Rabu, 27 April 2011

Permintaan, Sedekah Hamba Sahaya Ampunkan Dosa Pemabuk .




DI sebuah kota tinggal seorang pemabuk yang selalu minum siang dan malam bersama teman-temannya. Pada suatu hari, dia bercadang mengadakan pesta bersama semua temannya.

Sambil menunggu minuman dihidangkan, dia memberikan wang berjumlah empat dirham kepada seorang daripada anak lelaki hamba sahaya dan menyuruh budak itu membeli buah-buahan di pasar untuk dihidangkan kepada teman-temannya sebelum pesta berlangsung.

Dalam perjalanan menuju pasar, hamba sahaya itu berjumpa dengan Syeikh Mansur Ammar al-Basri yang duduk bersama pengikutnya. Syeikh berkenaan menyeru orang ramai supaya bersedekah kepada mereka yang miskin.
Di tengah-tengah bicaranya, dia berkata: “Barang siapa memberikan empat dirham untuk bersedekah kepada orang miskin, maka aku akan berdoa kepada Allah supaya memakbulkan empat keinginannya.” 

Maka, anak lelaki hamba sahaya itu memberikan empat dirham yang dibawanya kepada orang miskin. Syeikh itu menanyakan empat keinginannya. 

Hamba sahaya itu berkata: “Aku adalah hamba sahaya yang bekerja atas perintah tuan aku. Aku ingin supaya dibebaskan. Syeikh itu berkata: “Ya Allah, bebaskanlah dia daripada perhambaan.” 

Kemudian, hamba sahaya itu berkata: “Keinginanku yang kedua supaya Allah memberikan ganti yang baik kepadamu atas empat dirham yang aku sedekahkan ini. Maka Syeikh itu pun mendoakannya. 
Hamba berkenaan kemudian berkata lagi: “Keinginanku yang ketiga adalah supaya Allah memberikan tuanku peluang beroleh taufik supaya dia bertaubat daripada dosanya dan supaya Allah menerima taubatnya. Syeikh itu berdoa kepada Allah memberikan taufik dan supaya tuan hamba sahaya itu bertaubat daripada dosa-dosanya. 

Hamba sahaya berkenaan berkata: “Keinginanku yang terakhir supaya Allah memberikan keampunan kepada diriku, tuanku, dirimu, dan semua orang yang berkumpul di sini.” Syeikh itu pun berdoa kepada Allah supaya Allah memberikan keampunan kepada semuanya. 

Kemudian, hamba terbabit kembali kepada tuannya tanpa membawa buah-buahan ataupun wang empat dirham. 

Dalam perjalanan, dia berkata kepada dirinya: “Hal paling buruk dilakukan tuanku adalah menderaku kerana perbuatanku ini.” 

Ketika dia kembali ke rumah, tuannya sedang menunggu dan berkata: “Betapa lamanya kamu pergi. Hamba sahaya itu menceritakan semua hal dilakukannya. 
Tuannya tidak memarahinya, tetapi bertanya apakah yang didoakan Syeikh itu? 

Anak lelaki hamba sahaya itu berkata: “Dia mendoakanku dibebaskan daripada perhambaan. Tuannya berkata: Aku bebaskan kamu. Hamba sahaya itu berkata: Dia mendoakanku memperoleh ganti yang baik atas empat dirham yang aku sedekahkan. Tuannya berkata: Aku berikan kepadamu empat ribu dirham sebagai hadiah. 

Hamba sahaya itu berkata: “Dia mendoakan supaya Allah memberikan taufik kepadamu supaya bertaubat daripada dosa yang engkau lakukan (minum dan perbuatan maksiat lainnya). Tuannya berkata: Aku bertaubat daripada dosa-dosaku.” 

Hamba sahaya itu berkata: “Dia berdoa supaya Allah memberikan ampunan untukmu, untuk Syeikh itu sendiri, untukku dan untuk semua orang yang berkumpul di sana. Tuannya berkata: Tentu saja, ini di luar kekuasaanku.” 

Pada malam itu, tuannya bermimpi dia mendengar suara mengatakan: “Engkau sudah menunaikan tiga keinginan dari empat keinginan hamba sahayamu yang berada dalam kekuasaanmu. 

“Apakah engkau mengira bahawa Kami tidak akan memberikan kurnia yang berada dalam kekuasaan Kami? Kami mengampunimu, hamba sahayamu, Mansur, dan semua orang yang berkumpul di sana.” 

Sumber : Berita Harian Online – Agama Islam.

Tiada ulasan: