Isnin, 31 Januari 2011

pelunasan hak di padang mahsyar - dakwah2u

Hadis :Daripada Abu Hurairah r.a katanya: "Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud:"Sesungguhnya sebarang hak tak dapat tidak mesti dibayar kepada tuannya sehingga kambing biri-biri yang dogol (tidak bertanduk) diberikan peluang membalas kambing biri-biri yang bertanduk" 'iaitu menanduknya' mengikut satu riwayat." Muslim dan at-Tirmidzi

Huraian :
1.Beriman kepada Hari Kiamat adalah antara perkara yang
termasuk di dalam rukun Iman dan wajib diyakini sepenuhnya oleh
setiap Muslim.

2.Perbicaraan yang berlaku pada hari kiamat adalah menyentuh
tentang semua aspek kehidupan makhluk semasa di dunia termasuk
perkara-perkara berkenaan hak yang meliputi:

i. Perkara yang bersabit dengan perlakuan jenayah ke atas
nyawa dan tubuh badan seperti bunuh-membunuh, tikam-
menikam, pukul memukul, siksa menyiksa dan sebagainya.
ii. Perkara yang bersabit dengan perlakuan jenayah yang
mencemar kehormatan diri dan maruah seseorang seperti caci
mencaci, memaki hamun, mengumpat, tuduh-menuduh dan
sebagainya.
iii. Perkara yang bersabit dengan harta benda seperti mencuri,
merompak, menipu, hutang-piutang dan seumpamanya.

3.Oleh itu bagi sesiapa yang mempunyai kesalah-kesalahan yang
disebutkan akan menerima pembalasan yang seadilnya daripada
Allah SWT. Antara balasannya adalah:

i. Menerima balasan daripada makhluk yang diperlakukan jenayah
terhadapnya.
ii. Memberikan amal kebajikan kepada orang yang dianiayakan
untuk membayar hutang orang yang dihutanginya atau memberi
gantirugi dan sekiranya tiada lagi saki baki amalan yang
tinggal untuk diberikan maka seseorang itu akan terpaksa
menanggung hutang kesalahan orang yang dikhianati itu.
iii. Dimasukkan ke dalam neraka Jahannam.

4.Sebagai mukmin yang beriman kita hendaklah sentiasa berwaspada
dalam setiap tindak tanduk di dunia dan sentiasa bermuhasabah,
bertaubat memohon keampunan agar apabila meninggal kelak kita
tidak termasuk di kalangan orang yang rugi.

Tiada ulasan: