Selasa, 3 Januari 2017

Jilid 1 : beriman kpd Allah Fasal Pertama

BERIMAN KEPADA ALLAH TA'ALA

Firman Allah Taala, ertinya: Demi sesungguhnya Tuhan kamu hanya satu." (4, Surah as-Saaffaat).
Sifat-sifat Ketuhanan: 
" .. dan tidak ada yang bersifat ketuhanan(1) melainkan Allah,  Yang Maha Esa, lagi Yang mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya." (65, Surah Sad).
Ilmu Dan Martabat-martabatnya:
"Maka hendaklah engkau berusaha mendapat ilmu(2) yang meyakinkanmu: "Bahawa tidak ada yang bersifat ketuhanan melainkan Allah (19, Surah Muhammad).
" .. (kerana) sesungguhnya sangkaan (zan) tak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (i'tiqad) (36, Surah Yunus).
____________________________
(1) Yang bersifat ketuhanan ialah yang terhimpun padanya dua sifat yang menjadi sebagai ibu bagi segala sifat kesempurnaan Tuhan iaitu:
Pertama - terkayanya daripada segala yang lain. tidak berhajat kepada sesuatu apapun dan
Kedua - menjadi tumpuan bagi sekalian makhluk.  Yakni ia sentiasa dituju dan dihajati oleh tiap-tiap yang lain untuk memohon - sama ada dengan tutur kata atau dengankeadaan semula jadi ataupun dengan persediaan yang azali - akan segala keperluan dan kesempurnaan masing-masing
(2) Sayugia diketahui bahawa:
(a) Pendapat yang terbukti kepastian tepatnya dengan hakikat yang sebenar dinamakan ilmu.
(b) Pendapat yang buktinya memberikan kuat anggapan tepatnya dengan hakikat yang sebenar dinamakan: Zan.
(c) Pendapat yang buktinya memberikan hanya sangkaan yang lemah tentang tepatnya dengan hakikat yang sebenar dinamakan: Waham.
(d) Pendapat yang buktinya tidak memberi ketetapan adakah tepat atau tidaknya. dinamakan: Syak.
(e) Pendapat yang terbukti tidak tepatnya dengan hakikat yang sebenar dinamakan: "Jahl" (kejahilan) dan orang yang berpendapat demikian dinamakan "jahil" atauorang yang tidak berpengetahuan. 
Pendapat yang pertama: Dituntut untuk akidah kepercayaan dan juga untuk hukum-hakam sedapat-dapatnya; dan pendapat yang kedua sah dipakai hanya bagimenentukan hukum hakam, tidak untuk akidah kepercayaan. 
Ada pun pendapat yang ketiga; tidak harus dipakai untuk apa-apa pun, lebih-lebih lagi yang keempat.
1- عَنْ أَبِي مَعْبَدٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ حِينَ بَعَثَهُ إِلَى الْيَمَنِ إِنَّكَ سَتَأْتِي قَوْمًا أَهْلَ كِتَابٍ فَإِذَا جِئْتَهُمْ فَادْعُهُمْ إِلَى أَنْ يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ.
1- Dari Abu Ma'bad dari Ibn Abbas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Mu'az bin Jabal ketika Baginda s.a.w mengutusnya ke negeri Yaman ".. Sebenarnya engkau akan sampai kepada suatu kaum:  Ahli kitab, kemudian apabila engkau menemui mereka, maka serukanlah supaya mereka meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yangberhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah ."
وَفِي رِوَايَةٍ فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى )
Menurut satu riwayat yang lain (Baginda s.a.w. bersabda): ..."Maka hendaklah dakwah yang mula-mula engkau kemukakan kepada mereka ialah supaya mereka mengakui keEsaan Allah Taala..."
وَفِي رِوَايَةٍ فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ عِبَادَةُ اللَّهِ )
Dan pada satu riwayat pula, (Baginda s.a.w. bersabda) "...Maka hendaklah perkara yang mula-mula sekali engkau mengajak mereka kepadanya ialah (tunjang atau asas)ibadat kepada Allah. .."
(البخاري ومسلم)
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang pertama ini mengandungi tentang:
(1) Islam berkembang dengan jalan dakwah.
(2) Pemilihan Baginda s.a.w. tentang orang-orang yang ditugaskan berdakwah.
(3) Dakwah Islamiah wajib disampaikan kepada umat manusia termasuk kaum Yahudi dan Nasrani. 
(4) Asas agama ialah Ma'rifat Allah.
Huraiannya:
(1) Islam berkembang dengan jalan dakwah. 
Islam - sebagaimana yang sedia maklum - adalah agama yang berasaskan i'tiqad atau kepercayaan mengenal perkara-perkara yang telah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya, yangwajib dipegang teguh oleh setiap penganutnya.
Untuk meresapkan sesuatu kepercayaan ke dalam hati, tak dapat tidak berkehendakkan kebijaksanaan dan cara yang sebaik-baiknya dalam masa menjalankan dakwah dengan memberi penerangan yang jelas dan berkesan, sesuai dengan keadaan zaman dan keadaan orang-orang yang ditujukan dakwah Islamiah itu kepadanya.
Aqidah kepercayaan tidak akan dapat dimasukkan ke dalam jiwa seseorang dengan jalan kekerasan atau paksaan dan Islam tidak dikira sah jika seseorang itu pura-pura Islam pada zahirnya sedang hatinya kosong dari aqidah kepercayaan yang diakui dan diyakininya.
Dengan itu nyatalah tidak benarnya orang-orang yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w.  telah menyebarkan Islam dengan pedang kerana kuasa pedang tidak dapat memasukkan kepercayaan ke dalam hati seseorang. Peperangan Jihad yang pernah dilancarkan oleh Baginda s.a.w. adalah untuk membela Islam dan umat Islam daripencerobohan musuh.
(2) Pemilihan Baginda s.a.w. tentang orang-orang yang ditugaskan berdakwah.
Dakwah adalah satu tugas yang penting dalam Islam kerana kepadanyalah bergantung maju mundurnya perkembangan Islam.  Oleh itu maka pihak yang berkuasa bertanggungjawab melantik orang-orang yang layak menjayakannya.
Rasulullah s.a.w. telah melantik orang-orang yang menjalankan tugas ini dari kalangan guru-guru agama,  pegawai-pegawai daerah dan lain-lainnya. Di antaranya ialah Mu'az bin Jabal yang tersebut perihalnya dalam hadis ini.
Mu'az diutuskan oleh Baginda s.a.w. ke negeri Yaman pada tahun yang kesepuluh hijrah - sebelum daripada Baginda berangkat ke Mekah untuk menunaikan "Haji Wadaa".
Mu'az dipilih oleh Baginda s.a.w. menjalankan tugas dakwah Islamiah di negeri Yaman bukan sahaja kerana kelayakannya sebagai seorang ahli agama yang pengetahuannya mendalam tentang Islam tetapi juga kerana ia berasal dari Yaman yang mengetahui selok belok negeri itu dan tabiat serta adat resam penduduknya.
Mu'az ditugaskan menjalankan dakwah kepada sekalian penduduk daerah Yaman yang masih belum Islam dan oleh kerana di antaranya golongan ahli kitab (kaum Yahudi) yang pada umumnya berilmu pengetahuan,  maka Baginda s.a.w. mengingatkan Mu'az supaya ia bersedia menghadapi mereka dengan cara yang lain dari cara menghadapi orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan. 
(3) Dakwah Islamlah wajib disampaikan kepada umat manusia termasuk kaum Yahudi dan Nasrani.
Nabi Muhammad s.a.w.  diutus oleh Allah Taala kepada umat manusia seluruhnya. Tiap-tiap seorang yang hidup dalam zaman Baginda s.a.w. atau yang datang kemudian,sama ada ia Yahudi,  atau Nasrani,  atau penyembah berhala atau lain-lainnya, wajib beriman kepada Baginda s.a.w. dan menerima agama Islam yang dibawanya.
Tiap-tiap seseorang tidak sah imannya kepada Allah Taala selagi ia tidak beriman kepada sekalian Rasul-Nya - mulai dari Nabi Adam hinggalah kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Kaum Yahudi dan Nasrani yang dipanggil dengan nama "Ahli Kitab" (pengikut kitab-kitab Taurat dan Injil), bukan sahaja telah mengubah dan merosakkan ajaran kitab-kitab mereka tetapi telah menyeleweng dari i'tiqad Tauhid yang sebenar.
Mereka mendakwa bahawa mereka beribadat kepada. Allah Taala, tetapi "Allah" menurut fahaman mereka yang telah rosak itu hanyalah nama sahaja bukanlah Allah yang bersifat dengan sifat-sifat yang diterangkan oleh Allah sendiri di dalam al-Qur'an dan diterangkan oleh rasul-Nya. Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu.
(4) Asas agama ialah Ma'rifat Allah.
Islam ialah agama ciptaan Allah yang diturunkan melalui Rasul-rasulnya yang diakhiri dengan Nabi Muhammad s.a.w. untuk keselamatan dan kebahagiaan umat manusia didunia dan di akhirat.
Dalam agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w terkandung hukum-hukum dan amalan-amalan meliputi segala bidang hidup, dari perkara yang sebesar-besarnya hingga kepada yang sekecil-kecilnya dan semuanya itu bergantung kepada satu asas yang penting - "Marifat Allah", iaitu mengenal Allah Subhanahuwataala danmengakui keEsaanNya.
Hakikat ini telah disimpulkan oleh ulama Tauhid dalam kalimah "Awalud Din Ma'rifat Allah" (asas agama ialah mengenal Allah), iaitu intisari dari maksud hadis yang kami sebutkan dalam bab ini.
Jelasnya, sebagaimana sesebuah bangunan bergantung kepada asasnya tentang teguh kukuh atau tidaknya, maka demikianlah pula halnya "Ma'rifat Allah" itu, tiap-tiap seorang wajib memahaminya supaya meresap dan sebati dalam jiwanya sehingga menjadi satu keyakinan yang dapat mempengaruhi seluruh perasaan dan gerak langkahnya untuk memikultanggungjawab menjalankan hukum-hukum Islam dan amalannya.
Sekiranya asas Ma'rifat ini tidak kukuh dan hanya dalam peringkat sangkaan semata-mata, maka inilah sebabnya seseorang itu tidak merasa bertanggungjawab dalam menjalankan hukum-hukum dan amalan yang tersebut dengan sepenuhnya.
Ma'rifat Allah wajib pada syarak dan juga wajib pada akal.
Tiap-tiap seorang manusia apakala ia lahir ke alam wujud ini, ia akan dapat menerima berbagai-bagai nikmat yang tidak terhitung.
Di antaranya ialah tubuh badannya dilengkapkan dengan nikmat-nikmat yang tidak ternilai seperti mata,  telinga dan lain-lainnya yang tidak dapat diberi oleh sesiapa pun dari kalangan manusia sendiri atau makhluk-makhluk yang lain
Maka tidaklah patut bagi orang yang menerima nikmat itu kalau ia tidak mahu mengenal siapakah pemberinya dan tidak mahu bersyukur akan pemberian yang sangat-sangatberharga itu.
Sikap yang demikian, tak dapat disangkal lagi tentang tidak patutnya kalau difikirkan oleh orang-orang yang berakal siuman yang menggunakan akalnya dengan jujur.  Lebih-lebih lagi tidak patut kalau orang itu menggunakan nikmat pada bukan tempatnya dan ia pula menentang serta menderhaka kepada yang melimpahkan nikmat itu kepadanya. Keranasikap yang demikian menggambarkan ketiadaan peri kemanusiaan. 
Allah Taala Yang Maha Pemurah,  lagi Amat Mengasihani, yang melimpahkan nikmat-nikmat-Nya yang tidak terhitung kepada sekalian makhluk,  telah mengingatkan manusia supaya mengenal-Nya dan mengakui keEsaanNya, dengan firmanNya : فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُyang maksudnya memerintahkan manusia supaya masing-masing berusaha mencari jalan mengenal-Nya dengan sepenuh-penuh yakin, kerana Dialah Pencipta manusia dan alam seluruhnya, dan Dialah juga yang mengurniakan segala nikmat yang mereka gunakan dalam alam kehidupan ini.
Dengan ini jelaslah bahawa "Ma'rifat Allah" (mengenal Allah) itu hukumnya wajib pada syarak sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Taala dan juga diakui wajibnya oleh akal yang siuman. 
Sesiapa yang tidak mahu mengambil berat mengenal Allah,  sedang ia sentiasa menggunakan nikmat-nikmat pemberian-Nya maka sikapnya yang demikian adalahbertentangan dengan "Fitrah insaniah" (keaslian perikemanusiaannya) dan melanggar perintah Allah Taala serta mencuaikan kegunaan akalnya sendiri.
Jalan yang menyampaikan kepada ma'rifat.
Cara mengenal sesuatu sudah tentu dengan jalan mengenal sifat-sifatNya. Maka demikianlah pula cara mengenal Allah Taala, yang wajib al Wujud, tak dapat tidak dengan jalan mengenal sifat-sifat-Nya. Tetapi sifat-sifat Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Kuasa itu tidak dapat dicapai dengan pancaindera,  hanya dapat diyakini dari kesan sifat-sifatnya yang ternyata pada kejadian-kejadian alam yang diciptakan-Nya.
Meskipun manusia dilengkapkan dengan akal untuk memikir dan menimbang apa yang diperhati dan ditelitinya dari kejadian-kejadian alam yang tercipta dengan indah dan teratur,  bahkan manusia disuruh berbuat demikian untuk kebaikan dan keselamatan dirinya di dunia dan di akhirat, tetapi akal manusia itu adalah terbatas setakat perkara-perkara dan benda-benda yang ada dalam alam nyata yang dapat dicapai oleh pancaindera dan alat-alatnya sahaja. Maka dengan keadaannya yang demikian, sudah tentu ia tidak dapatmemikirkan sama sekali tentang zat Allah Taala yang bukannya dari jenis-jenis benda dan tidak ada sesuatu pun yang menyamaiNya.
Oleh sebab itulah junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. yang diutus oleh Allah Taala untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar,  telah menerangkan tentang cara menggunakan fikiran untuk "mengenal Allah" dalam beberapa hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang sahabat Baginda s.a.w. iaitu Ibn Abbas, Abu Zar dan Ibn Umar r.a.
2- عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ "تَفَكَّرُوا فِي كُلِّ شَيْءٍ وَلَا تَفَكَّرُوا فِي ذَاتِ اللَّهِ …". (أبو الشيخ )
2- Dari Ibn Abbas r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Fikirkanlah mengenai segala apa jua (yang diciptakan Allah), tetapi janganlah kamu memikirkan tentang zat Allah. ..."
(Abu al-Sheikh)
3- عَنْ أَبِي ذَرٍّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ: "تَفَكَّرُوا فِي خَلْقِ اللَّهِ وَلَا تَفَكَّرُوا فِي اللَّهِ فَتَهْلِكُوا". ( أبو الشيخ )
3- Dari Abu Zar, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Fikirkanlah mengenai segala makhluk Allah dan janganlah kamu memikirkan tentang zat Allah,  kerana yang demikian menyebabkan kamu binasa (dalam kesesatan)."
(Abu al-Sheikh)
4- عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ "تَفَكَّرُوا فِي آلَاءِ اللَّهِ ، وَلَا تَفَكَّرُوا فِي اللَّهِ". ( أبو الشيخ والطبراني )
4- Dari Ibn Umar r.a., dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Fikirkanlah mengenai segala nikmat Allah dan pemberian-Nya dan janganlah kamu memikirkan tentang zat Allah. "
(Abu al-Sheikh dan al-Tabarani)
Hadis-hadis itu meskipun berlainan sedikit di antara satu dengan yang lain tentang lafaznya, tetapi sama sahaja maksudnya, iaitu menyuruh tiap-tiap orang memikirkan segala kejadian dalam alam yang telah diciptakan oleh Allah Taala dan pelbagai jenis nikmat yang telah dikurniakan-Nya. Serentak dengan itu Baginda s.a.w. melarang keras daripada memikirkan tentang "Zat Allah" kerana yang demikian bukan sahaja tidak dapat dicapai oleh akal fikiran bahkan akan menjerumuskan orang yang melakukannya dalam kesesatan.  Demikian maksud hadis-hadis itu.
Soal ini jelas sekali kerana Zat Allah Taala adalah Zat Yang Maha Tinggi,  tidak dapat diketahui hakikatnya oleh akal yang memang terbatas kemampuannya. Oleh itu, hal ini tidak menjadi masalah dan tidak patut dijadikan satu perkara yang dimusykilkan.
Kerana soal kita tidak mengetahui hakikat sesuatu, tidak menjadi hal,  asalkan kita dapat mengetahui sifat-sifatnya dan faedah-faedah yang didapati daripadanya sesuai dengankeperluan kita.
Misalnya: Tenaga elektrik dan besi berani yang kita sentiasa menggunakannya dan mengambil faedah daripadanya, tidak diketahui hakikatnya dan ahli sains sendiri tidak juga mengetahuinya dan tidak pernah mereka menjelaskan hakikatnya kepada kita.
Maka bagaimana seseorang hendak mengetahui hakikat Zat Allah Yang Maha Tinggi yang tidak ada sesuatu pun yang menyamai-Nya? Sedang banyak di antara benda-benda yang diciptakan-Nya - yang ada di sekeliling kita - tidak juga diketahui hakikatnya oleh akal kita.
Sekiranya seseorang itu cuba juga memikirkan tentang hakikat Zat Allah yang tidak ada tara-Nya itu, sudah tentu fikirannya memberi satu gambaran yang tidak benar dan tidak tepat dengan hakikat-Nya yang sebenar dan ini adalah buruk padahnya - sebagaimana yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadis yang tersebut - kerana orang itu telah menggunakan akalnya pada bukan tempatnya.
Dalam pada itu, akal dapat memberi keyakinan tentang wujudnya Allah Taala dan tentang sebahagian dari sifat-sifat kesempurnaan-Nya, apabila dibuktikan oleh dalil-dalil akalyang jelas nyata; manakala sebahagian lagi dari sifat-sifat kesempurnaan-Nya dapat diterima dari al-Qur'an atau hadis yang
"Mutawatir"
Dalil akal yang membuktikan wujudnya Allah Taala.
Di antara dalil-dalil akal yang membuktikan wujud-Nya Allah Taala dan ketinggian martabat wujud-Nya ialah: bahawa segala yang ada ini - selain dari Allah - adalah wujudnya baharu: dari tiada kepada ada. Hal ini diakui kebenarannya oleh akal dan juga oleh kenyataan-kenyataan yang lahir.
Jelasnya tiap-tiap apa jua yang sah pada akal wujudnya, terbahagi kepada dua martabat: 
Pertama sesuatu yang wujudnya "Wajib ada" (wajib al wujud), yakni wujudnya itu memang hakikat zatnya, bukan disebabkan oleh yang lain.
Kedua - sesuatu yang wujudnya "Mungkin ada" (Mumkinal wujud), yakni yang wujudnya berpunca dari yang lain, sedang hakikatnya mungkin ada dan mungkin tiada.
Apabila telah sabit, bahawa wujud martabat yang kedua ini baharu: Dari tiada kepada ada, dan wujudnya itu disebabkan oleh yang lain, maka sudah tentu ada penciptanya yang maha tinggi martabat wujudnya, iaitu zat yang wajib al wujud; dan sudah tentu pula bahawa tiap-tiap yang baharu wujudnya sentiasa berhajat kepada pemberi wujudnya itu dalam setiap saat, kerana sifat berhajatnya itu adalah suatu sifat yang tak dapat dipisahkan dari hakikatnya.
Tegasnya sebagaimana tiap-tiap yang baharu itu berhajat kepada pemberi wujudnya dari tiada kepada ada, ia juga berhajat kepada pemberi wujudnya itu untuk mendapat bantuan bagi meneruskan wujudnya.
Dengan itu nyatalah bahawa hakikat sesuatu yang mungkin wujudnya tak dapat sama sekali - dengan hakikatnya itu - memberi atau menerbitkan sebarang kesan pun dan juga tak dapat menerima wujudnya dari sesuatu yang sama dengannya tentang keadaan mungkin wujudnya.
Dengan demikian, sudah tentu punca bagi menerbitkan sebarang kesan dan mengadakan segala yang ada hanyalah Zat Allah s.w.t. yang wajib al-wujud.
Apabila kita memahami akan hakikat wajib al-wujud maka sudah tentu kita dapat meyakini bahawa wujudnya itu adalah wujud hakiki, tidak berpermulaan dan tidak berkesudahan serta tidak ada sesuatu pun yang menyamai-Nya.
Dalil akal yang membuktikan sifat-sifat kesempurnaan Allah Taala.
Di antara dalil-dalil akal yang membuktikan sebahagian dari sifat-sifat kesempurnaan Allah Taala ialah apabila kita melihat sebuah lukisan yang menarik perhatian,  sudah tentu kita faham dan percaya bahawa lukisan itu ada pelukisnya, serta kita yakini bahawa pelukisnya itu mempunyai ilmu pengetahuan tentang peraturan dan kaedah-kaedah melukis,  mempunyai kemahuan untuk menentukan gambaran-gambaran, gaya,  bentuk dan kadar besar kecilnya lukisan itu dan mempunyai daya dan kuasa membuat lukisan dan mewarnakannya mengikut corak yang dikehendaki.
Untuk menguatkan lagi kepercayaan dan keyakinan itu cubalah kita perhatikan tubuh badan kita sendiri.
Tiap-tiap kita tersusun dari berbagai-bagai anggota dan alat perkakas untuk mengisar, menapis, membuang dan lain-lain lagi.
Masing-masing ada peraturan yang tertentu dalam menjalankan dan menyempurnakan tugasnya dan masing-masing pula patuh kepada peraturan yang ditentukan baginya. Jika tidak maka tugasnya tidak akan berhasil atau tidak akan sempurna.
Dengan segala perhatian yang demikian maka akal kita yang sihat dan siuman dapat membuat kesimpulan dengan sepenuh-penuh percaya dan yakin bahawa:
(1) Alam seluruhnya tetap ada yang menciptakannya dan mentadbirnya.
(2) Yang mencipta dan mentadbirkan alam ini ialah Zat yang wajib al-wujud yang bersifat dengan:
(a) Sifat hidup selama-lamanya
(b) Sifat mengetahui segala-galanya dengan setepat-tepatnya dan seluas-luasnya.
(c) Sifat iradat yang menentukan dan menetapkan segala-galanya dengan sebijak-bijak dan sebebas-bebas; dan
(d) Sifat kekuasaan mengadakan dan meniadakan segala-galanya menurut cara yang tertentu dan kaedah yang rapi
Dalil akal yang membuktikan KeEsaan Allah Taala.
Di antara dalil-dalil akal yang membuktikan keEsaan Allah Taala ialah: bahawa apa-apa jua pekerjaan akan rosak jika ditadbirkan oleh dua ketua yang masing-masing mahukanpangkat ketua itu menjadi haknya sahaja kerana dengan demikian akan timbullah perselisihan dan gejala-gejala hendak mengatasi satu sama lain.
Kalau ini boleh berlaku ketika berbilang-bilang ketua maka apa pula yang akan berlaku kalau berbilang-bilang tuhan sedang sifat ketuhanan ialah kebesaran dan keagungan yang cukup sempurna
Oleh itu kalaulah Tuhan berbilang dan salah satunya berkuasa penuh mentadbir dan mengurus sudah tentu akan luput dan lumpuhlah sifat-sifat Tuhan yang lain. Kalau perlu tuhan-tuhan itu bersekutu sudah tentu akan luput dan lumpuhlah sebahagian dari sifat-sifat ketuhanan masing-masing, padahal luput dan lumpuhnya sifat-sifat ketuhanan adalahbertentangan dengan kesempurnaan kebesaran dan keagungan.
Dengan ini nyatalah bahawa sudah semestinya Tuhan itu Esa, tiada sekutu bagi-Nya.
Tambahan pula kalau seseorang dengan jujurnya memerhatikan wujudnya perpaduan dan susunan kejadian alam ini, nescaya ternyata kepadanya perpaduan yangmenyatukan tiap-tiap satu dengan yang lain dalam keadaan yang serapi-rapinya sehingga gerak-geri tiap-tiap satu kejadian itu menyempurnakan yang lain dengan tidakberlawanan atau bertentangan;  demikian juga kalau ia memerhati nampaklah kepadanya keseimbangan dan kesatuan dalam perhubungan antara sesuatu kejadian dengan yang lain, sekalipun bentuk dan keadaannya berlainan.
Semuanya itu adalah di antara bukti-bukti yang menunjukkan bahawa seluruh alam ini adalah merupakan satu kesatuan yang terikat rapi yang tidak akan lahir melainkan dari satu punca yang tunggal, iaitu yang wajib al-wujud, yang telah mencipta dan mengaturnya dalam keadaannnya yang demikian.
Selain dari itu, segala yang terkandung di dalam alam ini dari bahan-bahan, kekuatan,  tenaga dan gerak adalah satu tentang tabiat yang ditetapkan oleh Maha Pencipta pada masing-masing , juga satu pada peraturannya, undang-undangnya, halanya dan matlamatnya.
Maka ini juga di antara bukti-bukti yang menunjukkan keEsaan penciptanya.
Dalil al-Quran yang menjelaskan sifat-sifat kesempurnaan dan keEsaan Allah Taala.
Menurut keterangan al-Quran pula, maka di antara ayat-ayat suci yang menjelaskan sebahagian dari sifat-sifat kesempurnaan Tuhan ialah firman Allah Taala, maksudnya:
"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Yang tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya) Yang tidak mengantuk usah tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya (alam langit dan bumi); dan Dialah Yang Maha Tinggi,  lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya)." (255 Surah al-Baqarah).
Ayat suci ini menjelaskan bahawa Allah Taala bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan:
(1) Dialah sahaja Tuhan yang sebenar-benarnya yang berhak disembah dan dipatuhi.
(2) Dialah sahaja yang hidup secara mutlak - terlepas dari pengertian hidup yang difahami oleh manusia. 
(3) Dialah sahaja yang kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhluk-Nya serta memberikannya segala yang diperlukan untuk kepentingan hidup masing-masing.
(4) Maha Suci ia daripada letih lesu atau lalai atau mengantuk ataupun tidur.
(5) Menguasai segala yang ada di langit dan di bumi dengan penguasaan mutlak yang meliputi.
(6) Bebas melakukan segala yang dikehendaki-Nya. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mempersoalkan hukum-Nya, atau yang dapat menolak keputusan-Nya, atau yangberani mengubah apa yang telah ditentukan dan dikehendaki-Nya, sama ada dengan meminta syafaat pertolongan atau mengemukakan rayuan - kecuali setelah ia diizinkan, maka pada ketika itu ia tunduk mematuhi dan memohon syafaat dalam lingkungan yang dibenarkan, sesuai dengan keadaannya.
(7) Maha mengetahui akan keadaan sekalian makhlukNya, meliputi segala apa jua yang sedang mereka hadapi atau yang tidak kelihatan kepada mereka dari segala yang sedang berlaku atau yang akan berlaku. Sebaliknya, mereka sendiri tidak mengetahui sesuatu pun dari apa yang diketahui oleh Allah Taala - kecuali apa yang Allah kehendaki mereka mengetahuinya.
(8) Dialah sahaja pemerintah agung; kebesaran-Nya dan ilmu-Nya meliputi langit dan bumi.
(9) Dialah sahaja yang mempunyai sepenuh-penuh kekuasaan.  Tiadalah menjadi keberatan atau kesukaran kepada-Nya menjaga dan memelihara alam langit dan bumi dan segala yang ada pada kedua-dua alam itu.
(10) Dialah jua Yang Maha Tinggi kebesaran dan kemuliaan-Nya, tidak ada yang mengatasi-Nya; dan dialah jua yang Maha Besar kekuasaan-Nya, yang tidak ada bandingan-Nya.
Ayat suci ini, sebagaimana ia menerangkan sifat-sifat Tuhan Maha Pencipta,  ia juga memandu manusia supaya janganlah menujukan amal ibadatnya melainkan kepada Allah,  dan janganlah ia bertanggungjawab mematuhi melainkan apa yang diperintahkan oleh Allah Taala mengerjakannya dari segala amal kebajikan. Demikian juga hendaklah manusia - hati kecilnya dan keseluruhan hidupnya terikat kukuh dengan Allah Taala yang mentadbirkan urusan hidupnya dan urusan segala apa jua yang ada di sekelilingnya; dan hendaklah Ia sentiasa memohon kepada Allah apa jua yang mendatangkan kebaikan kepadanya dan menyebabkan dia mencapai kebahagiaan - di dunia dan di akhirat.
Dan bahawa manusia tidak mempunyai hak milik yang asal dalam sesuatu jua pun, tetapi dapat disabitkan baginya hak milik yang terbit dari pemberian Allah pemilik yang asal,  yang menjadikan seseorang itu menguasainya sebagai wakil.  Dengan yang demikian, wajiblah atas orang itu mematuhi dengan sepenuhnya syarat-syarat pemilik yang asal - Allah Taala- yang menjadikannya wakil menguasai pemberian itu. Jika tidak, maka akan menjadilah apa yang dilakukannya mengenai urusan hak milik yang diberikan itu tidak sah dan ia akan menerima balasan yang sepadan dengan kesalahannya. Demikian juga hendaklah ia tetap memperhambakan diri kepada Allah Taala dengan mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah, dan janganlah ia mencuaikan semuanya itu dengan hanya menumpukan harapannya untuk mendapat syafaat pertolongan,  sedang syafaat itu tidak akan diperolehi melainkan setelah diizinkan oleh Allah Taala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan diredhai.
Tiap-tiap seorang juga hendaklah sentiasa waspada dan tetap sedar sehingga ia tidak lalai daripada mengira dan mengawasi segala gerak-gerinya. Janganlah ia melakukan sesuatuperbuatan atau menuturkan sesuatu perkataan yang tidak diredhai oleh Allah Taala yang mengetahui segala-galanya. Demikian juga seseorang itu tidak harus bercakap besar dan bermegah megah dengan ilmu pengetahuan yang dikurniakan Allah kepadanya, tetapi wajiblah ia bersyukur kepada Allah dan memujinya, sambil berdoa semoga Allah Taala menambahkan lagi ilmu yang diberikan kepadanya.
Tiap-tiap seorang juga hendaklah sentiasa mengingati ketinggian martabat Allah Taala dan kebesaran kekuasaan-Nya, supaya merasa hebat dan gerun gementar, dan supaya Iatakut untuk mengadap Allah Taala dalam keadaan cuai menjalankan tanggungjawabnya. Oleh itu hendaklah ia memperbanyakkan ibadat dan amal kebajikan dan menjauhkan diri daripada melakukan khianat,  kezaliman dan segala perkara yang dilarang.
Betapa tidak? Sedang manusia walau setakat mana tinggi darjatnya dan kebesarannya, maka Ia tidak sekali-kali terlepas dari sifatnya sebagai hamba Allah Taala Yang Maha Tinggi dan Maha Besar. 
Di antara ayat-ayat suci yang mengenai keEsaan Allah pula ialah firman Allah Taala, ertinya:
"Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku yang aku serukan kamu menyembah-Nya itu) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tidak beranak dan Ia pula tidak diperanakkan; dan tidak ada sesuatu pun yang setara denganNya." (1-4 Surah al-lkhlas).
Surah "al-Ikhlas" ini yang juga dinamakan Surah "at-Tauhid" menetapkan dengan tegas tentang keEsaan Allah Taala yang sebenar-benarnya dan kekayaan-Nya yang sehabis-habis lengkap sempurna serta menafikan daripadaNya persamaan atau perbandingan dengan yang lain.
Dengan sabitnya keEsaan yang sebenar-benarnya bagi Allah Taala, maka nyatalah bahawa wujud Zat-Nya bersih suci daripada tersusun yang membawa kepada berjisim atau berpihak, dan bersih suci daripada berbilang yang membawa kepada persamaan pada hakikat wujud-Nya, dan yang membawa kepada dipersekutukan pada keistimewaan-keistimewaan hakikat Zat-Nya yang membuktikan sifat-sifat ketuhanan-Nya, seperti wajib bersifat wujud dan ilmu yang meliputi, juga kebijaksanaan yang sempurna serta kudrat yang menguasai seluruh makhluk-Nya.
Demikian juga, dengan sabitnya kekayaan Allah yang sehabis-habis lengkap sempurna,  terbuktilah bahawa Allah Taala jua Yang Maha Kaya secara mutlak,  yang menjadi tumpuan sekalian makhluk-Nya untuk memohon apa sahaja yang mereka perlukan, untuk kebaikan mereka di dunia dan di akhirat. Dengan sabitnya kedua-dua sifat itu - keEsaan dan kekayaan - bagi Allah Taala, maka ternafilah dan tidaklah ada sebarang celah bagi sesiapa pun untuk mengatakanNya beristeri atau beranak-pinak, atau menyamakan-Nya, atau membandingkan-Nya atau pun mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua pun.
Surah "al-Ikhlas" ini menetapkan dan menegaskan keEsaan wujudnya Allah Taala, keEsaan ketuhanan-Nya dan keEsaan kuasa memberi. Jelasnya Surah "al-Ikhlas" ini menegaskan; Bahawa tidak ada wujud yang hakiki, atau yang wujudnya memang hakikat Zat-Nya melainkan wujud Allah Taala; dan bahawa tidak ada yang memperkenandoa permohonan orang-orang yang memohon, dan tidak ada sebarang kekuatan,  tenaga atau kegiatan melainkan Allah jualah yang menjadi puncanya.
Kesimpulannya, Allah Taala Maha Esa pada ketuhanan-Nya, dan Allah Taala sahajalah yang menjadi tumpuan untuk memohon sebarang hajat; tiada sesuatu pun yang menyamai-Nya dan tidak pula Ia menyamai sesuatu yang lain.
Dalam pada itu, Allah Azza wa Jalla amat dekat (pengetahuan-Nya) kepada tiap-tiap makhluk,  dan tiap-tiap makhluk yang wujud itu adalah mendapat wujudnya dan seluruh keadaannya daripada wujud Allah Taala Yang Maha Esa lagi Maha Kaya. 
Surah "al-Ikhlas" ini juga sebagaimana ia menetapkan dan menegaskan hakikat yang demikian, ja juga menyedarkan hati nurani manusia tentang akidah Tauhid yang sebersih-bersihnya dari sebarang syirik,  supaya manusia menjadikannya asas bagi amal ibadatnya dan tingkah lakunya di sepanjang hidupnya; maka dengan itu manusia tidak akanmenyembah melainkan Allah Azza wa Jalla dan tidak akan menunjukan permohonannya dalam masa senang dan susahnya melainkan kepada Allah Taala.
Dan di antara ayat-ayat yang menjelaskan sifat-sifat kesempurnaan Tuhan ialah akhir ayat 164 Surah an-Nisa' yang menyatakan bahawa: Allah telah berkata-kata kepadaNabi Musa a.s., kata-kata yang ia sendiri memperdengarkannya.
Dan lagi akhir ayat 11 Surah asy-Syura yang menerangkan bahawa tidak ada sesuatu pun yang menyerupai atau yang menyamai Allah s.w.t. baik pada Zat-Nya YangMaha Suci mahu pun pada sifat-sifat-Nya Yang Amat sempurna,  juga pada kegiatan sifat-sifat itu; dan bahawa Allah Azza wa Jalla Amat Mendengar lagi Amat Melihat.
Maka dengan maksud dua potongan ayat yang tersebut wajiblah di i'tiqadkan bahawa Allah Taala bersifat dengan keadaan-Nya:
(1) Berkata-kata - Menyuruh, melarang,  menjanjikan pahala dan seksa serta menceritakan kisah-kisah pengajaran. 
(2) Mendengar - Tidak tersembunyi kepada pendengaranNya sesuatu walau seberapa sulit pun.
(3) Melihat - Tidak terlindung kepada penglihatan-Nya sebarang perkara sekalipun halus dan tertutup.
(4) Menyalahi segala rupa bentuk,  segala corak warna dan segala cara dan gaya didapati oleh pancaindera atau yang difikirkan oleh akal, juga berkeadaan tidak diliputi olehmasa atau tempat: وَتَعَالَى عَمَّا يَصِفُونَ

Tiada ulasan: