Selasa, 5 Julai 2011

Mati Bersama


Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my



SEDIH...Hamid menenangkan Suriani, semalam.
Add caption










     

SEDIH...Hamid menenangkan Suriani, semalam.

KUALA TERENGGANU: “Cium adik, mak... cium adik, mak...” Itu permintaan terakhir sepasang kembar perempuan berusia tiga tahun kepada ibu mereka, Suriani Sulong, 40, sebelum kedua-dua kanak-kanak itu maut dalam kebakaran rumah keluarga mereka di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Durian Mas, Manir di sini, semalam.
Tragedi menyayat hati menimpa Nur Fatin Farzana Hamid dan Nur Fatin Farzanah itu membuatkan orang ramai menyaksikan kejadian berkenaan tidak dapat menahan kesedihan sebaik anggota bomba dan penyelamat membawa keluar mayat mangsa ditemui dalam keadaan berpelukan.

Mayat dua beradik itu ditemui di atas timbunan pakaian yang hangus di bilik tidur rumah diduduki keluarga mereka sejak sembilan tahun lalu.
Suriani berkata, dia tidak menyangka sikap dua anaknya yang berkali-kali meminta dia mencium mereka ketika hendak keluar ke tempat kerja pada jam 8 pagi semalam membawa petanda kedua-duanya akan pergi buat selama-lamanya.

“Sudah menjadi kebiasaan mereka meminta untuk dicium sebelum saya keluar rumah, tetapi pagi tadi mereka meminta (ciuman) berkali-kali dan saya tidak menyangka ia petanda kejadian tidak diingini bakal menimpa kami sekeluarga,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, semalam.

Suriani yang bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Menengah Agama Khairiah di sini, terpaksa dipapah saudara-mara dan jiran apabila hampir pengsan sebaik mendapat tahu anak kembarnya terbunuh dalam kebakaran kira-kira jam 9.18 pagi itu.
Suaminya, Hamid Mustafar, 44, berkata ketika kejadian hanya dia dan dua anak kembarnya berada di rumah manakala dua lagi anak lelaki masing-masing berusia 18 dan 10 tahun keluar bekerja dan bermain.

Hamid berkata, ketika kejadian dia yang mengalami masalah sawan kritikal dan tidak bekerja sedang tidur di hadapan televisyen di ruang tamu dan hanya menyedari kebakaran itu selepas diberitahu sepupu dikenali sebagai Wan Norizan sebaik melihat api menjulang dari bilik kembar terbabit tidur.
“Sebaik terjaga, saya panik apabila mendapati api sudah membakar hampir keseluruhan rumah dan segera memanggil dua anak yang tidur di bilik berkenaan sebelum mengesyaki sesuatu kejadian buruk berlaku apabila panggilan tidak berjawab. “Keadaan api ketika itu terlalu marak menyebabkan saya terpaksa bergegas keluar bagi menyelamatkan diri,” katanya.

Menurut Hamid, pada malam kejadian, dua anaknya itu didapati bermain dan berjaga dalam bilik berkenaan sehingga awal pagi.

“Saya tidak pasti mengenai punca kebakaran, tetapi besar kemungkinan ia berpunca daripada pemetik api. “Kedua-dua mereka memang aktif dan tidak pernah berpisah sama ada ketika bermain atau berada di rumah dan tidak mustahil sebelum kejadian mereka bermain pemetik api di dalam bilik itu,” katanya yang sebelum ini berniaga buah di Pasar Manir, kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Hamid berkata, selain kehilangan dua anak, kebakaran itu menyebabkan mereka kerugian lebih RM50,000 selain tinggal sehelai sepinggang apabila semua harta benda termasuk dokumen penting dan pakaian milik keluarga hangus terbakar.

“Tragedi ini sejarah hitam bagi keluarga kami dan tidak menyangka hubungan erat Farzana dan Farzanah yang tidak pernah berenggang sejak lahir membawa hingga ke akhir hayat apabila mereka ditemui mati bersama dalam keadaan amat menyedihkan,” katanya.

aku ambil drp hmetro on9.. semoga ibu bapanya tabah. Amin. Allah Taala lebih menyayangi Farzana dan Farzanah sbb itulah mereka meninggalkan kita dahulu. Tempat mereka di dalam syurga...tempat kita yang masih hidup ini bagaimanakah di akhirat nanti. Wahai Tuhan yang memiliki kerajaan di langit dan di cumi, matikan kami di dalam Islam. Amin.

Tiada ulasan: