Jumaat, 15 Julai 2011

manis muka

Manis Muka

Di antara sifat-sifat yang boleh membukakan hati orang ramai dan menjadikannya dapat diterima dan dimesrai ialah sifat manis muka dan manis tutur kata.
Muka adalah menjadi petunjuk pada seorang , menjadi cermin yang melantunkan apa yang tersemat dalam lubuk hatinya. Kiranya beliau bermasam muka, keadaan itu menunjukkan beliau seorang yang sempit dada dan mudah keluh-kesah tetapi kiranya beliau seorang yang sentiasa bermuka manis, keadaan ini akan membayangkan kebaikan.
Wajah yang manis bukanlah bererti kecantikan dan keindahan paras rupa, kerana boleh jadi paras rupa cantik tapi tidak terdapat padanya kemanisan. Sebaliknya boleh jadi paras wajah yang hodoh tetapi ia penuh dengan kemesraan dan keriangan.
Seorang pelajar mestilah membiasakan diri berwajah ceria sekalipun beliau terpaksa melatih dirinya berbuat demikian. Beliau juga mestilah membiasakan dirinya sentiasa tersenyum walaupun keadaannya yang menderita .
Sesetengah para sahabat nabi yang keluar berdakwah menghadapi orang ramai dengan senyum yang melimpah di muka mereka sedangkan di dalam hati mereka merendam dukacita dan permasalahan yang Allah sahajalah yang mengetahuinya.
Manis Tutur Kata
Mengenai manis tutur kata pula merupakan satu perkara yang tidak kurang pentingnya, kalaupun tidak lebih penting dari yang lain. ia merupakan alat penghubung antaranya dengan orang ramai, ia juga merupakan alat untuk menyampaikan sesuatu maksud dan fikrah, oleh itu kiranya dapat memelihara lidahnya, menguasai percakapannya, berupaya untuk memilih perkataan-perkataan yang baik-baik dan susunan kata yang indah, bererti beliau telah mampu menarik hati orang ramai dan sekaligus beliau berjaya menyelam masuk ke dalam hati dan diri mereka.
Tetapi sebaliknya jika beliau tidak mampu berbuat demikian, malah tidak mengambil endah terhadap apa yang keluar dan celah kedua bibirnya, bererti beliau telah membina sendiri benteng yang memisahkannya dengan orang ramai, , malah dengan itu menjadikannya dicela, dibenci, dijauhi dan tidak disukai oleh orang ramai.
Di antara firman Allah yang berhubung dengan permasalahan ini ialah firman-firman Allah berikut: "Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu: Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik. Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia." [Al-Isra':53]
"Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia." [Al-Baqarah: 83]
 
senyum syuhada Gaza...husnul khotimah..kita ???

Tiada ulasan: