Rabu, 17 Ogos 2011

Perang Badar, Nuzul Quran dan Lailatul-qadr



Badar al-Kubra

17 Ramadhan …… suatu tarikh dimana sering diadakan sambutan bagi memperingati dua peristiwa penting didalam sejarah Islam. Pertama adalah Nuzul al-Quran dan kedua adalah Peperangan Badar al-Kubra. Adapun yang aku akan sentuh dalam penulisan ku ini adalah mengenai peristiwa Badar al-Kubra yang berlaku pada tanggal 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah. Ini adalah kerana peperangan Badar amat signifikan dalam sejarah Islam dimana inilah hari yang menentukan kesinambungan dakwah Islam. Hari penentuan sama ada Islam terus berkembang atau berkubur. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ketika berlakunya peperangan tersebut bermunajat kepada Allah:-
اللهم أنشدك عهدك و وعدك، اللهم إن تهلك هذه العصابة لا تعبد في الأرض

Ya Allah, aku mengharapkan janji-janjiMu. Ya Allah, jika sekiranya Engkau binasakan akan pasukan ini (yakni para pejuang Badar), nescaya Engkau tidak akan disembah lagi di mukabumi ini.
Angkatan perang pimpinan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berangkat meninggalkan kota Madinah pada tanggal 8 Ramadhan. Sewaktu ketiadaan baginda di kota Madinah, Amru bin Ummi Maktum dilantik menjadi iman sholat. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berangkat bersama-sama 313 orang shahabat baginda. Panji-panji perang di serahkan ke Sayyidina Mush’ab bin ‘Umair bin Hasyim bin ‘Abd Manaf bin ‘Abduddar رضي الله عنه manakala panji-panji kaum Muhajirin dipegang oleh Sayyiduna ‘Ali bin Abi Thalib كرم الله وجهه dan panji-panji kaum Anshar di pegang oleh Sayyiduna Sa’ad bin Mu’adz رضي الله عنه . Didalam kitab kisah-kisah para shahabat yang ditulis oleh al-Muhaddits Maulana Muhammad Zakariyya Kandahlawi رحمه الله dinyatakan bahwa perbekalan angkatan perang kaum Muslimin sangat sedikit iaitu 3 ekor kuda, 70 ekor unta, 6 atau 9 baju besi dan 8 bilah pedang. Oleh kerana terhadnya kenderaan untuk ditunggangi maka para shahabat terpaksa menunggang secara bergilir. Rasullullah صلى الله عليه وآله وسلم, Ali bin Abi Thalib كرم الله وجهه dan Martsad bin Abu Martsad al-Ghanawi secara bergiliran menaiki satu unta. Hamzah bin Abdullah Mutthalib, Zaid bin Haritsah, Abu Kabsyah dan Anasah رضي الله عنهم, satu unta. Abu Bakar, Umar dan Abdurrahman bin Auf رضي الله عنهم , satu unta …. Allahu Allah …. Dek kerana dhaifnya perbekalan tentera muslimin terutamannya dari ketumbukan kaum Muhajirin … maka dengan penuh belas kasihan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berdoa:
اللهم إنهم حفاة فاحملهم اللهم إنهم عراة فاكسهم وإنهم جياع فاشبعهم

Ya Allah, mereka ini (kaum Muahjirin berjalan tanpa alas kaki (berkaki ayam) maka, ringankanlah langkah mereka. Mereka tidak berpakaian, berilah mereka pakaian dan mereka lapar, berilah mereka makanan.
Badar yang letaknya lebih kurang 145km arah barat laut dari kota Madinah al-Munawwarah menjadi saksi diatas keimanan dan ketaqwaan para shahabat رضي الله عنهم sehingga dengannya Allah mendatangkan bantuanNya kepada mereka. Badar menyaksikan pertembungan diantara kaum muslimin dengan kaum musyrikin yang mempunyai kekuatan lebih dari 3 kali ganda, siap dengan kudanya berjumlah 100 ekor.
Firman Allah [maksudnya]: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Aali Imran: 123)

Badar menyaksikan pertolongan Allah kepada kaum muslimin dimana 1000 malaikat yang berserban membantu para shahabat menghadapi kaum musyrikin. Dan akhirnya kaum muslimin telah dihadiahkan dengan kemenangan. Kaum musyrikin kecundang dengan menyaksikan 70 tentera mereka termasuk Abu Jahal (Amr bin Hisyam bin al-Mughirah) sebagai panglima perang terbunuh, 70 lagi ditawan kaum muslimin. Adapun dipihak kaum muslimin hanya 14 orang telah syahid.

