Sabtu, 6 Ogos 2011

Khutbah Rasululllah S.A.W sempena Ramadhan




Daripada Salman al-Farisi r.a. bahawa Rasulullah berkhutbah pada hari terakhir bulan Syaaban sempena ketibaan Ramadan maksudnya: Wahai manusia! Telah datang kepada kalian bulan yang agung, bulan yang penuh berkat, bulan yang di dalamnya ada malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah memfardukan kepada kamu ibadat puasa dan menghidupkan malam harinya sebagai amalan tambahan (sunat). Sesiapa yang di dalam bulan Ramadan mendekatkan diri dengan amalan sunat maka ganjarannya seperti orang yang melakukan amalan wajib di bulan lain. Dan sesiapa yang melakukan satu amalan wajib di bulan ini maka balasannya seperti orang yang melakukan 70 amalan wajib di bulan lain. 

Bulan Ramadan adalah bulan sabar dan pahala kesabarannya adalah syurga. Bulan di mana wujudnya semangat tolong menolong dan bulan bertambahnya rezeki orang yang beriman. Sesiapa yang memberi makan berbuka puasa maka diampuni dosanya, dibebaskan dari api neraka dan mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa tanpa dikurangkan sedikit pun.

Sahabat-sahabat baginda berkata: Ya Rasulullah, kami semua bukanlah orang-orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang-orang yang berpuasa. Lalu Rasulullah menerangkan: Allah taala akan memberikan pahala tersebut kepada sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa untuk berbuka puasa sama ada dengan sebiji kurma atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu yang bercampur air.

Bulan Ramadan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi dengan rahmah, pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus daripada api neraka. Sesiapa yang meringankan beban kerja orang gajinya dalam bulan Ramadan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan daripada neraka.

Hendaklah kamu memperbanyakkan mengerjakan 4 perkara dalam bulan Ramadan iaitu dua perkara dilakukan untuk mendapat keredaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu sangat-sangat perlukan. Dua perkara yang dilakukan untuk mendapat keredaan Tuhan kamu itu ialah; pertama, mengucapkan Lailahillallah; kedua, mengucapkan istighfar (memohon ampun) kepada Allah. Manakala dua perkara lagi yang sangat-sangat kamu perlukan itu ialah; pertama, perbanyakanlah memohon kepada Allah supaya dimasukkan kamu ke dalam syurga; dan kedua, kamu berlindung daripada-Nya azab api neraka.

Selain daripada itu, sesiapa yang memberi minum seseorang yang berpuasa (semasa berbuka puasa) Allah akan memberi minum kepadanya dari kolamku (Kolam al-Kauthar) dengan sekali minum sahaja yang menjadikan dia tidak akan merasa dahaga selama-lamanya sehingga dia masuk ke dalam syurga. (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi) 

Tiada ulasan: