Jumaat, 22 April 2011

Rupa kiamat

 *Pesanan : Belajarlah menghabiskan pembacaan sehingga titik akhir. Itu ciri manusia berguna.


Gambaran Hari Kiamat

Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
- Pemimpin yang adil.
- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW:  Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat.  Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
Sedekah/amal jariahnya.
Doa anak²nya yang soleh.
Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

sumber daripada : Amar Sufi
 Artikel ini ditulis oleh aida cutes..aku ambil daripada notanya dalam facebook.

memilih ibu bagi anak2 kita- i luv islam


Mendidik anak bukan bermula selepas anak itu lahir, bahkan lebih awal lagi. Perancangan dalam mendidik anak mesti bermula seawal mencari jodoh. Sebelum seseorang jejaka membuat keputusan tentang pasangan hidupnya, dia perlu ingat bahawa pasangan itu adalah bakal ibu kepada anaknya.
Wanita itu bukan hanya untuk dirinya sebagai seorang isteri, bahkan juga untuk anak-anaknya sebagai seorang ibu. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab setiap lelaki agar memilih ibu yang tepat untuk anak-anaknya.
Memilih ibu membawa maksud mencari jodoh isteri yang beriman, bertakwa dan mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu solehah. Untuk memenuhi tuntutan ini pemilihan isteri yang tepat perlu sejajar dengan penetapan yang dianjurkan oleh Islam. Ini amat penting bagi mencapai target ibu mithali yang menjadi hadiah kehadiran buat anak-anak yang akan dilahirkan ke dunia.
Pada suatu hari Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a didatangi seorang lelaki yang mengadu bahawa anaknya sentiasa menderhaka kepadanya. Maka anak itu dipanggil oleh Umar, seraya diingatkan agar jangan menderhakai ayahnya serta dianjurkan agar ia mentaatinya dan menjaga hak-haknya. Tiba-tiba si anak pun bertanya kepada Umar katanya: Wahai Amirul Mukminin apakah anak tiada mempunyai hak-hak atas ayahnya?
Jawab Umar: Bahkan ada! Berkata si anak "Apa dia, wahai Amirul Mukminin? Berkata Umar: Memilih ibu yang baik, memberikan nama yang baik serta mengajarnya membaca Al-Quran. Berkata si anak:Wahai Amirul Mukminin sesungguhnya bapa saya tiada membuat satu pun dari ketiga-tiga perkara itu. Ibu saya berbangsa Afrika dahulunya isteri seorang majusi. Saya pula diberi nama Khunfusak (bermaksud 'lipas') dan juga tidak pernah mengajar saya satu huruf pun dari Al-Quran. Lalu Umar berkata kepada ayahnya: 'Jika demikian, kamu telah derhaka kepada anakmu sebelum dia derhaka kepada mu.'
Teguran Umar itu bertepatan dengan hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda "Seseorang wanita dinikahi kerana empat sebab: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah engkau mengutamakan yang beragama, itulah pilihan yang terbaik."
Baginda saw menegaskan betapa pentingnya wanita yang mempunyai asas agama yang mantap dan amalan-amalan yang kuat yang mampu membentuk dirinya sebagai srikandi mulia dalam sesebuah institusi keluarga. Agama diiktifar sebagai kriteria tertinggi berbanding rupa paras, kekayaan dan darjat. Agama inilah yang dapat menjamin kemampuan si ibu untuk mendidik anak.
Pemilihan ibu yang tepat untuk si anak ini tentunya timbul atas kesedaran untuk menjadikan perkahwinan sebagai saham akhirat. Ini kerana pelayaran sebuah perkahwinan bukanlah seperti melepaskan batuk di tangga atau semudah menyuapkan makanan ke mulut tanpa berfikir himpitan mahupun kekangan yang akan ditempuhi. Perkahwinan yang dianjurkan Islam perlulah berkemudi hingga ke pelabuhan dan hasilnya dapat dinikmati di akhirat kelak.
Perkahwinan beginilah yang mampu membuahkan anak-anak yang soleh dan solehah. Lihat sahaja perkahwinan yang Rasulullah dengan isterinya yang tercinta Ummul Mikminin Saidatina Khadijah. Kebahgiaan yang dibina atas jihad kepada Islam ini mendamaikan dua hati yang diketemukan walaupun bertingkah jurang dari segi umurnya. Hasilnya zuriat yang lahir dididik dengan sempurna, menjadi tokoh ummah yang dikenang sepanjang zaman.
Ibu adalah manusia yang paling dekat dengan si anak. Ibu yang beriman dan bertaqwa akan melahirkan waris-waris yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Contohilah Khunsa', srikandi Islam yang berjaya dan mentarbiyah anaknya seramai tiga orang.
Ketika anak pertamanya mati syahid beliau masih tersenyum kerana masih ada anak yang kedua syahid yang kedua yang diharapkan akan gugur sebagai syuhada. Kejayaan Khunsa' menanam semanagt jihad pada jiwa anak-anaknya merupakan hasil daripada jiwa besar seseorang wanita yang akrab dan intim dengan ilmu-ilmu Islam dan amalannya.
Tidak salah mencari pasangan yang menawan, kaya dan berdarjat. Lagi lengkap pakej kesempurnaan, lagi baik. Asalkan krieteria utama iaitu beragama tidak dicicirkan. Seorang anak tidak boleh dididik dengan wang ringgit atau kekayaan si ibu. Si ibu yang cantik bukan jaminan bahawa dia mampu mendidik anak dengan baik.
Begitu juga darjat dan keturunan bukanlah penyebab yang dapat membentuk personaliti soleh dan solehah anak. Tetapi yang pasti, agama si ibu adalah satu jaminan ke arah kesempurnaan didikan anak. Ibu yang berakhlak, berilmu, taqwa, kuat beribadah secara adatnya mampu membimbing anak ke jalan bahagia.
Sekurang-kurangnya percikan akhlak solehah si ibu mampu mendorong si anak secara lisanul hal. Atau setidak-tidaknya doa si ibu yang luhur peribadi ini mampu menggamit hidayah, rahmat dan keampunan Allah buat si anak.
Malang sekali masyarakat hari ini tidak mengambilkira soal pemilihan ibu untuk si anak. Mereka melihat perkahwinan ini dari sudut kepuasan nafsu semata. Si gadis yang comel, seksi dan bergaya itulah yang diutamakan.
Jika si dia kaya dan berdarjat lagi mahu. Soal akhlak, iman dan alam diketepikan. Semasa memilih pasangan tidak terlintas soal anak. Bila anak sudah lahir, anak menjadi mangsa kejahilan dan kebobrokan akhlak ibu.
Mereka lupa tanggungjawab wanita sebagai isteri dan ibu yang berperanan untuk memelihara dan mendidik anak-anak menjaga kehormatan diri dan menjamin keperluan rumahtangga yang mencukpi.
Bukan lelaki sahaja perlu mencari ibu yang betul untuk si anak, malah para wanita juga perlu memilih bapa yang tepat untuk anaknya. Wanita yang solehah perlu merancang memilih bapa soleh untuk anak-anak mereka. Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi "Apabila datang kepada kamu peminang (lelaki) yang engkau puas hati dengan agamanya dan kelakuannya, makakahwinilah dia".
Betapa malangnya wanita mukminah yang jatuh ke tangan ketua keluarga yang "thaleh" dan curang akhlaknya serta memandang enteng prinsip-prinsip Islam dan ibadah-ibadah. Apalah gunanya anak-anak yang hidup dalam keluarga yang terajunya tidak mengindahkan hukum dan seruan Allah.
Tegasnya, demi untuk zuriat yang bakal lahir, setiap pemuda dan pemudi wajib merancang dengan baik dalam mencari bakal ibu dan bapa kepada anak-anak. Jika gagal, tidak mustahil anak-anak nanti menjadi rosak dan akhirnya menjadi derhaka kepada ibu dan ayah. Jangan jadi seperti yang dikatakan oleh Sayyidina Umar: 'Kamu telah menderhaka kepada anakmu, sebelum anakmu menderhaka kepada mu...'


Biodata Kolumnis

Ustaz Fathi Yusuf merupakan graduan ijazah Undang-Undang Syariah UIAM dan master Undang-Undang UKM manakala isterinya, Ustazah Ros Izanuri Jamaluddin merupakan graduan Bahasa Arab UIAM. Ustaz Fathi sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PhD di UIAM manakala Ustazah Ros Izanuri mengajar di SMK Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Isnin, 18 April 2011

kisah seekor ulat dan Nabi Daun a.s


"  Dalam sebuah kitab Imam Al-Ghazali menceritakan pada suatu ketika tatkala Nabi Daud A.S sedang duduk dalam suraunya sambil membaca kitab az-Zabur, dengan tiba-tiba dia terpandang seekor ulat merah pada debu. Lalu Nabi Daud A.S. berkata pada dirinya, "Apa yang dikehendaki Allah dengan ulat ini?" Sebaik sahaja Nabi Daud selesai berkata begitu, maka Allah pun mengizinkan ulat merah itu berkata-kata. Lalu ulat merah itu pun mula berkata-kata kepada Nabi Daud A.S. "Wahai Nabi Allah! Allah S.W.T telah mengilhamkan kepadaku untuk membaca 'Subhanallahu walhamdulillahi wala ilaha illallahu wallahu akbar' setiap hari sebanyak 1000 kali dan pada malamnya Allah mengilhamkan kepadaku supaya membaca 'Allahumma solli ala Muhammadin annabiyyil ummiyyi wa ala alihi wa sohbihi wa sallim' setiap malam sebanyak 1000 kali.

Setelah ulat merah itu berkata demikian, maka dia pun bertanya kepada Nabi Daud A.S. "Apakah yang dapat kamu katakan kepadaku agar aku dapat faedah darimu?" Akhirnya Nabi Daud menyedari akan kesilapannya kerana memandang remeh akan ulat tersebut, dan dia sangat takut kepada Allah S.W.T. maka Nabi Daud A.S. pun bertaubat dan menyerah diri kepada Allah S.W.T. Begitulah sikap para Nabi A.S. apabila mereka menyedari kesilapan yang telah dilakukan maka dengan segera mereka akan bertaubat dan menyerah diri kepada Allah S.W.T. Kisah-kisah yang berlaku pada zaman para nabi bukanlah untuk kita ingat sebagai bahan sejarah, tetapi hendaklah kita jadikan sebagai teladan supaya kita tidak memandang rendah kepada apa sahaja makhluk Allah yang berada di bumi yang sama-sama kita tumpangi ini."