Selasa, 20 Jun 2017

Jadilah Pemurah

 

Daripada ‘Adi bin Hatim RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan bersedekah sebelah buah tamar.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
 
Huraian Hadith :

  1. Islam menggalakkan umatnya supaya suka bersedekah kerana ia akan mengeratkan hubungan silaturahim antara yang memberi dengan yang menerima.
  2. Orang yang suka bersedekah sama ada sedikit ataupun banyak akan menghindarkan dirinya daripada api neraka.
  3. Orang beriman digalakkan bersedekah walaupun dengan sesuatu yang amat sedikit (kerana tidak didapati yang lain) dan bersedekah itu akan menjadi perisai daripada api neraka.

Sumber : Kitab Riyadhus Salihin

Akhlak yang Baik

 
Daripada Aishah RA katanya, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya seseorang Mukmin itu dapat mencapai orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang sunat di tengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia.”

(Riwayat Abu Daud)
 
Huraian Hadith :
 
  1. Allah SWT memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia setaraf dengan orang yang berpuasa dan mendirikan sembahyang ditengah malam.
  2. Orang Islam hendaklah berusaha mempertingkatkan mutu akhlaknya yang mulia dalam kehidupan hariannya supaya setiap amalan yang dilakukan itu diterima oleh Allah SWT.

Sumber :  Kitab Riyadhus Salihin
 
 

Takut kepada Allah swt

 
Daripada an-Nu’man bin Basyir RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya ahli neraka yang paling ringan azabnya pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang diletakkan di bawah tapak kakinya dua bara api (neraka) yang mendidihkan otaknya sehingga dia tidak percaya bahawa ada orang lain yang lebih berat seksaan daripadanya. Pada hal dia lah orang yang paling ringan azabnya (daripada orang lain)”.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
 
Huraian Hadith :
 
  1. Umat Islam disuruh supaya takut dengan seksaan Allah SWT yang amat mengerikan pada hari kiamat.
  2. Allah SWT menyebut seksaan kepada manusia supaya mereka sentiasa berwaspada dan menjauhi segala larangan Allah SWT.
  3. Seksaan terhadap orang yang berdosa pada hari kiamat adalah tidak sama, masing-masing di azab berdasarkan amalan yang dilakukan semasa hidup di dunia.

Sumber : Kitab Riyadhus Salihin
 
 

Sifat Orang Munafik

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ditambah dalam riwayat Muslim : Walaupun dia berpuasa, bersembahyang dan mendakwa diri Muslim.
 
Huraian Hadith :
  1. Sifat munafik ialah salah satu sifat yang sangat dibenci oleh Allah SWT. Oleh itu, Umat Islam hendaklah menjauhi sifat tersebut.
  2. Tanda-tanda orang munafik ialah orang yang suka bercakap bohong, memungkiri janji apabila berjanji dan tidak menunaikan amanah.
 
Sumber : Kitab Riyadhus Salihin
 
 

Berbuka Puasa Mengikut Keperluan

 
Daripada Umar bin al-Khattab RA katanya, Rasulullah SAW bersabda : “Apabila malam telah menghadap ke sebelah timur dan siang pula telah berlalu daripada barat kemudian matahari telah terbenam bermulalah waktu orang yang berpuasa itu berbuka.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
 
Huraian Hadith :
  1. Rasulullah SAW telah pun mengajar umatnya akan cara-cara menentukan waktu berbuka puasa, melalui perbuatan Baginda sendiri ataupun petunjuk lain seperti berpandukan peredaran matahari dan sebagainya.
  2. Orang yang berpuasa dituntut menyediakan bahan makanan atau minuman sekadar keperluan sahaja dan tidak melampaui batasan sehingga sampai berlaku pembaziran.

Sumber : Kitab Riyadhus Salihin

Hindari Maksiat semasa Berpuasa

Daripada Abu Hurairah RA lagi katanya bahawa Nabi SAW bersabda : “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan keji lagi buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Huraian Hadith :
 
  1. Orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapannya) dan juga masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala oleh Allah SWT ke atas puasa mereka selain lapar dan dahaga sahaja.
  2. Puasa yang paling istimewa di sisi Allah SWT ialah mereka yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga pancaindera mereka daripada melakukan maksiat dan dosa disamping menambahkan amal ibadat lain sepanjang mereka berpuasa.

Sumber : Kitab Riyadhus Salihin