasa serta memenuhi semua keperluan dan kehendak manusia menurut peredaran zaman serta perkembangan akal fikiran.

Oleh sebab itu, banyak hujah mereka yang menggunakan ideologi-ideologi barat terutamanya, untuk menentang Islam secara diam-diam dan halus. Ideologi-ideologi ini hanyalah bersandarkan logikal akal semata-mata, maka ideologi ini mudah diterima oleh masyarakat yang kurang faham Islam sebenar dan longgar pegangan akidahnya.

Lebih menakutkan lagi, semua umat Islam berpotensi untuk menjadi pembawa Islam Liberal akibat mentafsir ajaran Islam mengikut kefahaman akal semata-mata tanpa merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah menerusi para alim ulama’ yang sahih. Tidak hairanlah jika ada di antara golongan Islam Liberal tidak akan mengaku mereka ini membawa fahaman Islam Liberal atas dasar mereka tidak mengenali antara satu sama lain walaupun fahaman yang dibawa adalah sama dari segi konsep asasnya.


Sejarah Liberal Agama

Sejarah bermulanya liberal dalam agama adalah di Eropah sewaktu cengkaman pihak gereja terhadap masyarakat di sekeliling mereka. Keilmuan golongan saintis ketika itu meningkat berdasarkan penemuan-penemuan baru yang kebanyakannya bercanggah dengan pegangan ajaran Kristian.

Maka pihak gereja menghalang sama sekali para ilmuan ini untuk mengesahkan penemuan mereka dan mereka ini dilabel sebagai pembawa ajaran sesat. Contohnya, pihak gereja sudah lama memegang kepercayaan bahawa bumi ini berbentuk rata dan mendatar. Apabila golongan saintis cuba membuat dakwaan bahawa bumi ini berbentuk sfera mengikut kajian yang telah dilakukan, golongan ini ditentang oleh pihak gereja atas alasan menentang fahaman Kristian secara terang-terangan. Maka terjadilah pergolakan sehingga Kristian berpecah kepada dua; Katolik dan Protestan. Golongan yang tidak bersetuju dengan pihak gereja ketika itu adalah Kristian Protestan.

Tragedi ini berlaku akibat ajaran Kristian itu sendiri telah diseleweng daripada ajaran Nabi Isa a.s oleh Tarsus yang juga dikenali sebagai Saint Paul atas kepentingan peribadi. Maka segala kepercayaan yang dipegang bukanlah suruhan Tuhan tetapi lebih kepada logikal akal manusia setempat dan semasa sahaja. Dengan itu ajaran Kristian telah berlawanan dengan hakikat kejadian alam dan perkembangan akal manusia.

Golongan saintis yang menentang pihak gereja sewaktu era pembaharuan di Eropah hanyalah ingin menyatakan kebenaran dan bukanlah menentang Kristian itu sendiri. Apabila kebenaran yang dibawa oleh golongan ilmuan berlawanan dengan kepalsuan yang dibawa oleh golongan agamawan, terjadilah pergolakan dan perpecahan.


Mengapa Islam Perlu diliberal?

Tidak ada langsung alasan yang kukuh golongan Islam Liberal untuk membebaskan ajaran Islam sekarang seperti apa yang telah berlaku dalam Kristian. Ajaran Islam sudah pun lengkap dan sempurna syari’atnya kepada umat manusia hingga ke Hari Kiamat. Ajaran Islam juga tidak menindas mana-mana pihak malah menjaga kesejahteraan manusia tanpa mengira umur, bangsa, adat, dan negara.

Golongan Islam Liberal juga mempunyai agenda tersembunyi dalam melonggarkan pegangan akidah umat Islam atas dasar dibayar dengan lumayan oleh beberapa pihak tertentu yang anti-Islam. Perencanaan ini dilakukan dengan teliti dan menggunakan media massa sebagai alat utama menyerang pemikiran umat Islam dalam merosakkan akidah serta memusnahkan pegangan terhadap al-Quran dan al-Sunnah.

Di Indonesia sudah wujud satu agama baru iaitu Islam Liberal yang didukungi oleh Jaringan Islam Liberal (JIL). Jaringan ini sangat berpengaruh dalam membahas isu-isu Islam Liberal sehingga garis yang jelas di antara Islam sebenar dan Islam yang sesat itu samar kelihatan. Situasi ini harus dijadikan iktibar dan amaran kepada umat Islam di Malaysia dalam menjaga kesucian dan ketulenan Islam itu sendiri hingga ke akhir hayat kita.


Saranan Golongan Islam Liberal

Golongan Islam Liberal membawa agenda merosakkan pegangan akidah umat Islam secara sedar atau pun tidak melalui media massa, program tertutup dan terbuka, drama atau filem yang disuntik idea liberalisasi Islam, dan sebagainya. Kebanyakan saranan golongan Islam Liberal ini bersifat halus dan sukar dikesan akibat sebahagian besar isu yang diketengahkan sudah sebati dalam masyarakat.

Antara saranan utama golongan ini adalah mempertikaikan pandangan serta kenyataan para alim ulama’ yang benar. Mungkin kita kurang sedar tentangan golongan Islam Liberal terhadap alim ulama’ akibat pendedahan media massa yang lebih menyebelahi mereka dan kurang menekankan pandangan serta kenyataan alim ulama’ terhadap sesuatu isu. Situasi ini sangat berbahaya di mana masyarakat sudah berani mengkritik mufti-mufti atas fatwa yang dikeluarkan dengan pelbagai alasan logikal semata-mata.

Golongan Islam Liberal juga mengajak masyarakat kebanyakan supaya berani memberi pendapat terhadap sesuatu isu agama mengikut pandangan sendiri tanpa merujuk kepada ahli agamawan yang berkeutamaan dalam membincangkan isu tersebut. Situasi ini jelas bilamana perbincangan dalam isu-isu agama seperti poligami dibincangkan dalam media massa dengan menjemput artis-artis serta ahli korporat sebagai panel undangan. Mengapa para alim ulama’ diketepikan? Ini kerana isu yang dibincangkan hanyalah untuk memenangi agenda golongan Islam Liberal ini.

Usah terkejut jika ada di antara golongan Islam Liberal ini mempertahankan hak golongan gay serta lesbian. Atas alasan kebebasan individu untuk memilih pasangan, golongan Islam Liberal membuka ruang kebebasan kepada umat Islam supaya melangkah setapak lagi menjauhi akidah Islam yang dipegang selama ini. Antara liberalis Islam yang lantang mempertahankan hak ini ialah Raquel Evita Saraswati, Koordinator Projek Ijtihad dibawah kelolaan Irshad Manji.

Di Malaysia, golongan Islam Liberal ini sangat rakus menghentam institusi Mahkamah Syari’ah atas alasan mengiktiraf Mahkamah Sivil sebagai jalan keluar menyelesaikan segala permasalahan undang-undang yang utama. Kebanyakan kes yang digunakan oleh golongan Islam Liberal untuk menentang institusi Mahkamah Syari’ah ialah perceraian, hak penjagaan anak, hak untuk murtad, penentangan terhadap poligami, dan sebagainya.


Mari Banteras Islam Liberal

Tidak ramai orang yang sanggup menumpukan tenaga dan usaha untuk membanteras Islam Liberal hingga ke akar umbi. Puncanya ialah kurangnya pendedahan terhadap penyelewengan Islam yang dilakukan secara halus dan licik. Malah gaya hidup masyarakat Islam di Malaysia sudah dibelenggu dengan unsur-unsur liberal tanpa kita sedari. Hasutan dan propaganda yang dibuat oleh golongan Islam Liberal ini juga sangat halus sehingga kawan sendiri juga berpotensi menjadi lawan.

Risiko membanteras Islam Liberal terlalu besar namun tidak ada yang lebih besar dari kekuasaan Yang Maha Esa. Semoga usaha membanteras ini mendapat keredhaan-Nya dan sentiasa dibekalkan dengan kekuatan yang tidak putus-putus.

Saya akan mendedahkan lagi penyelewengan akidah oleh Islam Liberal dalam tulisan-tulisan yang berikutnya. Diharapkan tulisan ini dapat disebarkan dan usaha yang kita lakukan sentiasa dinaungi rahmat dari Allah s.w.t, insya-Allah.

`Izzat Anwari bin Hasni
Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL)

kisah 3 orang menteri


Diceritakan oleh SYEIKH ALI SOLEH MUHAMMAD ALI JABER Guru Tahfiz Masjid al-Nabawi, tentang kisah tiga menteri dan seorang Raja. Pada suatu hari Raja memanggil tiga orang menteri tersebut, maka baginda memberi tiga karung guni. Berkata Raja, “Pergi panjat pokok dan memetik buah di pokok tersebut sehingga penuh guni masing-masing". Maka terpinga-pingalah ketiga-tiga menteri tersebut, kenapa seorang menteri diberi arahan sebegitu? Disebabkan arahan khilafah maka mereka pun melakukan apa yang disuruh.

Menteri A merupakan menteri yang jujur dan amanah, maka beliau pun bersungguh-sungguh panjat pokok buah tersebut dan mencari buah yang paling baik dan berkualiti dan memenuhi karung guni yang di beri oleh raja.

Menteri B merupakan menteri yang kadang-kadang amanah, kadang-kadang tidak, beliau beramanah mengikut situasi yang dihadapi, Imamnya tidak sekukuh menteri A. Maka dia panjat dan sampai separuh pokok , terfikir dia, “buat apa aku berusaha ambil yang elok-elok, cukup la sekadar mengutip buah yang jatuh di bawah, cukup sekadar penuh buah dengan karung guni sudah cukup’. Lalu menteri tu pun turun dan mengutip buah yang bercampur ada yang baik dan ada yang busuk.

Menteri C seorang yang sungguh tidak amanah, beliau hanya mementingkan diri sendiri. Beliau berfikir “ Buat apa aku susah-susah, akukan menteri ini bukan kerja aku, baik aku kutip batu je cukup, janji penuh karung guni nie, Lagi pun raja masa ada masa untuk melihat isi dalam karung ini’. Lalu beliau pun mengutip batu dan memenuhi karung guninya.

Sampai masanya, mereka bertiga menghadap raja. Benar-benar telahan Menteri C, raja tidak melihat karung guni tersebut. Namun Raja yang bijak mempunyai cara yang lebih bijak. Baginda mengarah pengawal memasukkan ketiga-tiga menteri ke dalam penjara. Dan mengarahkan makanan yang hanya boleh di makan, apa yang ada dalam karung mereka. Maka mereka menghadapi situasi berbeza:

Menteri A, sudah tertentu mempunyai bekalan mencukupi dan dapat menikmati buat yang lazat dan berkualiti.

Menteri B, terpaksa memilih buat yang baik, kadang terpaksa mengikat perut untuk mencukupi bekalan makanan.

Menteri C. Inna lillahi itu jawapan yang mampu diberi

Mari kita ambil pengajaran cerita ini dalam kehidupan kita, bayangkan Allah SWT telah mengarah kita supaya mengutip amalan dengan amanah dan bertujuan untuk mencari redhaNya, Watak menteri mana yang kita pilih, Menteri A, Menteri B atau Menteri C. Dan penjara itu seumpama Kubur. Di situlah tempat perhentian kita, tempat yang semua kena melalui. Di dalam suasana yang sempit dan gelap itu adakah amalan kita mampu membantu kita. Atau kita ini hanya menteri C sahaja. Mari kita renung dan ambil Pengajaran dari cerita ini.


Disesuaikan sebahagian Kuliah Maghrib SYEIKH ALI SOLEH MUHAMMAD ALI JABER (Guru Tahfiz Masjid al-Nabaw) pada 10 Rejab 1432H (11 Jun 2011) di Masjid Al-Hasanah

aKU ambil drp layarminda

AddThis Chrome Extension

AddThis Chrome Extension

Jumaat, 10 Jun 2011

16 golongan yang tidak dapat melihat wajah Allah Taala kelak




Salah satu nikmat yang paling besar yang dikecapi oleh penduduk syurga ialah mereka dapat melihat dan menatap wajah Allah Azza Wajalla. Allah berfirman dalam Surah al Qiamah ayat 22-25

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

وَوُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ بَاسِرَةٌ تَظُنُّ أَن يُفْعَلَ بِهَا فَاقِرَةٌ

Pada hari akhirat kelak, muka (orang-orang yang beriman kelihatan) berseri-seri; justeru mereka dapat menatap wajah Tuhannya. Sebaliknya muka (orang-orng kafir) serba muram dan pucat hodoh justeru mereka yakin akan menghadapi seksaan yang berat dan dahsyat.

Namun bagi orang yang bernasib malang mereka tidak akan dapat masuk syurga dan menatap wajah Allah . Golongan yang tidak akan dapat menatap wajah Allah yang mulia ialah :


1. Orang yang menjual janji setianya dengan Allah dengan harga yang tidak seberapa daripada habuan duniawi yang fana ini.(Orang bersumpah palsu) Allah berfirman :

إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَناً قَلِيلاً أُوْلَـئِكَ لاَ خَلاَقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ)— آل عمران : 77

Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya


2. Pemerintah yang menjauhkan diri dari suka duka rakyat, tidak peduli kepada penderitaan mereka dan tidak kesihan terhadap kemiskinan dan keperitan hidup yang dihadapi oleh mereka.

عن أبي مريم الأزدي رضي الله عنه قال:قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (من ولي من أمور المسلمين شيئاً ،فاحتجب دون خلّتهم ،وحاجتهم ،وفقرهم، وفاقتهم، احتجب الله عنه يوم القيامة، دون خلّته ، وحاجته ، وفاقته، وفقره )

Abu Mariam al Azadi R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda :

“ Siapa yang memikul apa-apa jawatan atau tugas menguruskan orag Islam namun dia gagal memenuhi tanggongjawab dan dia mengelak daripada menyelesaikan keperluan mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaan umat Islam nescaya Allah akan mengelak (menjauhkan diri) daripadanya pada hari kiamat kelak daripada menyelesaikan keperluannya yang mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaannya pada hari tersebut.”

Hadith Sahih riwayat Abu Daud dan dianggap berstatus sahih oleh al Albani.

3. Orang Tua yang Berzina

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ( ( ثلاثة لايكلمهم الله يوم القيامة ، ولا ينظر إليهم ، ولا يزكيهم ، ولهم عذاب أليم: شيخ زانٍ ، وملك كذّاب ، وعائل مستكبر ) أخرجه مسلم

Abu Hurairah R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda:

“Tiga orang yang Allah enggan bercakap-cakap dengan mereka pada hari kiamat kelak. Allah tidak sudi memandang muka mereka, Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda) . Untuk mereka disiapkan seksa yang sangat pedih. (Mereka ialah ): Orang tua yang berzina, pemerintah yang suka berdusta dan fakir miskin yang takabbur.”

Hadith ditakhrijkan oleh Muslim.

4. Pemerintah Atau Kerajaan Yang Suka Berbohong (Dusta)

5. Orang miskin yang takabbur

6. Orang yang tak sudi menolong walau dengan mengajukan seteguk air.

في حديث ابي هريرة (……. ورجل منع فضل ماء ، فيقول الله : اليوم أمنعك فضلي ، كما منعت فضل مالم تعمل يداك

Dalam Hadith riwayat Abu Hurairah ada disebutkan prasa berikut: .. orang yang enggan memberi lebihan air minum (yang dia miliki kepada orang yang keputusan air minum). Sehingga Allah bersabda : Pada hari ini Aku akan menghalangmu daripada mendapat lebihan kurniaKu, persis sepertimana kamu menghalang orang lain daripada mendapat kurniaan yang bukan tangan kamu yang menciptanya.

7. Pembai’ah dan pengundi pemimpin kerana kebendaan

وعن أبي هريرة - رضي الله تعالى عنه - قال: قال رسول الله -صلى الله عليه وسلم-: ( ثلاثة لا يكلمهم الله يوم القيامة، ولا ينظر إليهم، ولا يزكيهم، ولهم عذاب أليم: رجل على فضل ماء بالفلاة، يمنعه من ابن السبيل، ‏‏ ورجل بايع رجلا بسلعة بعد العصر، فحلف له بالله لأخذها بكذا وكذا فصدقه، وهو على غير ذلك، ورجل بايع إماما لا يبايعه إلا للدنيا، فإن أعطاه منها وفى، وإن لم يعطه منها لم يف ) متفق عليه.

Dalam hadith riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah pernah bersabda

”Tiga orang Allah tidak akan bercakap cakap dengannya pada hari kiamat kelak. Malah Allah tidak akan menoleh (memandang) kepadanya, Allah tidak akan menyucikan dirinya (daripada dosa) . Sebaliknya disediakan untuknya seksa yang sangat pedih. Pertama; orang yang mempunyai bekalan air yang banyak di suatu kawasan lapang atau sahara tapi ia enggan untuk memberi minum ”Ibnu al Sabil” para musafir (yang kehabisan bekalan minuman ). Kedua; orang yang menawar untuk membeli barangan selepas asar dengan bersumpah atas nama Allah; bahawa dia akan membeli atau mengambil barang itu dengan harga tertentu.Janjinya itu dipercayai benar oleh penjual. Pada hal dia sebenarnya langsung tidak berniat untuk membelinya . Ketiga; orang membai’ah pemimpin (mengundi dan memilih atau melantik pemimpin) semata-mata kerana perhitungan keduniaan (kebendaan). Kalau orang yang dipilihnya itu memberikan janji habuannya maka barulah dia akan menunaikan kewajibannya. Kalau tidak ia akan bersikap enggan (atau ingkar).” (Hadith Muttafaqun ’alaihi)

8. Penderhaka Ibu Bapa

Rasulullah bersabda:

عن عبدالله بن عمر رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ثلاثة لاينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة :العاق لوالديه ، والمرأة المترجلة المتشبهة بالرجال والديوث) صحيح أخرجه أحمد والنسائي

Abdullah Bin Omar R.A. meriawayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda:

“Tiga orang Allah tidak akan sudi memandang wajah mereka pada hari kiamat kelak: Penderhaka kepada dua ibu bapanya, wanita yang berlagak lelaki yang meniru kaum jantan dan golongan orang Daiyuth. Hadith sahih ditakhrijkan oleh Ahmad dan Nasaii

9. Wanita yang berlagak seperti lelaki (Tomboy)

عن عبدالله بن عمر رضي الله عنه قال :قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ثلاثة لاينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة :العاق لوالديه ، والمرأة المترجلة المتشبهة بالرجال والديوث ) صحيح أخرجه أحمد والنسائي

10. Orang Lelaki yang Dayus

Suami atau bapa yang tidak lagi mempunyai rasa cemburu dan maruah diri sehingga membiarkan isteri berjahat dengan orang lain tanpa rasa cemburu dan marah

Apabila perasaan cemburu yang positif ini sudah tidak ada lagi dalam diri seseorang ; maka tidak ada usaha untuk menentang kemungkaran terhadap maruah keluarga atau diri sendiri. Dengan itu kejahatan akan bermerajalela.

11.Pengamal Budaya Kaum Luth

عن ابن عباس رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (لاينظر الله - تعالى- إلى رجل أتى رجلاً ، أو امرأة في الدّبر ) صحيح اخرجه الترمذي

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : Allah tidak akan sudi memandang wajah orang yang menyetubuhi lelaki atau mendatangi isterinya di duburnya. Hadith sahih ditakhrijkan oleh al Turmuzi

12. Pengamal Seks Abnormal

Golongan ini termasuk kalangan yang bernafsu terhadap binatang dan tergamak melakukan hubungan jenis dengan binatang .

13.. ”Al-Mannan” atau pemberi yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya; baik lelaki mahupun perempuan.

عن ابي ذر رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ثلاثة : ( لايكلمهم الله يوم القيامة ، ولايزكيهم ، ولهم عذاب أليم ) فقالها رسول الله صلى الله عليه وسلم ثلاث مرار ، فقلت : خابوا وخسروا من هم يارسول الله قال: المنان والمنفق سلعته بالحلف والمسبل ازاره ) اخرجه مسلم

Abu Zar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “ Tiga orang Allah tidak akan bercakap-cakap dengan mereka. Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda) malah disiapkan untuk mereka seksa yang sangat pedih. Baginda mengulang prasa itu tiga kali. Lalu (kata Abu Zar) aku pun menambah, malang , kecewa dan rugilah mereka ; siapakah mereka itu wahai Rasulullah?. Beginda menjawab al Mannan atau orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya, orang yang melariskan barang jualannya dengan sumpah (palsu) dan orang suka melabuhkan pakaiannya ( kerana-menunjuk- nunjukan kekayaan ).

Hadith di takhrijkan oleh Muslim

14. Orang suka menunjuk-nunjuk kekayaan dengan pakaian labuh menyapu tanah dan berjalan di muka bumi dengan angkuh

المسبل إزاره المختال في مشيته

“Orang melabuh-labuhkan pakaian (menunjuk-nunjuk kekayaan dengan sikap boros) yang berjalan dengan cara bermegah-megah dengan diri sendiri.”


15. Penjual yang melariskan barang jualannya dengan cara berdusta dan membohong

عن ابي ذر رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ثلاثة لايكلمهم الله يوم القيامة ، ولا يزكيهم ، ولهم عذاب أليم : المسبل إزاره ، والمنان ، والمنفق سلعته بالحلف الكاذب ) أخرجه مسلم في كتاب الإيمان

Abu Zar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda :

Tiga orang Allah tidak akan bertutur kata dengan mereka. Allah tidak akan membersihkan mereka dan untuk mereka disediakan azab yang sangat dahsyat… penjual yang melariskan barang jualannya dengan sumpah palsu.


16.Isteri yang tidak berterima kasih terhadap suami

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ( لاينظر الله إلى امرأة لاتشكر لزوجها وهي لاتستغني عنه ) صحيح أخرجه النسائي وصححه الالباني

Abdullah Bin Omar R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: “Bahwa Allah tidak akan memandang muka isteri yang tidak berterima kasih (kufur nikmat) kepada suaminya. Pada hal dia sendiri tidak boleh tidak memerlukan kepada suaminya itu.”