Selasa, 10 Januari 2017

Fasal Kedua : Wajib beriman kepada semua Rasul yang diutus ole Allah

BERIMAN KEPADA RASUL-RASUL ALLAH A.S.

Mengenai semua pesuruh-pesuruh Allah secara umum,  Allah Taala berfirman ertinya:
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkan dia menyeru mereka): "Hendaklah kamumenyembah Allah dan jauhilah Taghut(1) ..." (36, Surah al-Nahl).
"...... Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan sekalian Rasul-Rasul-Nya. (179, Surah Ali-lmran).
"Sesungguhnya orang-orang yang kufur (ingkar) kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya dan orang-orang yang hendak membeza-bezakan (iman mereka) di antara Allah dan Rasul-rasul-Nya, dan orang-orang yang berkata:  "Kami beriman kepada setengah Rasul-rasul itu dan kami kufur (ingkar) kepada setengahnya yang lain, serta bertujuan hendak mengambil jalan lain di antara (Iman dan Kufur) itu":
"Mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya. Dan Kami pula telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina. " (150 dan 151, Surah an-Nisaa').
Rasul-rasul yang telah diutus oleh Allah Taala itu, ada di antaranya yang telah diterangkan namanya satu persatu dalam al-Qur'an, iaitu seramai dua puluh lima orang Rasul dan ada yang tidak diterangkan. Tentang ini Allah Taala berfirman dalam Surah an-Nisaa', Ayat 164, ertinya:
"Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) dahulu sebelum ini dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan perihal mereka kepadamu ...
______________________________
(1)"Taghut" ialah syaitan,  berhala dan apa sahaja yang menyesatkan. 
Dengan yang demikian tiap-tiap orang diwajibkan beriman secara khusus kepada Rasul-rasul yang tersebut namanya satu persatu dalam al-Qur'an iaitu 18 daripadanya tersebut dalam ayat-ayat 83-86 Surah al-An'am, mereka ialah Nabi Ibrahim, Nabi Ishak,  Nabi Ya'kub, Nabi Noh, Nabi Daud,  Nabi Sulaiman,  Nabi Ayub, Nabi Yusof, Nabi Musa,  Nabi Harun,  Nabi Zakaria,  Nabi Yahya,  Nabi Isa,  Nabi Alias, Nabi Ismail,  Nabi Alyasa', Nabi Yunus dan Nabi Lut. 
Tujuh lagi tersebut dalam beberapa surah yang berikut: Iaitu Nabi Adam dalam ayat 33 Surah Ali-'Imran, Nabi Hud,  dalam ayat 65 Surah al-A'raf, Nabi Saleh dan Nabi Syu'aib dalam ayat 61 dan 84 Surah Hud;  Nabi Idris dan Nabi Zulkifli,  dalam ayat 85 dan 86 Surah al-Anbia', dan Nabi Muhammad a.s. dalam ayat 40 Surah al-Ahzab.

Tiada ulasan: