Ahad, 5 Mac 2017

Percaya kepada malaikat -- Makhluk ghaib - Jin

BERIMAN KEPADA ADANYA MALAIKAT

Sejenis lagi makhluk halus yang ghaib,  yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan undang-undang dan peraturan Tuhan ialah jin.
Makhluk jin ini dijadikan Tuhan dari lidah api (yang boleh menyerap racunnya ke hang bulu roma), mereka dijadikan sebelum kejadian manusia sebagaimana yang diterangkan dalam ayat 27, Surah al-Hijr.
Mereka pula terbahagi kepada dua golongan: 
Golongan yang pertama - lalah yang diciptakan Tuhan dengan sifat semula jadinya mempunyai persediaan sama seperti yang ada pada manusia,  iaitu boleh memikir dan berusaha melakukan perkara-perkara yang baik atau yang buruk.  Oleh sebab itu di antara golongan jin ini ada yang Islam dan ada yang kafir sebagaimana yang diterangkan dalam ayat 14, Surah al-Jin.
Golongan yang kedua pula - lalah yang diciptakan Tuhan dengan sifat semula jadinya mempunyai persediaan untuk melakukan perkara-perkara yang buruk semata-mata. Mereka ini ialah iblis - syaitan meliputi zuriatnya serta bala tenteranya. Golongan inilah yang menyebabkan sebahagian besar dari umat manusia menyeleweng dan terpesong dari undang-undang dan cara hidup yang ditetapkan Allah untuk manusia mendapat nikmat yang sebenar dan kebahagiaan yang kekal. 
Hakikat ini ditegaskan oleh Allah Taala dengan firmanNya yang disampaikan erti maksudnya oleh Rasulullah s.a.w. seperti berikut:
53- عَنْ عِيَاضِ بْنِ حِمَارٍ الْمُجَاشِعِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ذَاتَ يَوْمٍ فِي خُطْبَتِهِ أَلَا إِنَّ رَبِّي أَمَرَنِي أَنْ أُعَلِّمَكُمْ مَا جَهِلْتُمْ مِمَّا عَلَّمَنِي يَوْمِي هَذَا كُلُّ مَالٍ نَحَلْتُهُ عَبْدًا حَلَالٌ وَإِنِّي خَلَقْتُ عِبَادِي حُنَفَاءَ كُلَّهُمْ وَإِنَّهُمْ أَتَتْهُمْ الشَّيَاطِينُ فَاجْتَالَتْهُمْ عَنْ دِينِهِمْ… . (مسلم)
53- Dari 'Iyadh bin Himar Al-Mujasyi'i r.a. bahawa Rasulullah s.a.w., pada suatu hari bersabda dalam khutbahnya: "Ketahuilah, sesungguhnya Tuhanku telah memerintahkan supaya aku mengajar kamu akan apa yang tidak kamu mengetahuinya dari perkara-perkara yang diajarkannya kepadaku hari ini, iaitu (Tuhanku berfirman): `Segala harta benda yang Aku berikan seseorang mendapatnya dengan mana-mana jalan yang Aku benarkan: Adalah halal;  dan sesungguhnya Aku telah jadikan hamba-Ku semuanya suci bersih (dari fahaman dan amalan syirik) serta betul benar menurut keadaan semula jadinya; dan sesungguhnya mereka didatangi dan diperdayakan oleh syaitan-syaitan sehingga sebahagian besar di antara mereka menyeleweng dan terpesong dari ajaran agamanya yang sebenar .."
(Muslim)
Dengan adanya angkara syaitan yang demikian, maka Allah Taala Yang Amat Mengasihani mengingatkan anak Adam di dalam al-Qur'an al-Karim supaya masing-masing berjaga-jaga dan mengawasi dirinya daripada fitnah- hasutan syaitan dan bala tenteranya. Di antaranya pada ayat 27, Surah al-A'raf; ayat 168 dan 169, Surah al-Baqarah; ayat 21, Surah an-Nur; dan ayat 5 dan 6, Surah Fatir; yang di antara maksud maksudnya menyatakan bahawa:
(1) Syaitan:  Tabiatnya menghasut, membuat fitnah,  memecahbelahkan rumah tangga dan merosakkan masyarakat.
(2) Syaitan giat memujuk dan memperdayakan manusia supaya melakukan segala jenis kejahatan dan mengatakan yang bukan-bukan terhadap Allah Taala
(3) Sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan sudah tentu akan binasa.
(4) Syaitan - kepada manusia - adalah musuh yang jelas nyata semenjak wujudnya Adam (bapa manusia).
(5) Wajib atas tiap-tiap seorang memusuhi syaitan dan bisikan hasutannya sekalipun terdapat atau terasa ada kebaikan di dalamnya, kerana tujuan bisikannya hanyalah hendak menjadikan sesiapa yang menurutnya termasuk dalam golongan ahli neraka. 
Peringatan yang seperti itu kerapkali diulang-ulangkan oleh Allah Taala di dalam al-Qur'an kerana kegiatan syaitan terhadap jiwa manusia samalah seperti kegiatan kuman-kuman penyakit terhadap tubuh badannya; kalau kuman-kuman penyakit tidak dapat menyerang tubuh badan seseorang melainkan apabila ia cuai memelihara peraturan kesihatan, maka syaitan juga tidak dapat menyerapkan bisikan hasutannya ke dalam jiwa manusia melainkan pada masa manusia lalai - tidak mengindahkan ajaran dan peringatan Allah.
Hakikat ini dijelaskan oleh ayat 36, Surah az-Zukhruf, dan ayat 19 Surah al-Mujadalah yang di antara maksud-maksudnya menyatakan: Bahawa di antara undang-undang kejadian Allah ialah memberi peluang kepada syaitan untuk menjadi teman rapat kepada sesiapa yang lalai - yang tidak mengindahkan ajaran dan peringatan Allah, serta syaitan pula dapat menguasai jiwa orang itu.
Kalau orang yang tersebut berpanjangan dengan keadaan yang demikian tidak segera kembali ke jalan yang benar,  jadilah ia dari puak sekutu syaitan; dan sesiapa yang termasuk dalam puak sekutu syaitan,  maka dialah "Syaitan manusia" yang tersebut pada ayat 112 Surah al-An'am, dan yang disuruh meminta berlindung dari angkaranya, oleh hadis yang berikut:
54- عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّ شَيَاطِينِ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلِلْإِنْسِ شَيَاطِينُ قَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَمْ. (الإمام أحمد وابن مردويه والبيهقي)
54- Dari Abu Zar, r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. memerintahkan daku dengan bersabda: "Hendaklah engkau memohon perlindungan Allah daripada angkara syaitan-syaitan manusia dan jin" Aku pun meminta penjelasan Baginda s.a.w. dengan berkata:  "Ya Rasulullah,  adakah manusia juga menjadi syaitan-syaitan." Baginda menjawab:  "Ya benar! ".
(Imam Ahmad, Ibn Marduwaih dan al-Baihaqi)
Oleh itu, tiap-tiap seorang hendaklah memohon kepada Allah s.w.t. supaya dilindungi dari angkara sekalian syaitan dan supaya syaitan-syaitan itu tidak dapat menghampirinya, dengan sentiasa membaca: رَبِّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَayat 97-98 Surah al-Mukminun, sambil mengingatkan maksud ayat-ayat suci yang tersebut (1), mudah-mudahan orang yang memohon perlindungan Allah yang demikian, beroleh kesentosaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
______________________________
  1. Maksud ayat-ayat 97-98, Surah al-Mu'minun yang tersebut ialah: Ya Tuhanku,  aku berlindung kepada-Mu dari hasutan syaitan-syaitan dan aku berlindung kepada-Mu - supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku

Tiada ulasan: