Rabu, 4 Januari 2017

fasal Pertama : Kerasulan Nabi saw

BERIMAN KEPADA RASUL-RASUL ALLAH A.S.

Berhubung dengan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. , Allah Taala berfirman dalam Surah al-A'raf ayat 158. Memerintahkan Baginda s.a.w. mengisytiharkan dirinya menjadi Rasul yang diutus oleh Allah kepada umat manusia seluruhnya, serta menerangkan bahawa:
(1) Allah sahajalah Tuhan yang mempunyai kuasa mengurus dan mentadbirkan kepentingan-kepentingan dan kebaikan sekalian alam yang diciptakan-Nya.
(2) Allah sahajalah Tuhan yang berhak disembah dan dipatuhi.
(3) Allah jualah yang mengatur cara dan menetapkan masa menghidupkan makhluk-makhluk yang mati dan mematikan yang hidup.
(4) Seluruh umat manusia wajib: 
(a) Beriman kepada Allah Tuhan yang demikian sifat-Nya (Esa pada "Uluhiyah"-Nya dan Esa pada "Rububiyyah"Nya)
(b) Beriman kepada Rasulullah s.a.w. nabi yang terkenal dengan sifat Ummi(1), yang beriman kepada Allah dan kepada semua perintah yang terkandung dalam segala kitab yang diturunkan oleh Allah. 
(c) Menerima dan menurut hukum hakam dan tunjuk ajar Rasulullah s.a.w.
______________________________
(1) Sifat "Ummi" ialah sifat tidak pandai membaca dan menulis. 
Kepada Nabi Muhammad s.a.w. , sifat ini ialah satu di antara sifat-sifat kelebihan yang teristimewa bahkan di antara mukjizat-mukjizat yang membuktikan sahnya dakwaan Baginda s.a.w. menjadiRasul kerana:
Pertama - Kebolehannya dan kecekapannya membetulkan akidah kepercayaan umatnya yang sesat. 
Memperbaiki akhlak mereka yang buruk,  dan menyatupadukan puak-puak kaumnya yang bermusuhan, sedang Baginda s.a.w., tidak tahu membaca dan menulis,  adalah perkara luar biasa yang tidak pernah dikurniakan Tuhan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripadanya s.a.w.
Kedua - Kebolehan dan kecekapan Baginda s.a.w. menjalankan tugas dan menyampaikan segala yang telah disampaikannya meliputi al-Qur'an dan Hadis,  sedang Rasulullah s.a.w. bersifat "Ummi" adalah bakayang nyata yang menunjukkan bahawa Baginda s.a.w. dapat mencapai semuanya itu dengan jalan wahyu semata-mata - sebagai utusan Tuhan
Dan lagi berhubung dengan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w Baginda sendiri menerangkannya dalam hadis yang berikut:
Perkara : Wajib Beriman Kepada Nabi Muhammad S.A.W. Dan Agama Islam Yang Dibawanya
11عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَا يَسْمَعُ بِي أَحَدٌ مِنْ هَذِهِ الْأُمَّةِ يَهُودِيٌّ وَلَا نَصْرَانِيٌّ ثُمَّ يَمُوتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ إِلَّا كَانَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ. ( مسلم )
11- Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaanNya. tidak ada seseorang pun dariumat manusia ini sama ada Yahudi atau Nasrani,  yang mendengar akan perihalku (menjadi utusan Allah), kemudian ia mati sedang ia tidak beriman dengan (agama Islam) yang aku diutuskan membawanya melainkan menjadilah ia dari ahli neraka". .
(Muslim)
Hadis yang kesebelas ini menerangkan tentang:
Wajib beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan agama Islam yang dibawanya.
Huraiannya.
Sesiapa jua yang berada pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.  atau yang datang kemudian hingga ke hari Qiamat diwajibkan beriman kepada Baginda s.a.w. dan kepada agama Islam yang dibawanya apabila berita kerasulan Baginda s.a.w. sampai kepadanya. Jika tidak maka orang itu dihukumkan kafir dan akan menerimaazab seksa neraka disebabkan kekufurannya itu.
Hukum ini meliputi seluruh umat manusia termasuk kaum Yahudi dan Nasrani yang mempunyai kitab Taurat dan Injil. 
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak harus berdalih untuk tidak menerima agama Islam yang dibawa oleh Baginda s.a.w., dengan sebab mereka ada mempunyai kitab, kerana kitab-kitab mereka kalaulah tidak disebabkan mereka meminda, mengurangi dan menokok-tambahnya, sudah pun mansukh setelah habismasa kegunaannya dengan kedatangan Rasul yang akhir sekali - Nabi Muhammad s.a.w. dan kitab suci al-Qur'an yang dibawanya.


Perkara : Keistimewaan Nabi Muhammad S.A.W.
12عَنْ جَابِر بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنْ الْأَنْبِيَاءِ قبلي …وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ كَافَّةًوَفِي رِوَايَةِ أَبِي هُرَيْرَةَ عِنْدَ مُسْلِمٍ (… وَأُرْسِلْتُ إِلَى الْخَلْقِ كَافَّةً ) ( البخاري ومسلم )
12- Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Aku dikurniakan beberapa keistimewaan yang tidak pernah diberikan perkara-perkara itu kepada seseorang pun dari Nabi-nabi yang terdahulu daripadaku; dan biasanya seseorang Nabi itu diutuskan kepada kaumnya sahaja, sedangkan aku diutuskan kepada umat manusia seluruhnya."
Dan pada satu riwayat Imam Muslim dan Abu Hurairah
(Baginda s.a.w. bersabda): "....sedang aku diutuskan kepada sekalian makhluk."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kedua belas ini mengandungi:
(1) Nabi Muhammad s.a.w.  dikurniakan beberapa keistimewaan, 
(2) Baginda s.a.w. diutus kepada sekalian makhluk, 
Huraiannya:
(1) Keistimewaan Nabi Muhammad s.a.w. 
Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. - sebagaimana yang sedia maklum - ialah Rasul yang akhir sekali, tidak ada Nabi apa lagi Rasul sesudahnya.
Sesuai dengan keadaannya yang demikian, maka Baginda s.a.w. dikurniakan oleh Allah Taala beberapa keistimewaan yang tidak pernah diberikan kepada Rasul-rasul sebelumnya.
Agama Allah yang dibawa oleh sekalian Rasul yang diutus silih berganti adalah satu tentang perkara pokoknya, iaitu beriman kepada Allah Yang Maha Esa danberiman kepada sekalian Rasul-Nya, tetapi hukum syariatnya yang meliputi cabang-cabang dan rantingnya adalah berlainan sedikit antara satu dengan yang lain,sesuai dengan keadaan zaman masing-masing.
Apa yang kita dapati sekarang tentang keadaan yang berlainan antara satu agama dengan yang lain pada masalah pokoknya, maka itu bukanlah dari ajaran Rasul-rasul tetapi disebabkan penyelewengan penganut agama agama itu mengubah asas dan dasarnya dengan tujuan-tujuan yang tertentu.
(2) Nabi Muhammad s.a.w. diutus kepada sekalian makhluk.
Di antara keistimewaan-keistimewaan yang telah dikurniakan oleh Allah Taala kepada Rasul-Nya yang akhir sekali - Nabi Muhammad s.a.w. ialah Baginda s.a.w. diutus kepada sekalian makhluk,  meliputi manusia dan jin, juga malaikat dari mula Baginda s.a.w. diutus hingga ke akhir dunia ini. 
Ada pun Rasul-rasul yang sebelumnya maka mereka diutus hanya kepada kaum masing-masing. Syariat mereka berjalan kuat kuasanya dalam kalangankaum mereka semasa hayat mereka; setelah mereka wafat maka syariat mereka dilanjutkan oleh Nabi-nabi yang dibangkitkan dalam kalangan kaumnya untuk memimpin kaum itu. Demikianlah seterusnya hingga Allah Taala mengutuskan seorang Rasul yang lain dengan membawa syariat yang baharu, yang boleh jadi berlainan sedikit dengan syariat Rasul yang telah lalu.
Demikianlah halnya antara satu Rasul dengan yang lain hinggalah kepada Rasul yang akhir sekali Nabi Muhammad s.a.w.
Setelah Baginda s.a.w. wafat, maka syariatnya dilanjutkan dan disebarkan oleh alim ulama Islam yang menjadi waris yang mempusakai ilmu-ilmu yangditinggalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Perkara : Baginda S.A.W. Dan Sahabat-Sahabatnya
13عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أَتَاهُ عُمَرُ فَقَالَ إِنَّا نَسْمَعُ أَحَادِيثَ مِنْ يَهُودَ تُعْجِبُنَا أَفَتَرَى أَنْ نَكْتُبَ بَعْضَهَا فَقَالَ أَمُتَهَوِّكُونَ أَنْتُمْ كَمَا تَهَوَّكَتْ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى ؟ لَقَدْ جِئْتُكُمْ بِهَا بَيْضَاءَ نَقِيَّةً وَلَوْ كَانَ مُوسَى حَيًّا مَا وَسِعَهُ إِلَّا اتِّبَاعِي. (الإمام أحمد والبيهقي)
13- Dari Jabir r.a., dari Nabi s.a.w. (mengenai peristiwa) ketika Umar datang mengadap Baginda s.a.w., lalu berkata "(Ya Rasulullah) kami ada mendengar cerita-cerita dan nasihat pengajaran yang menarik hati dari orang-orang Yahudi,  maka bagaimana fikiran - tuan, bolehkah kami menulis sebahagian daripadanya?"(mendengar yang demikian) Baginda s.a.w., bersabda "Adakah kamu merasa ragu dan serba salah ( dalam ajaran agama kamu) sebagaimana kaum Yahudi danNasrani yang telah ragu-ragu dan meraba-raba (dalam ajaran agama mereka)? Demi sesungguhnya! Aku telah membawa kepada kamu agama Islam - dengan keadaannya yang jelas nyata dan bersih suci (dari sebarang perkara syirik dan penyelewengan) dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi, (sudah tentu)tidak ada jalan lain baginya selain daripada menurutku."
(Imam Ahmad dan al-Baihaqi)
Hadis yang ketiga belas ini menerangkan: 
(1) Rasulullah s.a.w. tempat rujuk sahabat-sahabat Baginda mengenai perkara-perkara agama.
(2) Kesan cerita-cerita yang dibawa oleh kaum Yahudi. 
(3) Amaran Baginda s.a.w. supaya orang-orang Islam jangan berkeadaan ragu-ragu dan serba salah dalam soal agama.
(4) Penegasan Baginda s.a.w. bahawa agama Islam yang dibawanya adalah agama yang benar,  bersih suci dan jelas nyata. 
(5) Ketinggian agama Islam.
Huraiannya:
(1) Baginda s.a.w. dan sahabat-sahabatnya.
Perasaan kasih kepada Rasulullah s.a.w. tidak cukup setakat kata-kata di bibir sahaja, tetapi mestilah dari hati nurani sampai kepada tingkah laku sehingga Baginda s.a.w., menjadi tempat rujuk sebarang perkara agama untuk dipatuhi dengan sepenuhnya.
Demikianlah halnya sahabat-sahabat dengan Baginda s.a.w. pada masa hayatnya sebagaimana yang dilakukan oleh Sayidina Umar bin al-Khattab yang tersebut kisahnya dalam hadis ini. Setelah Baginda s.a.w., wafat maka pusaka peninggalannya - al-Qur'an dan al-Sunnah - sudah semestinya dijadikan tempat rujuk yang asasi yang wajib diturut dan dipatuhi.
(2) Kesan cerita-cerita yang dibawa oleh kaum Yahudi.
Orang-orang Yahudi sentiasa bekerja keras untuk menarik orang-orang lain kepada agama mereka, dengan menjalankan berbagai-bagai cara terutama dengan menyebarkan berbagai kisah dan cerita yang menarik hati pembaca dan pendengarnya, sehingga Sayidina Umar telah meminta pendapat Rasulullah s.a.w., iaitu bolehkah orang-orang Islam memetik dan menyalin cerita-cerita yang tersebut? Bagi menjawabnya, Baginda s.a.w. telah melarang keras seperti yangterkandung dalam hadis ini.
(3) Amaran Baginda s.a.w. supaya orang-orang Islam jangan berkeadaan ragu-ragu dan serba salah dalam soal agama yang dibawanya.
Baginda s.a.w. memberi amaran supaya sahabat-sahabat Baginda -juga seluruh umatnya - jangan terpengaruh dengan di'ayah-di'ayah agama lain, sebaliknya hendaklah mereka sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap propaganda pihak lain yang beranika ragam itu.
Baginda s.a.w. juga menegaskan supaya jangan mereka berkeadaan bingung atau berperasaan ragu-ragu terhadap soal agama,  lalu terburu-buru hendak menerima di'ayah pihak lawan kerana mengikut kecenderungan hati dan terpengaruh kepada kemanisan cerita-cerita itu.
Sikap ragu-ragu dan meraba-raba dalam perkara agama,  tegas Baginda s.a.w; lagi, adalah sikap kaum Yahudi dan Nasrani dan kerana itulah mereka telahmenyeleweng dari ajaran-ajaran kitab-kitab mereka, bahkan mereka telah merosakkan kandungannya dengan meminda dan menokok tambahnya sebagaimana yangdianjurkan oleh ketua-ketua agama mereka untuk kepentingan dirinya.
(4) Penegasan Baginda s.a.w.: Bahawa agama Islam yang dibawanya adalah yang benar,  bersih suci dan jelas nyata. 
Tiap-tiap seorang Islam tidak harus merasa ragu-ragu terhadap kebenaran agama Islam yang menjadi pegangan hidupnya. Tidak ada sebab mengapa seseorang Muslim boleh terpengaruh kepada di'ayah kaum Yahudi dan Nasrani atau lain-lain pihak yang bukan Islam. 
Sebenarnya apa yang sepatutnya dijadikan ukuran benar dan salahnya satu-satu agama ialah tentang keasliannya - tidak berubah dengan pindaan dan tokok tambah, tentang kesucian dan kebersihannya daripada sebarang perkara yang berupa syirik,  dan tentang ajarannya yang jelas nyata dari sebarang perkara yang mengeliru dan meragukan.
Hakikat keaslian yang demikian tidak ada wujudnya melainkan pada agama Islam yang dibawa oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.  yang terpelihara dengan sebaik-baiknya dalam kitab suci al-Qur'an al-Karim dan hadis-hadis yang sahih. 
(5) Ketinggian agama Islam. 
Islam tetap tinggi dan tidak ada yang mengatasinya.
Tentang hakikat yang demikian Baginda s.a.w. menegaskan dalam hadis ini, bahawa kalaulah ditakdirkan Nabi Musa a.s. yang telah membawa syariat Taurat itu masih hidup dalam zaman Baginda s.a.w. sudah tentu tidak ada jalan lagi baginya selain daripada mengikut agama Islam yang dibawa oleh Baginda s.a.w.
Dengan itu nyatalah tidak harus bagi sesiapa pun - walau apa bangsa dan keturunannya - berdegil di atas agama yang lain dari agama Islam. 

14عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَوْ بَدَا لَكُمْ مُوسَى فَاتَّبَعْتُمُوهُ وَتَرَكْتُمُونِي لَضَلَلْتُمْ عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ وَلَوْ كَانَ حَيًّا وَأَدْرَكَ نُبُوَّتِي لَاتَّبَعَنِي. ( الدارمي )
14- Dari Jabir, r.a., bahawa - Rasulullah s.a.w., bersabda: "Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaan-Nya. kalaulah Nabi Musa muncul kepada kamu, lalu kamu mengikutnya dan meninggalkan daku, sudah tentu kamu akan sesat dari jalan yang betul;  dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi dan berada dalam masa aku menjadi Nabi,  sudah tentu ia menurutku."
(Al-Daarimi)
Hadis yang keempat belas ini menerangkan
Syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.  memansukhkan syariat-syariat yang lain.
Rasul-rasul yang diutus oleh Allah Taala kepada kaum masing-masing banyak bilangannya. Di antaranya ada yang diturunkan kitab kepadanya, seperti Nabi Musa a.s. yang menerima kitab Taurat. 
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., menjelaskan: Bahawa syariat Islam yang dibawanya adalah memansukhkan syariat Rasul-rasul yang telah lalu.
Oleh itu tidak harus bagi sesiapa pun yang ada pada zaman Baginda s.a.w. atau yang datang kemudian - menurut syariat-syariat yang telah mansukh itu, apa lagi agama-agama yang direka oleh manusia sendiri.
Tentang ini Baginda s.a.w. menegaskan, bahawa kalaulah Nabi Musa a.s. tiba-tiba muncul pada zaman Baginda s.a.w., dan ada orang-orang Islam yang menurutnya dengan meninggalkan syariat Islam yang dibawa oleh Baginda s.a.w., nescaya orang itu termasuk dalam golongan yang sesat kerana ia menurut syariat yang telah mansukh pada hal - tegas Baginda s.a.w. - sekiranya Nabi Musa a.s. masih hidup dalam masa kerasulan Baginda s.a.w., nescaya Nabi Musa juga akan menurut syariat Islam yang dibawa oleh Baginda s.a.w.
Tidaklah sepatutnya timbul sebarang kemusykilan tentang sesuainya agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. , dengan keadaan umat manusia dalam setiap masa,  dengan tidak memerlukan sebarang pindaan atau perubahan kerana bila diperhati akan ternyata bahawa Islam adalah berdasarkan kaedah-kaedah umum yang banyak cawangannya, yang dapat menghadapi cabaran-cabaran zaman,  - dapat menghakimi kejadian-kejadian yang berlaku dan dapat pula memecahkan masalah-masalah yang timbul dalam masa. 
Jelasnya, agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah lengkap mengandungi hukum hakam dan cara peraturan meliputi segala bidang hidup, yang menjadikannya sesuai dengan keadaan umat manusia dalam segala zaman dan di mana sahaja mereka berada selagi sifat kemanusiaannya tidak berubah,  sehinggakan Nabi Isa a.s. semasa turun pada akhir umur dunia kelak akan melanjutkan dan mengembangkan lagi syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., sebagaimana yang diterangkan dalam hadis yang berikut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَكَيْفَ أَنْتُمْ إِذَا نَزَلَ فِيكُمْ ابْنُ مَرْيَمَ فَأَمَّكُمْ ،، قَالَ ابْنُ أَبِي ذِئْبٍ فَأَمَّكُمْ بِكِتَابِ رَبِّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى وَسُنَّةِ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ . ( مسلم)
15- Dari Abu Hurairah, r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sungguh baik keadaan kamu ketika Isa Ibn Mariam turun dalam kalangan kamu, lalu ia memimpin kamu." Salah seorang rawi hadis ini (Ibn Abi Dzi'b) menerangkan dengan katanya: "Lalu ia memimpin kamu dengan menurut kitab Allah al-Qur'an dan Sunnah Nabi kamu"
(Muslim)

Jilid 1 : Beriman Kepada Rasul-rasul Allah A.s

Pengenalan :

BERIMAN KEPADA RASUL-RASUL ALLAH A.S

Manusia berhajat kepada yang mengawas amal usahanya dalam segala peringkat hidupnya untuk memimpinnya ke jalan kebaikan dan menjauhkannya darijalan kerosakan
Kalaulah manusia dibiarkan dengan tidak dipimpin dan diberi pertunjuk, nescaya akan terjerumuslah dia dalam kejahatan yang berbagai-bagai ragamnya.
Betapa tidak? Sedang manusia dalam alam kehidupan ini berada di antara dua kekuatan yang besar,  yang satu menolaknya kepada kejahatan iaitu hawa nafsu dantabiat marah yang sedia ada pada dirinya, dan yang satu lagi mendesaknya kepada kebaikan iaitu akal dan hati nurani yang dikurniakan Allah kepadanya.
Kalaulah manusia dibiarkan sahaja diruntun oleh dua kekuatan itu nescaya kejahatannya akan mengalahkan kebaikannya, disebabkan oleh tuntunanperhiasan dunia dan benda-benda yang menjadi daya penarik, sedang akal dan hati nuraninya tidak cukup untuk menjaga dirinya dan memimpinnya ke jalan yangbenar,  kerana kuasa akal dan hati nuraninya untuk memahami,  adalah sama bandingannya dengan kuasa mata kepala untuk melihat, sebagaimana yang dijelaskan seperti berikut:
(1) Kalau mata manusia hanya dapat melihat dengan kuasa yang ada padanya, dan lenyap atau lemah penglihatannya dengan hilang atau lemahnya kuasa itu, maka manusia boleh memikir atau menimbang hanya dengan kuasa yang ada pada akal dan hati nuraninya, dan akan lenyap atau lemah pula daya pemikiran atau pertimbangannya apabila hilang atau lemah kuasa yang tersebut.
(2) Kalau mata kepalanya dapat melihat sesuatu dengan syarat: 
(a) Berhadapan dengan benda yang dilihatnya itu.
(b) Benda itu jangan terlampau dekat kepada biji matanya dan jangan pula terlampau jauh sehingga tidak sampai kepadanya kuasa penglihatan mata itu.
(c) Benda itu hendaklah dari perkara yang ada persediaan pada mata untuk melihatnya.
Demikian juga akal atau hati nurani manusia tidak dapat memahami melainkan apa yang ada dalam alam kenyataan ini dan tidak dapat memahami hakikat dirinya, dan tidak pula dapat memahami sebarang hakikat yang tidak ada persediaan padanya untuk memahaminya
(3) Kalau mata pernah dijadikan Tuhan dari mulanya tidak mempunyai kuasa melihat dan kalau mata yang dijadikan Tuhan berkuasa melihat pun: Pernah ditimpa sesuatu yang menghilangkan atau mengurangkan kuasanya itu, maka akal atau hati nurani manusia juga pernah dijadikan dari mulanya tidak mempunyai kuasa memikir dan menimbang, dan yang dijadikan Tuhan berkuasa memikir dan menimbang pun pernah pula hilang atau kurang kuasanya dengan sebab dihinggapi oleh sesuatu keadaan seperti gila,  noda maksiat,  perasaan ta'asub, perasaan degil, atau satu-satu tujuan buruk.
(4) Kalau mata yang ada padanya kuasa melihat tidak juga dapat melihat sesuatu melainkan setelah ia disinari oleh cahaya zahir yang mendatang, seperticahaya matahari, lampu dan sebagainya, maka akal dan hati nurani manusia yang ada sedia padanya kuasa memahami pun tidak juga dapat memahami hakikat sesuatu dengan sebenar-benarnya melainkan setelah disinari cahaya pengajaran Ilahi yang dibawa oleh Rasul-rasul utusan Allah a.s.
Dengan sebab yang demikian, maka Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Amat Mengasihani, telah memilih orang-orang yang diketahui-Nya layak dan bijaksana untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar serta mewajibkan umat manusia menerima dan menurut segala pengajaran yang dibawanya; orang-orang itu ialah Rasul-rasul-Nya.

Selasa, 3 Januari 2017

Fasal Kedua : Membersihkan Tauhid Dari Sebarang Syirik

BERIMAN KEPADA ALLAH TA'ALA

Islam - sebagaimana yang telah dijelaskan- adalah agama Tauhid yakni agama yang berasaskan iman kepada keEsaan Allah Yang Maha Kuasa.  Maka ukuransempurna atau tidaknya Islam seseorang adalah bergantung kesempurnaan Tauhidnya.
Tauhid yang sempurna itu apabila ke dalam hati nurani seseorang akan melahirkan kesan-kesannya kepada seluruh tingkah laku dan bawaan hidupnya, dan akan memberi kesedaran kepadanya untuk sentiasa waspada terhadap godaan syaitan dalam setiap amalannya supaya ia tidak diselewengkan kepada yang lain dariAzza wa Jalla. 
Boleh dikatakan sebahagian besar dari orang-orang yang mengaku dirinya beriman dan bertauhid kepada Allah dan mengakui bahawa Allah jualah yangmencipta mereka dan menciptakan langit dan bumi tetapi tauhid mereka tidak penuh membulat kepada Allah Yang Maha Esa kerana ada di antaranya -semasa mengerjakan ibadat- tujuan ibadat itu tidak bersih kepada Allah semata-mata.
Ada pula yang menumpukan taat setia kepada Allah dengan menjalankan hukum-hukum syariat-Nya tetapi serentak dengan itu mereka mengubah hukum syarak itu dengan menokok tambah atau menguranginya menurut hawa nafsunya. Semuanya itu adalah merupakan syirik.
Bagi menjelaskan setakat mana buruknya akibat syirik itu, maka di bawah ini diturunkan beberapa ayat suci dan hadis Nabi mengenainya.
Di antara ayat-ayat itu:
Firman Allah Taala ertinya: "Katakanlah (wahai Muhammad): 'Marilah supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Dia sesuatu pun ...'(151 Surah al-Maidah)
"... Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain) maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka ...." (72 Surah al-Maidah)
" ... Dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan lain Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh rombongan burung (sehingga ia hancur berkecai-kecai) atau dihumban oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan)" (31, Surah al-Hajj)
"Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang salih dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (110 Surah al-Kahfi).
Ayat yang pertama: Menyatakan hukum melakukan syirik,  iaitu Allah s.w.t. mengharamkan manusia melakukan sebarang rupa syirik, sama ada yang nyata atauyang tersembunyi. 
Ayat yang kedua: Menyatakan balasan buruk yang dijanjikan kepada orang yang melakukan syirik.
Ayat yang ketiga: Menggambarkan bagaimana dahsyatnya keadaan dan balasan orang yang melakukan syirik.
Ayat yang keempat: Menyatakan bahawa dengan amalan salih serta ketiadaan syirik sahajalah yang membolehkan seseorang berharapmendapat nikmat mengadap Tuhannya.
Perkara : Akibat Buruk Yang Akan Menimpa Orang Yang Melakukan Syirik
Dan di antara hadis-hadis pula:
5عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ مَاتَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا دَخَلَ النَّارَ. (البخاري ومسلم )
5- Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w, bersabda: "Sesiapa mati dalam keadaan melakukan sebarang syirik terhadap Allah,  masuklah dia ke dalam neraka. "
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kelima ini. menerangkan: 
Akibat buruk yang akan menimpa orang yang melakukan syirik. 
Huraiannya
Syirik ialah mempersekutukan sesuatu dengan Allah Taala pada sifat "Uluhiyah"Nya atau sifat "Rububiyyah"Nya.
Sifat "Uluhiyah" Allah `Azza wa Jalla ialah sifatNya berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintahNya, ditumpui dan dipohonkan untuk mendapat segala kebaikan danmenolak sebarang mala petaka dan perkara-perkara yang tidak diingini.
Sifat "Rububiyyah"Nya pula ialah sifat mentadbir dan menguruskan cara menjaga dan memelihara, mengasuh dan mendidik sekalian alam yang telah diciptakan-Nya, iaitu dengan mengadakan segala keperluan yang dihajati oleh wujud tiap-tiap satunya, mengatur dan menyusun undang-undang dan peraturan bagi kesuburan, perkembangan dan kesempurnaan masing-masing, serta menyatakan dan menunjukkan hukum-hukum halal haram dan sah batal untuk kebaikan jasmani dan kebahagiaan rohani manusia. 
Maka sesiapa yang menganggap bahawa mana-mana satu dari sifat-sifat itu ada pada sesuatu yang lain daripada Allah Taala nescaya ia telah melakukan syirik dengan Allah,  walaupun ia pada masa itu masih beriman kepada Allah.  Tentang ini Allah Taala berfirman dalam Surah Yusof, ayat 106. maksudnya: Meskipun kebanyakan mereka beriman kepada Allah dalam pada itu mereka tidak sunyi dari perbuatan syirik.
Dengan itu nyatalah amat buruknya seseorang mendewa-dewakan sebarang makhluk dengan mengasihinya dan menurut perintahnya sebagaimana ia mencintai danmentaati Allah,  atau meminta dan mengharapkan hasil sesuatu hajat dari sesuatu makhluk atau dengan sesuatu cara,  kecuali setelah diketahui bahawa makhluk atau cara yang tersebut diharuskan oleh Allah bagi seseorang menggunakannya sebagai jalan,  sebab, atau alat untuk menjayakan maksudnya.
Demikian juga amatlah salahnya menerima sebarang undang-undang dan peraturan,  atau hukum-hakam yang diadakan oleh yang lain daripada Allah, kecuali sekadar yang berdasarkan aturan, kenyataan, atau pengajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Kesimpulan hadis ini, mengingatkan manusia daripada terjerumus ke dalam sebarang i'tiqad atau perbuatan syirik supaya terselamat daripada balasan buruk yang dijanjikan.

6عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ ... . ( البخاري ومسلم )
6- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Jauhkan dan singkirkanlah perkara-perkara yang membinasakan. " Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Apakah dia perkara-perkara itu ya Rasulullah? " Baginda s.a.w. menjawab:  "(Salah satu yang terbesar di antaranya) ialah melakukan syirik terhadap Allah .
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang keenam ini memerintahkan supaya:
Menjauhi syirik dalam segala bentuknya.
Setelah kita mengetahui setakat mana buruknya akibat syirik,  maka dengan ini kita diperintahkan supaya menjauhi dan menyingkirkan segala jenis syirik terhadapAllah, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi. 
Syirik yang besar atau yang nyata itu ialah: mempercayai adanya sesuatu yang setara dan sebanding dengan Allah s.w.t., yang ditujukan kepadanyadoa permohonan,  yang diuntukkan kepadanya satu-satu cara ibadat,  dan yang ditakuti bala bencananya.
Dengan adanya syirik yang demikian, maka akidah Tauhid orang yang melakukannya telah berbelah bagi, dan orang Musyrik inilah yang dijanjikan Allah denganneraka. 
Syirik yang kecil atau yang tersembunyi itu pula ialah kepercayaan perkataan atau perbuatan yang menyebabkan berlakunya syirik terhadap kekuasaan atauundang-undang peraturan Allah. 
Syirik yang tersembunyi itu amat banyak,  di antaranya:
(1) Mempercayai sesuatu yang menjadi sebab itu dengan keadaan hakikatnya memberi kesan baik atau buruk. 
(2) Menaruh perasaan takut dan gerun kepada kekuatan sesuatu yang lain dari Allah.
(3) Menumpukan harapan kepada sesuatu yang lain dari Allah.
(4) Bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada menyebut nama atau sifat Allah.
(5) Mengatakan: Kalaulah tidak kerana pertolongan Allah dan pertolongan Si anu,  tentulah aku tidak berjaya. 
(6) Mengatakan: Kalaulah tidak kerana ayam berkokok, polis meronda atau sebagainya, tentulah rumahku dimasuki pencuri. 
(7) Melakukan sesuatu ibadat,  atau daya usaha pengorbanan, atau perjuangan bukan kerana menjunjung perintah Allah semata-mata, tetapi juga untuk tujuan-tujuan yang lain.

7عَنْ مَحْمُودِ بْنِ لَبِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً. ( الإمام أحمد )
7- Dari Mahmud bin Labid r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku takuti akibat buruknya menimpakamu ialahsyirik yang kecil." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Apa dia syirik yang kecil itu ya Rasulullah? " Baginda s.a.w., menjawab:  "(Syirik yang kecil itu) ialah ria' -Allah Taala akan berfirman pada hari Qiamat apabila manusia datang dengan amal masing-masing "Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan ria' didunia dahulu (untuk menunjukkan kepada mereka), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?"
(Imam Ahmad)
8عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُما، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللَّهِ فَقَدْ أَشْرَكَ. ( الترمذي )
8- Dari Ibn Umar, r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada nama atau sifat Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan syirik terhadap Allah. "
(Tirmizi)
9عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ. ( أبو داود والإمام أحمد)
9- Dari Ibn Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda: "Sesungguhnya tawar jampi, tangkal azimat, ilmu guna-guna (ilmu pengasih untuk menambatkan hatisuami kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah syirik"
Abu Daud dan Imam Ahmad)
Hadis yang kesembilan ini menunjukkan bahawa tiga perkara yang tersebut adalah dari perkara-perkara syirik kecil atau syirik yang tersembunyi yang wajib dijauhi oleh tiap-tiap seorang. Tetapi bukanlah semua jenis ketiga-tiga perkara itu dikira syirik,  malah setengah jenisnya sahaja, iaitu yang mengandungi perkataan yang tidak difaham, kerana boleh jadi termasuk perkara sihir,  syirik atau lain-lainnya yang dilarang oleh hukum syarak sebagaimana yang dilakukan oleh kaum jahiliah
Adapun yang mengandungi ayat-ayat al-Qur'an atau zikrullah,  maka yang demikian tidak dilarang.
Pendeknya, tawar jampi, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah haram kiranya mengandungi perkataan yang tidak difaham maknanya, atau yang berdasarkansihir,  atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis,  atau yang mengandungi benda-benda najis atau kotor. 
Adapun yang menggunakan kalam Allah,  nama-Nya atau sifat-sifat-Nya atau zikrullah,  maka yang demikian tidaklah salah.
Dengan penjelasan ini, selesailah perselisihan yang nampak pada zahirnya berlaku di antara dalil-dalil yang melarang dan dalil-dalil yang membenarkan perkara-perkara yang tersebut.
Kesimpulannya, bagi menyelamatkan seseorang daripada syirik yang tersembunyi ini hendaklah:
(1) Jangan menggunakan sesuatu benda,  atau perkataan,  ataupun sesuatu cara sebagai sebab bagi mendapat kebaikan atau menolak perkara-perkara yang tidak diingini, kecuali setelah diketahui bahawa sesuatu itu telah berlaku adat Tuhan menjadikannya sebab bagi musabab yang tertentu, serta diketahui pula bahawa menggunakan sesuatu itu tidak dilarang oleh hukum Allah. 
(2) Jangan i'tiqadkan sesuatu sebab itu dengan keadaan hakikatnya memberi kesan menghasilkan musababnya, bahkan memberi kesannya itu bergantung kepadatakdir dan izin Allah Yang Maha Kuasa. 
(3) Jangan melakukan sesuatu amal ibadat dengan tujuan mendapat penghargaan atau balasan daripada yang lain dari Allah Azza wa Jalla
Perkara : Baginda S.A.W. Menjadi Tumpuan Pertanyaan Sahabat Sahabatnya
10عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الذَّنْبِ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ قَالَ أَنْ تَجْعَلَ لِلَّهِ نِدًّا وَهُوَ خَلَقَكَ … . ( البخاري ومسلم )
10- Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: Aku telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.,: "Apakah satu-satunya dosa yang terbesar di sisi Allah.?" Baginda s.a.w., menjawab:  "(Dosa yang terbesar di sisi Allah itu) ialah: Engkau mengada-adakan bagi Allah sesuatu yang menyamaiNya pada hal Dia menciptakanmu..."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kesepuluh ini mengandungi:
(1) Rasulullah s.a.w. menjadi tumpuan pertanyaan sahabat-sahabat Baginda.
(2) Syirik adalah satu-satunya dosa yang terbesar.
Huraiannya:
Baginda s.a.w. menjadi tumpuan pertanyaan sahabat sahabatnya.
Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.  dalam masa menjalankan tugasnya membuka dengan seluas-luasnya pintu pertemuan dengannya kepada segalalapisan masyarakat untuk mereka menanyakan apa yang mereka musykilkan berhubung dengan soal-soal agama. 
Dalam hadis ini, Abdullah bin Mas'ud seorang sahabat Nabi yang terkenal bertanya kepada Baginda s.a.w. tentang dosa yang terbesar di sisi Allah,  iaitu satu perkara yang sangat mustahak diketahui oleh setiap orang
Islam dalam setiap masa,  lebih-lebih lagi dalam masa - yang boleh dikatakan- manusia leka dengan soal-soal hidup semata-mata, tidak mahu mengambil berat mempersoalkan perkara-perkara dosa dan pahala. 
Soal syirik. 
Bagi menjawab pertanyaan sahabat Baginda yang tersebut, Baginda s.a.w. menegaskan bahawa di antara dosa-dosa yang terbesar ialah melakukan syirik terhadap Allah s.w.t. serta Baginda s.a.w. menerangkan bahawa amatlah tidak patut seseorang itu mempersekutukan atau menyamakan Allah Taala dengan sesuatu yang lain, sedang Allah yang menciptakannya dari tiada kepada ada.
Orang Musyrik yang demikian bukan sahaja tidak patut menurut timbangan akal yang siuman,  bahkan telah berlaku zalim terhadap dirinya sendiri kerana dengan bawaan syiriknya ia telah mendedahkan dirinya kepada azab seksa yang tidak terperi yang akan diterimanya kelak.