Sesungguhnya, tanggal 17 Ramadhan tahun kedua Hijriyah, hari yg menyaksikan pembelaan Ahli Badar kepada baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sungguh tidak ada orang yang lebih setia, lebih memuliakan dan lebih mencintai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم melebihi kesetiaan dan kecintaan Ahlul Badr, رضي الله عنهم أجمعين kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Lihatlah bagaimana mereka menyambut seruan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم untuk keluar berjihad di luar kota Madinah. Saad bin Mu’adz رضي الله عنه berkata …..
Demi Allah, seandainya engkau berjalan sehingga sampai ke Barak al-Ghimad (di Yaman), nescaya kami akan berjalan bersamamu. Demi Allah seandainya engkau membawa kami ke menyeberangi lnescaya kami akan menyeberanginya bersamamu ………..
Sayyiduna Saad bin Ubadah رضي الله عنه pula berkata …..
Perintahkan apa sahaja yang engkau inginkan kepada kami wahai Rasulullah. Demi Dzat yang jiwaku didalam gengaman kekuasaanNya, jika engkau memerintahkan kami untuk meredah lautan sungguh kami akan meredahnya. Dan jika engkau memerintahkan kami menyelami dasarnya untuk pergi ke Barak al-Ghimad, maka pasti kami akan melakukannya.
Sayyiduna Miqdad رضي الله عنه pula berkata:
Wahai Rasulullah … kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana kami Musa berkata kepada Musa: Maka pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya akan duduk menanti disini sahaja (al-Maaidah: 24) – Akan tetapi kami akan berperang di sebelah kananmu dan disebelah kirimu dihadapanmu dan dibelakangmu ….
Allahu Allah. Inilah bukti kecintaan, bukti kesetiaan yang ditunjukkan oleh ahli Badar. Maka tidak hairanlah hingga diriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda : “Allah Ta’ala berfirman kepada Ahlu Badr: “Beramallah (berbuatlah) semahu kalian, sungguh aku telah mengampuni dosa kalian” (Shahih Bukhari).
Tersebut didalam matan Zubad :-
وبعده فالأفضل الصديـق – والأفضل التالي له الفاروق
عثمان بعـده كـذا علـي – فالستة الباقون فالبـدري

Dan kemudian daripadanya maka yang terlebih afdhal adalah Abu Bakar as-Siddiq – Dan yang terlebih afdhal yang mengiringi baginya adalah al-Faruq [Umar al-Khattab] *** 
Utsman kemudiannya, demikian lagi ‘Ali – Maka yang enam yang tinggal [daripada 10 orang yang dijanjikan dengan syurga iaitu selain 4 shahabat diatas, Thalhah, Zubair al-Awwam, Sa’ad ibn Abi Waqqas, Sa’id ibn Zaid, Abdurrahman bin ‘Auf dan Abu Ubaidah ibn al-Jarrah ] maka ahlul Badar

Nuzul al-Quran

14, 15 & 16hb Ramadhan merupakan hari-hari pertengahan bulan RAMADHAN yang dikenali juga sebagai hari BERCAHAYA atau AYYAUMUL BAYD. Manakala sejarah Islam telah mencatatkan PERISTIWA PERANG BADAR (BADR KUBRA) yang berlaku pada tahun ke 2 Hijrah. Perang Badar merupakan perang pertama yang dilalui oleh umat Islam di Madinah. Ia merupakan isyarat betapa mulianya umat Islam yang berpegang teguh pada tali agama Allah. Kemenangan besar kaum muslimin tidak terletak pada jumlah tentara yang ikut serta tetapi terkandung dalam kekuatan iman yang tertanam disanubari mereka.
Menurut SEJARAH yang dilakarkan: Pada bulan Ramadhan tahun 2 Hijriah, Rasulullah bersama 313 (3+1+3=7) orang tentera telah keluar dari Madinah untuk menyekat angkatan perdagangan kaum Quraisy yang pulang dari negeri Syria (Syam) dalam usaha mereka hendak melemahkan persiapan tentera Quraisy Makkah untuk menyerang Madinah.
17hb Ramadhan juga dikatakan HARI TURUNNYA AL-QURAN atau disebut NUZUL AL-QURAN. Secara umumnya: Terdapat dua pendapat mengikut ahli sejarah, termasuk pendapat para ahli hadis, tentang Al-Quran yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw. Pendapat pertama menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum hijrah (6 Ogos 610 M). Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal, manakala pendapat kedua dasarnya adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan.
Walaupun tradisi Nuzul Al-Quran telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat kedua adalah lebih kuat dan lebih mungkin benarnya. Ini adalah kerana malam Lailatul Qadar yang dipercayai sebagai malam turunnya Al-Quran bukanlah terjadi pada tanggal 17 Ramadhan. Adapun dalam firman Allah SWT pada ayat 41 surah Al-Anfaal, yaitu: “…jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan ,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)…” (AlQuran Surah 8 : ayat 41) Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.
Tetapi sebenarnya ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut).
“Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…” (AlQuran Surah 8 : ayat 41).
Dan apabila diteliti dengan lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul-Qadar dan kelahiran Rasullullah pada hari Isnin serta pada catatan-catatan waktu di dalam takwim, maka akan diperolehi kesimpulan yang lebih tepat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 24 bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasullulah saw berhijrah ke Madinah.
Menurut para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam “Lailatul Qadar” sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus di “Baitul Izzah” di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun. Adapun ayat-ayat yang pertama diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw adalah ayat 1-5 surah Al-’Alaq.
Nuzul Al-Quran
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagaiAl-Nurbererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)
Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)
Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Panduan
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
  1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
  2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
  3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.
Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra” iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.
Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.
Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.
salinan dari : Blog Mir

Tiada ulasan: